Google+ expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Jumaat, 29 Januari 2010

MAT KARAN, MAT KOTAK DAN MINAH KILANGNYA



Telah ditakdirkan pada penghujung tahun 1987 aku menduduki peperiksaan SPM dan pada waktu ini juga aku punyai hubungan yg sedikit tegang dgn bapaku. Tapi tak payahlah aku ceritakan di sini apakah masalahnya. Pada waktu sedang menunggu keputusan SPM keluar, aku jadi tak senang duduk di rumah kerana setelah tak bersekolah maka terputuslah punca pendapatanku selama ini. Aku tak lagi mendapat duit belanja harian sepeti dulu waktu masih bersekolah. Jadi mahu tak mahu demi kehendak aku yg ingin nak berseronok pada setiap hujung minggu ke Padang Kota, Pulau Pinang maka dengan bertemankan basikal, aku pun keluar setiap pagi mencari kerja. 

Nak dijadikan cerita pada waktu ini keadaan ekonomi agak kegawatan dan setiap kilang yg aku pergi kesemuanya hanya perlukan pekerja perempuan saja sebagai operator mesin.
Kebanyakkan kilang pada waktu ini majoritinya menggunakan mesin manual dan perlukan ramai operator untuk mengendalikannya. Dan kaum lelaki pula yg jumlahnya boleh dikira dengan jari hanyalah sebagai juruteknik dan pekerja bahagian setor saja.

Aku sebenarnya tidak keseorangan tapi berdua bersama dengan kawan baikku sedari kecil yang bernama Aziman tapi lebih mesra dengan panggilan Man Jerut. Setelah puas mencari kerja yg bergaji bulan tak dapat, maka mulalah kami membuat pekerjaan yg hanya bergaji hari serta hanya dipanggil apabila khidmat kami diperlukan saja. Dan dalam seminggu tu adalah antara 3 atau 4 hari bekerja dan pekerjaannya pun bermacam macam jugalah yg kami lakukan. Dari kerja menanggung barang untuk diisikan ke dalam lori atau kontena sampailah kepada mencabut paku pada papan2 pelet lama yg nak dipecah dan musnahkan. Dan pada hari2 tertentu pula kami akan pergi ke kilang melebur bijih timah STC seawal 6 pagi utk mendapatkan pas masuk sebagai pekerja kontrak bergaji harian.

Duit yg aku dapat dari pekerjaan ini gunanya tak lain dan tak bukan sekadar nak berseronok pada hari Sabtu dan Ahad di Tanjung ( panggilan org Penang utk Georgetown ). Biasanya kami akan keluar dari rumah pada petang hari sabtu dan balik pula pada keesokannya hari ahad. Jiwa remajalah katakan pada waktu tu, jadi apa yang orangtua larang maka yg itu jugalah yg akan kami buat. Mulalah kami belajar merokok, meminum arak, menghisap ganja dan berpeleseran dgn 'ration' ( gelaran org penang utk bohsia ). Dan padang kota menjadi lokasi wajib kerana di sana pada setiap malam minggu akan ada konsert percuma juga tempat ini penuh dgn ration2 serta ada juga tokan2 ( pengedar ganja) yg jalankan bisnes di situ. Jadi senang bagi kami untuk nak dapatkan keseronokkan hanya di satu tempat saja. All in 1 lah macam iklan shampo kat tv tu. Tapi pada suatu hari maka datanglah seorang kawan abang aku dan dia tawarkan pekerjaan yg boleh dikatakan bergaji lumayan jugalah pada waktu itu. Dengan tanpa berfikir panjan lagi terus saja aku setuju dan berjanji akan mulakan kerja pada hari isnin yg akan datang.

Pada hari isnin yg dijanjikan itu maka secara rasminya inilah pekerjaan bergaji bulan yg pertama dalam sejarah hidupku. Dan rupa rupanya kerja yg bakal aku buat itu adalah sebagai pekerja kontrak kepada kontraktor LLN ( Lembaga Letrik Negara ) yg kerjanya adalah bersangkutan dengan kabel elektrik di bawah tanah. Patutlah gajinya banyak sampai 15 ringgit sehari berbanding gaji kerja kilang yg hanya sekitar 8-10 ringgit saja. Kerjanya sangatlah berat dan teruk sekali sampaikan bukan badan saja yg basah berpeluh tapi seluar dalam pun turut basah sama. Bayangkanlah 1 drum kabel 'high tension' panjangnya 250 meter. Walau ditarik oleh 10 org tapi paling jauh pun boleh ditarik hanya 50 meter saja. Kemudian kami akan patah balik dan tarik lagi 50m dan begitulah seterusnya sampai habis semua 250 meter tersebut. Waktu dulu mana ada pakai 'wintch' macam sekarang semua kerja pun secara manual saja gunakan kudrat. Kalau buat kerja ditepi jalan yg lurus ok lah tapi kalau tempat yg sempit, teruklah kami jadinya. Kerja kami terbahagi kepada 2 tugas. Yang pertama dan yang biasanya kami akan buat kerja 'breakdown' maksudnya kabel yg meletup di bawah tanah dan dah terputus bekalan elektrik. Kerja kami adalah cari tempat di mana kabel tu meletup sampai jumpa. Bila dah jumpa kami akan korek satu lubang yg boleh muat 4 orang kemudian potong bahagian kabel yg dah rosak lepas tu tunggu team LLN pula datang buat kerja gantian kabel yg baru. Jadi pada waktu mereka bekerja maka kami pula akan berehat panjang. Lepas dah siap kerja team LLN itu barulah kami akan bekerja semula iaitu menutup lubang tersebut. Dah siap tutup barulah kami boleh balik ke rumah masing2. Kadang2 ambil masa sehari suntuk tapi dalam kes2 tertentu ada juga yg perlukan masa 3-4 hari baru kami dapat balik ke rumah.

Tugas yang kedua pula adalah memasang kabel baru. Selalunya yg melintasi jalanraya, melintasi sungai atau pun kabel baru utk kegunaan kilang yg baru dibina atau kilang yg perlu penambahan kuasa elektrik. Kerja yang inilah kerja yg susah amat pasal bergantung pada tempat dan jenis kabel. Ada sekali tu kami kena pasang kabel di dalam kawasan taman bunga di Jalan Pantai. Dan pihak majlis perbandaran tidak membenarkan kami gunakan mesin 'back hoe' atas alasan takut akan merosakkan landskap taman bunga tersebut. Jadi terpaksalah kami gunakan cangkul bagi kerja mengorek parit sedalam 3 kaki untuk ditanam kabel tersebut. Rupanya tanah yg ada diparas 2 kaki dah keras semacam batu sampai cangkul pun boleh sumbing. Setiap kali balik kerja tangan akan jadi sakit2 dan kulit melupas melecup sana sini. Bila bangun tidur setiap pagi rasa macam tak nak pergi kerja saja. Tapi bila fikir duit punya pasal, last2 pergi jugalah. Perkara lawak pun pernah terjadi juga pada satu hari waktu kami pasang kabel baru di sebuah kilang di Perai ( kawasan perindustrian yg terbesar di Pulau Pinang ). Mana tak lawaknya, gang kami semua lelaki sedangkan operator kilang tersebut semua perempuan pulak. Sambil buat kerja mata kami pandang dia orang dan mata dia orang pula dok pandang kami. Last2 kerja kami jadi lambat siap dan kerja mereka2 pulak jadi salah buat dan reject habis semua barang yang keluar dari mesin. Sikit punya hero ka kami semua ni..hehe

Ok berbalik pada cerita periksa SPM aku pulak. Cukup 3 bulan aku bekerja sebagai mat karan ni maka keputusan SPM pun keluarlah. Dan aku pun ambil keputusan berhenti kerja dan sambung balik persekolahan aku ke tingkatan 6. Tetapi amat malang sekali walaupun keputusan aku boleh dikatakan bagus jugalah namun bapaku tak mampu lagi nak tanggung biaya persekolahan aku kerana bapa aku telah dinasihatkan bersara dari kerja kerana masalah matanya yg semakin teruk. Maka adik perempuan aku yg muda 3 tahun dari aku pun telah dihantar utk tinggal bersama makcik aku di Kuala Lumpur sedangkan aku pula diminta tinggal dgn pak ngah aku di Seberang Jaya.

Pak ngah aku adalah merupakan adik kedua bapa aku dan dia ada usahakan satu ladang tebu yg seluas 3 ekar sebagai pendapatan sampingan sementara kerja tetapnya adalah kakitangan PPC yg mengendalikan jualan tiket perkhidmatan feri Pulau Pinang. Dia ada menawarkan aku sambung sekolah dengan dia yg akan biayai segala belanjanya. Tapi aku jadi serba salah nak terima dan setelah berfikir panjang maka aku katakan yg aku dah tak minat nak bersekolah lagi kerana aku nak bekerja dan tolong bapa aku pulak. Jadi tak lama sangatlah aku tinggal menetap di rumah dia. Lebih kurang 2 bulan kemudian aku pun minta kebenaran dari dia untuk balik tinggal dengan keluarga aku semula. Selepas berbincang panjang maka akhirnya aku kembali semula ke Jalan Mohd Saad.

Mungkin dah memang rezeki aku kot, baru beberapa hari saja balik ke sini, datang kawan aku mengatakan bahawa kilang tempat kerjanya di Mak Mandin nak pakai seorang kerani setor. Keesokan harinya terus aku pergi temuduga dan pada hari itu jugalah aku memulakan kerja. Jadi ini merupakan satu sejarah peribadi bagi aku kerana buat pertama kalinya aku bekerja di kilang. Kilang ini adalah merupakan sebuah kilang 'plastic injection moulding' yg menghasilkan komponen plastik utk radio keluaran Sony. Dan tugas aku pula adalah sebagai kerani setor yg merekodkan setiap keluar masuk komponen ke 'bin card' lebih kurang sama seperti buku akaun keluar masuk duit cuma bezanya aku tak kira duit. Suasana bekerja aku sama pula seperti waktu di sekolah. Cuma duduk di meja aku dari pagi sampailah ke petang menulis, menulis dan menulis saja. Rasa boring pun ada tapi seronoknya bekerja kilang ni adalah kerana terdapat ramai minah minah operator mesin. Waktu bekerja aku adalah normal iaitu masuk pukul 8 pagi dan balik pada pukul 5 ptg. Tapi bagi operator2 ni semua mereka ada 3 syif waktu kerja iaitu pagi, petang dan malam. Bayangkanlah berapa ramai mereka2 ni dari segi jumlah keseluruhannya.

Maka bermulalah satu kehidupan yg baru pulak bagi aku kerana di sini aku boleh punyai 3 orang 'marka' ( makwe ) yg bekerja pada syif yg tak sama dan tanpa pengetahuan antara satu sama lain marka2 aku ni. Pada sebelah pagi aku jumpa seorang dan pukul 3 ptg nanti aku jumpa yg lain pula. Dan yg bersyif malam maka seminggu aku tak jumpa dan pada minggu berikutnya barulah aku jumpa dia di sebelah pagi pulak. Begitulah putaran yg aku aturkan demi tak nak pecah tembelang rahsia yg aku sebenarnya punyai 3 org marka pada sebuah kilang yg sama. Dan rasa kebosanan terhadap kerja aku pun hilang begitu saja diganti dengan keseronokan berpacaran. Tapi sayang sekali mungkin aku tidak punyai jodoh dengan mereka2 semua ni dan juga dengan kilang itu sendiri kerana aku cuma dapat bertahan bekerja di situ sekitar hanya 8 bulan sahaja.

Cukup 8 bulan aku bekerja d sana, aku terima pulak satu tawaran pekerjaan yg membolehkan aku mengembara ke seluruh pelusuk Malaysia dan yg menjadikan punca pendapatan aku sampailah ke hari ini. Jadi dengan secara tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada semua marka2 ku di sana lalu pada hari terima wang gaji yg ke lapan maka sejarah aku sebagai seorang mat kotak pekerja kilang pun berakhirlah sudah. Aku tinggalkan pekerjaanku begitu saja tanpa sebarang surat notis berhenti kerja dan tanpa berceritakan pada sesiapa pun. Jadi beginilah kesudahan ceritaku pada kali ini iaitu hikayat mat karan, mat kotak dan minah kilangnya.

Nota kaki :

Ucapan al fatihah aku tujukan buat bekas2 rakan kilang aku di kilang Polynic Industries, Mak Mandin yang telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya semasa membuat satu perjalanan rombongan beramai ramai. Semoga dicucuri rahmat dan diletakkan di antara orang2 yg beriman. AMIN

2 ulasan:

  1. zaman dulu2 keja kilang paling popular...kalau keja kerani dgn gov tu dah kira hebat dah tu..tapi seronok jgk kan nizam kalau kita mencuba berbagai jenis pekerjaan sebelum kita mendapat pekerjaan tetap..ilmu itu lebih penting kan..jgn mcm zaman skrg ada ijazah pun masih menganggur sbb malu nak keja yg setaraf dgn depa..jadi penganggur tu x malu pulak..

    BalasPadam
  2. itulah pengangur terhormat namanya...tp sebenarnya bukan semua yg begitu ada juga yg dah puas berusaha tp masih juga gagal mendpt sebarang pekerjaan. Dah semakin ramai rakyat maka peluang pekerjaan pun dah jadi semakin sukar...

    BalasPadam

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN

KLIK FOTO UNTUK MAKLUMAT PERKHIDMATAN KAMI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...