Khamis, 3 Mac 2022

KANDUNGAN MAKLUMAT DALAM PELAN DIPERAKUI ( PA )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

KANDUNGAN MAKLUMAT DALAM PELAN DIPERAKUI ( PA )


( ATAS : FOTO CONTOH PELAN GERAN TANAH )


( BAWAH : FOTO CONTOH PELAN PA 19191 )


Apakah maksud dan fungsi sebenar ‘PELAN DIPERAKUI’ ( PA ) sebutan waktu kini dalam Bahasa Malaysia atau ‘CERTIFIED PLAN’ ( CP ) sebutan lama dalam Bahasa Inggeris.

Sepertimana kita warganegara Malaysia walaupun berjumlah puluhan juta orang dan ramai yang mempunyai nama yang sama tetapi setiap orang akan diberikan satu nombor pendaftaran MyKad atau nombor pengenalan diri yang berbeza yang boleh dirujuk untuk mengenalpasti identiti yang sebenar bagi setiap orang.

Begitulah fungsinya nombor rujukan ‘Pelan Diperakui’ atau pelan PA yang berlainan bagi setiap tanah lot walaupun bernombor sama dan berlokasi dalam daerah yang sama di negeri yang sama. Dalam setiap dokumen geran tanah bagi setiap tanah lot akan dituliskan satu nombor rujukan ‘Pelan Diperakui’ pada bahagian mukasurat depan untuk maklumat tanah dan juga pada mukasurat belakang yang mengandungi pelan tanah bagi tanah lot tersebut.

Selain itu dalam setiap pelan PA juga terdapat maklumat penting lain yang boleh dirujuk dan dijadikan sebagai pengesahan apabila membuat pencarian informasi tepat berkenaan mana-mana bidang tanah lot. Sebagai contoh apabila jurukur tanah perlu mencari atau menandakan semula sempadan mana-mana lot, pelan PA inilah yang akan dijadikan sebagai rujukan yang sah dan tepat dalam menandakan semula sempadan lot tersebut supaya berada pada tempat yang sama seperti asal walaupun pelan PA atau batu sempadan asal bagi lot tersebut telah berusia lebih dari 100 tahun. 


Antara kandungan maklumat dalam setiap pelan PA adalah seperti berikut :


1.)        Jarak setiap garisan sempadan

2.)        Bearing setiap garisan sempadan

3.)        Jenis petanda sempadan yang diguna untuk lot tersebut

4.)        Keluasan sebenar lot tersebut

5.)        Koordinat lokasi setiap batu sempadan lot tersebut

6.)        Jarak, bearing dan nombor lot yang bersebelahan

7.)        Nombor pelan PA bagi lot bersebelahan

8.)        Tahun kerja ukuran asal atau ukuran semula dibuat

9.)        Batu sempadan asal yang dijumpai waktu ukuran semula

10.)    Perubahan jarak & bearing antara yang asal dan terkini

11.)    Kedudukan rezab jalan & saliran yang berdekatan

12.)    Lebar, panjang & luas setiap rezab berkenaan

13.)    Lot tanah yang terlibat dalam setiap pengambilan tanah bagi tujuan rezab jalan, saliran atau talian elektrik


Jadi adalah disarankan kepada setiap pemilik tanah selain menyimpan dokumen geran tanah yang asal simpan juga pelan diperakui ( PA ) bagi lot tanah anda tersebut. Pengalaman daripada kejadian banjir besar penghujung tahun lepas, selain menyimpan dalam bentuk dokumen kertas, simpan juga salinan dalam bentuk digital dalam format foto atau pun dokumen PDF.

----------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy