Rabu, 22 Mei 2024

MEMBUAT CARIAN LOT KADASTER MELALUI APLIKASI MYLOT JUPEM2U

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



Pihak Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) telah membangunkan satu aplikasi bagi tujuan membuat carian lot kadaster berdigit yang boleh digunakan oleh pengguna dengan akaun berdaftar dengan Jupem serta pengguna awam melalui komputer atau telefon pintar yang mempunyai capaian internet pada skala jalur lebar atau berkelajuan tinggi.

Bagi pengguna awam walaupun mereka tidak mempunyai sebarang akaun yang berdaftar dengan pihak Jupem mereka tetap boleh memuat turun, instal aplikasi dan membuat setting tetapan aplikasi. Cuma bagi pengguna awam infodata yang dapat dicapai dan diperolehi hanyalah sekadar yang asas sahaja. Untuk membolehkan lebih banyak infodata dicapai dan diperolehi mereka perlulah membuat pendaftaran dan membuka satu akaun pengguna data digital dengan pihak Jupem.

Di bawah penulis akan berikan penerangan bergambar secara ringkas proses yang perlu dibuat satu persatu sebelum aplikasi ini boleh aktif berfungsi di dalam komputer atau telefon pintar anda.


DARI MANA NAK MUAT TURUN APLIKASI

1.) Dari laman web JUPEM :

( klik link bawah )

APLIKASI MyLot


2.) Dari Google Play Store :

( klik link bawah )

APPS MyLot Jupem


Setelah muat turun aplikasi secara otomatik OS telefon pintar akan memproses isu keselamatan dan memberikan notis peringatan serta membuat pertanyaan samada kita mahu 'instal' atau 'delete' aplikasi ( bergantung kepada privacy setting telefon anda ).

Selesai proses instal aplikasi barulah anda boleh 'OPEN' dan membuat sedikit penetapan / setting bagi membolehkan aplikasi ini berfungsi dengan sempurna dan dalam keadaan 'real time'.


MEMBUAT SETTING PETA NEGERI DAN LAPISAN ASAS BAGI PAPARAN LOT KADASTER SERTA PETA LATAR APLIKASI MYLOT

  

( Pramuka Aplikasi MyLot )

1.) Klik pada menu 'Map' untuk akses masuk ke aplikasi

 

( Paparan Muka Hadapan Aplikasi MyLot )


( Senarai Menu Utama Aplikasi )

2.) Pergi ke senarai MENU utama


( Menu Pilihan Peta Negeri Asas Aplikasi )

3.) PILIH negeri untuk paparan lot kadaster latar


( Menu Pilihan Lapisan Layer Asas Aplikasi )

4.) PILIH lapisan paparan peta lot kadaster :-

Lot NDCDB : lot telah diukur halus dan sedia ada dalam aplikasi

Lot Relative NDCDB : lot baru diukur halus dan masih belum dikemaskini dalam aplikasi

Lot C3 : lot yang perlu dikemaskini atau perlu dibuat ukuran semula



( Menu Pilihan Peta Asas Aplikasi )

5.) PILIH lapisan paparan peta latar belakang aplikasi :-

Google Satelite : paparan peta pandangan satelit

Google Road : paparan peta jalan

Tiada : untuk tutup semua jenis paparan peta latar tinggalkan hanya paparan peta lot kadaster sahaja



( Menu Untuk Buat Carian Lot Kadaster )

6.) Setelah semua perkara di atas telah ditetapkan barulah pengguna boleh membuat carian lot kadaster melalui info nombor lot, mukim, daerah & negeri atau membuat carian lot kadaster melalui info koordinat GPS secara memasukkan info ( Latitude , Longlitude ).



PENETAPAN DAN SETTING YANG PALING UTAMA TERPENTING DIBUAT SEBELUM MENGGUNAKAN APLIKASI MYLOT JUPEM2U

Yang paling utama serta terpenting yang perlu dilakukan bagi membolehkan aplikasi ini berfungsi dengan sempurna serta secara 'ONLINE' dan 'REALTIME' adalah anda perlulah berikan kebenaran kepada aplikasi MyLot menggunakan lokasi sebenar anda bagi setiap masa atau bagi setiap penggunaan aplikasi di dalam privacy setting komputer atau privacy setting telefon pintar anda. 

Tanpa kebenaran ini aplikasi MyLot tak dapatlah nak tunjukkan dimana lokasi anda berada secara tepat pada waktu MENU kedudukan semasa seperti dalam foto dibawah digunakan.




Apa yang penulis berikan diatas hanyalah perkara asas bagi membolehkan aplikasi MyLot ini berfungsi dengan sempurna setelah di instal. Ada beberapa lagi info yang boleh dibuat carian oleh pengguna awam seperti nombor Pelan PA bagi lot, koordinat GPS kedudukan setiap batu sempadan lot, reset semula paparan dan lain-lain. Untuk ini pengguna perlulah mahirkan diri dengan penggunaan aplikasi terlebih dahulu.

Sekian dahulu untuk kali ini

TERIMA KASIH

---------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ---------------

Ahad, 25 Februari 2024

KADAR FI & BAYARAN PENGURUSAN TANAH DI PEJABAT TANAH DAERAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

KADAR FI & BAYARAN PENGURUSAN TANAH DI PEJABAT TANAH DAERAH

( Kadar Fi & Bayaran PTD Klang ini sekadar contoh rujukan dan tidak semestinya sama di setiap daerah setiap negeri di Malaysia )




Seperti yang pernah kami beritahu pembaca pada tahun awal penerbitan halaman ini dahulu iaitu anda boleh membuat 'carian persendirian' atau 'carian rasmi' bagi mendapatkan maklumat terkini kandungan geran hakmilik tanah dalam lot tanah tertentu. Maklumat yang terdapat dalam dokumen carian ini seperti maklumat keluasan tanah terkini, senarai nama pemilik terkini, alamat pemilik, luas pegangan tanah setiap pemilik dan lain-lain lagi. Bagi perkhidmatan carian ini terdapat sejumlah bayaran yang perlu dibayar kepada Pejabat Tanah Daerah ( PTD ) yang kadarnya bergantung kepada jenis dokumen carian yang diperlukan pelanggan.

Sebenarnya bukan itu sahaja perkhidmatan yang disediakan oleh pihak PTD. Dalam hal pengurusan tanah di PTD terdapat banyak lagi jenis fi & bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan mengikut kadar yang telah ditetapkan samada oleh akta Kanun Tanah Negara ( KTN ) atau peraturan dan pekeliling yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri merangkap pihak berkuasa tertinggi dalam pentadbiran tanah negeri di Malaysia. Urusan bagi mana-mana bidang tanah hanya boleh dibuat di PTD lokasi tanah tersebut sahaja tidak boleh dibuat di PTD daerah lain walaupun masih dalam satu negeri yang sama. Oleh kerana terdapat perbezaan dari segi infrastruktur, kemajuan pembangunan, taraf hidup penduduk, kegunaan dan nilai tanah serta kualiti perkhidmatan yang disediakan maka kadar fi & bayaran bagi perkhidmatan PTD ini juga terdapat sedikit perbezaan di setiap daerah setiap negeri kecuali bagi urusan tanah yang terikat dengan undang undang persekutuan dalam akta KTN yang sama.

Pengurusan tanah di PTD dibahagikan kepada beberapa unit-unit pengurusan yang diwujudkan bagi memudahkan dan mempercepatkan pengurusan dengan matlamat setiap urusan dapat diselesaikan dalam masa yang segera tanpa melambakkan urusan yang belum selesai.

Bagi penulis walau apa pun kemajuan taraf perkhidmatan, cantik manapun lobi bangunan atau pakaian kakitangan, kelemahan dan kelewatan urusan tetap ada. Pengukuhan sistem perlaksanaan perlulah dilakukan dari masa ke semasa. Kakitangan awam perlulah melaksanakan tugas dengan penuh integriti, penuh tanggungjawab dan kesamarataan serta menghormati setiap golongan pelanggan tanpa mengira usia, jantina, etnik atau taraf hidup mereka. Kerana pekerjaan sebagai kakitangan awam tidak menjadikan mereka sebagai 'insan terpilih' yang boleh membuat sesuka hati tanpa perlu mengikut peraturan. Dalam memberikan perkhidmatan kaunter, kakitangan awam haruslah bersifat jujur, ikhlas, mesra serta rendah diri sepertimana dedikasi doktor dan jururawat di hospital atau pun sekurang-kurangnya menyamai standard perkhidmatan kaunter hadapan di sektor swasta.

Di pihak pelanggan pula, mereka perlulah menyediakan dokumen yang lengkap dengan merujuk kepada senarai semak ( checklist ) yang boleh diperolehi samada dari talian laman web PTD di internet atau di kaunter perkhidmatan PTD. Kegagalan pelanggan membuat urusan mengikut susunan peraturan dan kegagalan menyediakan dokumen lengkap pada waktu membuat permohonan di PTD juga akan menyebabkan urusan tidak boleh diselesaikan dalam waktu yang segera serta perlu berulang alik pergi ke kaunter berulang kali. Pelanggan tersebut bukan sahaja akan kerugian masa, tenaga dan kos tetapi pelanggan lain yang berada di giliran belakangnya juga turut terlibat kerugian akibat perlu menunggu lebih lama daripada yang sepatutnya. Pihak PTD perlulah mencari jalan dalam mempertingkatkan sistem penyampaian maklumat kepada bakal pelanggan.

Habis dan tutup cerita berkenaan mutu perkhidmatan. Sekarang kembali semula kepada fi & bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan bagi pengurusan tanah di PTD.

UNIT PELUPUSAN TANAH

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan permohonan tanah kerajaan, permohonan Lesen Pendudukan Sementara ( LPS ), permohonan penempatan pondok pengawal dalam kawasan perumahan serta permohonan pemindahan bahan batuan.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT PEMBANGUNAN TANAH

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan penyatuan @ penggabungan tanah lot, pecahan bahagian dan sempadan tanah lot, tukar syarat jenis kegunaan tanah serta serah balik dan berimilik semula.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT PENDAFTARAN ( BUKAN URUSAN URUSNIAGA )

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan membuat carian rasmi, carian persendirian, salinan sah dokumen, salinan geran hakmilik tanah, pendaftaran surat amanah, pemegang amanah, surat kuasa wakil, tukarnama, surat akuan sumpah, permohonan masuk kaveat, tarik kaveat, potong kaveat, perintah mahkamah, pusaka kecil, tukar alamat dan lain-lain.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT PENDAFTARAN ( URUSAN URUSNIAGA )

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan jualbeli tanah, pindahmilik tanah, gadaian dan pajakan tanah, perintah jualan melalui mahkamah atau melalui pentadbiran tanah.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT-UNIT PENTADBIRAN YANG LAIN

( PINDAHMILIK & LELONGAN, HASIL, TEKNIKAL DAN PENGUATKUASAAN )

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan permohonan pemilik gadaian, pajakan, permohonan dan rayuan pindahmilik, permohonan dan penangguhan perintah jualan, permohonan atau pembatalan lelongan awam, bayaran tunggakan hasil tanah dan penjualan peta.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

SEKIAN TERIMA KASIH

 

Selasa, 20 Februari 2024

KAVEAT TANAH : DEFINASI & SIAPA YANG MEMERLUKANNYA

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

KAVEAT tanah secara definasi bermaksud :

"Memasukkan halangan bagi sebarang urusan ( urusniaga atau bukan urusniaga ) ke atas pegangan syer atau bahagian tanah yang tertentu di mana pemohon mempunyai kepentingan atau hak ( dengan mempunyai dokumen sokongan ) tetapi nama pemohon tidak dinyatakan sebagai pemilik tanah di dalam geran hakmilik tanah"

PEMOHON yang layak dan boleh memohon perintah kaveat ini adalah orang yang menerima manafaat pemberian tanah secara hibah, pusaka, warisan dan orang atau Syarikat yang telah membuat perjanjian urusniaga jualbeli tanah dengan pemilik tanah yang ada pegangan syer dalam lot tanah tersebut. Orang atau Syarikat yang memberikan pinjaman gadaian dan pajakan kepada pemilik tanah yang ada pegangan syer dalam lot tanah tersebut.

Proses memasukkan kaveat dalam geran tanah bolehlah disamakan dengan prosedur tuntutan hakmilik oleh pihak bank atau Syarikat kewangan ke atas kenderaan dan rumah kediaman yang dibeli oleh pemilik melalui pinjaman atau gadaian. Selagi hutang pinjaman belum diselesaikan selagi itulah hakmilik kenderaan dan rumah kediaman akan terus dituntut oleh pihak bank. Hanya selepas pinjaman dilangsaikan barulah pihak bank akan melepaskan tuntutan hak ke atas kenderaan dan rumah kediaman tersebut.

Secara peraturan bagi tanah jenis pertanian, apabila pemilik tanah hendak memindahmilik kepada anak-anak dan isterinya secara pemberian kasih sayang, hanya 1 nama sahaja yang boleh dimasukkan nama di dalam geran tanah sebagai pemilik tanah yang baru bagi luas tanah 1 ekar. Bagi penama yang tidak boleh dimasukkan namanya di dalam geran tanah atas alasan tidak cukup syarat dari segi keluasan tanah atau belum cukup umur 18 tahun mereka perlulah membuat satu surat ikatan Amanah dan melantik salah seorang daripada mereka sebagai pemegang Amanah dan diberi kuasa untuk dimasukkan sebagai pemilik tanah yang memegang Amanah bagi pemilik lain yang tidak mempunyai nama di dalam geran tanah tersebut.

Begitu juga bagi sebahagian pembeli tanah pemilik yang mempunyai pegangan syer / bahagian yang dinamakan dalam tanah, tidak semua urusan jualbeli tanah itu boleh terus dibuat tukarmilik pengganti nama sebagai pemilik tanah yang baru. Contohnya pemilik tanah asal mempunyai pegangan syer 1 bahagian berkeluasan 2 ekar. Tetapi pembeli tanah hanya membeli 1 ekar sahaja dari bahagiannya dan terdiri daripada 10 orang yang berkongsi kos pembelian tanah tersebut. Sama seperti urusan penamaan bagi pemberian secara kasih sayang di atas, 10 orang pembeli ini juga perlulah membuat surat ikatan Amanah dan melantik salah seorang daripada mereka sebagai pemegang Amanah yang akan dimasukkan namanya sebagai pemilik tanah yang memegang amanah bagi pemilik lain yang tidak dinamakan dalam geran tanah.

Baki 9 pembeli lain yang tidak dimasukkan nama di dalam tanah, bagi mempertahankan hak mereka di dalam tanah tersebut bolehlah memohon kaveat persendirian sebagai halangan bagi sebarang urusan ke atas tanah tersebut dibuat tanpa persetujuan oleh mereka. Secara persamaan, mana-mana pembeli tanah berkeluasan kecil ( seperti lot lidi ) yang mempunyai dokumen sokongan seperti surat ikatan Amanah atau surat perjanjian jualbeli tanah ( SNP ) jika nama mereka tidak boleh dimasukkan di dalam geran tanah, mereka juga boleh mempertahankan hak mereka ke atas tanah tersebut dengan memasukkan kaveat persendirian. Samada boleh atau tidak boleh dapat kelulusan penulis hanya sekadar memberi saranan sahaja. Yang berkuasa menentukan dan memberi kelulusan adalah pihak pentadbir tanah di Pejabat Tanah Daerah.

Pihak yang hendak membuat permohonan kaveat persendirian ini perlulah menunjukkan dokumen sokongan yang tertentu dan dia juga boleh menarik balik kaveat tersebut pada masa hadapan. Selain daripada pemohon kaveat, pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan ke atas hakmilik tanah tersebut juga boleh memohon pemotongan kaveat yang telah dimasukkan tersebut dengan menunjukkan dokumen sokongan yang berkenaan.

Menjadi matlamat kepada penulis hanya untuk memperkongsikan ilmu pengetahuan dalam urusan ukur tanah dan pengurusan tanah sahaja. Kalau ada yang berminat nak buat urusan ukur tanah boleh hubungi kami. Tapi kalau ada yang nak bertanya lebih lanjut berkenaan urusan kaveat ini anda perluklah pergi bertanya di Pejabat Tanah Daerah.


PERMOHONAN TARIK BALIK KAVEAT OLEH PEMOHON

( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )


PERMOHONAN PEMOTONGAN KAVEAT OLEH LAIN-LAIN PIHAK YANG BERKEPENTINGAN

( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )


FI & BAYARAN BAGI SETIAP PERMOHONAN URUSAN KAVEAT

( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )


SEKIAN DAHULU

&

TERIMA KASIH


------------------------------------------------- --------------
Jurukur Tanah Klang @ 2024