Selasa, 29 Disember 2009

BERPINDAH KE JALAN MOHD SAAD, BUTTERWORTH



1980 : Pada tahun ini bapa aku telah mendapat 2 tawaran rumah kos rendah dari kerajaan negeri Pulau Pinang. Yang pertama adalah di sebelah pulau iaitu Taman Tun Sardon ( nama taman sempena Gabenor negeri Pulau Pinang pada waktu itu ). Dan yang kedua pula adalah di sebelah tanah besar iaitu di Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal, Butterworth ( JAMOSA ). Yang menjadi masalah kepada bapa aku adalah dia hanya boleh memilih satu rumah saja dan pengundian untuk kedua dua unit rumah tersebut adalah dijadualkan pada hari dan tempat yang sama iaitu di dewan Kelab Rekreasi Butterworth atau lebih dikenali sebagai dewan BRC atau dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai, di Jalan Bagan Luar, Butterworth. Jadi bapa pun bertanya kepada emak dan kami : Di manakah tempat yang kami lebih suka samada di sebelah pulau atau di Bagan? Orang tempatan lebih suka menyebut Bagan untuk Butterworth dan Tanjung untuk Georgetown. 

Setelah berbincang akhirnya pilihan kami adalah di Bagan dengan alasan aku dan adik aku bersekolah disini, saudara mara juga ramai disini. Maka bapa aku pun melepaskan tawaran rumah di sebelah pulau dan pada bulan 5 tahun ini juga kami pun berpindah ke rumah baru di Jalan Mohd Saad. Rumah kos rendah ini adalah dari jenis 2 tingkat dan mempunyai 2 bilik tidur di atas. Pada waktu itu harganya hanyalah RM 18,000 dan bayaran ansuran bulanan pula cuma RM 60 + RM 5 duit penyengelaraan selama 25 tahun

Letaknya Jalan Mohd Saad ini adalah berdekatan pantai seperti Balai Pukat juga cuma dipisahkan oleh sebatang jalanraya yang menuju ke arah utara merentasi bandar Sungai Petani, Alor Setar, Kangar dan Padang Besar iaitu bandar di sempadan Malaysia dan Thailand. Jaraknya adalah 3 km dari Komplek PPC ( yang telah terbakar dan dirobohkan ) iaitu stesyen bas bagi bandar Butterworth. Di sini terdapat satu komplek Jabatan Pertahanan Awam Wilayah Utara, kawasan perumahan untuk kakitangan LLN ( sekarang TNB ), kawasan perumahan untuk kakitangan Jabatan Kastam, juga kawasan perumahan untuk Pegawai Daerah dan kakitangan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara. Di tepi jalan masuk ke Jalan Mohd Saad ini terdapat sebuah restoran yang cukup terkenal pada satu waktu dahulu iaitu Rose Restoran. Di seberang jalan sebelah pantainya pula ada satu perkampungan nelayan yang dikenali sebagai Kampung Pantai Bagan Jermal tapi bagi orang Cina pertempatan ini dipanggil "Sa Lak Kau" yang maksudnya dalam Bahasa Melayu ialah "369". Digelar begitu kerana pada waktu dahulu terdapat satu kumpulan kongsi gelap Cina yang berpusat disitu dikenali dengan nama yang sama. Terdapat juga sebuah kilang belacan di situ serta sebuah kedai yang menjual haiwan peliharaan sebagai hobi. Betul-betul di tepi jalan pula terdapat sebuah perkuburan Islam yang cukup lama hinggakan tiada siapa pun tahu pada tahun bilakah ia bermula sebagai sebuah perkuburan. Di bahagian utara Jalan Mohd Saad ini pula terdapat sebuah perkampungan Melayu tradisional iaitu Bagan Jermal yang pada asalnya adalah terbentuk dari dua kampung yang bersebelahan iaitu kampung Parit Alur dan juga kampung Buluh. Dan di sebelah timurnya pula adalah pertempatan bagi orang-orang Cina iaitu Jalan Raja Uda.

Di tengah-tengah Jalan Mohd Saad ini terdapat sebuah kawasan lapang yang amat luas hingga boleh memuatkan 4 padang bolasepak. Dan disinilah tempatnya aku mula berkenalan dengan kawan-kawan baru dan bermain bolasepak setiap petang. Seingat aku pada waktu itu terdapat seorang budak perempuan yang turut bermain bolasepak dengan kami setiap hari dan posisi tetapnya adalah sebagai penjaga gol. Pada setiap kali datangnya bulan puasa kami akan bermain "perang" pula pada sebelah malam di padang ini. Peperangan ini adalah menggunakan mercun dan bunga api sebagai senjata dan ia adalah perang di antara dua kumpulan iaitu kumpulan budak-budak rumah kos rendah dengan kumpulan budak-budak rumah teres. Padang ini juga kerap digunakan oleh kumpulan sarkas untuk membuat persembahan di Butterworth. Hairan juga aku, dulu sarkas ni selalu ada boleh dikatakan setiap tahun tetapi sekarang langsung dah tak pernah tengok lagi walau di mana-mana pun kecuali "funfair" saja. 

Sayangnya, tidak lama kemudian maka padang yang luas ini pun turut menjadi korban kepada pembanggunan seperti juga yang terjadi pada Padang 3 Segi di Balai Pukat. Pada tahun yang aku dah tak berapa ingat lagi kemungkinan pada tahun 1984 atau 1985 maka berdirilah 6 blok rumah pangsa 5 tingkat dengan mempunyai sebanyak 300 unit rumah. Suasana disini pun telah bertukar menjadi lebih meriah lagi dengan jumlah penduduknya yang telah bertambah ramai. Kalau sebelum ini Jalan Mohd Saad ini boleh dikatakan sebagai kawasan pertempatan bagi orang Melayu tapi kini dah bertukar menjadi majmuk dengan semua bangsa pun ada.

Akibat dari terbinanya rumah pangsa ini maka tiadalah lagi padang untuk beriadah dan bermain bolasepak setiap petang seperti dulu. Dan budaya melepak pun menjadi jadilah dikalangan belia remajanya. Dari budaya melepak inilah maka budaya menghisap ganja dan heroin pun menjadi jadi juga. Sana sini terdapat "port" untuk anak muda berlepak dan tidak melakukan apa-apa kegiatan yang berfaedah pun. Sehinggalah pada suatu ketika Jalan Mohd Saad dan Bagan Jermal telah tersenarai sebagai "Black Area" oleh pihak polis daerah Butterworth. Pada yang masih berminat bermain bolasepak maka terpaksalah bermain jauh sedikit iaitu di padang perumahan LLN atu pun padang perumahan Kastam. Sehingga kini aku masih lagi terfikirkan mengapakah pihak kerajaan tidak memikirkan akan akibat masalah sosial yang terjadi daripada hasil pembanggunan yang tak terancang ini. Sepatutnya pada setiap pembanggunan, kegiatan dan aktiviti masyarakat setempat juga seharusnya dibangunkan bersama seperti di Singapura. Di Singapura di setiap kawasan perumahan yang dibangunkan oleh kerajaan maka dibina juga kemudahan beriadah seperti kolam renang, gelanggang tenis dan badminton, padang bolasepak, dewan untuk aktiviti dalaman seperti gimnasium serta kawasan berjoging walaupun kecil.

Berbalik kepada Jalan Mohd Saad pada waktu kini pula, kesan pembanggunan amatlah ketara sekali. Perkampungan di bahagian pantainya telah tiada lagi keseluruhannya telah dijadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ). Perumahan Pegawai Daerah dan kakitangannya juga telah dijadikan kawasan komersial dengan terbinanya deretan bangunan kedai pejabat dan apartmen. Berhadapan dengan Komplek Jabatan Pertahanan Awam pula telah didirikan Komplek Mahkamah Majistret Butterworth yang baru yang lebih moden bagi menggantikan dengan yang ada di sebelah hospital daerah Butterworth. Begitu juga dengan bahagian tepi tanah perkuburan telah dibangunkan dengan lot-lot komersial serta hotel. Kampung Bagan Jermal juga tidak ketinggalan dari aktiviti pembanggunan. Kini separuh dari kampung tradisional ini sudah tiada lagi diganti dengan kedai-kedai serta apartmen oleh pihak swasta.

Walaupun sudah berbelas tahun aku merantau tetapi Jalan Mohd Saad sampai bila-bila pun tetap akan menjadi destinasi "balik kampung" bagi aku. Kubur Allahyarham bapa aku juga terdapat disana dan sampai ke saat ini, emak dan adik bongsu aku masih lagi menetap disana. Walaupun aku membesar di kota besar Kuala Lumpur tetapi aku adalah dilahirkan di Kampung Balai Pukat, aku belajar celik mata melihat ragam dunia di Jalan Mohd Saad dan aku tak akan sekali kali segan dan malu untuk mengaku bahawa aku adalah anak Bagan. Dan aku sangat-sangat berbangga menjadi seorang anak kelahiran negeri Pulau Pinang sehinggakan aku sanggup mengekalkan hingga ke hari ini alamat rumah dalam Kad Pengenalan MyKad aku dengan alamat rumah orangtua ku di Jalan Mohd Saad, Butterworth, Pulau Pinang walaupun sudah 3 kali aku menukar MyKad yang baru.

Aku adalah Bagan Beach Boy....
Aku adalah Anak Pantai Bagan....

Sabtu, 19 Disember 2009

KAMPUNG BALAI PUKAT ADALAH ASALKU


Aku dilahirkan di Hospital Daerah Butterworth, Pulau Pinang. Ketika itu ibubapaku menetap di sebuah kampung yang bernama Kampung Balai Pukat. Kampung Balai Pukat ini mendapat namanya kerana diceritakan pada masa dahulu kampung ini adalah tempat dimana para nelayan menjemur pukat setelah pulang dari laut. Keadaannya adalah sebuah kampung di dalam bandar. Kalau di Kuala Lumpur bolehlah disamakan dengan Kampung Baru cuma kampung aku ini lebih kecil keluasannya. 

Terletak berhampiran dengan jeti feri untuk pergi ke Pulau Pinang dimana pada tahun 1988 dahulu pernah digemparkan dengan kisah sedih tragedi jeti runtuh yang mengorbankan beratus nyawa manusia. Berhampiran juga dengan komplek stesyen bas dan teksi dimana kompleknya dikenali sebagai Komplek PPC bersempena dengan nama pemiliknya iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dalam bahasa Inggeris ( Penang Port Commissioner ) dan berhampiran juga dengan stesyen keretapi Butterworth. Boleh dikatakan untuk pergi kesemua tempat yang aku sebutkan tadi hanya perlu berjalan kaki sahaja kerana jaraknya tidaklah jauh dari Kampung Balai Pukat.


Pada waktu dahulu kampungku ini tak ada kemudahan bekalan air paip bersih disetiap rumahnya. Yang ada hanyalah satu paip air percuma di tepi jalan berhadapan dengan surau ( menaksah : sebutan orang utara dulu-dulu ) dan juga tanah perkuburan orang Islam. Pada setiap pagi terpaksalah kami berebut mengambil giliran memasang paip getah untuk disalurkan ke rumah masing-masing. Bagi yang tiada paip getah panjang maka terpaksalah mengambil air dengan menggunakan baldi atau timba ( sebutan orang utara ) secara berulang alik seperti keluarga aku. Mungkin kerana kegiatan inilah badan aku jadi agak keras sampai sekarang... hahaha



Sistem kumbahan moden pun masih tiada lagi waktu itu dengan tandas yang ada di dalam kampung hanyalah menggunakan sistem 'jamban angkut' atau lebih dikenali dengan panggilan 'jamban tong'. Setiap 2-3 hari sekali akan datanglah seorang apek mengangkut 'sisa kumbahan kami' itu dengan mengosongkannya ke dalam tong yang dibawa menggunakan kereta beroda tiga. Bayangkanlah kalau apek itu sakit dan tidak datang selama seminggu dengan kesemua jamban tong dalam kampung dah penuh...... XXX. Adalah dipercayai apek itu tidak mendapat sebarang bayaran upah untuk perkhidmatannya dan sisa kumbahan itu pula akan digunakan sebagai baja organik untuk kebun-kebun sayur yang ada disekitar Butterworth.



Banjir kilat pula adalah fenomena yang biasa bagi kami tanpa mengira apa musim pun dan secara puratanya berlaku sekitar 5-6 kali setiap tahun. Setiap kali turun hujan lebat tanpa henti selama 2-3 jam atau lebih dari sehari maka seluruh kampung kami akan menjadi 'bah' sebutan loghat orang utara untuk banjir dan boleh mencapai setinggi 1 meter. Bagi budak-budak yang seperti aku, fenomena inilah yang kami tunggu-tunggu. Mau tak tunggu, buka pintu saja tak payah turun pakai tangga lagi terus terjun macam mandi sungai. Tapi sebenarnya di Butterworth memang tak ada sungai yang boleh dijadikan tempat mandi. Seingat aku walaupun dah terbiasa dengan banjir tapi tak pernah walau sekalipun kami sampai terpaksa berpindah ke tempat perlindungan mangsa banjir seperti yang terjadi sekarang di sesetengah negeri terutamanya di negeri pantai timur dalam musim tengkujuh. 



Rekabentuk rumah kampung waktu dahulu iaitu rumah kayu berlantai tinggi dengan mempunyai tiang di bawahnya menyebabkan air banjir tidak sampai mencecah paras lantai rumah. Berbanding dengan keadaan sekarang apabila ahli keluarga menjadi bertambah ramai maka ada keperluan untuk membesarkan rumah. Pilihan pertama yang berkos rendah adalah dengan menambahkan dinding dan lantai di bahagian bawah rumah asal tadi samada menggunakan kayu atau simen. Maka apabila berlaku saja keadaan banjir, rumah itu sudah tidak dapat didiami lagi kerana bahagian tingkat bawah yang ditambah itu akan tenggelam. Jadi apabila saja banjir itu tidak surut dan bertambah tinggi airnya dari hari ke hari maka penghuni rumah tersebut perlulah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, selamat dan biasanya adalah ke pertempatan perlindungan mangsa banjir yang telah disediakan oleh pihak kerajaan yang punyai banyak kemudahan. Dapat kita simpulkan bahawa faktor kemajuan dan pertambahan ahli keluarga adalah penyebab utama kepada perubahan rekabentuk rumah tradisi kampung dan penyebab kepada risiko sesebuah rumah itu ditenggelami banjir. 



Kebanyakan banjir kilat terjadi apabila air laut berkeadaan pasang besar dan aliran air dari parit dan longkang tak dapat mengalir masuk ke laut kerana paras air laut yang sedang tinggi waktu itu. Hanya setelah air laut kembali surut barulah keadaan banjir ini akan kembali seperti biasa. Yang lucunya dengan banjir ini adalah, jamban-jamban tong kami akan terapung dan ada juga yang hilang akibat hanyut mengikut arus air banjir tadi.  



Walaupun kampung aku terletak berhampiran pantai tetapi pantainya memang sejak aku dilahirkan lagi dah pun tak ada. Yang tinggal hanyalah pada alamat posnya sahaja iaitu 'Jalan Pantai' tapi orang sini lebih suka menyebut dengan sebutan ala-ala orang putih iaitu Pantai Road dan kalau untuk pasar pulak kami akan panggil 'market'. Yang uniknya nama Bandar Butterworth yang ejaannya mengikut sebutan orang putih, orang sini lebih suka menggunakan nama Bagan saja begitu juga dengan Bandaraya Georgetown kami lebih suka menyebut dengan nama Tanjung. Ok berbalik kepada cerita pantai tadi. Hampir kesemua pantai berdekatan Kampung Balai Pukat telah dijadikan terminal minyak oleh syarikat minyak Shell & Esso. Kalau adapun pantai hanyalah sedikit sahaja iaitu berdekatan dengan Komplek PPC yang dinamakan pantai Meriam Timbul. Meriam Timbul ini pula mendapat namanya kerana di situ terdapat satu tokong Cina yang di dalamnya ada sebiji meriam lama yang dikhabarkan pada suatu masa dahulu timbul di permukaan laut dengan sendirinya. Pantai ini merupakan pengkalan nelayan pantai dan juga terdapat astaka iaitu deretan kedai-kedai makan yang dibina oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai ( MPSP ) iaitu pihak berkuasa tempatan bagi bandar Butterworth dan keseluruhan daerah Seberang Perai. 



Jauh sedikit ke arah utara dari Balai Pukat ini barulah ada satu pantai yang agak sesuai untuk kegiatan rekreasi dan mandi manda iaitu pantai yang berdekatan dengan hospital daerah Butterworth iaitu tempat aku dilahirkan dulu. Selain dari menjadi tempat beriadah sebenarnya pantai ini lebih terkenal pada kegiatan malamnya iaitu menjadi tempat golongan 'pondan' berkumpul untuk mencari pelanggan. Di pantai ini juga dahulunya terdapat sebuah perpustakaan daerah Butterworth dimana terdapat kantin yang sangat terkenal dengan menu masakan maggi segeranya. Terdapat juga sebuah trek untuk bermain kasut roda, taman permainan kanak-kanak dan juga deretan kedai makan. Dahulu menu makanan yang paling popular disini adalah 'rojak buah' tetapi orang Bagan lebih suka menyebut sebagai 'rojak cicah' atau 'rojak tonggek' kerana ketika makan sambil berdiri kita perlu membongkok sedikit badan ke depan bagi mengelakkan dari terkena kuah rojak itu akibat tiupan angin laut. Menu kedua terkenal bagi aku adalah 'popia basah' yang dijual dibawah pokok ditepi jalan deretan kedai makan disitu. Disebelah utara hospital pula adalah bangunan lama Mahkamah Majistret Butterworth dimana sekarang telah pun berpindah ke bangunan dan lokasi baru yang lebih moden di Bagan Jermal.



Bersebelahan dengan kampungku adalah sebuah kilang yang cukup terkenal seluruh dunia pada waktu dahulu kerana kegiatan melebur bijih timah iaitu The Straits Trading Company Limited atau lebih dikenali dengan singkatan STC tetapi pada waktu sekarang telah ditukar namanya menjadi Malaysia Smelting Corporation ( MSC). Bukan sahaja kilang tetapi terdapat juga satu kawasan perumahan bagi pekerjanya yang berjiran dengan kampung aku dan berakhir sampilah ke persimpangan Jalan Allen. Terdapat juga pejabat Lembaga Letrik Negara ( LLN ) tempat untuk membayar bil elektrik yang sekarang telah pun ditukarkan namanya menjadi Tenaga Nasional Berhad setelah diswastakan oleh kerajaan. Terdapat juga sebuah hotel lama iaitu Pak Tai Hotel, bangunan Standard Chartered bank, sebuah restoran Cina bersebelahan dengan hotel tersebut dan sebuah padang rekreasi yang ada satu menara jam yang dikenali dengan nama Padang 3 Segi. Padang yang cukup bersejarah bagiku kerana disinilah tempat aku bermain bola setiap petang. Tetapi sayangnya padang yang amat bersejarah ini, pada waktu kini, seinci pun telah tiada lagi di Balai Pukat.






Kalau mengikut arah jalan dari jeti PPC menuju ke pusat bandar Butterworth yang pertama kelihatan disebelah kirinya adalah bangunan Pak Tai Hotel, restoran Cina, sebuah bank iaitu Chartered Bank ( waktu ni belum dinamakan Standard Chartered Bank lagi ), tanah kosong tapak cadangan bangunan Bank Rakyat dan seterusnya adalah sebuah kuil Hindu dan satu deretan kedai sebelum sampai ke pagar kawasan perumahan pekerja kilang STC. Di seberang Jalan Bagan Luar itu pula terdapat lebih banyak lagi deretan kedai dan salah satunya iaitu di penghujung deretan kedai itu adalah Malayan Banking iaitu rangkaian bank yang terbesar di Malaysia yang sekarang lebih dikenali sebagai Maybank. Di deretan kedai tersebut terdapat satu restoran mamak yang agak terkenal juga waktu dulu iaitu Restoran Abdul Rahman dan di belakang deretan kedai ini pula terletaknya sebuah kampung lain iaitu Kampung Jawa.


Di hadapan bangunan Chartered Bank adalah merupakan persimpangan 4 berlampu isyarat. Terdapat jalan sehala yang mengelilingi Padang 3 Segi yang menuju ke arah Jeti PPC dan jalan yang menuju Bagan Dalam, manakala jalan dari arah Jeti PPC pula adalah jalan yang menghala ke Sungai Nyior seterusnya ke jambatan Perai dan juga jalan yang menghala ke pusat bandar Butterworth iaitu Jalan Bagan Luar. Bangunan Malayan Banking terletak di sebelah kiri jalan yang menghala ke arah Sungai Nyior dan Perai manakala disebelah kanannya terdapat sebuah sekolah menengah untuk perempuan iaitu Sekolah Convent Butterworth. Jadi boleh dikatakan Kampung Balai Pukat ini adalah sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh jalan disekelilingnya.



Walaupun agak kecil tetapi untuk memasuki kampung Balai Pukat terdapat 4 jalan kesemuanya. Jalan utama adalah jalan yang ada di celah bangunan Pak Tai hotel dengan restoran Cina yang bersebelahan dengan Chartered Bank. Jalan kedua pula adalah jalan masuk di depan surau di sebelah Jalan Pantai. Jalan ketiga adalah jalan di hadapan bangunan LLN juga di Jalan Pantai dan jalan ke empat pula adalah jalan kecil yang hanya sesuai untuk pejalan kaki dan basikal sahaja iaitu terletak di sebelah Chartered Bank dengan tanah kosong tapak kepada Bank Rakyat yang tidak jadi dibina sampailah waktu aku berpindah keluar dari Balai Pukat. Sebenarnya terdapat lagi satu jalan iaitu dari tepi kuil Hindu tapi jalan itu adalah agak bersemak dan berpaya juga bertiti kayu dan tak selalu dilalui oleh penduduk Balai Pukat kecuali bagi penduduk kampung yang rumahnya terletak di belakang kuil Hindu tersebut. Manakala di tengah-tengah dalam Kampung Balai Pukat pula terdapat simpang 4 yang menemukan kesemua jalan masuk yang aku sebutkan tadi berdekatan dengan rumah aku. Rumah aku pula adalah rumah kedua jika menggunakan jalan dari depan surau di Jalan Pantai dan rumah kedua juga dari simpang 4 dalam kampung jika keluar mengikut jalan yang menuju arah surau.



Pada masa kini hampir kesemua tempat-tempat yang aku sebutkan tadi sudah tiada lagi di tempat asalnya. Sepanjang Pantai Road telah dijadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ) sehingga menyebabkan daerah Butterworth ini sudah tidak ada lagi pantai untuk rekreasi, bermandi manda dan mencari siput serta belangkas. Komplek PPC telah terbakar pada tahun 2001 yang berpunca dari kejadian lintar pintas elektrik pada sebuah pasaraya yang ada di dalamnya dan akhirnya telah dirobohkan. Padang 3 Segi pula telah dikorbankan menjadi sebuah persimpangan lampu isyarat yang amat besar. Turut berubah adalah hospital tempat aku dilahirkan yang kini telah diturun taraf kepada pusat kesihatan saja. Pantai yang terkenal kerana kegiatan malamnya juga tak terkecuali telah lenyap dijadikan lebuhraya BORR dan Meriam Timbul juga dikorbankan menjadi landasan keretapi yang menghubungkan stesyen keretapi Butterworth dengan pelabuhan baru NBCT iaitu pelabuhan khas untuk kapal kontena yang ditambak jauh sehingga hampir satu kilometer ketengah laut. 

Yang masih wujud sampai sekarang hanyalah bangunan Pak Tai hotel, Standard Chartered bank, Maybank, Sekolah Rendah Convent, kuil Hindu, Surau Kampung Balai Pukat dan tanah perkuburannya, kilang bijih MSC, bangunan LLN yang telah bertukar menjadi Pusat Giat Mara dan juga bangunan lama Hospital Daerah Butterworth yang sekarang dikenali sebagai Klinik Kesihatan Butterworth. Manakala yang lainnya samada telah lenyap dijadikan lebuhraya atau pun telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan yang lain pula.




Pada masa kini walaupun pembangunan telah merubah rupanya, saki baki Kampung Balai Pukat ini masih lagi berpenghuni dengan jumlah rumahnya hanyalah boleh dikira dengan jari saja. Pada tahun 1980 kami sekeluarga pun telah berpindah pula ke tempat lain iaitu ke Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal yang masih lagi terletak dalam daerah Butterworth, Pulau Pinang setelah arwah bapa aku mendapat tawaran rumah kos rendah kerajaan negeri Pulau Pinang disitu.


Nota kaki :-


Pertamanya, aku sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah bapa aku, ABU BIN AHMAD yang telah pun meninggal dunia pada 1hb Julai 2014 yang lepas dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bagan Jermal, Butterworth. 


"TANPA BAPAK MAKA TIADALAH KAMI DIDUNIA INI. TERIMA KASIH ATAS SEGALA TUNJUK AJAR SEGALA KASIH SAYANG DAN SEGALA PENGORBANAN YANG TELAH BAPAK BERIKAN KEPADA KAMI ANAK-ANAK BAPAK. MOGA BAPAK DITEMPATKAN DI KALANGAN MEREKA YANG BERIMAN DAN DITERIMA DISISINYA ALLAH SWT... HENDAKNYA.... AMIN"



Keduanya, Balai Pukat adalah sangat-sangat nostalgia bagi aku oleh kerana itu aku akan menambah info dalam entri ini dari masa ke semasa jika ada informasi terbaru yang aku rasakan penting atau bersangkutan dengan Kampung Balai Pukat. Dan kepada pembaca yang ada maklumat mengenai kampung ini diharap dapatlah menghubungi aku melalui alamat email ini :- 





Rabu, 16 Disember 2009

ASSUMPTION : KISAH CIKGU CIKGU SEKOLAH MENENGAH



1983 : Aku dimasukkan ke kelas perdagangan. Macam yg aku cerita sebelum ni dkt sekolah ni cuma ada 2 kelas saja. Kelas perdagangan dan sains pertanian. Cikgu Limah Ujang adalah cikgu yang ajar matapelajaran perdagangan. Berasal dari kelantan dan percakapannya pun macam orang yg tak sihat selalu. Masalah dgn cikgu ni adalah setiap tahun dia mengandung & bila beranak dia akan cuti panjang. Bila dah cuti tak adalah cikgu lain sebagai pengganti. Dan satu hal lagi dia mengajar 100% ikut buku, kalau kami tanyakan dia soalan yg tak ada dlm buku mulalah dia gelabah. Dan mulalah dia cari alasan nak marahkan kami balik. Kalau dia dah tak boleh nak buat apa2 lagi apalagi menangis kemudian buat laporanlah pada pengetua kami. Dia punya pasal lah sampaikan aku pun terus tak minat dgn matapelajaran perdagangan ni.

Cikgu sains pula yg pertama cikgu Nasir. Siapa ada buat salah maka jarinya akan dikepit dgn pensil. Dia ni tak suka mengajar dalam kelas. Bila waktu pelajaran dia semua pun beraturlah pergi ke makmal sains. Tapi tempoh mengajar dia dkt sekolah ni tak lama. Setahun saja kemudian pindah entah kemana. Cikgu sains yg kedua namanya cikgu Zul. Dia juga mengajar pendidikan jasmani. Cikgu ni mmg sporting habis sampaikan kalau minta rokok sebtg pun dia akan bagi. Kalau time pendidikan jasmani yg bestnya dia pun akan joint kami. Biasanya buat sedikit senaman kemudian main bola ataupun sepaktakraw. Tp kami ni nakal lah sikit, asyik nak duduk di sebelah team lawan dia. Kalau main bola tu asyik dia jadi sasaran kami. Pantang dapat bola kalau dia masuk maka kami akan tendang bola ke arah badannya. Waktu kelas sains dia cukup terbuka. Katanya apa nak malu, kita semua pun lelaki. Saya ada awak semua pun ada. Keh..keh..keh.

Puan Noraini binti Awang pula adalah buah hati semua pelajar sini. Kecil molek orgnya tp cukup lawa manis sekali. Bila dia masuk kelas macam2 yg kami akan buat dkt dia sampai pakai biji lada pun ada kerana nak buat dia ghairah. Yang lebih teruk lagi ada yang sampai mengendap dia dekat belakang tandas cikgu. Apa nak buat semua pelajar dekat sini pun lelaki nak tengok perempuan lain dah tak ada. Tak lupakan juga pada ustaz Ismail. Setiap kali masuk kelas asyik ingatkan pasal duit tabung. Orangnya kalau bercakap lembut tapi kalau dah marah mulalah jadi bengis, kalau nasib tak baik bakal dapat rasalah penampar arab dia. Dan telinga kami pun tak tahan dengar maki hamun dari mulut dia

Ada seorang lagi cikgu lelaki nama dia cikgu Kassim. Tapi kalau di belakang dia kami gelar dia si Kassim Baba. Mungkin dia adalah antara cikgu yg paling selekeh aku pernah jumpa. Mula2 datang ke sekolah bawa kereta tapi bila ada budak yg buka angin kereta dia dia bawa pula basikal. Tapi serupa juga, baik kereta atau basikal sama saja. Ada sajalah budak yg akan buka angin tayar. Dan aku rasa dia adalah cikgu yg pelajar semua paling tak suka. Kesian dekat dia. Pengetua kami namanya Kenneth Combs. Rambutnya sentiasa kemas rapi dan berminyak lagi. Sikat kecil siap ada di poket baju. Dah jadi rutin dia sehari hari datang ke sekolah dgn motor cup honda. Bila sampai saja di sekolah selepas parking motor depan pejabat, perkara pertama yg dia akan buat adalah sikat rambutnya. Dia ni tak ada belas kasihan langsung pada pelajar. Disiplin adalah satu kemestian. Siapa yg buat salah tiada maaflah baginya. Dia suruh pilih rotan diantara banyak yg jadi koleksinya, pusing belakang buntot kita lah jadi sasarannya. Sikap tak ada belas kasihannya sampailah hingga ke akhir tahun. Barang siapa yg banyak rekod sistem D MERIT maka akan buruklah sijil berhenti sekolah. Termasuklah aku yg hanya ditulis berkelakuan sederhana. Tapi bila aku dah meninggalkan alam persekolahan, aku rasa amat berterima kasih padanya. Kerana dialah yg memberikan aku kesedaran agar menjaga disiplin dan menjadi manusia yg berguna. Terima kasih cikgu..

1985 : Adalah merupakan tahun aku menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ). Dan tahun ini juga adalah tahun terakhir aku bersekolah di Sekolah Assumption Butterworth ini. Kerana sekolah ini hanyalah setakat sampai tingkatan 3 sahaja. Pada tahun 1986 maka aku telah dipindahkan ke sekolah lain pula iaitu Sekolah Dato Onn Butterworth ( SDOB ). Maka bermulalah kejutan budaya kerana di sana pelajarnya adalah bercampur lelaki dan perempuan. Jadi bacalah kisah aku yang seterusnya.

Klik link bawah kalau berminat untuk tahu cerita :



Khamis, 3 Disember 2009

ASSUMPTION : KISAH CIKGU CIKGU SEKOLAH RENDAH


Foto kenangan semasa berada di darjah 4 Biru tahun 1980

Kisah cikgu2 di sekolah rendah Assumption pada tahun 1977-1982 iaitu tahun aku berada di peringkat sekolah rendah. Bermacam ragam cikgu2 disekolah ini. Ada yg datang ke sekolah berbasikal tua. Ada yg berseluar pendek macam manager estet dan memakai topi besi macam tuan inggeris zaman sebelum merdeka. Ada juga yang berjalan kaki, menaiki basikal, menaiki bas awam dan ada juga yang berkereta. Ada yang rokok sentiasa di mulut tak kira pada waktu rehat atau waktu mengajar ( dulu tiada undang2 larangan merokok di kawasan sekolah ). Yg bermisai tebal ular sawa pun ada, yang kurus, yang tinggi, yang gemuk dan kecil semuanya ada dan berbagai bangsa pula. Tetapi walau bermacam ragam cikgu2 ni semua, bila masuk kelas rotan mesti tak lupa.


Cikgu Molly Goh antara yg terseksi pada waktu itu. Bukan sekadar seksi tapi juga gila-gila (ataupun memang dah gila kot). Hari2 berskit pendek membuatkan kami semua tak senang duduk. Al maklumlah budak lelaki semua. Bermacam macam taktik digunakan hanya untuk nak tahu warna apa seluar dalam cikgu. Kegemarannya bertengkar & bergaduh dgn cikgu lain. Kemudian masuk kelas mulalah menangis dan merokok. Pengajaran pula diserahkan kepada ketua darjah untuk menulis di papan hitam. Cikgu Ali pula gemar bercerita macam si penglipurlara. Hari2 ada saja ceritanya tak pernah tak ada sampai kami semua pun suka padanya. Cikgu Nair yg paling garang yang dapat saya rasakan. Rotannya tebal sama seperti misainya. Setiap kali masuk kelas semua murid mesti berdiri. Disoalnya matematik, yg boleh jawap boleh duduk yg tak boleh jawap pula akan terus berdiri dan berasaplah buntot disebatnya. Selagi masih ada yang berdiri pusingan kedua akan diadakan begitulah seterusnya sampai semua murid boleh jawap soalannya. Mr.Lim pun garang orangnya. Berfizikal kurus dan tinggi tapi kepalanya botak. Dan dia juga adalah merupakan penolong guru besar.



Guru besar kami pula adalah merupakan seorang paderi roman katholik. Berasal dari Thailand dan di besarkan di Malaysia. Pada setiap hari pun dia turut mengajar. Bahasa Inggeris oral itulah pelajarannya dan namanya Reverand Brother Brendan. Satu yang bagus mengenai beliau adalah dia tak pernah sekalipun memukul pelajarnya dan semua pelajar juga begitu hormat padanya. Beliau merupakan seorang paderi roman katholik yang menjurus di dalam bidang pendidikan. Seperti yang telah saya ceritakan awal tadi, sekolah ini asalnya adalah sekolah yang ditubuhkan oleh golongan mubaligh kristian dan pecahan daripada St. Xavier's Institution. Jadi jgn pula hairan kalau seorang paderi yang menjadi guru besarnya.



Tak lupa juga pada kerani2 pejabat. Seorang tugas tak rasminya adalah jurulatih sukan. Bermata juling hingga kami pun terkeliru dibuatnya. Kerana matanya pandang ke kanan tapi jarinya pula tunjuk ke kiri. Coach Sundram itulah namanya. Banyak juga jasanya pada sekolah kerana semua jenis sukan pun dialah jurulatihnya. Tapi ada bisik2 di belakang mengatakan dia ni suka yang belakang belakang. Betul ke..entahlah. Zainon adalah seorang lagi kerani yang banyak juga jasanya tp bukanlah untuk sekolah lebih kepada pelajar. Tugas rasminya adalah membuat cetakan soalan peperiksaan. Jadi siapa yang rapat dengannya akan mendapat faedah.



Sebenarnya banyak lagi cikgu2 disekolah ini yg mengajar saya spt cikgu Awaluddin, Kamaruddin ( gemar mencubit anu pelajar), Lim Phee Twan ( membawa basikal tua ), Gary Francis ( Cikgu dalam gambar di atas ), Kenny Thasera ( gemar berseluar pendek ), Miss Khoo ( bercermin mata tebal ) dan banyak lagi. Tapi yang saya tuliskan di sini adalah yang paling tak dapat saya lupakan. Kepada cikgu yang lain2, saya minta maaf banyak2 bukan saya tak ingat jasa cikgu2 semua. Sungguh saya tak akan lupakan sampai bila2 masa pun. Terima kasih banyak2 wahai cikgu2 ku semua. Kerana menjadikan saya seorang manusia yang berguna pada hari ini.


Kalau berminat nak tahu cerita cikgu di sekolah menengah pula sila klik link di bawah

Selasa, 1 Disember 2009

ASSUMPTION : PERMULAAN KISAH 11 TAHUN KU YANG PENUH KENANGAN


Lencana Asal Sekolah Assumption Butterworth


1977
Aku menjejakan kaki di sekolah ini. Masih dungu dan kaku kerana ini kali pertama aku menempuh alam persekolahan. Sekolah yg hanya utk pelajar lelaki yg pada dasarnya multi bangsa, agama, taraf hidup, beraliran inggeris dan dikelolakan oleh pihak pentadbir gereja katolik dan merupakan cabang dari St. Xavier's Institution. Pada waktu itu salib Jesus tergantung di hadapan setiap kelas namun pengajaran agama kristian tidak diajarkan disini. Sebaliknya pelajar2 yang beragama kristian ini akan dibawa ke gereja yang tak terlalu jauh dari kawasan sekolah. Mungkin inilah contoh terbaik kpd dasar 1Malaysia seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri skrg iaitu DS Najib Tun Razak kerana tiada diskriminasi dan monopoli kaum mahupun agama. Anak2 dari keturunan Melayu, Cina, India, Serani, Bengali dan anak2 mat saleh RAAF bebas berkawan dan berkomunikasi. ( pada masa dulu terdapat juga anak2 dari kalangan tentera Royal Australian Air Force ( RAAF ) yang belajar di sini )


1980

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelajaran telah mengambil alih pentadbiran dan menukar sekolah ini kpd sekolah jenis kebangsaan pula maka semua salib yang ada pun telah dibuang tetapi cikgu2 dan guru besar yg sedia ada tetap dikekalkan. Walaupun pentadbiran telah bertukar tangan tapi yang cuma berubah hanyalah bahasa pengantarnya sahaja iaitu bahasa Inggeris diubah ke bahasa Malaysia. Kalau dulu setiap mata pelajaran di ajar dgn bahasa Inggeris kecuali Pendidikan Agama dan bahasa Malaysia tapi kini semuanya telah diajar dlm bahasa Malaysia kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris. Jadi bagi kami pelajar2 tiadalah bermasalah utk mengadaptasi perubahan ini. Aktiviti persekolahan berjalan spt biasa dan diwaktu luang atau rehat permainan tapak, toi, roundes dan marow mengeratkan lagi perhubungan kami pelajar2 sekolah ini. Di sekolah ini setiap darjah akan dibezakan dengan 4 warna. Yang pandai biru kemudian hijau di ikuti merah dan kuning. Pada tahun hadapan pula warna darjah akan berubah mengikut pencapaian peperiksaan hujung tahun sebelumnya. Bagi aku pula hanya 2 warna yang pernah aku duduki iaitu 1 hijau, 2 biru, 3 hijau, 4 biru, 5 hijau dan 6 biru.

1983

Aku masih bersekolah di sini tapi dah bertukar ke sekolah menengah pula. Jumlah pelajar telah berkurangan kepada separuh sahaja kerana sekolah menengah setiap tingkatan hanya ada 2 kelas sahaja iaitu perdagangan dan sains pertanian. Separuh lagi pelajar telah dipindahkan ke sekolah lain yang terdekat berdasarkan alamat rumah mereka. Jadi secara puratanya jumlah pelajar sekolah menengah hanyalah berjumlah 240 pelajar sahaja yang diasingkan dalam dua sesi pembelajaran. Pelajar tingkatan 1 di sesi petang manakala tingkatan 2 dan 3 di sesi pagi. Kini pelajar-pelajar semua dah semakin meningkat remaja maka masalah disiplin pun mula menjadi jadi.



1985
Pada setiap akhir tahun pula sebelum bermulanya cuti panjang, hari penyampaian hadiah akan diadakan. Kebiasaannya para senior akan membuat persembahan sempena akan berpisahlah mereka pada tahun hadapan. Maka masing masing pun akan menunjukkan bakat ada yang terpendam dan ada juga yang berkarat. Tahun ini tibalah giliran kami pula sebagai senior membuat persembahan. Setelah berbincang sesama kawan maka dipilihlah 5 orang membuat persembahan. Sempena dengan kebangkitan kembali demam pop yeh yeh maka persembahan kami pun berupa kugiran irama 60an. Dan aku juga terbabit dengan menyanyikan 2 lagu sebagai penyanyi utama. Tahun ini juga merupakan tahun akhir aku bersekolah di sana. Selepas mengambil peperiksaan S.R.P ( Sijil Rendah Pelajaran ) maka tamatlah sudah sejarah aku disana.


SISTEM D MERIT BAGI DISIPLIN PELAJAR

Akibat masalah disiplin yang makin meningkat maka sistem D MERIT pun diperkenalkan di sekolah ini oleh Guru Besar Kenneth Comb yang juga merupakan guru disiplin bagi sekolah menengah. Mungkin ini adalah yang pertama di Pulau Pinang kalau tak pun di Malaysia. Setiap kesalahan akan dihukum, didenda dan diberikan mata disiplin. Setiap pelajar mempunyai kad disiplin masing-masing yang disimpan oleh guru besar. Hukuman paling ringan pun 1 rotan di punggung. Kalau nasib tak baik akan di jalankan semasa perhimpunan hari Isnin di depan kesemua pelajar sekolah menengah.

Dulu tiada peraturan yg menyekat perlaksanaan hukuman rotan di khalayak ramai. Kalau dah kena hukuman rotan di sekolah, balik rumah tak boleh nak beritahu pada ibu bapa. Silap-silap nanti orangtua kami akan bagi pula hukuman rotan atau lain-lain di rumah pulak. Bukan macam sekarang, cikgu yang bagi hukuman rotan itu pula yang dibuat laporan polis oleh ibu bapa pelajar yang kena hukuman tanpa usul periksa. Berbalik kepada D Merit, bila jumlah mata disiplin dah terkumpul banyak, hukuman pun bertambah berat juga. Amaran pertama dengan memanggil ibubapa datang ke sekolah. Amaran kedua di gantung sekolah selama seminggu dua dan ketiga iaitu yang terakhir ibu bapa akan diberikan surat tunjuk sebab mengapa anak mereka tidak boleh dikenakan hukuman diberhentikan dari sekolah.



KECEMERLANGAN SUKAN DAN AKADEMIK

Sekolah ini terkenal dengan kegiatan sukannya. Bolasepak, hoki, sepaktakraw dan lumba lari setiap tahun pasti memberi pingat kepada sekolah. Ada yang menjadi wakil daerah, ada yang menjadi wakil negeri dan ada juga yang jadi wakil negara. Paling seronok sekali adalah pada hari sukan tahunan sekolah. Wakil2 dari sekolah lain pun di jemput juga untuk sama2 memeriahkan. Dan bagi murid2 pulak yang seronok sekali adalah mendapat minuman MILO percuma yang datang dengan lori dan diberikan di dalam cawan. Punyalah sedap sampai ada yang beratur 4 kali untuk mendapatkannya. 



Dari segi pencapaian akademik, sekolah ini memang terkenal dengan pencapaian cemerlang pelajarnya bagi keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 ( sekarang ditukar kepada Ujian Penilaian Sekolah Rendah atau UPSR di darjah 6 ) dan juga Lower Certificate Examination ( LCE ) yang sekarang ini digantikan dengan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ). Walaupun bukanlah sebuah sekolah berasrama penuh ataupun sekolah bistari kementerian pendidikan tetapi pada setiap tahun ranking sekolah ini akan berada dalam lingkungan 5 sekolah terbaik bagi pencapaian peringkat negeri Pulau Pinang. Inilah penyebabnya sekolah ini agak terkenal kepada penduduk daerah Seberang Perai Pulau Pinang. Pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan sukan cuma dicacatkan sedikit oleh pencapaian rekod disiplin yang agak buruk sedikit maklumlah pelajar sekolah 100% adalah pelajar lelaki.



Tetapi sayangnya kini sekolah ini sudah tiada lagi. Tapak tanah dijualkan dan bangunannya dirobohkan. Maka berdirilah pula bangunan baru di situ yang merupakan bangunan komplek perumahan menggantikan sekolah. Maka sekarang tak dapatlah lagi aku nak menunjukkan kpd anak-anakku dimanakah aku bersekolah dahulu. Walaupun sekolah ini sudah tiada lagi namun aku tetap berbangga bahawasanya aku pernah menjadi warga muridnya dahulu dari tahun 1977 hingga 1985.

Jadi inilah dia serba ringkasnya ceritaku mengenai Sekolah Assumption Butterworth yang sentiasa saja aku akan kukenang selama lamanya.


>NOTA KAKI<

Sekolah Assumption Butterworth menawarkan pembelajaran bermula dari darjah 1 hinggalah ke tingkatan 3. Dan pada asalnya mempunyai seorang guru besar shj utk mentadbir tetapi pada tahun 1983 setelah pihak kerajaan menjadikan sekolah ini sebagai sekolah kebangsaan 100% maka pejabat pentadbiran sekolah dan guru besar pun turut diasingkan menjadi 2 iaitu untuk setiap satu untuk sekolah rendah dan sekolah menengah. 



Setelah bangunan sekolah yang asal dirobohkan, sekolah ini telah berpindah dan berkongsi bangunan dengan sekolah lain iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Nyior. Terletak bersebelahan dengan Sekolah Rendah Convent Butterworth. 



Dan setelah beberapa tahun kemudian atas desakan PIBG dan beberapa NGO maka sebuah pertempatan untuk bangunan sekolah baru telah didirikan dan sekolah ini pun dipindahkan ke Hujung Batu, Bagan Dalam, Butterworth. 

Tapi sayangnya sekolah menengah telah dihapuskan dan yang tinggal hanyalah sekolah rendah sahaja. Begitu juga dengan lencana sekolah turut ditukar kerana kononnya ada gambaran salib 
agama Kristian. 

Walaupun masih ada lagi sekolah ini sampai sekarang tetapi secara kenyataannya sekolah yang baru di lokasi yang baru tersebut adalah sebuah sekolah yang berlainan sama sekali dan tidak mempunyai kesinambungan dari sejarah dan pencapaian Sekolah Assumption Butterworth yang telah bermula mulai tahun 60an dahulu.






( Update : 1/6/2011 )

Kepada bekas2 pelajar sekolah ini yg ingin mendapatkan lebih informasi atau mencari rakan2 lama yg telah kehilangan jejak silalah bergabung dengan kami beramai ramai di FACEBOOK dengan secara klik pada link dibawah ini :





ATAU

tuliskan "Assumption Butterworth School" pada ruangan 'carian / search' di Facebook. Jumlah keahlian terkini telah melebihi 700 org dan wall kumpulan adalah aktif dengan posting dan komen-komen dari ahli tanpa mengira usia.


SEKIAN TERIMA KASIH

Klik link di bawah kalau berminat untuk tahu cerita :

KISAH CIKGU SEKOLAH RENDAH

DAN

KISAH CIKGU SEKOLAH MENENGAH