MENU UTAMA

Ahad, 6 Januari 2013

2012 : PROJEK JETI 3 PULAU NEGERI JOHOR YANG AMAT MENYIBUKKAN




ALHAMDULILLAH....

Tahun 2012 telah berlalu dan sekarang kita sudah pun berada di tahun 2013. Terasa peredaran waktu dan masa semakin hari semakin cepat dan tanpa aku sedari ( walaupun setiap hari aku lihat kalendar dan jam ) sudah 8 bulan aku tidak menulis sebarang entri baru di sini. Dan dalam tempoh 8 bulan ini juga aku hanya sekadar singgah menjawap pertanyaan dan komen dari kalangan pembaca saja.

8 bulan yang aku tinggalkan itu bukanlah kerana aku sudah tidak ada cerita atau ilmu yang mahu aku kongsikan tetapi adalah 8 bulan yang amat sibuk bagi ku. Selama 8 bulan itu aku terbabit dalam kerja-kerja kejuruteraan marin yang membabitkan kerja membuat jeti pelancongan bagi pihak Kementerian Pelancongan dan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya ( JKR ) di 3 buah pulau sekitar perairan daerah Mersing, Johor Darul Takzim.

3 pulau yang aku maksudkan itu adalah Pulau Aur, Pulau Besar dan juga Pulau Sibu yang mana kesemuanya terletak dalam daerah Mersing dan juga merupakan Taman Laut Negeri Johor yang telah diwartakan. Mungkin tak ramai yang tahu apa itu 'Taman Laut' sebenarnya. Jika di darat kita tahu ada taman perumahan kerana terdapat banyak rumah di dalamnya, taman bunga kerana terdapat banyak pokok bunga dan sebagai tempat untuk beriadah, berehat dan berlepak, tempat untuk 'ringan ringan' serta tempat untuk bermadu kasih asmara serta rindu dendam juga tempat dimana 'Pak Haji' jabatan agama Islam sibuk dengan tugas menangkap pasangan beragama Islam yang tak segan silu melakukan maksiat khalwat.


Taman negara pula berlainan dari taman bunga kerana taman ini bukanlah direkabentuk dan diciptakan oleh sesiapa tetapi merupakan kawasan hutan terpencil yang telah diwartakan dan dipelihara kewujudannya supaya terus terpelihara dan dapat memberi kebaikan kepada sistem ekologi samada untuk manusia itu sendiri, kepada haiwan2 yang semakin kepupusan yang bermastautin di dalamnya serta flora dan fauna yang juga wujud di dalamnya secara semulajadi. Taman negara sendiri bertindak sebagai kawasan tadahan hujan yang penting bagi kita dan juga sebagai tempat rujukan kepada golongan pencinta alam dan juga tempat sumber mendapatkan bahan bagi mencipta ubat ubatan secara tradisional mahu pun secara klinikal. Dan sejak kebelakangan ini taman negara juga telah bertambah kegunaannya menjadi sumber ekonomi kepada negara dan juga sumber pendapatan kepada rakyat menerusi kegiatan sektor pelancongan.

Berbalik kepada 'Taman Laut' pula. Taman laut adalah berfungsi sebagaimana fungsinya taman negara tadi. Dan pemandangannya pula adalah amat menakjubkan melebihi segala kecantikan yang ada di taman bunga yang ada di daratan. Di dalamnya terdapat beratus ratus jenis batu karang ( corals ), rumpai laut dan juga menjadi syurga bagi kehidupan marin seperti ikan, sotong, ketam, penyu dan juga dugong. Dengan melihat saja foto di atas anda pasti terpesona apatah lagi jika anda pergi sendiri ke alam yang ada di bawah laut ini yang teramatlah indah dan sejuk mata memandang. Segala keletihan dan stres pekerjaan atau pun stres pembelajaran bakal segera hilang bila saja kita menghayati pemandangan yang ada di sana.

Tetapi mohon maaf jika terdapat kekeliruan di sini. Entri ini bukanlah bertujuan hendak berceritakan tentang alam bawah laut tetapi adalah untuk berceritakan tentang isi entri blog ini yang seterusnya iaitu berkenaan kerja kerja ukur kejuruteraan marin. Dalam entri yang seterusnya nanti aku akan berkongsi pula tentang cara2 hendak membuat setting out untuk menanam cerucuk / piling yang merupakan bahagian terpenting dalam projek membuat jeti. Aku akan ceritakan juga secara ringkasnya segala persediaan, segala keperluan dan segala kerja pengukuran yang perlu dilakukan oleh jurukur dari mula sehinggalah siap projek jeti itu.

Sekarang aku tidak lagi sesibuk sepanjang 8 bulan yang lepas dimana aku tidak lagi terpaksa tinggal di pulau yang tidak punya banyak kemudahan. Di ketiga tiga pulau itu tidaklah mempunyai kereta untuk bergerak, tidak mempunyai lori untuk mengangkut, tidak mempunyai internet laju melainkan GPRS sahaja dan tidak mempunyai kemudahan air paip yang bersih kecuali air bukit dan air perigi. Kemudahan elektrik ada tetapi seringkali terputus bekalan akibat kerosakan sistem penjanaan solar ataupun bateri dan kadang kala akibat kehabisan minyak. Kemudahan telefon juga sangatlah minimun kerana yang ada hanyalah sistem 012 (tak boleh tulis nama tanpa kebenaran dan aku tak dibayar untuk iklan mereka) yang mana bergantung juga pada bekalan elektrik tadi. Jika terputus elektrik maka terputuslah juga perhubungan telefon. Dan pada waktu kemarau jika lama tidak turun hujan pula maka bekalan air juga akan terputus. 

Di antara ketiga tiga pulau tersebut, Pulau Aur adalah yang paling jauh jaraknya dari tanah besar atau lebih tepat lagi dari jeti Mersing. Jaraknya jika diukur dari segi masa perjalanan adalah sekitar 4-5 jam dengan menggunakan 'slow boat' atau pun 2 jam jika menggunakan 'speed boat'. Jaraknya adalah ganda 2 jarak antara jeti Mersing dan Pulau Tioman yang sudah terkenal di seluruh dunia itu. Manakala bagi Pulau Besar, jaraknya adalah setengah jam menggunakan 'speed boat' dari jeti Mersing. Bagi Pulau Sibu pula, untuk ke sana terpaksa pula berkereta ke jeti Tanjung Leman (1 jam dari Mersing atau 1 setengah jam dari Johor Baru) kerana tiada kemudahan bot dari jeti Mersing. Jaraknya adalah yang paling dekat sekali sekitar 20 minit saja dari jeti Tanjung Leman menggunakan 'speed boat'.


Di Pulau Aur talian telefon hanya bergantung kepada talian 012 sahaja manakala Pulau Besar dan Pulau Sibu boleh menggunakan semua talian yang ada seperti di tanah besar tetapi taliannya tidaklah bagus dan sering putus suara seperti berada di dalam hutan atau pun dalam gua kerana pencawang yang digunakan adalah pencawang yang terletak jauh di sebelah tanah besar. Penduduk Pulau Aur hanya boleh berjalan kaki dan menaiki bot untuk bergerak ke sana sini kerana bentuk mukabuminya yang berbukit bukit dan berbatu. Bagi penduduk Pulau Besar pula basikal merupakan kenderaan yang terpantas yang dapat digunakan. Kenderaan bermotor tidak dibenarkan penggunaannya oleh ketua kampung bagi mengekalkan suasana aman damai dan sebagai langkah keselamatan bagi penduduk dan pelancong. Manakala bagi Pulau Sibu pula, penduduk dibenarkan menggunakan motorsikal. Untuk ketiga tiga pulau tersebut segala bekalan makanan dan keperluan harian terpaksalah dibeli dari Mersing ataupun Kota Tinggi. Jadi ini merupakan faktor harga barangan di pulau ini adalah lebih mahal daripada harga di tanah besar.


Sebenarnya terdapat banyak lagi pulau sekitar daerah Mersing yang termasuk di dalam kawasan Taman Laut Negeri Johor ini. Tetapi kami dianugerahkan kontrak untuk membina jeti pelancongan hanyalah bagi 3 pulau ini sahaja. Jeti yang sedia ada adalah terlalu uzur dan daripada kayu yang menunggu masa sahaja untuk roboh. Jeti yang baru dibina pula dibuat daripada konkrit dan berbumbung dari hujung ke hujung. Panjang jeti tersebut berbeza dengan jeti Pulau Sibu yang terpanjang dan jeti Pulau Aur yang terpendek. Pada masa entri ini ditulis kerja pembinaan sedang dihentikan sementara akibat musim monson ( musim tengkujuh di tanah besar, angin kuat dan laut bergelora ) dan akan disambung kembali pada bulan Februari nanti.

Maka dari itu jikalau anda berminat dalam kerja kerja pengukuran kejuruteraan marin maka bersabarlah menunggu entri yang seterusnya. Aku masih dalam peringkat pengumpulan maklumat serta bahan dan masa lapang yang ada juga masih tidak mengizinkan. Masih lagi perlu aku menyiapkan segala kerja 'paperwork' bagi projek tersebut dengan harapan bonus yang besar sebagai pulangan hasil dan juga sebagai motivasi untuk terus rajin bekerja pada tahun baru ini... kehkehkeh

Salam sabar menanti dariku dan terima kasih.


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tipu, buat kerja tak senonoh

Tanpa Nama berkata...

Tiang piling senget berterabur macam ular, ukur pebendenye

Nick JTK berkata...

Saya boleh padamkan komen ini tapi saya sengaja tak buat kerana ingin memberi peluang kepada org ramai untuk mengetahui hal yg sebenar.

Projek 3 jeti ini adalah dibawah seliaan jurutera JKR Daerah Mersing yg mewakili ibu pejabat JKR Kuala Lumpur dan sepanjang projek ini dijalankan wakil JKR dan juga pihak konsultan turut memantau kerja2 yg dijalankan di tapak pembinaan sehinggalah jeti2 tersebut siap dibina.

Andaikata ada penipuan dan terdapat kerja2 yg tak mengikut peraturan saya pasti syarikat kami telah lama didakwa di mahkamah atau ditarik semula penganugerahan tendernya. Skrg ini jeti tersebut telah siap dan bakal dirasmikan pada 31 Ogos 2013 nanti.

Andaikata 'tanpa nama' ada sebarang bukti tentang penipuan seperti yg didakwa, silalah kemukakan laporan serta bukti tersebut kepada pihak berwajib

Nick JTK berkata...

Jurukur hanyalah memberi panduan kepada setting out kedudukan setiap tiang2 yg terdapat di jeti tersebut. Tetapi kerja2 menanam tiang itu bukanlah dilakukan oleh pihak jurukur sendiri.

Secara logiknya, kalau didarat pun tiang2 piling boleh jadi senget atas banyak faktor apalagi tiang2 piling yg ditanam di dalam laut yg ditanam dari atas tongkang yg terapung di atas laut.

Antara faktor yg mempengaruhi keadaan tiang adalah seperti keadaan ombak dan arus pada waktu kerja tersebut dijalankan dan juga struktur tanah dan batu yg terdapat dibawah dasar laut.

Sebagai contoh, di tapak jeti bagi Pulau Aur terdapat 3 lapisan yg merupakan lapisan batu karang mati, batu kerikil yg kecil dan seterusnya lapisan batu teras berbentuk hampir bulat yg besarnya sebesar kereta di dasar laut pulau tersebut.

Setiap batang piling akan dipasang dgn 'rock shoe' iaitu besi tajam di bahagian bawah bagi tujuan memecah lapisan keras. Tetapi apabila rock shoe ini sampai ke lapisan batu teras yg bulat2 dan besar2 itu, rock shoe tidak dapat memecahkan batu2 tersebut dan tiang piling akan tergelincir turun mengikut bentuk batu itu. Setelah kerja menanam tiang itu mencapai tahap 'set' dan diangkat penukul dan penutupnya, tiang itu akan seperti spring memantul dan tiuang itu akan menjadi sedikit senget. Tetapi setiap tiang ada 'tolerance' nya iaitu jarak yg dibenarkan lari drpd kedudukan asal. Andaikata tiang itu kelihatan senget tapi masih dalam tolerance dan tak terkeluar daripada pilecapnya maka tiang itu tidak memberikan masalah. Jajaran jeti itu masih lagi lurus dan tegak.

Yang memberikan masalah disini adalah tuduhan tak berasas seperti diatas dan juga sikap menganggap diri lebih pandai drpd mereka2 yg lebih pakar. Sila buktikan tuduhan2 diatas terlebih dahulu dan beranilah perkenalkan diri anda yg sebenar sebelum membuat tuduhan2 palsu secara terbuka disini

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN