MENU UTAMA

Sabtu, 19 Disember 2009

KAMPUNG BALAI PUKAT ADALAH ASALKU


Aku dilahirkan di Hospital Daerah Butterworth, Pulau Pinang. Ketika itu ibubapaku menetap di sebuah kampung yang bernama Kampung Balai Pukat. Kampung Balai Pukat ini mendapat namanya kerana diceritakan pada masa dahulu kampung ini adalah tempat dimana para nelayan menjemur pukat setelah pulang dari laut. Keadaannya adalah sebuah kampung di dalam bandar. Kalau di Kuala Lumpur bolehlah disamakan dengan Kampung Baru cuma kampung aku ini lebih kecil keluasannya. 

Terletak berhampiran dengan jeti feri untuk pergi ke Pulau Pinang dimana pada tahun 1988 dahulu pernah digemparkan dengan kisah sedih tragedi jeti runtuh yang mengorbankan beratus nyawa manusia. Berhampiran juga dengan komplek stesyen bas dan teksi dimana kompleknya dikenali sebagai Komplek PPC bersempena dengan nama pemiliknya iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dalam bahasa Inggeris ( Penang Port Commissioner ) dan berhampiran juga dengan stesyen keretapi Butterworth. Boleh dikatakan untuk pergi kesemua tempat yang aku sebutkan tadi hanya perlu berjalan kaki sahaja kerana jaraknya tidaklah jauh dari Kampung Balai Pukat.


Pada waktu dahulu kampungku ini tak ada kemudahan bekalan air paip bersih disetiap rumahnya. Yang ada hanyalah satu paip air percuma di tepi jalan berhadapan dengan surau ( menaksah : sebutan orang utara dulu-dulu ) dan juga tanah perkuburan orang Islam. Pada setiap pagi terpaksalah kami berebut mengambil giliran memasang paip getah untuk disalurkan ke rumah masing-masing. Bagi yang tiada paip getah panjang maka terpaksalah mengambil air dengan menggunakan baldi atau timba ( sebutan orang utara ) secara berulang alik seperti keluarga aku. Mungkin kerana kegiatan inilah badan aku jadi agak keras sampai sekarang... hahaha



Sistem kumbahan moden pun masih tiada lagi waktu itu dengan tandas yang ada di dalam kampung hanyalah menggunakan sistem 'jamban angkut' atau lebih dikenali dengan panggilan 'jamban tong'. Setiap 2-3 hari sekali akan datanglah seorang apek mengangkut 'sisa kumbahan kami' itu dengan mengosongkannya ke dalam tong yang dibawa menggunakan kereta beroda tiga. Bayangkanlah kalau apek itu sakit dan tidak datang selama seminggu dengan kesemua jamban tong dalam kampung dah penuh...... XXX. Adalah dipercayai apek itu tidak mendapat sebarang bayaran upah untuk perkhidmatannya dan sisa kumbahan itu pula akan digunakan sebagai baja organik untuk kebun-kebun sayur yang ada disekitar Butterworth.



Banjir kilat pula adalah fenomena yang biasa bagi kami tanpa mengira apa musim pun dan secara puratanya berlaku sekitar 5-6 kali setiap tahun. Setiap kali turun hujan lebat tanpa henti selama 2-3 jam atau lebih dari sehari maka seluruh kampung kami akan menjadi 'bah' sebutan loghat orang utara untuk banjir dan boleh mencapai setinggi 1 meter. Bagi budak-budak yang seperti aku, fenomena inilah yang kami tunggu-tunggu. Mau tak tunggu, buka pintu saja tak payah turun pakai tangga lagi terus terjun macam mandi sungai. Tapi sebenarnya di Butterworth memang tak ada sungai yang boleh dijadikan tempat mandi. Seingat aku walaupun dah terbiasa dengan banjir tapi tak pernah walau sekalipun kami sampai terpaksa berpindah ke tempat perlindungan mangsa banjir seperti yang terjadi sekarang di sesetengah negeri terutamanya di negeri pantai timur dalam musim tengkujuh. 



Rekabentuk rumah kampung waktu dahulu iaitu rumah kayu berlantai tinggi dengan mempunyai tiang di bawahnya menyebabkan air banjir tidak sampai mencecah paras lantai rumah. Berbanding dengan keadaan sekarang apabila ahli keluarga menjadi bertambah ramai maka ada keperluan untuk membesarkan rumah. Pilihan pertama yang berkos rendah adalah dengan menambahkan dinding dan lantai di bahagian bawah rumah asal tadi samada menggunakan kayu atau simen. Maka apabila berlaku saja keadaan banjir, rumah itu sudah tidak dapat didiami lagi kerana bahagian tingkat bawah yang ditambah itu akan tenggelam. Jadi apabila saja banjir itu tidak surut dan bertambah tinggi airnya dari hari ke hari maka penghuni rumah tersebut perlulah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, selamat dan biasanya adalah ke pertempatan perlindungan mangsa banjir yang telah disediakan oleh pihak kerajaan yang punyai banyak kemudahan. Dapat kita simpulkan bahawa faktor kemajuan dan pertambahan ahli keluarga adalah penyebab utama kepada perubahan rekabentuk rumah tradisi kampung dan penyebab kepada risiko sesebuah rumah itu ditenggelami banjir. 



Kebanyakan banjir kilat terjadi apabila air laut berkeadaan pasang besar dan aliran air dari parit dan longkang tak dapat mengalir masuk ke laut kerana paras air laut yang sedang tinggi waktu itu. Hanya setelah air laut kembali surut barulah keadaan banjir ini akan kembali seperti biasa. Yang lucunya dengan banjir ini adalah, jamban-jamban tong kami akan terapung dan ada juga yang hilang akibat hanyut mengikut arus air banjir tadi.  



Walaupun kampung aku terletak berhampiran pantai tetapi pantainya memang sejak aku dilahirkan lagi dah pun tak ada. Yang tinggal hanyalah pada alamat posnya sahaja iaitu 'Jalan Pantai' tapi orang sini lebih suka menyebut dengan sebutan ala-ala orang putih iaitu Pantai Road dan kalau untuk pasar pulak kami akan panggil 'market'. Yang uniknya nama Bandar Butterworth yang ejaannya mengikut sebutan orang putih, orang sini lebih suka menggunakan nama Bagan saja begitu juga dengan Bandaraya Georgetown kami lebih suka menyebut dengan nama Tanjung. Ok berbalik kepada cerita pantai tadi. Hampir kesemua pantai berdekatan Kampung Balai Pukat telah dijadikan terminal minyak oleh syarikat minyak Shell & Esso. Kalau adapun pantai hanyalah sedikit sahaja iaitu berdekatan dengan Komplek PPC yang dinamakan pantai Meriam Timbul. Meriam Timbul ini pula mendapat namanya kerana di situ terdapat satu tokong Cina yang di dalamnya ada sebiji meriam lama yang dikhabarkan pada suatu masa dahulu timbul di permukaan laut dengan sendirinya. Pantai ini merupakan pengkalan nelayan pantai dan juga terdapat astaka iaitu deretan kedai-kedai makan yang dibina oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai ( MPSP ) iaitu pihak berkuasa tempatan bagi bandar Butterworth dan keseluruhan daerah Seberang Perai. 



Jauh sedikit ke arah utara dari Balai Pukat ini barulah ada satu pantai yang agak sesuai untuk kegiatan rekreasi dan mandi manda iaitu pantai yang berdekatan dengan hospital daerah Butterworth iaitu tempat aku dilahirkan dulu. Selain dari menjadi tempat beriadah sebenarnya pantai ini lebih terkenal pada kegiatan malamnya iaitu menjadi tempat golongan 'pondan' berkumpul untuk mencari pelanggan. Di pantai ini juga dahulunya terdapat sebuah perpustakaan daerah Butterworth dimana terdapat kantin yang sangat terkenal dengan menu masakan maggi segeranya. Terdapat juga sebuah trek untuk bermain kasut roda, taman permainan kanak-kanak dan juga deretan kedai makan. Dahulu menu makanan yang paling popular disini adalah 'rojak buah' tetapi orang Bagan lebih suka menyebut sebagai 'rojak cicah' atau 'rojak tonggek' kerana ketika makan sambil berdiri kita perlu membongkok sedikit badan ke depan bagi mengelakkan dari terkena kuah rojak itu akibat tiupan angin laut. Menu kedua terkenal bagi aku adalah 'popia basah' yang dijual dibawah pokok ditepi jalan deretan kedai makan disitu. Disebelah utara hospital pula adalah bangunan lama Mahkamah Majistret Butterworth dimana sekarang telah pun berpindah ke bangunan dan lokasi baru yang lebih moden di Bagan Jermal.



Bersebelahan dengan kampungku adalah sebuah kilang yang cukup terkenal seluruh dunia pada waktu dahulu kerana kegiatan melebur bijih timah iaitu The Straits Trading Company Limited atau lebih dikenali dengan singkatan STC tetapi pada waktu sekarang telah ditukar namanya menjadi Malaysia Smelting Corporation ( MSC). Bukan sahaja kilang tetapi terdapat juga satu kawasan perumahan bagi pekerjanya yang berjiran dengan kampung aku dan berakhir sampilah ke persimpangan Jalan Allen. Terdapat juga pejabat Lembaga Letrik Negara ( LLN ) tempat untuk membayar bil elektrik yang sekarang telah pun ditukarkan namanya menjadi Tenaga Nasional Berhad setelah diswastakan oleh kerajaan. Terdapat juga sebuah hotel lama iaitu Pak Tai Hotel, bangunan Standard Chartered bank, sebuah restoran Cina bersebelahan dengan hotel tersebut dan sebuah padang rekreasi yang ada satu menara jam yang dikenali dengan nama Padang 3 Segi. Padang yang cukup bersejarah bagiku kerana disinilah tempat aku bermain bola setiap petang. Tetapi sayangnya padang yang amat bersejarah ini, pada waktu kini, seinci pun telah tiada lagi di Balai Pukat.






Kalau mengikut arah jalan dari jeti PPC menuju ke pusat bandar Butterworth yang pertama kelihatan disebelah kirinya adalah bangunan Pak Tai Hotel, restoran Cina, sebuah bank iaitu Chartered Bank ( waktu ni belum dinamakan Standard Chartered Bank lagi ), tanah kosong tapak cadangan bangunan Bank Rakyat dan seterusnya adalah sebuah kuil Hindu dan satu deretan kedai sebelum sampai ke pagar kawasan perumahan pekerja kilang STC. Di seberang Jalan Bagan Luar itu pula terdapat lebih banyak lagi deretan kedai dan salah satunya iaitu di penghujung deretan kedai itu adalah Malayan Banking iaitu rangkaian bank yang terbesar di Malaysia yang sekarang lebih dikenali sebagai Maybank. Di deretan kedai tersebut terdapat satu restoran mamak yang agak terkenal juga waktu dulu iaitu Restoran Abdul Rahman dan di belakang deretan kedai ini pula terletaknya sebuah kampung lain iaitu Kampung Jawa.


Di hadapan bangunan Chartered Bank adalah merupakan persimpangan 4 berlampu isyarat. Terdapat jalan sehala yang mengelilingi Padang 3 Segi yang menuju ke arah Jeti PPC dan jalan yang menuju Bagan Dalam, manakala jalan dari arah Jeti PPC pula adalah jalan yang menghala ke Sungai Nyior seterusnya ke jambatan Perai dan juga jalan yang menghala ke pusat bandar Butterworth iaitu Jalan Bagan Luar. Bangunan Malayan Banking terletak di sebelah kiri jalan yang menghala ke arah Sungai Nyior dan Perai manakala disebelah kanannya terdapat sebuah sekolah menengah untuk perempuan iaitu Sekolah Convent Butterworth. Jadi boleh dikatakan Kampung Balai Pukat ini adalah sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh jalan disekelilingnya.



Walaupun agak kecil tetapi untuk memasuki kampung Balai Pukat terdapat 4 jalan kesemuanya. Jalan utama adalah jalan yang ada di celah bangunan Pak Tai hotel dengan restoran Cina yang bersebelahan dengan Chartered Bank. Jalan kedua pula adalah jalan masuk di depan surau di sebelah Jalan Pantai. Jalan ketiga adalah jalan di hadapan bangunan LLN juga di Jalan Pantai dan jalan ke empat pula adalah jalan kecil yang hanya sesuai untuk pejalan kaki dan basikal sahaja iaitu terletak di sebelah Chartered Bank dengan tanah kosong tapak kepada Bank Rakyat yang tidak jadi dibina sampailah waktu aku berpindah keluar dari Balai Pukat. Sebenarnya terdapat lagi satu jalan iaitu dari tepi kuil Hindu tapi jalan itu adalah agak bersemak dan berpaya juga bertiti kayu dan tak selalu dilalui oleh penduduk Balai Pukat kecuali bagi penduduk kampung yang rumahnya terletak di belakang kuil Hindu tersebut. Manakala di tengah-tengah dalam Kampung Balai Pukat pula terdapat simpang 4 yang menemukan kesemua jalan masuk yang aku sebutkan tadi berdekatan dengan rumah aku. Rumah aku pula adalah rumah kedua jika menggunakan jalan dari depan surau di Jalan Pantai dan rumah kedua juga dari simpang 4 dalam kampung jika keluar mengikut jalan yang menuju arah surau.



Pada masa kini hampir kesemua tempat-tempat yang aku sebutkan tadi sudah tiada lagi di tempat asalnya. Sepanjang Pantai Road telah dijadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ) sehingga menyebabkan daerah Butterworth ini sudah tidak ada lagi pantai untuk rekreasi, bermandi manda dan mencari siput serta belangkas. Komplek PPC telah terbakar pada tahun 2001 yang berpunca dari kejadian lintar pintas elektrik pada sebuah pasaraya yang ada di dalamnya dan akhirnya telah dirobohkan. Padang 3 Segi pula telah dikorbankan menjadi sebuah persimpangan lampu isyarat yang amat besar. Turut berubah adalah hospital tempat aku dilahirkan yang kini telah diturun taraf kepada pusat kesihatan saja. Pantai yang terkenal kerana kegiatan malamnya juga tak terkecuali telah lenyap dijadikan lebuhraya BORR dan Meriam Timbul juga dikorbankan menjadi landasan keretapi yang menghubungkan stesyen keretapi Butterworth dengan pelabuhan baru NBCT iaitu pelabuhan khas untuk kapal kontena yang ditambak jauh sehingga hampir satu kilometer ketengah laut. 

Yang masih wujud sampai sekarang hanyalah bangunan Pak Tai hotel, Standard Chartered bank, Maybank, Sekolah Rendah Convent, kuil Hindu, Surau Kampung Balai Pukat dan tanah perkuburannya, kilang bijih MSC, bangunan LLN yang telah bertukar menjadi Pusat Giat Mara dan juga bangunan lama Hospital Daerah Butterworth yang sekarang dikenali sebagai Klinik Kesihatan Butterworth. Manakala yang lainnya samada telah lenyap dijadikan lebuhraya atau pun telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan yang lain pula.




Pada masa kini walaupun pembangunan telah merubah rupanya, saki baki Kampung Balai Pukat ini masih lagi berpenghuni dengan jumlah rumahnya hanyalah boleh dikira dengan jari saja. Pada tahun 1980 kami sekeluarga pun telah berpindah pula ke tempat lain iaitu ke Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal yang masih lagi terletak dalam daerah Butterworth, Pulau Pinang setelah arwah bapa aku mendapat tawaran rumah kos rendah kerajaan negeri Pulau Pinang disitu.


Nota kaki :-


Pertamanya, aku sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah bapa aku, ABU BIN AHMAD yang telah pun meninggal dunia pada 1hb Julai 2014 yang lepas dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bagan Jermal, Butterworth. 


"TANPA BAPAK MAKA TIADALAH KAMI DIDUNIA INI. TERIMA KASIH ATAS SEGALA TUNJUK AJAR SEGALA KASIH SAYANG DAN SEGALA PENGORBANAN YANG TELAH BAPAK BERIKAN KEPADA KAMI ANAK-ANAK BAPAK. MOGA BAPAK DITEMPATKAN DI KALANGAN MEREKA YANG BERIMAN DAN DITERIMA DISISINYA ALLAH SWT... HENDAKNYA.... AMIN"



Keduanya, Balai Pukat adalah sangat-sangat nostalgia bagi aku oleh kerana itu aku akan menambah info dalam entri ini dari masa ke semasa jika ada informasi terbaru yang aku rasakan penting atau bersangkutan dengan Kampung Balai Pukat. Dan kepada pembaca yang ada maklumat mengenai kampung ini diharap dapatlah menghubungi aku melalui alamat email ini :- 





13 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

semuanya menjadi nstalgia belaka....

Nick JTK berkata...

Nostalgia yg harus dikorbankan demi pembangunan. Inilah hakikat sebenar sebuah kemajuan...

Zakir berkata...

Assalamualaikkum Bro,baca blog kamu ni buat saya gembira pun ada sedih pun ada.Gembira sebab terkenang balik perjalanan hidup aku sendiri di Butterworth dan juga di Assumption.Sedih kerana rasa dah lama tertinggal tempat jatuh bangun masa
awal usia.

Nick JTK berkata...

Zakir..
Rasanya kalau kau ni senior aku dari batch 76, nama 'Zakir' ni mmg agak top juga la dulu2. Aku sendiri dah hampir 21 tahun merantau tp yg buat aku bernasib baik, aku masih punya mak bapak di Bagan sampai ke hari ni. Jadi setiap kali musim cuti sekolah atau Raya, aku akan balik ke sana..

Mmg sedih pun, aku sendiri tak dapat nak tunjuk dkt anak2 aku dimana aku dilahirkan dulu dan dimana sekolah yg selama 11 tahun aku belajar dulu. Semuanya dah tak ada lagi skrg ni..

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih bro atas catatan, aku Khairulannuar bekas goalkeeper SRK Assumption tahun 1981. Dulu aku duduk di Kelab kat STC. Aku membesar kat STC, Allan Road dan Pantai Road tempat aku dok kayuh basikal dan joging. Dulu aku ada member Balai Pukat nama Sharidan. La ni tak tau di mana. Aku boleh dikatakan dalam 2 bulan sekali aku akan pergi ke Madrasah Balai Pukat sbb ziarah kubur tok aku. Memang betul Balai Pukat dah tak macam dulu.

isabelle frankly berkata...

Saya dan kakak n abg saya pun dulu dok kat Balai Pukat. Bila baca entry ni rasa nostalgia sgt. Ada bbrp perkara yg saya x tau..tp yg familiar tu mmg rasa sayu ja bila teringat.
Anyway, thanks for posting this.

Tanpa Nama berkata...

Keluarga sy jgk prnh menetap di Balai Pukat (1965-1980). Fyi, pengasas tudung eksklusif Freeda juga berasal dari B. Pukat. Datuknya arwah Kpt Zakaria aka Brother Zek ada rakan karib arwah ayh sy, Kpt Md. Din aka Che Mat Din.

Anuar Mad Zain berkata...

Assalamualaikum, tahniah kerana dapat mengembalikan nostalgia kita kepada kampung halaman di mana kita dibesarkan. Saya hanya ingin menambah sedikit maklumat yang saya ada untuk tatapan bersama. Meriam Timbul yang berada itu sebenarnya dipindahkan dari tempat asalnya dari Kg. Bagan Luar (telah tiada lagi kerana memberi laluan kpd pembinaan Station Keretapi dan Pengkalan Sultan Abd. Halim). Padang Tiga Sagi dulu ada kereta tolak menjual ice kacang, mee mamak, laksa, bihun sup dll. Di tengah padang ada bangunan jam Merdeka. Bangunan hotel Pak Tai tu dulu tu bekas Charted Bank, Balai Bomba, Barkath's Store/Cold Storage. Kedai kopi China sebelah bank tu Sing Chew Cafe. Satu lagi kenangan yang tak patut lupa ialah Nasi Kandar Mamak Sutan dan Satay Pak Tot dekat Jetty Baru. Ok dulu setakat ini.

Nick JTK berkata...

Waalaikumsalam...

Terima kasih Tuan atas informasi yang tuan kirimkan. Nanti saya akan updatekan info tersebut masuk ke dalam artikel di atas.

Mengenai Pak Tai hotel tu, dari waktu budak lagi saya tahu pasal Barkath Store iaitu pengedar rasmi bagi cokelat Hack's tapi saya tak tahu pulak pasal balai bomba pun pernah ada kat situ.

Keluarga kami menetap di Balai Pukat dari tahun 1969 sampailah tahun 1980. Yang saya perasan dan ingat, Chartered Bank ada bangunan sendiri sebelah dengan kedai kopi Cina. Dan balai bomba pulak dah memang ada kat tempat sekarang iaitu sebelah dengan depoh bas hijau UTC dan bersebelahan juga dengan berek polis sama yang macam sekarang ni.

Satu lagi port yang dah lenyap kat kawasan tu adalah deretan kedai makan dan minum yang telah terbakar awal sebelum jetty terbakar lagi. Arwah bapa saya dengan kawan2 dia kerap la dok lepak kat situ yang lebih tepat lagi Kedai Ghani. Kat situ juga ada stesen teksi untuk pergi Siam dan juga tempat simpan basikal. Tapi sayang, semua tu habis terbakar dan tak dibangunkan lagi..

Terima kasih sekali lagi

Anuar Mad Zain berkata...

Terima kasih kerana respond. Saya ni dah warga emas (7series dah). Tapi saya sangat menyangi sejarah lampau yang indah. Apatah lagi bila ada anak-anak muda yang mahu mengenang asal usulnya. Saya anak jati Bg. Dalam, bersekolah di Sek. Melayu Kuala Prai (sekolah sempom), St. Mark's School dan Sek. Alam Shah 1963 dan UKM 1971-74. Balai Pukat juga banyak kenangan bagi saya. Arwah ibu saya disemadikan di tanah perkuburan Balai Pukat (tapi sudah tiada jejak lagi). Kawan-kawan pun banyak di situ, antaranya anak-anak Arwah Pak Hj Razak, anak Pak Ku Mat (ku mi, ku ya, ku lah, ku din, ku mahani dll.) Cpt Zakaria pun saya kenal kerana keluarganya di Bg. Dalam. Arwah datuk dan nenek Wanchik Daud (juruhebah RTM) iaitu Mak Jah dan Pak Chat juga penghuni Balai Pukat. Jangan lupa Kg Jawa dengan panggung wayang tanpa bumbung satu masa dulu. Market Moden juga tinggal kenangan. Saya cuba mengesan arwah ayahnda anda tapi tak dapat mengembalikan kenangan. Insya Allah kita berhubung lagi. Teruslah menulis segala kenangan agar ia mengembalikan kesgaran dan ketenangan di hati. Wassalam.

Nick JTK berkata...

Arwah bapak saya orang biasa panggil dia Pak Abu, mak saya pula Mak Long Jan atau An. Rumah kami sebelah dengan rumah Pak Hassan Mak Melah polis bantuan. Belakang rumah kami pula, rumah Pak Ku Lah dengan bini dia Mak Teh. Mak Jah dengan Pak Chat tu saya ingat lagi walau pun saya masih budak dulu. Anak laki depa nama Nan dengan fesyen rambut afro macam Boney M, anak pompuan saya lupa nama dan yang kecik Taton terencat sikit.

RoXy berkata...

Assalamualaikum, terima kasih di atas tulisan tuan. Saya sebenarnya sedang mencari sahabat ibu & ayah saya yang berasal dari Kg Balai Pukat. Nama mereka ialah Azizan & Wan Teh. Ibu saya kata bapa kepada Azizan pernah berkhidmat sebagai pemandu feri. Mereka ialah jiran keluarga saya semasa berkhidmat sebagai askar di Kem Kluang. Ibu saya berharap sangat untuk menjejaki mereka semula. Harap tuan atau sesiapa yang membaca dapat memberi maklumat mengenai mereka.

Sekian, assalamualaikum
Halifah Rahman

Catatan ibu buat kalian berkata...

Salam.terima kasih... Sgt mengimbau sbb sy pernah bersek men covent,perpustakaan tu temp wajib tiap sabtu...

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN