Assalamualaikum... Salam Sejahtera dan tak lupa juga selamat berpuasa untuk pembaca 'BaganBeachBoy' yang beragama Islam.
Di dalam kerja seharian seorang Jurukur Tanah, kapak ada juga digunakan tetapi tidaklah digunakan sangat jika dibandingkan dengan parang. Rata-rata jurukur tanah perlu ada sekurang-kurangnya sebilah parang kalau tak pun serba satu bilah parang bagi kesemua yang bekerja dalam pasukan ukur tanah.
Keperluan parang ini amatlah penting bagi membantu kerja ukur tanah. Daripada jenis yang pendek yang digunakan untuk memotong kayu untuk membuat kayu peg atau piket seterusnya perlu juga kepada parang panjang yang kegunaanya untuk menebas dan mencerahkan semak atau hutan yang dalam bahasa yang sering digunakan jurukur tanah dalam kerja ukur tanah adalah untuk kerja-kerja 'merintis'.
Tetapi apa yang penulis nak tuliskan kali ini bukanlah cerita mengenai tujuan parang atau kapak dalam kerja ukur tanah. Tetapi adalah maksud sebenar bidalan bahasa "Kayu Hulu Kapak" tersebut yang mungkin ramai tak tahu termasuklah penulis sendiri yang baru saja tahu dan faham apa ertinya diciptakan oleh orang-orang tua dahulu bidalan kata 'kayu hulu kapak' tersebut.
Semenjak masuknya tahun 2015 ini yang dah pun berlalu separuh tahun dan yang masih berbaki separuh tahun saja lagi. Banyaklah cerita-cerita yang berkaitan sosio ekonomi, budaya masyarakat, kod etika berpakaian pelanggan, semangat harmoni perkauman yang semakin berkurangan serta isu-isu kepercayaan beragama setiap warga dan juga yang nombor satu paling hangat diperbicarakan dalam media sosial sekarang adalah kisah-kisah skandal, korupsi dan perkembangan politik semasa samada di pihak parti pemerintah dan juga parti pembangkang yang ada di bumi tercinta Malaysia ini.
Satu demi satu cerita gossip, skandal, korupsi dan bukti yang disertakan dengan 'fakta yang bukan auta' yang telah pun diperhidangkan buat tatapan bacaan rakyat demi untuk lebih diketahui dan lebih difahami oleh kalangan rakyat biasa seperti penulis dan juga para pembaca sekalian.
Ramai dikalangan rakyat Malaysia sekarang berada dalam situasi lebih mudah mendapatkan berita umpama kata 'segala maklumat hanya dihujung jari sahaja'. Di dalam kajian oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ), rakyat Malaysia menduduki ranking nombor 1 dari segi peratus penembusan penggunaan internet tanpa komputer mengalahkan kesemua rakyat dari negara-negara pengeluar teknologi maklumat dan komonukasi itu sendiri seperti USA, German, Jepun, Korea, Finland, UK dan lain-lain yang lebih maju ke hadapan lagi berbanding Malaysia.
Contoh maklumat hujung jari tersebut termasuklah perkhidmatan yang ditawarkan oleh penulis yang hanya penulis iklankan disini di dalam dunia internet sahaja. Penulis tidak pernah pun membuat iklan di media seperti suratkhabar atau majalah, papan iklan billboard di tepi jalan, tv atau radio dan juga secara flyer atau dokumen iklan yang dilekatkan di tempat-tempat strategik seperti yang sering dibuat oleh 'Along dan ceti' bagi khidmat pinjaman wang peribadi tanpa perlu berurusan dengan bank dan syarikat kewangan. Rakyat Malaysia sekarang dengan mudahnya mendapat akses kepada segala maklumat yang diperlukan tidak seperti sebelum zaman milineum ( 2000 ) yang segalanya hanyalah daripada apa yang dihidangkan oleh media arus perdana milik pemerintah atau swasta sahaja yang kita semua sedia maklum segala maklumat itu ditapis dan dipilih pilih dahulu sebelum disiarkan kepada rakyat.
Jadi berbalik kepada kata bidalan "Kayu Hulu Kapak" ini, apa yang penulis nak tuliskan dan perjelaskan adalah maksud sebenarnya. Yang bermaksud, kayu yang digunakan untuk membuat pemegang kapak itu adalah kayu yang berasal daripada pokok yang telah ditebang dan kemudiannya dipergunakan pula untuk menebang pokok-pokok yang lain. Jadi maksudnya 'kayu' hulu kapak ini adalah merupakan 'kayu' yang tidak setia pada spesis dan bangsa, tidak sedar asal usul diri umpama 'kacang lupakan kulit', tidak boleh diharapkan umpama 'harapkan pagar, pagar makan padi', menjadi penderhaka kepada nasib spesis dan bangsa serta tidak punyai 'jatidiri' apabila dengan mudah diperbodohkan dan 'diperkudakan' oleh 'tangan-tangan besar' yang mempunyai kuasa, zalim, tamak dan yang mempunyai matlamat peribadi melebihi daripada matlamat yang sepatutnya iaitu menolong membantu sesama kita, sesama spesis, sesama bangsa dan sesama rakyat di bumi Malaysia tercinta.
Penulis tidak mahu bercerita panjang tetapi cukuplah hanya sekadar memberikan penjelasan maksud kata bidalan tersebut saja. Moga para pembaca telah faham akan maksudnya dan berfikirlah sendiri secara logik akal yang telah dikurniakan kepada kita oleh 'pencipta' yang merupakan satu anugerah pemberian kepada manusia yang paling bernilai yang dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Mungkin haiwan juga mempunyai otak dikepala mereka tetapi haiwan ini tiada akal fikiran yang terbit dari hasil pemikiran otak kiri dan otak kanan, otak yang dikepala bukan dilutut.
Sebagai manusia yang diberi keistimewaan dengan anugerah 'akal fikiran' lakukanlah yang perlu dan yang sepatutnya. Sebelum membuat sesuatu keputusan samada kecil atau besar, samada penting atau tidak, fikirkan dulu dengan akal fikiran yang logik dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai matlamat peribadi yang mahu mempergunakan kita sebagai 'kuda tunggangan' dan juga sebagai 'kayu hulu kapak'.
Sekian, Terima Kasih
SHARING IS CARING