Google+ expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Ahad, 5 Disember 2010

PENGHUJUNG 1989 : BERMULA EPISOD BARU




Penghujung tahun 1989 adalah sesuatu yang tak mungkin aku lupakan sampai bila-bila pun. Bayangkan setelah aku berhenti kerja di kilang plastic injection moulding , tiada satu pun kilang lain yang mahu menerima aku sebagai pekerja. Apalah malang sungguh nasibku ini. Pernah sekali aku mohon kerja di sebuah kilang : LOYTAPE namanya. Aku diberikan ujian matematik dan temuduga. Tetapi agak terkejut juga kerana walaupun aku mendapat markah 10/10 untuk ujian tersebut, semasa sesi temuduga pegawai yang bertanggungjawap telah menasihatkan aku supaya mencari kerja di tempat lain saja. Alasannya : aku terlalu "bijak" untuk bekerja di kilang yang membayar gaji murah sebaliknya kerjanya pula adalah teruk sekali.

Tahun ini adalah tahun dimana berlaku kegawatan ekonomi. Kesannya tiada banyak peluang pekerjaan yang baru. Kalau ada pun gaji yang ditawarkan sangatlah murah cuma sekitar 7 ringgit hingga 10 ringgit sehari pada kadar purata 1 ringgit untuk setiap jam kerja. Kebanyakan pekerja pula akan berlumba membuat kerja overtime ( OT ) demi untuk menambahkan pendapatan. Manakala para majikan pula lebih suka memilih pekerja perempuan dari lelaki untuk jawatan sebagai operator mesin. Ketika ini negara Malaysia masih lagi dalam peringkat awal revolusi perindustrian pengeluaran yang berorientasikan tenaga pekerja yang murah. Bagi aku pula tak kisah semua tu asalkan aku boleh memperolehi duit saja setiap hari tapi masalahnya tidak banyak peluang pekerjaan untuk mereka-mereka yang agak "bijak" ketika itu.

Yang aku maksudkan agak "bijak" ketika itu bukanlah bermaksud aku berada dalam golongan mereka-mereka yang bijak pandai tetapi adalah keputusan SPM yang aku perolehi. Zaman ini lulusan SPM masih lagi tinggi kedudukannya dimata masyarakat. Dengan mempunyai keputusan yang melayakkan aku melanjutkan pelajaran tinggi di mana-mana universiti pun di Malaysia ini tetapi atas alasan keluarga tidak mempunyai kemampuan kewangan maka aku hanya menjadi pencari kerja kosong di kilang-kilang di sekitar Butterworth. Perlu diketahui, zaman ini tidak ada lagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN ) atau pinjaman bank untuk melanjutkan pelajaran. Yang ada hanyalah biasiswa dari agensi kerajaan samada dari kerajaaan negeri atau biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, biasiswa dari agensi MARA, biasiswa dari bakal majikan yang terdiri dari kalangan syarikat-syarikat multinasional kerajaan atau swasta dan satu cara lagi adalah kos pembelajaran perlu ditanggung sendiri oleh keluarga pelajar.

Bagi mereka yang mendapat keputusan peperiksaan SPM dan STPM yang cemerlang, peluang untuk mendapatkan biasiswa adalah cerah. Tapi malangnya keputusan peperiksaan aku tak termasuk dalam golongan 'cemerlang' jadi tanpa mendapat tawaran biasiswa dari mana-mana pihak terpaksalah aku mengeluarkan perbelanjaan sendiri jika mahu melanjutkan pelajaran ke universiti. Dan inilah puncanya mengapa aku tak melanjutkan pelajaran ke universiti pada ketika itu. Oleh kerana perbelanjaan melanjutkan pelajaran ke universiti memerlukan belanja yang besar maka kebanyakan orang Melayu ketika itu hanyalah mengharapkan biasiswa dari kerajaan sahaja. Dan bagi yang tak dapat biasiswa maka terpaksalah bergolok gadai apa saja harta yang ada demi nak menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke universiti. Terkenang balik aku pada filem 'Dia Ibuku' lakonan Sarimah dan anaknya M. Jamil. Itulah hakikat kedudukan ekonomi Melayu dan Malaysia ketika itu. Barang-barang kemas dan tanah-tanah pusaka habis digadai dan dijual demi masa depan anak-anak.

Kadangkala aku berasa kesal mengapa aku dilahirkan daripada keluarga yang susah. Ibubapaku tidak mempunyai harta apa-apa pun. Jangan kata tanah pusaka, rumah yang kami tinggal pun adalah rumah yang dibeli dari kerajaan negeri dengan perjanjian sewa beli selama 25 tahun tanpa faedah. Dan pada waktu itu, aku masih mempunyai 2 orang adik yang masih bersekolah dan bapa aku pula telah pun bersara kerja awal sebelum umurnya mencecah 55 tahun akibat faktor kesihatan. Bapa aku telah didapati 'buta' sebelah mata dan juga mengidap penyakit Athma kronik ( penat ) setelah membuat pemeriksaan kesihatan dan dinasihatkan supaya berhenti kerja bagi mengelak sebarang kemalangan yang boleh terjadi di tempat kerja. Pada waktu itu bapa aku bekerja sebagai 'wintch man' iaitu operator kren di atas kapal di pelabuhan Pulau Pinang.

Akhirnya dengan bertemankan basikal, aku mengayuh kesana sini mencari apa-apa saja kerja kontrak yang menawarkan gaji hari. Bermacam macamlah pekerjaan yang aku buat daripada kerja menanggung gulungan kain dan lain-lain barang untuk dinaikkan dan disusun ke dalam lori sampailah kerja mencabut paku pada kayu pelet lama yang hendak dipecahkan. Jika bernasib baik dapatlah kerja yang boleh dibuat selama 3 - 4 hari dalam seminggu. Tapi jika nasib tidak baik maka selama seminggu itu tiada satu hari pun aku mendapat kerja. Tiada kerja maka tiadalah juga penghasilan duit.

Tapi pada satu hari seorang abang kepada kawan baik aku datang menemui aku dan menawarkan aku bekerja dengannya. Dia bukanlah taukey tapi tempat kerjanya sedang memerlukan pekerja tambahan. Pekerjaan itu adalah jawatan chainman dalam team Ukur Tanah dan inilah permulaannya sejarah hidup aku berubah dan aku terbabit dalam bidang Ukur Tanah sampailah sekarang. Aku amat bersyukur kerana aku tidak menolak tawaran tersebut pada waktu itu dan aku boleh menoleh ke belakang dengan rasa bangga dengan pencapaian aku sekarang semuanya bermula dari tarikh tersebut.

Di entri yang akan datang aku akan ceritakan pula apakah sebenarnya maksudku bila aku menulis entri dan mengapa pula aku katakan yang aku tak akan lupakan sampai bila-bila pun. Semua itu adalah dalam entri yang akan datang. Tapi bersabarlah kerana aku sendiri kini dah semakin sibuk dengan aktiviti lain yang membataskan masa untuk aku duduk mengadap komputer setiap hari. Ditambah pula dengan hobi baru setelah aku berpindah ke rumah yang baru aku siap bina iaitu 'bercucuk tanam' membuat hiasan landskap halaman luar rumah. Oleh kerana aku tinggal dalam persekitaran kampung maka aku ingin mengekalkan status kampung tersebut dengan membuat pagar keliling rumah menggunakan pokok-pokok hiasan dan bukannya dengan pagar dawai. Meletihkan tapi dari hari ke hari dengan semakin bertambah besar pokok-pokok hiasan yang aku tanam maka pemandangan dan hasilnya juga amat memuaskan hati aku.

Terima kasih kerana membaca....


KLIK FOTO UNTUK MAKLUMAT PERKHIDMATAN KAMI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...