Isnin, 27 April 2015

MENJADI SEORANG JURUKUR TANAH


( Updated 2024 )


1. Kami TIDAK BEKERJA dalam pejabat dan kami pun agak tak berapa suka buat kerja dalam pejabat. Pejabat kami adalah di bawah pokok, di tepi jalan, di kedai kopi, mana mana tempat yang redup dan kebiasaanya kereta kami adalah pejabat bergerak kami.

2. Kami TIDAK BEKERJA 9am - 5.30am atau 8am - 5am. Menjadi amalan turun menurun yang diperturunkan oleh senior-senior kami kepada kami ketika masih junior, memulakan kerja seawal matahari terbit dan berhenti kerja pada waktu matahari dah panas terik kerana panas matahari akan memberi kesan tidak baik kepada peralatan dan hasil kerja kami.

3. Kami TIDAK BEKERJA dengan tangan memegang pen, mouse dan keyboard komputer di dalam ruang yang berhawa dingin.

4. Kami BEKERJA di dalam semak, di dalam hutan, di atas bukit-bukit, di tepi di tengah dan kadang kadang di bawah jalan, di atas dan di bawah jambatan, di luar di dalam dan di atas bangunan, tepi parit tepi kolam tepi sungai dan tepi laut. Di mana saja kerana kamilah orang pertama yang akan memulakan kerja dalam semua projek pembinaan dan projek pembangunan.

5. Kami BEKERJA seawal 7 pagi dan berhenti tatkala matahari dah panas terik pada jam 2 - 3 petang. Tapi itu cuma kerja luar. Berhenti kerja di luar kami balik dan berehat kemudian buat kerja pejabat pulak. Memproses data komputer dan melukis pelan dah menjadi bidang tugas-tugas pejabat kami selain daripada mencari informasi pelan lot tanah yang akan di ukur dan pergi membeli pelan tanah terkini di pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) cawangan negeri atau secara online.

6. Kami BEKERJA dengan alat canggih yang perlu digunakan dengan kedua 2 tangan kami. Selain itu kami perlu juga membawa kalkulator untuk mengira, walkie talkie untuk bercakap, buku untuk catatan rekod, tali tape untuk mengukur dan pelan untuk rujukan. Seluar yang banyak poket menjadi pilihan kami kerana boleh membawa macam macam barang kecil di samping beg galas untuk barang yang lebih besar.

7. Kenderaan yang lalu lalang tak putus putus, bunyi bunyi bising dari mesin atau kenderaan, tanah yang tidak rata berbukit atau lembik bertakung air serta persekitaran tempat kerja yang serba kotor dan tak selamat adalah cabaran kerja kami selain dari semak atau hutan yang terpaksa ditebas, dirintis dan dilapangkan dengan hanya menggunakan parang. 

8. Di maki hamun, di halau dengan parang dan dilaporkan kepada pihak polis telah menjadi sebahagian daripada pengalaman yang perlu kami terima daripada mereka-mereka yang tidak suka dengan apa yang dikerjakan oleh kami. Terutamanya apabila kami menandakan lokasi batu sempadan lot tanah orang yang mengupah kami tapi tidak disukai atau tidak dipersetujui oleh tuan tanah jiran sebelah.

9. Kami mohon maaf kerana menjadi kebiasaan kami tak dapat menjawap panggilan telefon semasa sedang membuat kerja. Bunyi yang bising sampai tak sedar ada panggilan masuk, tangan yang dah penuh memegang bermacam macam peralatan ataupun tangan yang berlumur dengan kekotoran dan kerapkali lokasi tempat kerja kami adalah kawasan yang kurang mendapat liputan telefon dan kadang kadang tak ada liputan langsung seperti ketika membuat kerja di projek bangunan tinggi. Itu semua adalah alasan kami kenapa panggilan telefon anda tidak dijawap ketika kami sedang membuat kerja.

10. Sistem satelit GPS, GPRS dan GIS sangat sangat membantu kami agar tidak tersesat atau tersalah mengukur tanah orang lain. Kalau dulu dulu, berbahasa dengan sopan menjadi kaedah terbaik untuk kami bertanya dengan orang yang lalu di tepi jalan, di dalam kedai makan atau bertanya pada orang orang tempatan, bertanya dimanakah lokasi kami berada sekarang atau bertanya jalan mana yang mesti kami pilih untuk ke lokasi tempat kerja kami. Kerapkali juga kami bertanya dimanakah adanya batu sempadan lot tanah yang masih elok di kawasan situ atau kadang kadang tu bertanya dimanakah adanya tandas kerana kami sangat sangat perlu pergi ke tandas pada waktu itu... hehe.

11. Kepada tuan-tuan tanah yang tak suka dengan lokasi penandaan sempadan lot tanah oleh kami atau kerana kami mengukur apa-apa saja benda kekal yang ada di atas tanah anda, janganlah anda marahkan kami kerana kami juga seperti anda perlu membuat kerja demi mencari rezeki. Kalau anda marah kerana tak setuju pun marahlah pada mereka yang mengupah kami membuat kerja ukur di situ. Marahlah pada kontraktor atau syarikat yang masih lagi tak bayar duit anda atau marahlah pada mereka-mereka yang telah berjanji tapi tak ditepati dengan anda berkenaan hal tanah anda.

12. Sebagai jurukur tanah persendirian kami menawarkan perkhidmatan ukur tanah yang lebih murah dan lebih cepat disiapkan.

13. Kadar HARGA MINIMA kami yang bermula dari RM 600 / per hari ** ( bagi kerja ukur tanah tertentu dan di lokasi tanah tertentu ) sudah pun termasuk 20 % fee LJT dan 8 % cukai kerajaan**. Jadi tiada lagi cukai tambahan yang perlu dibayar oleh pelanggan kami. ( ** update tahun 2024 )

14. Kami menawarkan khidmat nasihat dan perundingan profesional secara percuma kepada tuan-tuan tanah yang bertanya kerana kebanyakan dari kami berpengalaman luas dengan pernah bekerja sebagai jurukur di syarikat Jurukur Tanah Berlesen dan di syarikat pembinaan yang sudah tentu mampu bekerja sendiri dan mampu menyelesaikan masalah dengan tanpa tunjuk ajar atau bimbingan dari orang lain. ( troubleshooting & independent )

15. Kami boleh bertolak ansur, boleh berlebih kurang atau boleh memberikan harga diskaun kepada anda jika anda betul-betul berada dalam situasi yang tak begitu baik. Demi khidmat mesra dan menghormati pelanggan kami sanggup terima sedikit pengurangan bayaran tapi janganlah pula sampai kami mendapat kerugian.

16. Alat alat yang kami gunakan untuk membuat kerja bukanlah barang barang yang berharga murah. Kalau dicampur kesemuanya, jumlahnya boleh membeli sebiji kereta. Bukan harga kereta terpakai tetapi harga kereta yang baru keluar dari kilang. Kami tak dapatnya percuma tapi kami perlu membelinya sebagai modal kerja.

17. Jikalau 'mak andam' dan 'jurufoto' majlis perkahwinan anda meminta upah beribu hanya berbekalkan alatan yang kecil-kecil dan ringkas serta mereka bekerja tanpa mengeluarkan peluh; anda dengan mudahnya bersetuju dan terus membuat bayaran upah atau deposit sebelum mereka mulakan kerja lagi. Janganlah pula anda katakan kami meletakkan harga yang mahal andaikata kami berikan sebutharga upah kami bernilai 4 angka yang melebihi RM 1000 kepada anda.

18. Kami mungkin 'bos' tapi kami juga perlu bekerja sendiri ibarat ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jikalau kami tidak keluar membuat kerja maka tiadalah rezeki untuk dibawa balik buat menyara keluarga. 

19. Hasil kerja kami adalah sama tepat dan boleh dipercayai walaupun kami hanyalah berstatus 'Jurukur Tanah biasa' sahaja dan bukannya 'Jurukur Tanah Berlesen' kerana setiap jurukur tanah itu adalah terikat dengan syarat dan peraturan ketat yang telah digariskan oleh pihak kerajaan, JUPEM, LJT dan juga undang-undang Kanun Tanah Negara.

20. Akhir kata kami sangat-sangat menyukai dan 'JATUH CINTA' dengan pekerjaan kami. Kami sangat berbangga menjadi seorang JURUKUR TANAH @ LAND SURVEYOR yang merupakan orang pertama yang akan memulakan kerja dalam setiap projek pembangunan ( site survey ) dan kami juga akan menjadi orang yang terakhir membuat kerja selepas siap setiap projek ( as-built survey ). 

" Tanpa 'Jurukur Tanah' tak akan bermula, tak akan siap dan tak akan tepatlah apa saja projek pembinaan & pembangunan " - Nick Bagan @ 27/4/2015

TERIMA KASIH KEPADA PELANGGAN YANG TELAH MENDAPATKAN KHIDMAT KAMI UNTUK MENGUKUR TANAH ANDA....


Rabu, 31 Disember 2014

KERJAYA : JURUKUR BERLESEN ATAU SYARIKAT PEMBINAAN ?


Sebagai entri terakhir bagi tahun 2014, sekadar memberikan pandangan berpandukan pengalaman sendiri, ini adalah jawapan aku kepada banyak soalan berkenaan kerjaya daripada banyak pelajar bidang ukur tanah yang bakal memulakan kerjaya mereka.

Sepanjang tahun 2014 ini kalau aku kira balik kesemua soalan berkaitan kerjaya mungkin ada lebih dari sedozen soalan yang berlainan ayat tapi bermaksud sama daripada pelajar-pelajar yang bakal menamatkan kuliah dan bakal memulakan kerjaya dalam bidang ukur tanah. Dan kesemua soalan itu adalah berkisar kepada dimanakah tempat yang lebih bagus untuk memulakan kerjaya mereka. Samada nak bermula di syarikat jurukur berlesen ( LS ) atau pun memulakan kerjaya di syarikat pembinaan ( CS ).

Aku bukan nak berpihak kepada mana-mana syarikat samada LS atau CS tetapi seperti yang aku tuliskan di atas, ini adalah merupakan sekadar pandangan aku berdasarkan pengalaman aku sendiri. Walau dimana pun permulaannya 'pro dan kontra' tetap ada dan dunia kerjaya adalah merupakan kehidupan yang berlainan jika dibanding dengan waktu diri masih bergelar pelajar.

Ahad, 9 November 2014

MEMBUAT CARIAN RASMI & CARIAN PERSENDIRIAN DI PEJABAT TANAH DAERAH



Masih ramai yang tak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkan informasi terkini mengenai hartanah dan juga dimanakah ada disediakan perkhidmatan pencarian informasi bagi hartanah yang berupa lot tanah atau lot rumah. Ada juga tuan tanah dan tuan rumah yang telah kehilangan geran atau pun tak tahu dimanakah atau siapakah yang menyimpan geran tersebut apabila dia memerlukan geran tersebut untuk membuat permohonan rasmi kepada mana-mana jabatan kerajaan atau pihak lain.

Pejabat Tanah Daerah / PTD ( bukan 'Pejabat Tanah & Galian / PTG' ) daerah dimana terletaknya lot tanah yang mahu dicari informasi adalah pejabat atau jabatan kerajaan yang tepat untuk mendapatkan informasi mengenai tanah atau hartanah bagi daerah tersebut.

PTD bukan PTG

-------------------------------------------------