Google+ expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Rabu, 31 Disember 2014

KERJAYA : JURUKUR BERLESEN ATAU SYARIKAT PEMBINAAN ?


Sebagai entri terakhir bagi tahun 2014, sekadar memberikan pandangan berpandukan pengalaman sendiri, ini adalah jawapan aku kepada banyak soalan berkenaan kerjaya daripada banyak pelajar bidang ukur tanah yang bakal memulakan kerjaya mereka.

Sepanjang tahun 2014 ini kalau aku kira balik kesemua soalan berkaitan kerjaya mungkin ada lebih dari sedozen soalan yang berlainan ayat tapi bermaksud sama daripada pelajar-pelajar yang bakal menamatkan kuliah dan bakal memulakan kerjaya dalam bidang ukur tanah. Dan kesemua soalan itu adalah berkisar kepada dimanakah tempat yang lebih bagus untuk memulakan kerjaya mereka. Samada nak bermula di syarikat jurukur berlesen ( LS ) atau pun memulakan kerjaya di syarikat pembinaan ( CS ).

Aku bukan nak berpihak kepada mana-mana syarikat samada LS atau CS tetapi seperti yang aku tuliskan di atas, ini adalah merupakan sekadar pandangan aku berdasarkan pengalaman aku sendiri. Walau dimana pun permulaannya 'pro dan kontra' tetap ada dan dunia kerjaya adalah merupakan kehidupan yang berlainan jika dibanding dengan waktu diri masih bergelar pelajar.


Aku tak mahu nak menulis dan berbahas panjang untuk entri ini. Apa yang aku nak tuliskan hanyalah saranan aku berdasarkan pengalaman aku sendiri. Jadi untuk entri ini aku tak akan menghuraikan secara panjang lebar dan jika pembaca ada sebarang soalan bolehlah kemukakan di bahagian komen di bawah.

Sebagai jawapan aku kepada persoalan hendak memulakan kerjaya sebagai jurukur tanah, aku memilih Jurukur Berlesen berbanding Syarikat Pembinaan. 

Walaupun dari segi gaji atau pendapatan, apa yang ditawarkan oleh LS mungkin agak kurang jika dibanding dengan CS tetapi apa yang ditawarkan oleh LS adalah merupakan berpakej lengkap tidak seperti CS yang hanya menawarkan gaji yang tinggi sahaja. LS menawarkan kerjaya dengan peluang pembelajaran tambahan kerana bekerja adalah tidak sama dengan belajar. Belajar adalah seperti A,B,C...... berturutan mengikut apa yang tertulis di dalam buku tetapi bila bekerja pula kita terpaksa sekali lagi kembali kepada A dan terus belajar lagi sebelum dapat meneruskan kepada B dan seterusnya kepada C..... Segala apa yang di ajar sewaktu belajar dulu hanyalah dari segi teori sahaja tetapi apabila sudah bekerja ada sebahagian besar teori yang di ajar dulu sudah tidak relevan lagi dengan apa yang bakal dibuat secara praktikal di tempat kerja. Dan disinilah terdapat perbezaan besar apa yang aku sebut sebagai pakej tawaran pekerjaan yang ditawarkan oleh LS dan CS.    

Di LS jurukur tanah yang masih dalam kategori junior masih berpeluang untuk belajar secara teori atau pun secara praktikal daripada rakan sekerja yang sudah pun berstatus senior. Di dalam pejabat LS juga biasanya terdapat seorang 'jurukur pejabat' yang merupakan seorang jurukur tanah yang sangat berpengalaman dan serba tahu dengan segala kerja yang perlu dibuat secara betul yang boleh membantu jurukur tanah yang masih junior ini dalam membuat kerjanya. Terdapat juga seorang pengurus yang juga merupakan seorang jurukur tanah yang sangat senior dan yang mungkin juga dalam proses praktikal dalam permohonan lesen untuk dirinya. Segala permasalahan mengenai kerja dapat ditanya kepada mereka. Dan akhir sekali ada pula seorang Bos yang merupakan seorang jurukur tanah yang telah pun diberikan pengiktirafan sebagai sorang Jurukur Tanah Berlesen. Peluang belajar dan memahirkan diri dengan kerjaya adalah lebih cerah di LS kerana ada sekumpulan rakan sekerja seperti yang telah aku senaraikan di atas. 

Syarikat pembinaan pula walaupun menawarkan peluang pendapatan gaji yang tinggi tetapi kerapkali lebih mengutamakan "independently" atau bermaksud seorang jurukur tapak pembinaan itu perlu menyelesaikan sendiri segala masalah kerja yang timbul tanpa bantuan daripada sesiapa. Peluang untuk belajar secara praktikal dan memahirkan diri dengan keperluan kerja "hampir tiada lagi" di dalam syarikat pembinaan kecuali jikalau di dalam projek pembinaan yang besar dan ada ramai jurukur lain selain anda. Pihak atasan seperti Pengurus Projek, Jurutera Projek dan juga Penyelia Projek hanya akan memberikan arahan tugas tanpa garis panduan dan cara-cara kerja itu perlu dilakukan. Segalanya adalah perlu diuruskan, dikerjakan dan diselesaikan secara sendiri oleh jurukur tapak pembinaan walaupun dia masih berstatus junior. 

Bermula dari tugas mengatur jadual kerja ukur yang rutin, teknik cara-cara pengukuran dilakukan dan juga mendapatkan barang-barang yang diperlukan untuk kerja pengukuran segalanya perlu dilakukan sendiri. Dan perkara yang bakal membuat jurukur tapak pembinaan junior menjadi buntu fikiran, stress dan 'ketakutan' adalah jikalau terdapat masalah dalam menyelesaikan kerja pengukuran serta masalah yang bersangkutan dengan 'keadaan tapak'. Tiada orang yang dapat dijadikan sebagai tempat bertanya dan rujukan akan masalah yang timbul itu. 'Troubleshooting' kepada segala masalah di tempat kerja perlu diselesaikan sendiri oleh jurukur tapak pembinaan. Jikalau ada rakan sekerja, rakan sejawatan yang juga jurukur tapak yang sudah lama bekerja di situ yang lebih berpengalaman mungkin boleh membantu tetapi jika di projek itu anda adalah satu-satunya jurukur tapak yang ada, maka inilah masalah terbesar yang akan dihadapi jikalau bekerja di syarikat pembinaan.

Jadi jawapan aku kepada pelajar-pelajar yang sedang berfikir di mana hendak memulakan kerjaya mereka adalah pilihlah syarikat Jurukur Berlesen untuk memulakan kerjaya. Setelah mempunyai pengalaman dan kemahiran kerja yang cukup dan juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi barulah tidak bermasalah untuk mencuba berubah arah dengan bekerja di syarikat pembinaan pula untuk peluang mendapatkan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan gaji yang diberikan oleh LS. Tetapi walau apa pun keadaannya, anda pilihlah kerjaya dan buatlah pilihan yang anda rasakan anda 'mampu' serta punyai rasa 'minat' kerana tanpa 2 faktor penting itu anda akan kurang bermotivasi, kurang bersemangat, kurang memberi perhatian dan anda juga bakal menjadi kurang berjaya dengan pilihan anda itu.

Selamat menyambut tahun baru 2015 moga tahun baru akan memberikan kehidupan yang lebih memuaskan untuk kita semua berbanding tahun 2014. Dan jika ada sebarang soalan mengenai kerjaya dalam bidang ukur tanah, bolehlah dikemukakan di ruangan komen di bawah. Dan terima kasih sekali lagi kerana sudi menjengah ke blog aku ini.

2 ulasan:

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN

KLIK FOTO UNTUK MAKLUMAT PERKHIDMATAN KAMI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...