MENU UTAMA

Sabtu, 25 Oktober 2014

MEMBUAT PENANDAAN ARAH KIBLAT



Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai pembaca Blog BaganBeachBoy sekelian. Bersempena dengan tibanya tahun baru 1436 Hijrah pada hari ini, aku akan ceritakan pula pengalaman aku dalam menandakan arah kiblat bagi pembinaan surau, madrasah atau masjid iaitu tempat bagi orang yang beragama Islam melakukan ibadah sembahyang secara berjemaah. Bagi yang tak faham apa itu berjemaah, ia bermaksud beramai-ramai.

Yang dimaksudkan dengan arah kiblat pula adalah arah umat Islam mengadap sewaktu berdiri tegak dan bersujud ketika bersembahyang. Arah kiblat ini bukanlah boleh di arahkan sesuka hati dan mengadap kemana mana saja. Arah kiblat adalah merupakan arah yang mengarah ke bangunan Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi. Untuk lebih senang faham bagi pembaca yang bukan beragama Islam, Masjidil Haram itulah tempatnya setiap tahun berjuta orang yang beragama Islam pergi menunaikan Haji.

Jadi dipendekan cerita, sebelum dibina bangunan bagi surau, madrasah atau menaksah ( sebutan orang Utara untuk madrasah ) dan juga masjid, arah bagi kiblat mestilah ditandakan terlebih dahulu. Arah kiblat inilah yang akan menjadi baseline bagi kedudukan bangunan surau, madrasah, menaksah dan masjid ini. 
Jadi bagaimanakah caranya nak menandakan arah kiblat ini..???


Sebenarnya ada banyak cara dan panduan untuk menentukan arah kiblat samada di darat, di laut atau pun di angkasa. Tetapi apa yang aku nak ceritakan hari ini cuma cara menandakan arah kiblat di darat saja samada secara kaedah moden menggunakan alat ukur teodolite atau pun secara tradisi manual menggunakan panduan bayang-bayang objek dari cahaya matahari.

Jadi aku akan mulakan dengan kaedah pertama iaitu kaedah penandaan yang paling tepat sekali yang tak perlukan sebarang alatan pun selain daripada bayang-bayang objek yang terbentuk daripada cahaya matahari.

KAEDAH ISTIWA MATAHARI DI ATAS KAABAH

Pada setiap tahun terdapat 2 hari iaitu pada 28 Mei dan juga 16 Julai kedudukan matahari akan berada tepat di atas bumbung Kaabah pada waktu tengahari waktu tempatan Arab Saudi. Ini bermakna pada waktu matahari berada pada kedudukan tersebut di Kaabah, Mekah waktu di Malaysia pula adalah melebihi 5 jam dari waktu disana kerana negara Malaysia lebih awal 5 jam terbit matahari berbanding dengan Arab Saudi. 

Pada setiap tahun pada 2 hari tersebut di waktu sekitar 5.15 petang hingga 5.30 petang kedudukan matahari akan berada tepat di atas bumbung Kaabah. Jadi pada 2 waktu tersebut setiap bayang-bayang objek yang terhasil dari cahaya matahari di seluruh dunia akan menghala tepat ke arah Kaabah. Maka 2 waktu tersebut adalah merupakan waktu yang paling tepat sekali untuk menandakan arah kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia. 

Tetapi sayangnya ia hanyalah sekadar 2 waktu yang singkat sahaja dalam setahun dan andaikata pada waktu tersebut cuaca mendung atau hujan maka tak dapatlah kita nak menanda atau memperbetulkan arah kiblat. Jadi terpaksalah kita gunakan kaedah lain pula untuk menandanya.


KAEDAH TRADISI PENGGUNAAN TONGKAT ISTIWA MATAHARI


Cuba lihat foto di atas dan fahami betul-betul caranya. Sebelum kita boleh menandakan arah kiblat, terlebih dahulu kita perlulah menandakan arah Timur dan Barat kawasan tersebut berpandukan bayang-bayang dari cahaya matahari. 

Mula-mula sekali tapak tanah bagi bangunan surau, madrasah, menaksah atau masjid itu perlulah diterang dan diratakan dahulu. Kemudian ambil sebatang kayu yang panjangnya di antara 1 hingga 2 meter, pacakkan ke dalam tanah dan yang terbaik adalah kayu tersebut ditimbang air atau digantung plumbob dengan benang di sebelahnya supaya kayu yang terpacak itu betul-betul tegak tidak condong. Kemudian buatkan bulatan dengan berjejari radius 1 meter dikeliling kayu tersebut.

Pada waktu pagi, tandakan bayang kayu itu yang mencecah garisan bulatan tadi dengan kayu pendek. Dan kemudian lakukan yang sama pada waktu petang pula. Maka sekarang kita dah ada 2 tanda bayang matahari pada 2 waktu yang berbeza. Seterusnya buatkan garisan lurus bagi menyambung kedua-dua tanda kayu pendek tersebut. Dengan adanya garisan itu kita dah dapat menentukan arah Timur dan Barat bagi kayu tinggi yang kita pacakkan tadi.

Lakukan langkah yang seterusnya adalah berpandukan foto di bawah ini.




Setelah siap menandakan garisan bagi arah Timur dan Barat, cabutkan kayu panjang tadi dan pacakkan pula di atas garisan tersebut. Kemudian ukurkan jarak 5 meter panjang dari kayu tersebut ke arah Barat dan tandakan. Lakukan sedikit pengiraan matematik mudah dengan formula yang telah aku tunjukkan di dalam foto di atas. 

Bearing arah kiblat yang aku tunjukkan sebagai contoh di dalam foto di atas adalah arah kiblat bagi daerah Klang, Selangor. Untuk daerah lain silalah tukarkan bearing arah kiblatnya dan jika tak tahu anda boleh klik link ini iaitu website e-Solat JAKIM. Disana terdapat info berkenaan jadual waktu solat dan juga arah kiblat mengikut zon-zon tertentu bagi seluruh Malaysia dan juga luar negara. Anda hanya perlu menukar zon untuk mengetahui arah kiblat bagi tempat anda.

Panjang garisan X dalam foto contoh di atas adalah :

X = tan ( 22 darjah 20 minit 35 saat ) X 5 meter
X = 2.055 meter

Setelah kita tahu panjang garisan X tersebut, ambil pembaris sesiku yang biasa digunakan oleh tukang kayu buatkan garisan menuju ke arah Utara yang bersudut tepat dengan jarak yang kita dah kira tadi iaitu 2.055 meter. Kemudian buatkan pula satu garisan dari kayu tinggi itu disambungkan ke penghujung garisan X tersebut. Garisan dari kayu tinggi yang bersambung dengan hujung garisan X itulah arah kiblat kita. Maka sekarang siaplah sudah kerja penandaan arah kiblat secara manual dengan berpandukan bayang-bayang dari cahaya matahari.

KAEDAH MODEN MENGGUNAKAN TEODOLITE




Sekarang boleh dikatakan kesemua kerja penandaan arah kiblat adalah dilakukan dengan menggunakan peralatan moden yang berketepatan tinggi. Teodolite bukanlah digunakan untuk menandakan arah kiblat sahaja tetapi turut digunakan dalam menentukan tarikh 1 Ramadhan iaitu permulaan bulan puasa dan juga 1 Syawal iaitu Hari Raya Puasa bagi umat Islam. 

Penggunaan teodolite bagi menentukan tarikh 1 Zulhijjah dalam kalendar Islam pula akan menentukan tarikh 9 Zulhijjah iaitu tarikh bagi bakal-bakal haji melakukan wukuf di padang Arafah dan sekaligus menentukan juga tarikh 10 Zulhijjah iaitu tarikh Hari Raya Haji atau lebih dikenali sebagai Idul Adha atau Hari Raya Korban bagi umat Islam seluruh dunia.

Berbalik kepada penggunaan teodolite untuk penandaan arah kiblat umat Islam. Seperti juga dalam mana-mana kerja ukur mestilah dimulai dengan pencarian DATUM yang sah iaitu 3 batu sempadan yang masih berkeadaan baik dan sama seperti dalam Pelan Akui.

Berpandukan foto contoh di atas, setelah datum bagi bearing dan kordinit disahkan dengan mengikatkan bearing pada BKL ( batu konkrit lama ) sempadan lot tersebut, kerja traverse perlu diteruskan dengan membuat satu station kawalan horizontal di tengah-tengah tapak cadangan bagi bangunan surau, madrasah, menaksah atau masjid tersebut. Sekurang-kurangnya 2 reference mark ( RM ) perlu dibuat selari dengan garisan bearing arah kiblat. Sebaiknya RM tersebut diletakkan jauh sedikit dari kawasan tapak pembinaan dan RM tersebut juga akan berfungsi sebagai baseline bagi gridline bangunan itu.

Ini adalah kerana telah menjadi kebiasaan bagi bangunan surau, madrasah, menaksah dan masjid, keseluruhan bangunan itu akan berpusing dan mengadap ke arah kiblat. Walaupun dibina dalam bermacam-macam rekabentuk tetapi setiap gridline bagi bangunan itu nanti akan mengikut bearing arah kiblat terutamanya bagi ruangan dewan sembahyang.

Jadi, sama juga seperti kerja pengukuran bagi bangunan yang lain, RM bagi baseline bangunan itu perlulah terletak di tempat yang selamat, disimenkan serta dipagar supaya dapat bertahan lama dan sebolehnya dapat bertahan sehingga siap bangunan tersebut.

Dengan adanya 2 RM tersebut maka senanglah arah kiblat bagi bangunan surau, madrasah, menaksah dan masjid tersebut ditandakan apabila memulakan kerja pembinaannya.
  Sampai disini dahulu untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi menjengah ke blog aku dan... 

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1436 HIJRAH.....

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN