MENU UTAMA

Sabtu, 8 Jun 2019

KRISIS ANTARA TUAN TANAH HARAP JANGAN JADIKAN JURUKUR TANAH SEBAGAI MANGSA

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Dah masuk bulan ke 6 dalam tahun 2019 baru terasa nak update info di sini. Ini pun tergerak daripada pengalaman 2 hari sebelum hari raya yang lepas. Ceritanya bermula begini...

Sememangnya pihak kami dah pun istiharkan mulai bercuti pada hari Sabtu 1/6/2019 selama seminggu hinggalah ke Sabtu 8/6/2019 baru mula semula. Tapi pada malam jumaat hari terakhir bulan May ada seorang tuan tanah yang merayu minta kami ukur tandakan tanah dia yang berkongsi 7 nama dengan orang lain pada hari Isnin 3/6/2019 dengan alasan hanya itulah sahaja hari yang dia bercuti boleh pergi tengok tanah dia di lokasi. Seperti biasa kami buat perbincangan secara baik fahamkan keadaan dan buat carian maklumat lokasi kemudian sediakan surat sebutharga dan kirimkan kepada dia keesokkan hari iaitu Sabtu hari yang sepatutnya hari terakhir kami bekerja. Atas rayuan tuan tanah tersebut dan atas alasan lokasi yang tak jauh hanya 30-45 minit perjalanan ( Klang - Dengkil ) kami bersetuju walaupun sebenarnya agak keberatan sebab pekerja semua pun dalam mood nak balik kampung menyambut raya dengan keluarga.

Nak dijadikan cerita, telah menjadi satu syarat asas kepada syarikat kami adalah persetujuan daripada pihak pelanggan perlulah diberikan dengan secara pembayaran deposit sebanyak 50% secara bank-in dengan salinan resit bank diberikan kepada kami sebagai bukti bayaran dan juga untuk dimasukkan ke dalam file rekod urusan kerja dibuat. Sudahlah si tuan tanah tadi merayu minta kami tolong dia ukurkan tanah yang jadi bahagiannya pada hari yang sepatutnya kami dah bercuti, ditambah pula kali ini rayuan kedua berkenaan bayaran deposit 50% secara bank-in yang dia minta dikecualikan. Pada hari Ahad, dia berikan alasan dia agak sibuk dan tak dapat nak buat bayaran deposit tersebut tapi dia berjanji akan bayar secara penuh selepas siap saja kerja ukuran di lokasi.

Bukan soal percaya atau tidak tapi ini adalah merupakan soal syarat utama dalam terma dan syarat perkhidmatan kami selama ini kepada kesemua pelanggan kami. Kerja hanya akan dimulakan setelah kami mendapat persetujuan pelanggan yang mana pelanggan tadi perlu berikan secara samada bertulis atau melalui mesej pengesahan dan disertakan dengan salinan resit bayaran deposit. Bukan apa sebab untuk memulakan kerja kami pun perlu keluarkan modal dan masa walau pun hanya untuk kajian tapak bagi penyediaan sebutharga sahaja. Waktu yang diperuntukkan untuk mencari informasi, dapatkan data-data lokasi juga pelan-pelan yang berkenaan, ini bukanlah percuma. Kalau untuk sekadar sediakan sebutharga pun kami dah kena keluarkan modal dari segi masa, tenaga kerja juga modal untuk dapatkan maklumat apalagi kalau kerja tersebut telah dipersetujui untuk dibuat. Maka bertambahlah modal, masa dan tenaga yang perlu dikeluarkan. Jadi inilah tujuan bayaran deposit bagi memulakan kerja dan juga membuat persiapan sebelum dapat diberikan satu tarikh yang tetap bila kerja tersebut dapat dibuat dan disiapkan.

Oleh kerana pada hari sabtu kami dah buat satu persetujuan secara lisan dengan dengan tuan tanah maka kami pun berikan persetujuan kedua hanya akan terima bayaran penuh selepas siap kerja ukuran di lokasi dengan secara tunai. Jadi pagi isnin tersebut kami pun pergi beli pelan perakui ( PA ) yang diperlukan kemudian sediakan pula satu pelan pecah 7 bahagian untuk tuan tanah tersebut. Hanya selepas waktu tengahari barulah pelan siap dilukis dan kami dapat pergi ke lokasi buat kerja tandaan atas tanah.

Tak sangka pula kerana dalam perbincangan awal pihak tuan tanah dan isteri masing-masing memujuk kami dengan secara baik. Rupanya ada niat yang tidak baik disebalik semua alasan-alasan yang diberikan kepada kami sebelum itu. Siap kerja pada waktu yang dijanjikan dia tidak hadir. Tunggu hampir 2 jam baru sampai. Daripada cuaca elok hingga ke hujan. Sesampainya tuan tanah kami berikan pelan dan tunjukkan lokasi tanda-tanda ukur yang dah dibuat. Tapi apabila tiba masa kami minta diri nak pulang dan minta dijelaskan bayaran kami, dikatakannya kami perlu tunggu orang lain pula sebab orang tersebut yang akan buat bayaran. Lepas sejam tak sampai juga jadi sikit demi sedikit perasaan sabar kami dah mula hilang. Di minta kami ikut dia pergi ke satu kedai yang berjarak hampir 30 minit dari situ untuk berjumpa dengan orang tersebut. Sampai saja kami kena tunggu lagi hampir sejam lamanya. Jadi siapakah yang tidak akan hilang sabar apabila diperlakukan seperti begitu.

Rupanya-rupanya si tuan tanah tadi sedang dalam perbincangan berkenaan hal urusan jual beli tanah tersebut dengan orang yang dia katakan yang akan buat bayaran kepada kami. Kami dijadikan sebagai orang tengah untuk bincangkan urusan tanah tadi tanpa kerelaan dan tanpa kami diberitahu hal yang sebenarnya. Maka terjadilah pertengkaran yang hampir membawa ke pergaduhan di situ. Kadang-kadang kami memang prihatin nak membantu masalah tuan tanah kalau yang membabitkan urusan ukur tanda sempadan. Tapi kalau untuk selesaikan masalah anda tersebut kami pula yang perlu dijadikan sebagai mangsa herdikan, makian serta hampir dibelasah dengan tanpa mendapat apa-apa keuntungan pun ini tidaklah bermoral dan perkara-perkara beginilah yang akan meyebabkan kami perlu bertegas kepada syarat serta terma yang telah disediakan oleh pihak syarikat tanpa boleh dikompromi lagi.

Apa sahaja masalah yang anda sebagai pihak tuan tanah alami samada sesama ahli keluarga hakmilik berkongsi atau pun dalam urusan jual beli yang melibatkan urusan undang-undang, kami bukanlah orang yang boleh anda jadikan sebagai mangsa atau wakil anda. Kami tak ada sebarang kena mengena, kuasa pemutus bicara atau pembuat keputusan selain daripada hal ukur tanah sahaja. Jika ada masalah anda perlulah selesaikan samada secara bermuafakat, perbincangan atau jika perlu dibawa kepada pihak pejabat tanah daerah atau pun pihak peguam untuk diselesaikan. Harap jangan tersalah anggap bahawa kami jurukur tanah ini boleh dijadikan sebagai penyelesai segala masalah tanah yang anda alami walaupun kami ada katakan anda boleh hubungi kami jika anda ada apa-apa sahaja masalah berkenaan tanah.

Apa yang kami maksudkan hanyalah kalau anda punya masalah berkenaan ukur tanah, persempadanan tanah anda atau pun khidmat nasihat berkenaan kerja-kerja urusan pembangunan tanah sahaja. Kami tak punya tongkat sakti untuk selesaikan segala masalah anda lebih-lebih lagi yang melibatkan tuntutan hakmilik samada pusaka atau hartabenda.

Apa yang terjadi pada hari tersebut adalah amat kami kesali kerana sekiranya kami bertegas dengan tidak memberikan 'muka' atau simpati nescaya tidak akan terjadi. Kadangkala inilah yang terjadi apabila kita berniat baik hendak membantu, kita akan disangkakan boleh dipergunakan untuk kepentingan yang lain.

Di kejar dengan parang, dimaki oleh jiran sebelah yang tidak bersetuju dengan apa yang kami ukur tandakan atau pun ditahan dan ditangkap oleh pihak polis atas alasan menceroboh tanah orang, ini adalah pengalaman yang hampir pasti terjadi kepada setiap jurukur tanah. 

Kepada mana-mana pihak pemilik atau tuan tanah yang perlukan perkhidmatan ukur tanah di KL, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta daerah-daerah sempadan Perak/Selangor dan Johor/Melaka anda bolehlah hubungi kami melalui mana-mana satu daripada cara hubungan dalam foto lampiran di atas.
Sekian

SELAMAT BERHARI RAYA
DAN
TERIMA KASIH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN