Isnin, 26 September 2022

GARISAN SEMPADAN TANAH BERTINDIH : SATU CADANGAN PENYELESAIAN PERTIKAIAN SECARA AMAN

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


HINDARI PERSENGKETAAN DAN PERGADUHAN BERPANJANGAN TANPA PERLU TINDAKAN UNDANG-UNDANG


Isu garisan sempadan tanah bertindih ini bukanlah satu isu yang boleh dipandang remeh. Tidak juga mudah untuk diselesaikan lebih-lebih lagi kalau di atas tanah sudah pun didirikan rumah kediaman atau pagar.

Bertambah rumit lagi kalau membabitkan lot tanah yang berkongsi hakmilik ( geran tanah ) tapi belum pernah disediakan satu pelan pecahan bahagian untuk rujukan kesemua pemilik tanah.

Sudah menjadi kebiasaan kepada jurukur tanah yang banyak terlibat dalam kerja penandaan sempadan berhadapan dengan pemilik tanah atau jiran yang tak berpuashati dan tak mahu terima keputusan hasil daripada ukuran yang telah dibuat.

Method kerja bagi kerja ukur demarkasi begini, apabila hendak menanda semula sempadan lot, jurukur tanah perlu membuat rujukan kepada ‘Pelan diperakui’ ( pelan PA ) bagi lot tersebut. Setiap lot tanah ada pelan PA sendiri yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) dan disahkan oleh kerajaan melalui pihak Pentadbir Tanah & Galian Daerah. Nombor rujukan pelan PA bagi setiap lot akan ditulis di dalam dokumen geran tanah. Jurukur tanah akan mencari semula batu sempadan lot yang telah ditanam oleh kerajaan dahulu. Jika kesemua batu sempadan lot tersebut telah hilang atau rosak, jurukur tanah akan mencari pula batu sempadan lot bersebelahan untuk dijadikan asas bagi pengiraan untuk penandaan semula batu sempadan yang telah hilang tersebut.

Bagi kerja penandaan sempadan pecahan bahagian pula sebelum kerja ukuran atas tanah dibuat, jurukur tanah perlu membuat pengiraan dan menyediakan satu pelan pecahan bahagian yang dipersetujui oleh pemilik tanah terlebih dahulu. Hanya selepas pelan pecahan bahagian itu siap dilukis barulah jurukur tanah boleh pergi ke lokasi membuat kerja ukuran penandaan dengan rujukan kepada pelan tersebut. Asas kerja tetap sama seperti kerja ukur demarkasi penandaan semula sempadan lot, kerja ukur dimulakan dengan membuat carian batu sempadan lot yang terlibat.

Secara realitinya jurukur tanah juga seorang manusia biasa yang tak lari daripada kesalahan. Akan tetapi jika persediaan rapi telah dibuat sebelum memulakan kerja ukuran, membuat kerja secara betul ikut peraturan dan membuat semakan ketepatan sebelum menyiapkan kerja, dengan bantuan peralatan yang serba canggih pada waktu sekarang, melakukan kesalahan adalah sangat minima dan amat jarang terjadi.

Apa yang sering berlaku adalah pemilik tanah atau jiran sebelah yang tak berpuashati dengan kedudukan tanda sempadan bagi lot atau pecahan bahagian yang telah ditandakan, tidak berpuashati hanya melalui pandangan mata sahaja. Mintalah 10 jurukur tanah datang tandakan, selagi tanda tersebut tak terletak di lokasi yang dia mahukan selagi itulah dia tetap tidak akan berpuashati. Inilah yang menjadi punca kepada perselisihan dan persengketaan sesama pemilik tanah yang mempunyai isu garisan sempadan yang bertindih. Dan yang selalu menjadi mangsa keadaan adalah jurukur tanah yang membuat kerja ukuran tersebut.

CARA PENYELESAIAN YANG BOLEH TAPI TAK PATUT DIBUAT

Sekadar pemberitahuan kepada pihak yang tak berpuashati.

a.) Jikalau anda memilih untuk membuat laporan ke pejabat tanah daerah, pihak pejabat tanah daerah akan memanggil kedua-dua pemilik tanah memberikan butiran. Pada akhirnya pejabat tanah daerah akan menyuruh kedua-dua pemilik tanah melantik Jurukur Tanah berkelayakan untuk membuat ukuran pengesahan.

b.) Jikalau anda memilih untuk membuat laporan polis, pihak polis pun tidak tahu dimana kedudukan garisan sempadan yang betul. Pada akhirnya pihak polis juga akan meminta kedua-dua pemilik tanah melantik Jurukur Tanah berkelayakan untuk membuat ukuran pengesahan.

c.) Jikalau anda memilih untuk membuat kes tuntutan undang-undang melalui peguam ke mahkamah. Pada akhirnya pihak mahkamah sendiri akan menyuruh kedua-dua pemilik tanah melantik Jurukur Tanah berkelayakan untuk membuat ukuran pengesahan.

Ketiga-tiga pilihan di atas memang boleh dibuat tetapi tidak patut dibuat sebab pada akhirnya selain daripada faktor memakan masa panjang, kos yang tinggi juga perlu dikeluarkan oleh pemilik tanah untuk mengupah peguam, membayar kos perbicaraan mahkamah dan membayar juga kepada pihak Jurukur Tanah yang akan membuat ukuran pengesahan. Dan secara tidak langsung walaupun selepas isu garisan sempadan bertindih ini dapat diselesaikan, persengketaan sesama pemilik tanah tetap akan berlanjutan.

CARA PENYELESAIAN YANG BETUL DAN AMAN

Jikalau selepas seorang pemilik tanah mengupah jurukur tanah (1) untuk membuat tandaan sempadan tanah hakmiliknya. Jika ada mana-mana pemilik tanah lain atau jiran sebelah yang tidak berpuashati dengan kedudukan tanda yang telah dibuat, apa yang boleh dan sepatutnya dibuat adalah.

1.) Pihak yang tidak berpuashati perlu melantik jurukur tanah (2) yang lain untuk membuat ukuran semakan bagi pihaknya

2.) Selepas ukuran semakan oleh jurukur tanah (2) dibuat, kedua-dua pemilik tanah boleh segera menyelesaikan isu garisan sempadan bertindih jika ukuran semakan tidak menemui apa-apa kesalahan pada tanda yang telah dibuat oleh jurukur tanah (1) sebelum itu

3.) Tetapi jikalau selepas ukuran semakan oleh jurukur tanah (2) dibuat didapati tanda sempadan berada pada lokasi yang tak sama dengan tanda oleh jurukur tanah (1). Kedua-dua pihak jurukur tanah boleh membuat ukuran bersama ( joint survey ) untuk membuat semakan semula ke atas dua-dua tanda yang berada di lokasi berlainan tersebut. Jikalau ukuran semakan kali ketiga berada sama lokasi dengan mana-mana satu daripada 2 tanda awal maka itulah yang mesti diterima dan digunapakai sebagai tanda sempadan yang betul bagi menyelesaikan isu garisan sempadan bertindih tersebut

4.) Dan sebagai opsyen pilihan, kedua-dua pemilik tanah boleh juga berkongsi kos dengan melantik jurukur tanah yang berkecuali ( 3rd party ) untuk membuat ukuran semula penandaan sempadan tanah yang dipertikaikan sebelum itu. Apa saja hasil daripada ukuran oleh jurukur tanah yang berkecuali ini mestilah diterima sebagai penyelesaian kepada isu yang menjadi punca pertikaian.

Penyelesaian secara begini bukan sahaja merupakan cara yang betul tetapi cara begini juga boleh mengelakkan isu berpanjangan dan tanpa perlu membabitkan mana-mana pihak berkuasa serta kos tambahan yang tinggi jika membabitkan tuntutan undang-undang. Selepas selesai isu, kedua-dua pemilik tanah juga boleh berdamai dan melupakan persengketaan yang pernah terjadi sebelum itu.

Tetapi ini hanyalah sekadar satu cadangan dari hasil pengalaman penulis sahaja. Apa saja keputusan dan tindakan yang akan dibuat oleh pihak yang tidak berpuashati, itu adalah hak anda. Tanah anda, duit anda, terpulanglah pada anda nak buat apa pun.

SEKIAN, TERIMA KASIH

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN