MENU UTAMA

Ahad, 17 April 2016

GRADIAN ATAU KECERUNAN BAGI SLOPE BUKIT DAN JALAN


Di dalam kerja Ukur Kejuruteraan bagi kerja tanah / 'earthwork' iaitu kerja-kerja penyediaan tapak pembinaan samada dalam projek pembinaan bangunan, taman-taman perumahan, empangan dan juga jalan atau lebuhraya, pasti akan ada tempat-tempat tertentu yang perlu dibuat cerun atau lebih mudah disebut sebagai 'slope'.

Jika kawasan tapak pembinaan itu merupakan kawasan berbukit, apabila melakukan kerja pemotongan tanah bukit, slope-slope yang perlu dibuat mungkin akan bertingkat tingkat tingginya. Setiap slope itu akan mempunyai 'gradian' atau 'kecerunan' tersendiri yang telah ditandakan di dalam pelan oleh jurutera rekabentuk bertujuan menjamin kestabilan tanah bukit itu selepas kerja pemotongan tanah dilakukan.

Gradian atau kecerunan slope ini akan ditandakan dengan kadar nisbah antara 'ketinggian' dan 'jarak' dari kepala slope ( top ) dengan kaki slope ( toe ).



Dengan merujuk kepada angka gradian nisbah yang telah diberikan seperti contoh di atas, seorang jurukur perlu mengira dan kemudiannya menandakan dengan tepat dimana letaknya kepala dan juga kaki slope tersebut.

Bagi slope yang ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 1, ini bermaksud bahawa pada setiap ketinggian 1 meter jaraknya juga adalah 1 meter. Begitu juga jika ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 2, maka pada setiap ketinggian 1 meter jaraknya pula adalah 2 meter.

CONTOH PENGIRAAN

Apabila ketinggian 2 tapak tanah itu terdapat perbezaan setinggi 3 meter

Jika ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 1
Maka jarak antara top dan toe slope tersebut adalah 3 meter.

Jika ditandakan dengan gradian nisbah 1 : 2
Maka jarak antara top dan toe slope tersebut adalah 6 meter.

GRADIAN KECERUNAN JALAN

Bagi kerja pembinaan jalan, terdapat juga gradian pada nisbah-nisbah yang tertentu yang akan menentukan ketinggian antara tengah jalan dengan tepi jalan. Gradian pada jalan adalah bagi tujuan pengaliran air hujan masuk ke longkang dan juga bagi tujuan keselamatan dan kestabilan kenderaan apabila melalui selekoh jalan yang panjang.

Biasanya terdapat 2 jenis permukaan jalan yang dibina. Bagi jalan yang tinggi di tengah tetapi rendah di kiri dan kanannya digelar sebagai 'camber'. Manakala bagi jalan yang tinggi di sebelah kiri atau kanan tetapi rendah di tepi jalan yang sebelah lain digelar pula sebagai 'super elevation'. 

Biasanya jalan dari jenis camber adalah pada jalan lurus manakala jalan jenis super elevation ( atau sering disebut sebagai 'super E' sahaja ) pula apabila jalan itu berselekoh panjang samada ke kiri atau ke kanan.


( klik foto untuk zoom besarkan )

Gradian untuk pembinaan jalan adalah sama juga dengan gradian bagi pembinaan slope bukit. Cuma bagi pembinaan jalan kadang-kadang nilai gradian ini tidak ditulis dengan kadar nisbah antara ketinggian dan jaraknya tetapi ditulis dalam nilai peratusan kecerunan.

Berpandukan gambarajah contoh di atas, gradian kecerunan bagi jalan tersebut telah ditanda dengan kadar nisbah 1 : 40. Ini bermaksud bagi setiap 1 meter ketinggiannya maka jaraknya adalah 40 meter. Nisbah 1 : 40 ini juga boleh dituliskan dalam nilai 2.5%. 

1/40 x 100 = 2.5

CONTOH PENGIRAAN

Dari gambarajah atas diberi lebar jalan tersebut adalah 3.5m satu lorong. Pada sebelah kanan atau RHS terdapat 4 lorong dan pada sebelah kiri atau LHS terdapat 3 lorong. Ketinggian tengah jalan pula adalah 5.00 meter.

RHS

Lebar jalan : 3.5m x 4 = 14.00m
Kecerunan atau beza tinggi jalan : 1/40 x 14 = 0.350m
Ketinggian jalan RHS : 5.00m - 0.350m = 4.650m

LHS

Lebar jalan : 3.5m x 3 = 10.50m
Kecerunan atau beza tinggi jalan : 1/40 x 10.50 = 0.2625m
Ketinggian jalan LHS : 5.00m - 0.2625m = 4.7375m

NOTA KAKI

Bagi slope untuk cerun bukit terdapat 2 jenis slope iaitu antara 'slope mati' dan 'slope hidup'. Slope mati bermaksud jarak dan tempatnya adalah tetap manakala bagi slope hidup pula jarak dan tempatnya adalah bergantung kepada ketinggiannya. Kaki atau kepala slope akan berubah tempat apabila ketinggian tanah berubah atau berbeza.

Gradian bagi setiap slope yang perlu dibuat apabila garisan jajaran bagi projek pembinaan lebuhraya atau landasan keretapi melalui kawasan berbukit adalah bergantung kepada jenis material tanah yang ada di situ. Bagi jenis tanah merah yang biasa, dari bawah 3 lapisan slope boleh dibuat lebih tegak dengan gradian 1 : 1 ( 1 meter tinggi = 1 meter jarak ). Untuk 3 lapisan berikutnya yang lebih tinggi kedudukan dari aras jalan, slope perlu dicondongkan sedikit dengan gradian 1 : 1.5 ( 1 meter tinggi : 1.5 meter jarak ). Dan bagi lapisan slope yang seterusnya sehingga ke kemuncak bukit, slope perlu dicondongkan lagi kepada gradian 1 : 2 ( 1 meter tinggi : 2 meter jarak ).

Ini hanyalah daripada pengalaman penulis sahaja secara praktikalnya keputusan setiap jenis gradian slope yang perlu dibuat adalah keputusan pihak jurutera rekabentuk dan pihak konsultant. Jurukur perlulah merujuk pada pelan rekabentuk yang telah diluluskan bagi pembinaan.

TERIMA KASIH

2 ulasan:

Unknown berkata...

assalamualaikum saya aina,boleh tolong ajarkan cara membuat slope analisis.cara mengira secaara manual

Nick JTK berkata...

Waalaikumsalam...
Kalau anda baca artikel di atas tentu anda akan jumpa pengiraan slope 'secara manual'. Apa yang dimaksudkan sebagai gradian dalam bentuk nisbah atau dalam bentuk peratusan kecondongannya. Yang ditunjukkan cara mengira kesemuanya adalah pengiraan 'secara manual'. Penulis pun tak tahu nak ajarkan apalagi untuk bagi anda faham kalau contoh yang dah ditunjukkan dalam artikel di atas ini anda tak faham. Sama juga macam mengira jarak atau ketinggian tanah, ini semua hanyalah angka2 yang boleh diselesaikan dan dapat jawapannya hanyalah dengan formula matematik yang betul sahaja. Formula matematik biasa yang membabitkan campur, tolak, darab & bahagi itu saja.

Kalau perlukan bantuan atau penjelasan kepada apa2 masalah pengiraan yang anda hadapi boleh kirimkannya kepada penulis melalui email, tetapi perlu diingatkan penulis bukanlah 'kalkulator hidup' tempat untuk selesaikan masalah pengiraan bagi semua pembaca disini. Formula dan contoh telah diberikan, jadi gunalah inisiatif sendiri selesaikan masalah anda dengan rujukan formula & contoh yang telah diberikan.

Harap maklum

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN