Memaparkan catatan dengan label Ehwal Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ehwal Semasa. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Mac 2023

HAK LALULALANG TANAH SEKSYEN 390 KANUN TANAH NEGARA 1965

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


( Panduan Permohonan Hak Lalulalang Tanah )

Sejak kebelakangan ini apabila harga rumah semakin meningkat di pasaran, tanah-tanah yang dahulunya adalah tanah pertanian untuk kebun getah atau kelapa sawit yang sudah tidak produktif lagi semakin menjadi pilihan dijadikan tapak bagi rumah kediaman.

Bagi tanah pertanian yang telah pun ditukar status menjadi tanah kediaman atau bangunan mungkin tidak timbul masalah kerana menjadi syarat wajib disediakan satu rezab jalan lebar 40 kaki untuk dijadikan laluan keluar masuk bagi setiap pemilik tanah Tetapi yang sering menjadi isu bagi pemilik tanah yang hanya berkongsi hakmilik dalam tanah yang masih berstatus pertanian adalah laluan untuk keluar masuk. Apalagi kalau tanah bahagiannya berada di sebelah belakang lot tanah tersebut. Untuk membina sebuah rumah mungkin tidak ada masalah tetapi untuk laluan keluar masuk ke rumahnya dari jalan besar ini yang bermasalah. Oleh sebab tidak pernah dibuat satu pelan pecahan bahagian tanah yang siap sedia satu rezab jalan bagi kegunaan semua pemilik seringkali pemilik tanah yang berada di bahagian hadapan akan membina rumah dengan menutup habis tanah bahagiannya. Dia tidak mahu kerugian akibat daripada perlu memberikan sebahagian tanahnya untuk dijadikan sebagai jalan masuk bagi pemilik di belakang. Oleh sebab dia tak perlukan jalan masuk untuk ke rumahnya jadi inilah yang menjadi punca atau isu sebab apa dia kena bagi tanah untuk buat jalan sedangkan dia tak perlu guna pun jalan tersebut. Pemilik tanah dibelakang perlu lalu atas tanah bahagiannya tetapi dia tidak pula perlu lalu atas tanah sesiapa untuk keluar masuk dari rumahnya. Jadi dia berasa tidak adil jika dia perlu korbankan tanah bahagiannya untuk dijadikan sebagai jalan masuk. Dengan harga pasaran tanah dan rumah pada waktu sekarang dinilai dalam keluasan kaki persegi, dia akan kerugian berpuluh ribu ringgit jika dia perlu berikan sebahagian tanahnya untuk dijadikan jalan masuk yang dia sendiri tak guna walaupun hanya selebar 10 kaki.

Isu jalan masuk inilah yang seringkali menjadi punca perbalahan dan pergaduhan sesama pemilik tanah yang berkongsi hakmilik.

Mungkin kebanyakan pembaca atau pemilik tanah tidak tahu yang sebenarnya dalam akta Kanun Tanah Negara di bawah seksyen 390, pemilik tanah boleh membuat permohonan rasmi kepada pihak pentadbir tanah untuk mewujudkan satu laluan bagi kegunaan pemilik tanah.

Permohonan ini perlulah dibuat sendiri oleh pemilik tanah dengan lampiran :

Borang 28A atau 28C ( 3 salinan )

Sijil Carian Rasmi ( 1 salinan yang asal )

Geran Tanah ( 1 salinan )

Cukai semasa ( 1 salinan )

Dan pelan lakaran kedudukan jalan ( 5 salinan )

Sila rujuk foto gambarajah dibawah untuk carta aliran tindakan yang akan dibuat oleh pihak pentadbir tanah / pejabat tanah.


( carta aliran permohonan hak lalulalang )

______________________________________________________________


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )


SEKIAN, TERIMA KASIH




Jumaat, 8 Julai 2022

LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA ( LPS @ TOL )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA ( LPS @ TOL )

Tahukah anda, mengusahakan apa-apa aktiviti di atas tanah kerajaan yang terbiar atau di dalam kawasan simpanan rentis TNB dengan tanpa kebenaran adalah merupakan satu kesalahan. Ini boleh dianggap sebagai menceroboh atau menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

Penceroboh boleh didenda dan disabitkan kesalahan di mahkamah oleh Pihak Pentadbir Tanah Daerah di bawah Akta Kanun Tanah Negara.

Seperti foto lampiran yang ditunjukkan disini, yang sebenarnya terdapat aktiviti yang dibenarkan dan boleh diberikan kebenaran contohnya tanaman sayur sayuran, tebu atau pisang serta lain-lain tanaman bersifat tidak kekal yang lain yang boleh dibenarkan di dalam kawasan rentis TNB. Manakala bagi tanah kerajaan yang bukan simpanan rentis TNB pula terdapat lebih banyak lagi kegiatan serta tujuan yang boleh diberikan kebenaran. Untuk tahu jenis aktiviti yang mendapat kebenaran pada sesuatu lokasi anda perlulah pergi bertanya dan dapatkan kebenaran yang sah di Pejabat Tanah Daerah.

Anda boleh membuat permohonan rasmi kepada pihak Pentadbir Tanah Daerah di pejabat tanah daerah lokasi tanah tersebut berada dengan mengemukakan butiran lokasi kedudukan dan keluasan tanah dalam bentuk pelan ‘Pra-Hitungan’ yang disediakan oleh pihak jurukur tanah.

Kebenaran yang sah inilah yang disebut sebagai ‘LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA’ ( LPS ) atau lebih sering disebut sebagai geran T.O.L

Dibawah adalah ringkasan daripada portal rasmi Pejabat Tanah & Galian Negeri Selangor berkenaan cara membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran ‘LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA’.

--------------------------------------------------------------------------------------------- 


PERMOHONAN LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA (TOL)

Di bawah Seksyen 65 KanunTanah Negara
Suatu kebenaran dalam bentuk lesen yang bersifat sementara diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana pihak yang diberikan kuasa untuk suatu tujuan yang telah dikhaskan di mana tanpanya seseorang itu akan dianggap sebagai penceroboh dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.


SIAPA YANG LAYAK MEMOHON

1.  Warganegara Malaysia selain remaja

2.  Perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan masing-masing memegang tanah

3.  Raja-raja memerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa memegang tanah di bawah Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957

4.  Badan-badan yang diberikuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah undang-undang bertulis masing-masing
 

BAGAIMANA MEMOHON

1.  Dibuat melalui Pentadbir Tanah

2.  Dibuat oleh Pemilik Tanah Sendiri

3.  Permohonan hendaklah disertakan dengan segala dokumen yang berkaitan.

CARA MEMOHON

1.  Permohonan dibuat oleh pemohon melalui Pejabat Tanah Daerah, pemohon perlu membeli pelan untuk kawasan yang dipohon

2.  Pemohon perlu mengisi borang LPS di Pejabat Tanah Daerah

3.  Borang yang telah lengkap diisi perlu dikemukan semula ke Pejabat Tanah Daerah beserta dokumen berikut:

  • salinan kad pengenalan pemohon
  • 2 salinan Pelan Lokasi / kedudukan tanah
  • 1 salinan Lesen Pendudukan Sementara ( jika ada )

FI PERMOHONAN

  • Kadar bayaran permohonan akan dikenakan di Pejabat Tanah Daerah

KADAR PREMIUM YANG DIKENAKAN

  • Mengikut Kaedah Tanah Selangor

KUASA MELULUSKAN

  • Pihak Berkuasa Negeri


---------------------------------------------------------------------------------------------


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064( JT Klang )



SEKIAN, TERIMA KASIH

Isnin, 10 Jun 2019

RISIKO MEMBELI LOT LIDI

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


( foto sekadar hiasan )



RISIKO MEMBELI LOT LIDI
( kredit kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Perak )

Kegiatan menjual lot lidi yang semakin berleluasa berpunca dari masalah harga rumah yang semakin mahal, tiada ilmu berkaitan tanah dan keinginan untuk membina rumah di atas tanah sendiri. Tinjauan mendapati kegiatan ini sering tertumpu di kawasan pinggir bandar, yang mana sasaran pembelinya terdiri dari penduduk-penduduk kampung, pesara atau keluarga muda. Pentadbir-Pentadbir Tanah ingin memaklumkan bahawa terdapat banyak risiko yang akan dihadapi kepada pembeli-pembeli lot lidi. Anda boleh membaca tulisan-tulisan di internet tentang risiko pembelian lot lidi ini dan kebanyakan hujah-hujah yang dikemukakan adalah benar belaka. Risiko ini mungkin tidak berlaku pada masa sekarang, tetapi percayalah ianya akan berbangkit pada masa hadapan. Secara ringkasnya, risiko-risiko yang perlu dihadapi adalah seperti berikut.

1.) NAMA TIADA DALAM GERAN

Dokumen yang menunjukkan anda ialah seorang pemilik di dalam lot lidi hanyalah dengan melalui Surat Pemegang Amanah sahaja. Hanya seorang yang akan menjadi Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi dan nama Pemegang Amanah itu sahaja yang akan didaftarkan di dalam geran. Sebagai contoh jika ada 12 orang pembeli lot lidi di dalam satu kawasan, nama Pemegang Amanah akan tertera di dalam geran sebagai mewakili 11 pembeli yang lain. Pemegang Amanah ini boleh jadi terdiri daripada salah seorang pembeli lot lidi atau boleh jadi juga pemilik asal tanah berkenaan. Seperti yang pernah disebutkan di dalam artikel sebelum ini, geran adalah punca kuasa yang sangat penting di dalam apa-apa urusan tanah. Jika nama tiada di dalam geran, mereka tidak layak untuk berurusan apa-apa mengenai tanah berkenaan walaupun diikat dengan Surat Pemegang Amanah.

2.) SUKAR UNTUK BERJUAL BELI

Sekiranya salah seorang pembeli lot lidi ingin menjual semula lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh dilaksanakan untuk urusan jual beli berkenaan melainkan mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah baru yang memerlukan Pemegang Amanah sendiri untuk melaksanakannya. Sekiranya Pemegang Amanah itu enggan untuk menukar nama atas apa-apa sebab (perbalahan, tiada masa, malas, nyanyuk, sudah meninggal dunia atau sebagainya) maka proses pertukaran nama itu tidak boleh berlaku.

3.) KESALAHAN LANGGAR SYARAT TANAH

Lot lidi lazimnya ialah lot yang bersyarat pertanian. Membina rumah di atas lot bersyarat pertanian adalah kesalahan serius seperti yang termaktub di dalam Seksyen 125 Kanun Tanah Negara. Anda akan dikenakan denda atau tanah anda boleh dirampas.

4.) TIADA PAMPASAN JIKA ADA PENGAMBILAN

Jika Kerajaan berhasrat untuk membuat pengambilan di atas tanah berkenaan kerana sebab-sebab tertentu, pembeli lot tidak mempunyai apa-apa hak untuk menuntut pampasan daripada Kerajaan. Hanya Pemegang Amanah yang akan dipanggil untuk sesi pendengaran malah wang pampasan akan diberikan kepada Pemegang Amanah sahaja. Pembeli-pembeli lot perlu berurusan dengan Pemegang Amanah untuk membahagi-bahagikan wang pampasan.

5.) TANAH TIDAK BOLEH DIWARISKAN JIKA ADA KEMATIAN

Oleh kerana nama pemilik-pemilik lot lidi tidak didaftarkan di dalam geran, waris-waris si mati tidak boleh memulakan prosedur pesaka kerana secara teorinya tanah berkenaan adalah milik Pemegang Amanah.

6.) PEMEGANG AMANAH MENINGGAL DUNIA

Ini adalah risiko terbesar yang perlu dihadapi oleh pemilik-pemilik lot lidi. Jika Pemegang Amanah meninggal dunia, pembeli-pembeli lot lidi bolehlah diibaratkan seperti layang-layang terputus tali. Memang benar mereka boleh melantik Pemegang Amanah yang baru, tetapi prosedurnya bukanlah semudah seperti yang disangka. Anda akan berhadapan dengan ketidaktentuan, prosedur pesaka yang rumit, masa yang lama, kos yang tinggi dan kemungkinan berlaku perbalahan yang berpanjangan.


JANGAN TERPEDAYA DENGAN KATA-KATA SEPERTI BERIKUT

1.) Akan membuat tukar syarat atas tanah itu selepas semua lot habis dijual.

2.) Akan mengemukakan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa.

3.) Akan pecahkan lot secara betul menggunakan juruukur berlesen pada masa akan datang.

4.) Sempadan lot lidi akan ditanam dengan batu sempadan.

5.) Nama akan ditukar secara automatik jika Pemegang Amanah meninggal dunia.

6.) Tidak akan ada masalah kerana ada Surat Pemegang Amanah.

7.) Lot lidi adalah sah dari segi undang-undang.


Banyak lagi risiko yang tidak dinyatakan di sini. Justeru itu, Pentadbir-Pentadbir Tanah menasihatkan supaya mengelakkan diri dari terlibat dengan pembelian lot lidi. Biarlah membeli tanah atau rumah yang mahal sedikit asalkan mengikut lunas undang-undang kerana ia akan membantu sekiranya terdapat masalah-masalah pada masa akan datang. Adalah dikhuatiri kediaman idaman anda yang sepatutnya memberi keselesaan kepada keluarga dan boleh diwariskan kepada anak-anak akan berakhir dengan kerugian yang besar, perbalahan keluarga dan penyesalan di kemudian hari.


-----------------------------------------------------------


( NOTA PENTING )


Penerangan di atas adalah sangat ringkas bagi memudahkan kefahaman kepada rakyat yang tidak mengetahui prosedur undang-undang tanah. Terdapat prosedur-prosedur teknikal yang tidak dinyatakan dan anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan dari Pejabat Tanah berkaitan.


DEFINASI

Lot Lidi : Sebidang tanah yang mempunyai geran yang sah, tetapi kemudiannya dipecah-pecahkan lot kecil untuk dijual semula dengan tujuan untuk membina rumah.

Pemegang Amanah : Salah seorang yang melantik diri sendiri atau dilantik oleh pembeli-pembeli lot lidi untuk memegang amanah bagi semua pembeli dan hanya namanya seorang yang didaftarkan di dalam geran.

Surat Ikatan / Pemegang Amanah : Surat berupa perjanjian di antara pembeli-pembeli dengan Pemegang Amanah yang menyatakan bahawa Pemegang Amanah akan memegang hak di atas tanah berkenaan. Ia juga dipanggil Surat Ikatan Amanah.

Pesaka : Prosedur pembahagian tanah kepada waris selepas berlakunya kematian pemilik tanah.


NOTA KAKI

Artikel kali ini adalah merupakan satu penjelasan berkenaan 'lot lidi' yang penulis salin dan terbitkan kembali daripada nota yang telah diterbitkan oleh pihak Pejabat Tanah & Daerah Kerian, Perak.

Jika anda ada sebarang pertanyaan berkenaan lot lidi ini silalah buat pertanyaan ke kaunter Pejabat Tanah daerah anda. Kami hanya membantu mereka dalam menyebarkan maklumat supaya pembaca akan lebih berhati-hati apabila mahu merancang membeli mana-mana bidang tanah.

Dan ingin kami tegaskan bahawa urusan jual beli tanah lot lidi ini tidaklah melanggar undang-undang tetapi mempunyai risiko kerugian yang tinggi. Tujuan penyebaran maklumat hanyalah bagi memberi peringatan serta nasihat, itu sahaja.



SEKIAN TERIMA KASIH  

Sabtu, 29 Julai 2017

G.I.S : SISTEM MAKLUMAT GEOGRAFI

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Apakah G.I.S dan apakah kegunaannya kepada pengguna serta pemilik tanah


GIS adalah satu sistem maklumat yang boleh menyimpan, memapar, menganalisis, dan memanipulasi data yang berkaitan dengan bentuk mukabumi dan faktor geografi dalam bentuk data spatial, atribut dan digital. Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1960-an, sistem ini telah mengalami beberapa siri penambahbaikan sejajar dengan pembaharuan dan peningkatan dalam teknologi komputer serta Internet.

--------------------------------------------------

SISTEM G.I.S : CARA BARU BAGI MENDAPATKAN MAKLUMAT BERKENAAN TANAH ANDA

Sistem yang telah menjadi semakin penting dan berguna khususnya kepada mereka yang terbabit dengan penggunaan peta untuk analisis bentuk mukabumi, kegunaan tanah, perancangan tanah, pengurusan hutan, data kependudukan, maklumat lalulintas, kajian serta ramalan cuaca dan sebagainya. Keupayaan sistem ini tidak terhad kepada pemaparan peta digital sahaja sebaliknya pengguna juga boleh melakukan kerja-kerja analisis kerana di dalam satu sistem GIS ia boleh digabungkan dengan berbagai data maklumat lain daripada berbagai jabatan atau agensi yang terlibat dalam bidang yang berkaitan kajian geografi serta pembekalan maklumat untuk aktiviti perancangan serta pembangunan.

Jumaat, 4 Mac 2016

KISAH DAN TAULADAN : HUKUMAN 'CURI' 2KG MILO BAGI MEMENUHI KEINGINAN ANAK


Gara-gara memenuhi permintaan anak berumur 2 tahun untuk minum Milo, seorang ibu dihukum penjara sehari dan denda 
RM 200 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mencuri sepaket Milo di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

Majistret memerintahkan suri rumah yang berusia 36 tahun tersebut yang tidak diwakili peguam, menjalani hukuman penjara 5 hari sekiranya gagal membayar denda. Dia tidak membayar denda itu.

"Maafkan saya puan Majistret. Saya mencuri Milo itu kerana anak saya yang berumur 2 tahun terlalu teringin minum Milo" katanya dalam keadaan sebak semasa memohon hukuman diringankan.

Khamis, 2 Julai 2015

KAYU HULU KAPAK



Assalamualaikum... Salam Sejahtera dan tak lupa juga selamat berpuasa untuk pembaca 'BaganBeachBoy' yang beragama Islam.

 Di dalam kerja seharian seorang Jurukur Tanah, kapak ada juga digunakan tetapi tidaklah digunakan sangat jika dibandingkan dengan parang. Rata-rata jurukur tanah perlu ada sekurang-kurangnya sebilah parang kalau tak pun serba satu bilah parang bagi kesemua yang bekerja dalam pasukan ukur tanah.

Keperluan parang ini amatlah penting bagi membantu kerja ukur tanah. Daripada jenis yang pendek yang digunakan untuk memotong kayu untuk membuat kayu peg atau piket seterusnya perlu juga kepada parang panjang yang kegunaanya untuk menebas dan mencerahkan semak atau hutan yang dalam bahasa yang sering digunakan jurukur tanah dalam kerja ukur tanah adalah untuk kerja-kerja 'merintis'. 

Tetapi apa yang penulis nak tuliskan kali ini bukanlah cerita mengenai tujuan parang atau kapak dalam kerja ukur tanah. Tetapi adalah maksud sebenar bidalan bahasa "Kayu Hulu Kapak" tersebut yang mungkin ramai tak tahu termasuklah penulis sendiri yang baru saja tahu dan faham apa ertinya diciptakan oleh orang-orang tua dahulu bidalan kata 'kayu hulu kapak' tersebut.

Semenjak masuknya tahun 2015 ini yang dah pun berlalu separuh tahun dan yang masih berbaki separuh tahun saja lagi. Banyaklah cerita-cerita yang berkaitan sosio ekonomi, budaya masyarakat, kod etika berpakaian pelanggan, semangat harmoni perkauman yang semakin berkurangan serta isu-isu kepercayaan beragama setiap warga dan juga yang nombor satu paling hangat diperbicarakan dalam media sosial sekarang adalah kisah-kisah skandal, korupsi dan perkembangan politik semasa samada di pihak parti pemerintah dan juga parti pembangkang yang ada di bumi tercinta Malaysia ini.

Satu demi satu cerita gossip, skandal, korupsi dan bukti yang disertakan dengan 'fakta yang bukan auta' yang telah pun diperhidangkan buat tatapan bacaan rakyat demi untuk lebih diketahui dan lebih difahami oleh kalangan rakyat biasa seperti penulis dan juga para pembaca sekalian.

Ramai dikalangan rakyat Malaysia sekarang berada dalam situasi lebih mudah mendapatkan berita umpama kata 'segala maklumat hanya dihujung jari sahaja'. Di dalam kajian oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ), rakyat Malaysia menduduki ranking nombor 1 dari segi peratus penembusan penggunaan internet tanpa komputer mengalahkan kesemua rakyat dari negara-negara pengeluar teknologi maklumat dan komonukasi itu sendiri seperti USA, German, Jepun, Korea, Finland, UK dan lain-lain yang lebih maju ke hadapan lagi berbanding Malaysia. 

Contoh maklumat hujung jari tersebut termasuklah perkhidmatan yang ditawarkan oleh penulis yang hanya penulis iklankan disini di dalam dunia internet sahaja. Penulis tidak pernah pun membuat iklan di media seperti suratkhabar atau majalah, papan iklan billboard di tepi jalan, tv atau radio dan juga secara flyer atau dokumen iklan yang dilekatkan di tempat-tempat strategik seperti yang sering dibuat oleh 'Along dan ceti' bagi khidmat pinjaman wang peribadi tanpa perlu berurusan dengan bank dan syarikat kewangan. Rakyat Malaysia sekarang dengan mudahnya mendapat akses kepada segala maklumat yang diperlukan tidak seperti sebelum zaman milineum ( 2000 ) yang segalanya hanyalah daripada apa yang dihidangkan oleh media arus perdana milik pemerintah atau swasta sahaja yang kita semua sedia maklum segala maklumat itu ditapis dan dipilih pilih dahulu sebelum disiarkan kepada rakyat.

Jadi berbalik kepada kata bidalan "Kayu Hulu Kapak" ini, apa yang penulis nak tuliskan dan perjelaskan adalah maksud sebenarnya. Yang bermaksud, kayu yang digunakan untuk membuat pemegang kapak itu adalah kayu yang berasal daripada pokok yang telah ditebang dan kemudiannya dipergunakan pula untuk menebang pokok-pokok yang lain. Jadi maksudnya 'kayu' hulu kapak ini adalah merupakan 'kayu' yang tidak setia pada spesis dan bangsa, tidak sedar asal usul diri umpama 'kacang lupakan kulit', tidak boleh diharapkan umpama 'harapkan pagar, pagar makan padi', menjadi penderhaka kepada nasib spesis dan bangsa serta tidak punyai 'jatidiri' apabila dengan mudah diperbodohkan dan 'diperkudakan' oleh 'tangan-tangan besar' yang mempunyai kuasa, zalim, tamak dan yang mempunyai matlamat peribadi melebihi daripada matlamat yang sepatutnya iaitu menolong membantu sesama kita, sesama spesis, sesama bangsa dan sesama rakyat di bumi Malaysia tercinta.

Penulis tidak mahu bercerita panjang tetapi cukuplah hanya sekadar memberikan penjelasan maksud kata bidalan tersebut saja. Moga para pembaca telah faham akan maksudnya dan berfikirlah sendiri secara logik akal yang telah dikurniakan kepada kita oleh 'pencipta' yang merupakan satu anugerah pemberian kepada manusia yang paling bernilai yang dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Mungkin haiwan juga mempunyai otak dikepala mereka tetapi haiwan ini tiada akal fikiran yang terbit dari hasil pemikiran otak kiri dan otak kanan, otak yang dikepala bukan dilutut. 

Sebagai manusia yang diberi keistimewaan dengan anugerah 'akal fikiran' lakukanlah yang perlu dan yang sepatutnya. Sebelum membuat sesuatu keputusan samada kecil atau besar, samada penting atau tidak, fikirkan dulu dengan akal fikiran yang logik dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai matlamat peribadi yang mahu mempergunakan kita sebagai 'kuda tunggangan' dan juga sebagai 'kayu hulu kapak'.

Sekian, Terima Kasih

SHARING IS CARING




Selasa, 25 Januari 2011

CAMERON HIGHLAND : DAERAH YANG SENTIASA DI INGATAN






November 1989 : Apa yang seronoknya mengenai pekerjaan baruku ini adalah aku berpeluang berjalan-jalan ke serata cerok bumi Malaysia tanpa mengeluarkan belanja. Dgn umurku yg baru saja mencecah 19 tahun, jiwa remajaku sangat teruja apabila diberitahu bahawa kami akan bertolak ke tanah tinggi Cameron Highland utk satu kerja yg memakan masa hampir sebulan lamanya. Sebagai persediaan aku telah membeli satu jaket tebal di pasar malam ( jaket bundle 2nd ) dan 2 helai baju western ( kameja lengan panjang berkotak ala2 koboi ). Dan pada hari yg telah ditetapkan maka bertolaklah kami secara berkonvoi dgn 2 van C20 dan seramai 12 org. Dan buat pertama kali juga aku dapat berkenalan dgn lain2 perkerja syarikat aku selain dari team aku sendiri.

Perlu diketahui, pada masa ini masih tiada lagi lebuhraya Utara-Selatan dan perjalanan dari Butterworth menuju ke Cameron Highland perlu melalui jalan2 lama dan bandar2 kecil sepanjang negeri Perak. Walaupun perjalanan mengambil masa yg lama, tapi aku berasa amat senang sekali kerana ini adalah kali ke 3 aku keluar jauh dari Pulau Pinang. Yg pertama adalah sewaktu aku masih lagi bersekolah rendah ke Kuala Lumpur dan ke 2 sewaktu menghadiri kenduri sepupuku di Kajang sewaktu usiaku 17 thn dan dua2 pun dgn menaiki keretapi. Ramai yg tertidur lena tapi aku setia menemani driver kami dgn bersembang hal yg bermacam2. Dan akhirnya destinasi pertama kami pun telah sampai juga iaitu pekan Tapah.

Di Tapah kami berehat sebentar menikmati makan tengahari sambil mengisi minyak kenderaan dan menyejukkan enjin utk perjalanan seterusnya yg lebih mencabar. Setelah itu perjalanan diteruskan dan aku menjadi lebih teruja kerana kali ini perjalanan kami adalah melalui jalan2 yg bengkang bengkok memanjat bukit dicelah hutan hujan Khatulistiwa. Pokok2 yg ada hampir melindungi pemandangan dan matahari juga tak dapat dilihat walaupun ketika itu waktunya adalah tengahari. Jauhnya sempadan daerah Cameron Highland dari Tapah adalah lbh kurang 40km. Ada antara temanku yg muntah2 kerana tak tahan dgn keadaan jalannya yg berbelok belok. Tapi ada juga yg masih dgn selambanya tidur tanpa pedulikan apa2 pun.

Setelah hampir sejam bertolak dari Tapah maka kami pun sampailah ke sebuah pekan yg bernama Ringlet dan cuaca pun menjadi semakin dingin. Aku sangka kami telah sampai tapi rupanya perjalanan diteruskan dan masih jauh lagi kata driver kami. Bermula dari Ringlet pemandangan telah bertukar dari hutan tebal ke kebun2 bunga dan sayur dgn bukit2nya yg telah digondolkan dirata menjadi kebun2 yg besar. Yg menarik pemandangan aku adalah kereta2 disini tidak mempunyai nombor plate dan pelekat road tax tetapi pada tepi pintu ditulis besar dgn huruf ‘CH’. Kebanyakan keretanya adalah dari jenis 4WD dan kelihatan amat buruk serta bising. Kini keadaan jalan sudah tidak terlalu memanjat dan kurang bengkang bengkok spt awal tadi. 
Sepanjang tepi jalan terdapat banyak timbunan guni2 tahi ayam yg dijadikan baja. Pada waktu awal pagi, guni2 itu akan mengeluarkan asap kerana habanya yg panas ( dikatakan jika menanggung guni ini dibahu, panasnya akan terasa sehingga ke mlm hari dan baunya tak akan hilang walaupun selepas mandi ). Ini adalah satu lagi pemandangan menarik yg tak pernah aku lihat sebelum ini.

20 puluh minit kemudian kami sampai pula ke sebuah pekan yg lebih besar dari Ringlet dan layak dipanggil bandar iaitu Tanah Rata. Bandar Tanah Rata merupakan pusat pentadbiran daerah Cameron dan disini terdapat banyak hotel2 yg bertaraf bintang serta pejabat2 kerajaan. Juga terdapat stesyen bas dan teksi, kedai2 makan, kedai cenderamata, padang golf, masjid besar dan taman rekreasi. Keadaan muka bumi pun agak rata tanpa banyak berbukit dan cuaca lebih dingin kerana berangin. Kelihatan juga ramai pelancung dari luar negeri yg mundar mandir membawa peta ditangan masing2 mencari arah tujuan.

Masih belum tiba ke destinasi dan aku dah jadi tak sabar2 nak menjejakkan kakiku di tanah Cameron ini. Seterusnya kami sampai pula ke sebuah bandar yg lebih besar dan lebih sibuk dari Tanah Rata tadi iaitu Bandar Brinchang. Lain pula keadaannya disini, walaupun tak banyak hotel2 besar tapi deretan kedai2 nya lebih banyak dan lebih ramai orang tempatan dan luar yg kelihatan termasuklah dari kalangan Orang Asli ( kebanyakan adalah dari suku Semai dan tidak beragama yg bekerja di kebun2 bunga atau sayur). Kelihatan juga terdapat rumah2 seperti di taman perumahan dan rumah2 pangsa yg tak terlalu tinggi. Kebanyakkan kenderaan yg ada disini adalah seperti yg biasa terdapat di tanah rendah dgn bernombor plate dan punyai pelekat road tax.

Perjalanan masih diteruskan dan aku sedikit kecewa kerana tiada lagi pemandangan bandar selepas itu. Pemandangan berselang seli antara kebun2 sayur dan bunga serta hutan. Begitu juga dgn keadaan jalannnya yg kembali semula dalam keadaan berbelok belok memanjat dan menuruni bukit. Kini telah hampir 2 jam lebih kami memandu dari Tapah dan aku pun jadi tak pasti bila waktunya kami akan sampai ke destinasi kami. Beberapa minit kemudian kami sampai pula ke sebuah pekan kecil bernama Tringkap yg mana berada di kiri kanan jalan dan kebanyakan kedai2 serta rumah2 yg ada dibuat dari papan tak seperti pekan dan bandar yg sebelumnya. Masih belum sampai juga dan kami tiba pula di sebuah pekan kecil lagi di sebelah kanan jalan iaitu Kuala Terla. Kini barulah aku sedar bahawa tanah tinggi Cameron bukanlah seperti sangkaanku iaitu hanya berpusat pada satu pertempatan saja tetapi merupakan satu daerah yg luas dan besar tidak seperti Bukit Bendera ( Pulau Pinang ) atau Genting Highland ( aku tahu kerana pernah kesini sewaktu berkunjung menghadiri perkahwinan sepupuku sebelum ini ).

Akhirnya destinasi yg dituju sampai juga akhirnya apabila kami sampai ke sebuah pekan kecil lagi yg bernama Kampung Raja. Diceritakan oleh org tempatan pada zaman penjajahan British dahulu, terdapat dari kalangan kerabat Kesultanan Pahang dengan di iringi oleh Mat Kilau melarikan diri dan menetap disini. Dan dari situlah tempat ini mendapat namanya. Aku jadi hairan dan takjub sedangkan dengan memandu kereta pun rasanya amat payah dan jauh sekali nak sampai ke tempat ini bagaimana pula di zaman tersebut hanya dengan berjalan kaki dan menaiki kerbau ( mungkin anda tidak tahu lorong2 yg terdapat di dlm hutan dahulu dikenali sebagai jalan kerbau kerana kerbau ini dijadikan sebagai kenderaan pembawa barangan sama seperti kereta lembu dan kuda ). Kampung Raja ini adalah sebuah pekan kecil yg terletak di persimpangan tidak seperti pekan2 sebelum ini yg letaknya di jalan lurus. Sekarang terdapat sebuah lagi jalan yg dibina dari Simpang Pulai, Ipoh untuk ke Cameron Highland yg mana akan sampai ke sini dahulu tidak seperti jalan dari Tapah yg akan sampai ke pekan Ringlet dahulu. Dari persimpangan Kampung Raja anda harus belok ke kiri jika mahu ke Ipoh, Perak dan belok ke kanan jika mahu ke Loging, Gua Musang seterusnya ke Kota Baharu, Kelantan.

Untuk pengetahuan pembaca, jalan yg menuju ke arah Gua Musang inilah yg merupakan tujuan kami datang kesini lakukan kerja2 pengukuran tanah. Di waktu ini ( 1989 ) jalan tersebut masih belum terbina di dalam daerah Cameron tetapi di sempadan Gua Musang jalannya telah ada cuma masih belum diturap dgn tar sahaja ( di sebelah sini banyak terdapat kerja pembalakan dan jalan yg baik adalah lebih diperlukan untuk mengeluarkan hasil balak dari hutan seterusnya ke kilang2 kayu di Gua Musang ). Tapak jalannya masih lagi berhutan tebal, berbukit bukit dan jajarannya ada yg melintasi kebun sayur, kebun bunga serta kebun teh. Jadi dapatkah anda bayangkan betapa sukarnya nanti pekerjaan yg akan kami lakukan sepanjang 9km jajaran cadangan pembinaan jalan tersebut.

Entri ini adalah sebagai pembukaan kepada banyak lagi cerita2 yg berlaku disebaliknya. Dan ini juga adalah merupakan satu cara aku menyampaikan akan kekagumanku akan keindahan dan kepersonaanku kepada alam sekitar serta budaya hidup yg terdapat di daerah tanah tinggi Cameron Highland. Walaupun begitu kekesalan tetap ada kerana atas nama pembanggunan dan kemajuan, alam sekitar menjadi mangsa. Ini terbukti apabila dapat dilhat pada purata suhu malam dan siang pada waktu dahulu dan sekarang. Pada waktu 80an dan awal 90an dahulu purata suhu adalah diantara 8° - 20° Celcius berbanding sekarang yg cuma diantara 10° - 24° Celcius. Rekod terendah yg dicatatkan adalah pada tahun 1978 iaitu 7.8° Celcius. Di entri yg akan datang akan aku ceritakan dgn lebih detail lagi mengapakah ini terjadi pada pemerhatianku disamping pengalaman2 peribadiku yg lainnya.  Sampai ketemu lagi...

Nota kaki :

Ucapan Al-Fatihah kepada Allahyarham Omar bin Shahidan, pemandu bas ekpress merangkap adik kpd adik angkat bapaku dan ucapan takziah kepada keluarga 27 org rakyat Thailand yg lainnya yg terlibat dlm kemalangan maut di Simpang Pulai dalam perjalanan menuruni Cameron Highland pada 21/12/2010 yg lalu.