بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Apakah G.I.S dan apakah kegunaannya kepada pengguna serta pemilik tanah
GIS
adalah satu sistem maklumat yang boleh menyimpan, memapar, menganalisis, dan
memanipulasi data yang berkaitan dengan bentuk mukabumi dan faktor geografi
dalam bentuk data spatial, atribut dan digital. Sejak ia mula diperkenalkan
pada tahun 1960-an, sistem ini telah mengalami beberapa siri penambahbaikan
sejajar dengan pembaharuan dan peningkatan dalam teknologi komputer serta
Internet.
--------------------------------------------------
SISTEM G.I.S : CARA BARU BAGI MENDAPATKAN MAKLUMAT BERKENAAN TANAH ANDA
Sistem yang telah menjadi semakin penting dan berguna khususnya kepada mereka yang terbabit
dengan penggunaan peta untuk analisis bentuk mukabumi, kegunaan tanah,
perancangan tanah, pengurusan hutan, data kependudukan, maklumat lalulintas,
kajian serta ramalan cuaca dan sebagainya. Keupayaan sistem ini tidak terhad
kepada pemaparan peta digital sahaja sebaliknya pengguna juga boleh melakukan
kerja-kerja analisis kerana di dalam satu sistem GIS ia boleh digabungkan
dengan berbagai data maklumat lain daripada berbagai jabatan atau agensi yang
terlibat dalam bidang yang berkaitan kajian geografi serta pembekalan maklumat
untuk aktiviti perancangan serta pembangunan.
Satu
contoh sistem GIS yang kita semua biasa gunakan adalah Google Maps untuk
maklumat jalan, lalulintas dan perancangan perjalanan. Di dalam kebanyakan
peralatan GPS yang kita gunakan untuk merancang perjalanan dari satu tempat ke
tempat yang lain boleh dikatakan kesemuanya menggunakan maklumat yang
dibekalkan oleh aplikasi Google Maps sebagai sumber pengkalan data mereka. Manakala
aplikasi Google Earth pula adalah sebuah sistem GIS yang lebih menyeluruh lagi
dengan membekalkan berbagai data maklumat daripada pandangan satelit. Kedua-dua
sistem GIS ini boleh membekalkan kita dengan maklumat jarak, luas, kodinit
lokasi ( latitude & longitude ) & ketinggian aras ( altitude ).
Satu
sistem GIS yang dibangunkan oleh sesebuah negeri akan menggabungkan maklumat
daripada kedua-dua aplikasi ini dengan ditambahkan lagi maklumat lain daripada
pembekal maklumat lain contohnya Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia, Jabatan
Perancang Bandar, Jabatan Parit & Saliran, Majlis Perbandaran, Jabatan Kaji
Cuaca, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Laut dan lain-lain lagi. Aplikasi GIS juga boleh diguna pakai dalam pelbagai bidang
termasuk pengajian sosial, penyelidikan sains, pendidikan, perniagaan dan
pemasaran, matematik, pengukuran dan pendidikan kesihatan dan jasmani. Tetapi bagi
membangunkan satu sistem GIS yang lengkap dengan data maklumat yang berketepatan
tinggi serta mesra pengguna bukanlah mudah dan murah kosnya. Tidak semua negeri
di Malaysia yang berjaya membangunkan sistem GIS bagi negeri mereka.
Bagi
pemilik-pemilik tanah pula, mereka boleh menggunakan data maklumat daripada
sistem GIS negeri lokasi tanah mereka untuk membuat analisa serta perancangan.
Mereka boleh mengetahui dimana terletaknya lot tanah mereka, keadaan bentuk mukabumi, kodinit lokasi lot tanah, ketinggian aras tanah dan juga
jarak jauh daripada jalan besar atau sungai yang terdekat untuk perancangan
membuat jalan masuk atau pun saliran ke lot tanah mereka. Melalui data GIS juga mereka
dapat membuat perancangan guna tanah apa yang sesuai untuk tanah mereka samada untuk
kegiatan pertanian atau pun membuat rumah kediaman. Selain dari itu ada berbagai lagi maklumat yang boleh diperolehi yang berkenaan lot tanah mereka yang boleh mereka perolehi daripada carian maklumat dan analisis data daripada sistem GIS ini.
Daripada
pengalaman penulis menggunakan sistem GIS negeri-negeri yang telah berjaya
membangunkannya di Malaysia, sistem maklumat GIS Pulau Pinang adalah yang paling
menyeluruh, tepat, cepat dan mesra pengguna. Bukan sahaja dibangunkan satu sistem bagi
seluruh negeri tetapi setiap daerah dan setiap pihak berkuasa Majlis
Perbandaran yang ada di Pulau Pinang juga mempunyai sistem GISnya sendiri.
Bukanlah hendak memuji negeri kelahiran penulis tetapi sistem yang telah
dibangunkan oleh negeri Pulau Pinang memang sangat mudah hendak digunakan serta
cepat mencapai data yang dicari. Syabas juga buat Negeri Sembilan kerana sistem
GIS mereka juga mudah, mesra pengguna dan tidaklah lembab. Dan bukan juga niat
penulis hendak memperlekehkan mana-mana negeri tetapi sistem GIS bagi negeri
Selangor & Perak adalah tidak mesra pengguna, lembab dan susah
hendak membuat apa-apa pencarian maklumat. Menu yang digunakan juga susah hendak difahami dan mengelirukan serta paparan pelannya juga tidak tepat dan tidak terkini. GIS Perak adalah yang paling tidak mesra pengguna kerana mengandungi terlalu banyak menu 'pop-up' yang menyakitkan mata serta mengelirukan. Tidak terdapat menu bagi penukaran bahasa dan juga setiap menunya akan mempunyai 'pop-up'nya sendiri yang kandungannya tidak memberikan apa-apa input kepada pengguna. Pada pendapat
penulis, kedua-dua negeri ini iaitu Selangor & lebih-lebih lagi negeri Perak perlulah membuat
perubahan dan penambahbaikan dalam pembangunan sistem GIS mereka dengan
mengambil sistem GIS Pulau Pinang atau GIS Negeri Sembilan sebagai contoh untuk di ikuti.
Dibawah
ini penulis sediakan link untuk pemilik-pemilik tanah di negeri Selangor, Pulau
Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak & Johor boleh lawati dan buat pencarian
maklumat mengenai geografi lot tanah mereka. Pembaca boleh merasai sendiri pengalaman melawati portal-portal GIS tersebut dan bolehlah sekiranya jika mahu memberi komen atau ulasan di sini supaya pihak yang berkenaan dapat membaca dan membuat sesuatu mengenainya.
Penerangan mengenai GIS di atas hanyalah secara ringkas dan mudah bagi untuk memudahkan pembaca yang tidak pernah ketahui dan tidak pernah menggunakan sistem maklumat GIS sebelum ini faham akan kegunaannya. Jika pembaca perlukan penjelasan lebih lanjut silalah layari GeoPortal Malaysia dan membuat pertanyaan di sana kerana di sana terdapat kakitangan yang lebih pakar dalam menguruskan dan memberi penerangan mengenai sistem maklumat geografi ini. Penulis hanyalah seorang Jurukur Tanah yang sekadar mewar-warkan kegunaannya kepada pengguna terutamanya kepada pemilik tanah.
( Sila klik sistem GIS negeri yang hendak
dilawati )
2.) GIS Pulau Pinang
3.) GIS Selangor
5.) GIS Melaka
7.) GIS Perak
-------------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2023
#jurukurtanah
#jurukurtanahbagan
#jurukurtanahklang
#jurukurtanahdiklang
#jurukurtanahdiselangor
#baganbeachboy