Urusan pindah milik tanah memasukkan nama pemilik
baru bagi keseluruhan atau hanya sebahagian syer pegangan hakmilik tanah dalam
mana-mana lot tanah yang berhakmilik ( ada geran tanah ) perlulah dibuat
apabila terjadinya urusan jual beli, pemberian di antara suami isteri atau
pemberian secara kasih sayang dari ibu bapa atau datuk nenek kepada anak atau
cucu. Bagi urusan pindah milik di atas, perlulah dibuat dengan mengisi borang
14A dengan perakuan dan tandatangan pemilik asal dan pemilik baru dibuat
dihadapan seorang saksi yang layak dari kalangan Pentadbir Tanah, peguam atau
notari awam / Pesuruhjaya Sumpah.
Selain daripada keperluan mengisi borang 14A ada
banyak lagi dokumen sampingan atau sokongan yang perlu dilampirkan sekali
dengan permohonan tersebut. Senarai semak dokumen lampiran boleh didapati di kaunter
atau laman web pejabat tanah daerah. Sebelum membuat permohonan pastikan
kesemua dokumen lampiran dan sokongan ini ada dilampirkan bersama.
SENARAI SEMAK PENDAFTARAN PINDAH MILIK TANAH
( klik foto untuk zoom pembesaran )
SYARAT LUAS MINIMA PINDAH MILIK
Untuk membolehkan nama pembeli sebahagian syer
pegangan tanah dimasukkan ke dalam geran tanah bergantung kepada luas minima
kategori kegunaan tanah tersebut. Jika keluasan tanah yang dibeli tidak
mencukupi syarat asas dari segi luas minima, nama pembeli tersebut tidak boleh
didaftarkan sebagai pemilik tanah.
Pembeli hanya boleh didaftarkan sebagai pihak yang
memiliki pegangan amanah bagi luas atau syer yang terbabit sahaja. Sama juga
dengan pindahan milik secara kasih sayang. Jika luas tanah yang diberikan tidak
memenuhi syarat luas minima, tidak semua penerima manafaat tanah itu boleh
dimasukkan namanya sebagai pemilik tanah yang baru. Kalangan penerima manafaat
secara kasih sayang ini perlulah melantik seorang pemegang amanah dengan
memberikan persetujuan di dalam satu surat ikatan amanah. Proses penamaan nama
pembeli dan penerima manafaat kasih sayang yang tidak cukup syarat luas minima
hanya akan dimasukkan sebagai pemilik tanah yang sah ke dalam geran tanah hanya
setelah pemilik asal tanah tersebut selaku pihak penjual atau pemberi manafaat
meninggal dunia sahaja.
Sebagai contoh untuk pemahaman, seorang bapa kepada
4 orang anak memiliki tanah pertanian luas 2 ekar. Dia berhasrat memberikan
separuh atau 1 ekar dari tanah tersebut kepada 4 orang anaknya secara samarata.
Tetapi mengikut peraturan bagi tanah pertanian, luas 1 ekar hanya boleh dimasukkan
1 nama sahaja. Jadi disinilah keperluan 4 anak tersebut melantik salah seorang
dari mereka sebagai wakil pemegang amanah untuk dimasukkan nama sebagai pemilik
tanah yang mempunyai ( 1/2 ) bahagian sebagai pemegang amanah bagi pihak kesemua
4 orang anak yang mempunyai kepentingan ( 1/8 ) bahagian tanah setiap seorang.
Setelah bapa mereka meninggal dunia nanti barulah kesemua nama mereka akan
dimasukkan sebagai pemilik tanah di dalam geran tanah.
Dahulu banyak agen pihak penjual tanah lot lidi
mengambil kesempatan dengan menjual tanah lot lidi secara menggunakan surat
ikatan amanah begini. Tetapi apabila semakin banyak berlakunya kes penipuan
penjualan tanah maka kerajaan negeri Selangor telah pun mengambil ketetapan
tidak lagi meluluskan sebarang surat ikatan amanah yang dibuat dari urusan jual
beli tanah. Hanya surat ikatan amanah daripada urusan pemberian tanah secara
kasih sayang sahaja yang boleh diterima dan dimasukkan ke dalam geran tanah.
NOTA KAKI
Artikel ini ditulis hanya bagi menjawap pertanyaan yang penulis terima dari kalangan pembaca sahaja. Peraturan dan undang-undang adalah ditentukan oleh pihak pentadbir tanah mewakili pihak kerajaan negeri.
Penulis tidak bertanggungjawap jika ada kesalahan fakta sebab peraturan dan undang-undang boleh berubah mengikut keadaan dan dari masa ke semasa serta tidak sama antara setiap negeri. Untuk lebih jelas dan muktamad, jika ada pertanyaan perlulah merujuk kepada pihak yang bertanggungjawap dan berkuasa iaitu pihak petadbir tanah yang ada di Pejabat Tanah Daerah.
SEKIAN
TERIMA KASIH
--------------------------------------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2023
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PERINGATAN :-
PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN