بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Walaupun kami telah memberikan penjelasan & penerangan bercontoh dalam bentuk artikel serta soal jawap pertanyaan pembaca berkenaan unit-unit ukuran yang biasa digunapakai bagi jarak & luas untuk tanah sejak tahun 2014 malangnya hingga ke hari ini kami masih lagi terima pertanyaan dan permintaan untuk mengira dan menukar jarak serta luas dari unit asal ke unit yang lain.
Tak kurang juga ada lagi yang masih bertanya nilai tukaran unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ serta cara mengira menukar unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini kepada unit meter atau kaki.
Sebenarnya simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini walaupun ada ditulis di belakang ‘bearing’ dan ‘jarak’ garisan sempadan lot dalam pelan PA tapi itu bukanlah menunjukkan jenis unit ukuran yang digunakan. Simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini diletakkan pada garisan tersebut cuma sekadar memberitahu bahawa ‘bearing’ dan ‘jarak’ itu bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah tetapi adalah hasil dari pengiraan dan ukuran pembaris di atas pelan sahaja. Untuk penerangan lebih lanjut berkenaan maksud sebenar ‘Ki’ dan ‘Sc’ penulis akan tunjukkan dengan contoh dibahagian bawah artikel ini.
Rujuk foto contoh pelan PA di atas, simbol-simbol yang biasa dapat dilihat dalam pelan PA pada waktu sekarang kebanyakan simbol-simbol ini adalah dalam bahasa Malaysia.
SIMBOL & MAKSUDNYA
BKL = Batu sempadan konkrit berbentuk bulat
BL = Batu sempadan granit berbentuk empat segi
Pk = Paku
P = Paip
Pb = Paip besi
Pkt = Kayu berpaku
TT = Tiada Tanda
j = Jumpa
Jum = Jumlah jarak
Semua simbol ini adalah merujuk kepada jenis penanda yang digunakan sebagai tanda sempadan lot yang telah ditanam di atas tanah kecuali simbol ‘j’ yang merujuk kepada tanda sempadan asal yang telah dijumpai semasa kerja ukuran dibuat. Manakala simbol ‘jum’ pula adalah bermaksud jumlah panjang garisan sempadan yang mempunyai banyak batu sempadan tetapi mempunyai satu garisan bearing yang sama.
SIMBOL ‘Ki’ DALAM PELAN PA SEKARANG
Rujuk foto contoh di atas, simbol ‘Ki’ yang ditulis pada belakang bearing & jarak garisan sempadan berwarna biru tersebut adalah bermaksud bahawa bearing dan jarak yang ditulis itu adalah hasil daripada ‘kiraan’ bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah seperti bearing dan jarak setiap garisan sempadan berwarna merah. Cara mendapatkan nilai bearing dan jarak garisan biru tersebut adalah perlu dikira jumlah nilai ‘Latit’ dan ‘Dipat’ bermula dari batu sempadan A ke batu B bersambung ke batu C dan berakhir di batu D.
Tapi oleh kerana kemajuan teknologi waktu kini, pelan tidak lagi dilukis menggunakan jangka sudut dan pembaris T maka jurukur tanah tidak perlu lagi membuat kiraan ‘latit’ & ‘dipat’ untuk menghitung ‘direct bearing’ & ‘direct distance’. Aplikasi CAD komputer dan mesin kalkulator berprogram sudah boleh membuat pengiraan ‘Ki’ ini dengan hanya ‘klik-klik’ sahaja. Kerana kemajuan teknologi jugalah yang menyebabkan jurukur tanah zaman sekarang tidak lagi menghafal formula bagi membuat pengiraan dan membuat pembetulan tikaian lurus secara manual.
SIMBOL ‘Sc’ DALAM PELAN PA LAMA
Rujuk foto contoh di atas, garisan sempadan yang berwarna hijau ditulis dengan jarak ‘Sc’ bermaksud jarak tersebut adalah hasil daripada ukuran menggunakan pembaris. ‘Sc’ adalah singkatan daripada perkataan ‘scale’ dalam bahasa Inggeris. Jarak-jarak dengan ukuran secara ‘Sc’ ini hanya terdapat dalam pelan PA yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris T. Kerja membuat ukuran tetap sama walaupun zaman dan teknologi sudah berubah. Ukuran tetap perlu dibuat bermula dari batu A ke batu B kemudian ditandakan batu 1, 2 & 3 yang terletak di atas garisan yang sama tapi berlainan jarak sahaja. Dari batu C ditandakan pula batu 4, 5 & 6 yang terletak atas garisan yang sama dengan batu D.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, pada waktu dulu pelan tanah perlu dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Waktu dulu masih tiada lagi komputer atau mesin kalkulator yang boleh membantu memudahkan kerja mengira dan melukis pelan. Perlu masa yang lama dan kemahiran tinggi untuk membuat pengiraan matematik tanpa mesin kalkulator. Jadi untuk mendapatkan nilai bagi garisan sempadan yang berwarna hijau yang tidak diukur di atas tanah seperti garisan dari batu 1 ke batu 6, dari batu 2 ke batu 5 dan dari batu 3 ke batu 4, pelukis pelan hanya menggunakan ukuran pembaris sahaja selepas kesemua garisan sempadan berwarna merah yang diukur di atas tanah dilukis terlebih dahulu. Selepas terciptanya mesin kira-kira dan sebelum negara merdeka, walaupun pelan masih lagi perlu dilukis secara manual tetapi pengiraan sudah boleh dibuat dengan mudah. Bearing & jarak bagi garisan yang didapati dari hasil kiraan akan ditulis dengan simbol ‘Cal’ ( singkatan Calculation ) atau ‘Comp’ ( singkatan Computation ) yang berasal dari perkataan bahasa Inggeris. Setelah merdeka barulah ditukar kepada ‘Ki’ ( singkatan Kiraan ) yang menggunakan perkataan bahasa Malaysia.
Jadi bearing & jarak yang diukur secara kiraan ‘Ki’ hanya terdapat dalam pelan PA selepas negara merdeka. ‘Cal’ atau ‘Comp’ terdapat dalam pelan PA sebelum merdeka selepas terciptanya alat mesin kira-kira. Manakala bearing & jarak yang diukur secara ukuran pembaris ‘Sc’ hanya terdapat dalam pelan PA lama yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Sebelum merdeka pelan PA lebih dikenali sebagai pelan CP dari singkatan bahasa Inggeris untuk ‘Certified Plan’.
Dengan penjelasan beserta foto contoh di atas adalah diharapkan pembaca akan faham bahawa simbol-simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini bukanlah satu unit ukuran seperti ‘ling’, ‘meter’ atau ‘kaki’. Simbol ini cuma sekadar memberitahu bahawa nilai bearing dan jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Ki’ adalah nilai yang didapati dari hasil pengiraan manakala jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Sc’ pula adalah hasil dari ukuran pembaris di atas pelan. Kedua-dua nilai ini bukanlah dari hasil ukuran sebenar di atas tanah.
LAIN-LAIN SIMBOL YANG BIASA TERDAPAT DALAM PELAN TANAH
in = inci
ka / ft = kaki
ch = rantai
m = meter
km = kilometer
m2 / mp / sq. m = meter persegi
k2 / ka2 / kp / kp / ft2 / sq. ft = kaki persegi
H / hek / ha = hektar
A / ac / ek = ekar
R / r = rood
p = pole
cal = calculation
comp = computation / kiraan
ki = kiraan / computation
dpi = dari perkiraan
sc = scale
po / sa = seperti asal
az = azimuth cerapan matahari
j = jumpa
tt = tiada tanda / tak tanda
bl = batu lama
bkl = batu konkrit lama
pkt = kayu piket
pk = paku
p = paip
pb = paip besi / paip baru
sp = iron spike / pepaku besi
T = ukuran kelas 3
SEKIAN
TERIMA KASIH
------------------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ------------------------