Ahad, 9 November 2014

CARA-CARA MEMBUAT CARIAN RASMI & CARIAN PERSENDIRIAN DI PEJABAT TANAH DAERAH



Masih ramai yang tak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkan informasi terkini mengenai hartanah dan juga dimanakah ada disediakan perkhidmatan pencarian informasi bagi hartanah yang berupa lot tanah atau lot rumah. Ada juga tuan tanah dan tuan rumah yang telah kehilangan geran atau pun tak tahu dimanakah atau siapakah yang menyimpan geran tersebut apabila dia memerlukan geran tersebut untuk membuat permohonan rasmi kepada mana-mana jabatan kerajaan atau pihak lain.

Pejabat Tanah Daerah / PTD ( bukan 'Pejabat Tanah & Galian / PTG' ) daerah dimana terletaknya lot tanah yang mahu dicari informasi adalah pejabat atau jabatan kerajaan yang tepat untuk mendapatkan informasi mengenai tanah atau hartanah bagi daerah tersebut.

PTD bukan PTG

-------------------------------------------------
MEMBUAT CARIAN RASMI ATAU CARIAN PERSENDIRIAN DI KAUNTER PEJABAT TANAH DAERAH

Jikalau anda mahu membeli satu bidang tanah tapi tidak tahu apa-apa pun maklumat mengenai tanah itu maka pergilah ke pejabat tanah. Jikalau anda mahukan informasi terkini mengenai nama dan alamat pemilik yang sah serta keluasan bahagiannya dalam sesuatu bidang lot tanah maka pergilah ke pejabat tanah. Dan jika anda adalah merupakan tuan tanah yang mahukan informasi terkini mengenai status lot tanah anda maka pergilah ke pejabat tanah daerah anda.

Apa yang anda perlu sediakan sebelum ke pejabat tanah adalah maklumat seperti berikut iaitu nombor lot tanah, nama mukim, nombor seksyen lot tanah jika ada, daerah dimana lot tanah itu terletak dan juga jangan lupa bawa wang sebanyak RM 50 untuk bayaran proses pencarian ini.

Perkhidmatan yang disediakan oleh pejabat tanah ini adalah dinamakan perkhidmatan "Carian Rasmi" dan juga "Carian Persendirian". Beza antara "Carian Rasmi" dan "Carian Persendirian" adalah carian rasmi bertujuan untuk mendapatkan satu salinan yang sah dari Pejabat Tanah untuk tujuan dilampirkan bersama dengan apa-apa borang permohonan rasmi yang akan dibuat oleh pemohon manakala bagi carian persendirian pula adalah merupakan carian untuk mendapatkan maklumat untuk kegunaan sendiri sahaja.

Maklumat yang terkandung dalam sijil pencarian itu nanti adalah merupakan segala maklumat seperti yang terkandung di dalam geran asal seperti nama pemilik hakmilik tanah yang sah yang dituliskan juga keluasan bahagian bagi setiap penama hakmilik yang ada di dalamnya, nombor rujukan hakmilik, keluasan terkini tanah tersebut, jenis kegunaan tanah, jenis pegangan hakmilik samada kekal atau pajakan, tarikh luput pajakan tanah, jumlah cukai tanah tahunan serta terdapat juga informasi mengenai perubahan terkini yang telah direkodkan oleh pejabat tanah dalam fail geran tanah tersebut.

Adalah menjadi kebiasaan kepada tuan-tuan tanah hanya menyimpan saja geran asal tanah mereka tanpa mereka pernah terfikir pun untuk membuat semakan status terkini tanah mereka itu atau senang cakap mereka tak pernah nak ambil tahu pun dan hanya keluarkan geran bila tiba masa nak buat wasiat, tiba masa nak jual atau waktu nak buat pinjaman bank sahaja. Kerap terjadi hanya setelah tuan tanah itu meninggal dunia barulah warisnya iaitu isteri atau anak-anaknya tahu bahawa beliau ada mempunyai hakmilik tanah sewaktu beliau masih hidup.

Bagi geran lama yang telah dikeluarkan berpuluh-puluh tahun dahulu mungkin sudah ada informasi pelan tanah yang baru yang terkini yang dalam unit metrik iaitu meter dan meter persegi dan bukan lagi yang dalam unit link, rantai, relong, hektar, ekar, rood, pole atau lain-lain. Mungkin juga terdapat pindaan nombor lot yang baru untuk tanah itu dan tidak lagi memakai nombor lot yang lama seperti yang tertulis di dalam geran tanah dalam simpanan mereka. Mungkin juga terdapat pindaan bagi keluasan lot tanah tersebut akibat dari pengambilalihan oleh pihak kerajaan untuk rezab jalan, rezab parit, rezab talian elektrik atau lain-lain. Dan mungkin juga terdapat pindaan bagi jenis kegunaan tanah atau pun pindaan pada jenis hakmilik tanah. Atau mungkin juga ada pihak lain yang telah melakukan 'kaveat' ke atas lot tanah tersebut iaitu bermaksud memasukkan perintah larangan kepada tuan tanah daripada melakukan apa-apa aktiviti terhadap tanah itu tanpa mendapatkan persetujuan dari pihaknya terlebih dahulu.

Syarat bagi membuat permohonan untuk membangunkan sesuatu bidang tanah itu perlulah disertai dengan satu salinan sah sijil carian rasmi bagi lot tanah tersebut. Begitu juga jika membuat permohonan bagi memajakkan geran tanah itu untuk tujuan membuat pinjaman daripada pihak bank perlu juga disertai dengan satu salinan carian rasmi ini.

Dan bagi penama hakmilik yang mempunyai bahagian yang kecil di dalam satu lot tanah kebiasaannya tidak akan dapat menyimpan geran tanah tersebut tetapi tahukah anda melalui carian rasmi ini anda boleh pula membeli satu salinan sah bagi geran tanah tersebut untuk simpanan anda.

Jadi jikalau anda mahu mencari informasi terkini bagi mana-mana lot tanah atau ingin mendapatkan satu salinan geran tanah yang sah untuk tujuan rasmi atau pun ingin memastikan informasi yang diberikan oleh agen hartanah atau tuan tanah bagi lot tanah tersebut adalah betul maka pergilah ke pejabat tanah daerah lot tanah itu berada dan mohonlah borang untuk membuat "Carian Rasmi" atau "Carian Persendirian".

Elakkan daripada menjadi mangsa penipuan akibat daripada kesalahan informasi yang diberitahu kepada anda secara cakap mulut sahaja. Dengan carian rasmi anda akan lebih berinformasi dan juga adalah merupakan tindakan yang bijak dan tepat sebelum membuat sesuatu keputusan mengenai urusniaga tanah.

-------------------------------------------------------------

Hubungi kami bagi mendapatkan penjelasan berkenaan perkhidmatan ukur tanah yang kami sediakan di KL / SELANGOR / NEGERI SEMBILAN / MELAKA

Hubungi melalui:-

TELEFON @ WhatsApp

012-3949064

Untuk perkhidmatan ukur tanah yang kami sediakan

< klik bawah >



ATAU

Cara berurusan dengan kami

< klik bawah >


--------------------------------------------------

UPDATE ( tahun 2022 )

Ramai kalangan pembaca yang terus keliru kerana selepas membaca artikel ini mereka membuat anggapan bahawa website kami ini adalah website pihak Pejabat Tanah Daerah dengan terus menerus mengirimkan pertanyaan mengenai urusan yang disediakan oleh Pejabat Tanah Daerah.

Kami bukanlah apa yang anda fikirkan. Kami hanya menulis artikel ini untuk memberikan sedikit sebanyak maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Tanah Daerah.

Maklumat ini kami tulis ditujukan kepada pemilik hartanah ( tanah dan rumah ), agen hartanah, pewaris hartanah dan juga kepada mereka yang berminat untuk membeli plot tanah tapi tidak mengetahui siapa sebenarnya pemilik sebenar hartanah tersebut.

Bagi pemilik hartanah dan juga pewaris hartanah, jikalau anda telah kehilangan geran tanah atau rumah, jikalau anda hendak mendapatkan salinan geran hartanah, jikalau anda hendak tahu status terkini hartanah anda seperti keluasan terkini, sempadan tanah terkini, nilai tanah terkini atau cukai tahunan yang perlu dibayar serta lain-lain lagi perkara yang bersangkutan dengan tanah.

PERGILAH KE PEJABAT TANAH DAERAH ( PTD ) DIMANA TERLETAKNYA LOKASI LOT TANAH YANG MAHU DICARI INFORMASI

( Harap jangan pergi salah tempat. 'Pejabat Tanah Daerah / PTD' bukan 'Pejabat Tanah & Galian / PTG' ) Nama macam sama tapi perkhidmatan tak sama )

Pihak kami tidak dapat hendak menjawap segala pertanyaan anda mengenai urusan Pejabat Tanah Daerah kerana kami hanyalah Jurukur Tanah dan kami tidak bekerja untuk mana-mana Pejabat Tanah Daerah di Malaysia ini. Segala pertanyaan anda itu perlulah anda tanyakan kepada pihak Pejabat Tanah Daerah dengan secara menelefon mereka atau yang terbaik untuk anda lebih mudah faham, pergilah bertanya di kaunter pertanyaan di Pejabat Tanah Daerah.



------------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy

#jtklang