Memaparkan catatan dengan label Geographic Information System. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Geographic Information System. Papar semua catatan

Jumaat, 10 Mac 2023

PERKHIDMATAN JURUKUR TANAH KLANG : UKUR TOPOGRAFI

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Kerja ‘Ukur Topografi’ merupakan kerja ukur bagi merekodkan aras ketinggian tanah mana-mana kawasan yang perlu di ukur. Bagi projek pembangunan seperti pembinaan jalanraya, jalan keretapi, projek pembinaan empangan atau pun pembinaan kawasan perumahan kerja ukur topografi perlulah dibuat terlebih dahulu untuk perancangan guna tanah dan kesesuaian pembinaan bagi projek berkenaan.

Dari ukuran topografi tinggi rendah tanah di kawasan terlibat akan direkodkan dan ditunjukkan dalam satu pelan atau peta topografi. Ketinggian dan bentuk sebenar keadaan mukabumi kawasan berkenaan akan ditunjukkan dalam bentuk garisan yang dinamakan sebagai garisan kontor. Jumlah garisan kontor yang akan ditunjukkan adalah bergantung kepada perbezaan tinggi tanah kawasan yang terlibat. Secara asasnya garisan kontor yang akan ditunjukkan adalah dalam 2 jenis garisan iaitu ‘kecil dan besar’ atau ‘major dan minor’. Garisan minor adalah bagi beza tinggi yang kecil seperti setiap 1 meter satu garisan manakala garisan major pula adalah bagi beza tinggi yang lebih besar seperti setiap 5 atau 10 meter satu garisan. Garisan minor akan berada di antara garisan major. Sebagai contoh, bagi ketinggian di antara 0 hingga 10 meter, garisan major akan dilukis bagi ketinggian setiap 5 meter bermula dengan ketinggian 0m , 5m & 10m. Garisan minor pula akan dilukis untuk beza tinggi setiap 1 meter bermula dengan 1m, 2m, 3m, 4m, 6m, 7m, 8m dan 9m. Apabila selang garisan kontor berada jauh serta tidak banyak ini menunjukkan tanah tersebut landai tetapi jika selang garisan kontor berada rapat dan banyak ini pula bermaksud kawasan tersebut berbukit. Sila rujuk foto lampiran untuk faham.

Ukuran topografi penting bagi perancangan guna tanah dan kesesuaian pembinaan tak kiralah bagi projek besar atau kecil. Contohnya, satu tanah lot yang terletak di lereng bukit atau kawasan yang tidak rata jika pemilik tanah ingin membina sebuah rumah atau bangunan dengan adanya pelan topografi pihak jurutera dan arkitek dapat mencadangkan bentuk, kedudukan serta kesesuaian jenis kediaman yang boleh dibina di tapak tanah. Perancangan guna tanah dapat dibuat bagi pengaliran air hujan atau peparitan bagi mengelakkan kerja tambahan seperti menambak atau memotong tanah asal yang pastinya akan melibatkan kos tambahan bagi kerja penyediaan tapak rumah atau bangunan tersebut. Bentuk serta ketinggian lantai rumah atau bangunan dapat diselaraskan dengan bentuk serta ketinggian tanah asal lot tersebut. Dengan perancangan yang bersesuaian dengan keadaan asal sudah pasti kos bagi pembinaan dapat dijimatkan. 

Bagi tanah pertanian yang terletak di kawasan berbukit, dengan ukuran topografi teres-teres bagi tanaman, parit untuk saliran serta jalan keluar masuk dapat dibuat perancangan di tempat yang lebih sesuai bagi memudahkan aktiviti pertanian. Produktiviti dapat dipertingkatkan dan kos pengurusan serta selenggaraan dapat dikurangkan. 



CIRI-CIRI GARISAN KONTOR DALAM PELAN / PETA TOPOGRAFI

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064

 

----------------------------------------------------------


Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy


Sabtu, 29 Julai 2017

G.I.S : SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Apakah G.I.S dan apakah kegunaannya kepada pengguna serta pemilik tanah


GIS adalah satu sistem maklumat yang boleh menyimpan, memapar, menganalisis, dan memanipulasi data yang berkaitan dengan bentuk mukabumi dan faktor geografi dalam bentuk data spatial, atribut dan digital. Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1960-an, sistem ini telah mengalami beberapa siri penambahbaikan sejajar dengan pembaharuan dan peningkatan dalam teknologi komputer serta Internet.

--------------------------------------------------

SISTEM G.I.S : CARA BARU BAGI MENDAPATKAN MAKLUMAT BERKENAAN TANAH ANDA

Sistem yang telah menjadi semakin penting dan berguna khususnya kepada mereka yang terbabit dengan penggunaan peta untuk analisis bentuk mukabumi, kegunaan tanah, perancangan tanah, pengurusan hutan, data kependudukan, maklumat lalulintas, kajian serta ramalan cuaca dan sebagainya. Keupayaan sistem ini tidak terhad kepada pemaparan peta digital sahaja sebaliknya pengguna juga boleh melakukan kerja-kerja analisis kerana di dalam satu sistem GIS ia boleh digabungkan dengan berbagai data maklumat lain daripada berbagai jabatan atau agensi yang terlibat dalam bidang yang berkaitan kajian geografi serta pembekalan maklumat untuk aktiviti perancangan serta pembangunan.