Ahad, 5 Mac 2023

PENGUBAHAN KATEGORI KEGUNAAN TANAH ( TUKAR SYARAT )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

Mengikut seksyen 52 Kanun Tanah Negara ( KTN ) 1965, semua tanah yang diberi milik terbahagi kepada 3 kategori kegunaan tanah iaitu :

i.)                  Pertanian

ii.)                 Bangunan ( Kediaman atau Perniagaan )

iii.)               Industri 


Semua pemilik tanah sepatutnya menggunakan tanah berkenaan mengikut kategori kegunaan tanah dan syarat nyata dalam hakmilik. Kegagalan berbuat demikian adalah melanggar syarat yang ditetapkan dan pihak berkuasa negeri boleh merampas balik tanah berkenaan. Tuan tanah yang ingin menggunakan tanahnya untuk kategori selain daripada yang tercatat dalam hakmilik perlulah mengambil tindakan untuk mengubah kategori kegunaan tersebut.

Seksyen 124 dan 124A KTN serta Kaedah-Kaedah Tanah Negeri membolehkan tuan tanah berbuat demikan. Pihak berkuasa negeri akan mengenakan bayaran premium tambahan ke atas setiap permohonan tukar syarat yang diluluskan.

Mengikut KTN bagi tanah jenis pertanian syarat keluasan minima untuk mendapatkan geran tanah secara berasingan bagi mana-mana bahagian yang berkongsi hakmilik adalah tidak boleh kurang daripada 0.25 ekar.

  Sebagai contoh untuk pemahaman pembaca. Ada 1 lot tanah jenis pertanian berkeluasan 2 ekar yang dimiliki secara berkongsi hakmilik oleh 6 penama. Pemilik ‘A’ mempunyai ½ bahagian bersamaan luas 1 ekar. Manakala baki 1 ekar lagi dimiliki oleh 5 pemilik dari satu keluarga ‘B’ dengan masing-masing memiliki 1/10 bahagian yang bersamaan luas 0.2 ekar.

Jika pemilik ‘A’ mahu membuat pecahan bahagian bagi mendapatkan geran tanah berasingan dia boleh buat sebab tidak mempunyai masalah dari segi syarat luas minima sebab tanah bahagiannya adalah 1 ekar. Tetapi jika 5 pemilik dari keluarga ‘B’ mahu membuat pecahan bahagian untuk tujuan yang sama bagi mendapatkan geran tanah secara berasingan, mereka tidak dapat buat kerana luas tanah bahagian mereka tidak memenuhi syarat luas minima iaitu tidak boleh kurang dari 0.25 ekar.

Bagi membolehkan kesemua 6 pemilik tanah ini mendapatkan geran tanah berasingan maka disinilah perlunya dibuat permohonan ‘tukar syarat’ kegunaan tanah terlebih dahulu. Mereka perlulah menukar kategori kegunaan tanah dari pertanian kepada kediaman atau bangunan. Permohonan untuk menukar syarat kegunaan tanah boleh dibuat secara berasingan dan boleh juga dibuat secara serentak dengan permohonan pecahan bahagian bagi mendapatkan geran tanah berasingan. Selagi tidak ditukar syarat kegunaan tanah maka tidaklah boleh mereka membuat permohonan bagi mendapatkan geran tanah berasingan.

Apa yang perlu dilakukan oleh mereka adalah melantik pihak ‘Perancang Bandar Bertauliah’ mengemukakan satu permohonan bagi merancang pemajuan tanah tersebut bagi pihak mereka. Selain daripada keperluan menyediakan cadangan pemajuan tanah dalam bentuk laporan dan pelan perancangan mereka juga perlulah membayar premium berjumlah 15% dari nilai pasaran tanah mereka dalam kategori kegunaan yang baru pada masa permohonan dibuat sejurus selepas mendapat kelulusan. Nilai premium inilah yang menjadi halangan besar kepada ramai pemilik tanah yang berkongsi geran daripada mendapatkan geran tanah secara berasingan.

Sila rujuk rajah di bawah, senarai dokumen dan lampiran keperluan bagi permohonan mendapatkan kelulusan tukar syarat kegunaan tanah daripada pihak berkuasa negeri.



( klik foto untuk zoom pembesaran )


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )



SEKIAN TERIMA KASIH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN