Setelah berbincang akhirnya pilihan kami adalah di Bagan dengan alasan aku dan adik aku bersekolah disini, saudara mara juga ramai disini. Maka bapa aku pun melepaskan tawaran rumah di sebelah pulau dan pada bulan 5 tahun ini juga kami pun berpindah ke rumah baru di Jalan Mohd Saad. Rumah kos rendah ini adalah dari jenis 2 tingkat dan mempunyai 2 bilik tidur di atas. Pada waktu itu harganya hanyalah RM 18,000 dan bayaran ansuran bulanan pula cuma RM 60 + RM 5 duit penyengelaraan selama 25 tahun
Letaknya Jalan Mohd Saad ini adalah berdekatan pantai seperti Balai Pukat juga cuma dipisahkan oleh sebatang jalanraya yang menuju ke arah utara merentasi bandar Sungai Petani, Alor Setar, Kangar dan Padang Besar iaitu bandar di sempadan Malaysia dan Thailand. Jaraknya adalah 3 km dari Komplek PPC ( yang telah terbakar dan dirobohkan ) iaitu stesyen bas bagi bandar Butterworth. Di sini terdapat satu komplek Jabatan Pertahanan Awam Wilayah Utara, kawasan perumahan untuk kakitangan LLN ( sekarang TNB ), kawasan perumahan untuk kakitangan Jabatan Kastam, juga kawasan perumahan untuk Pegawai Daerah dan kakitangan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara. Di tepi jalan masuk ke Jalan Mohd Saad ini terdapat sebuah restoran yang cukup terkenal pada satu waktu dahulu iaitu Rose Restoran. Di seberang jalan sebelah pantainya pula ada satu perkampungan nelayan yang dikenali sebagai Kampung Pantai Bagan Jermal tapi bagi orang Cina pertempatan ini dipanggil "Sa Lak Kau" yang maksudnya dalam Bahasa Melayu ialah "369". Digelar begitu kerana pada waktu dahulu terdapat satu kumpulan kongsi gelap Cina yang berpusat disitu dikenali dengan nama yang sama. Terdapat juga sebuah kilang belacan di situ serta sebuah kedai yang menjual haiwan peliharaan sebagai hobi. Betul-betul di tepi jalan pula terdapat sebuah perkuburan Islam yang cukup lama hinggakan tiada siapa pun tahu pada tahun bilakah ia bermula sebagai sebuah perkuburan. Di bahagian utara Jalan Mohd Saad ini pula terdapat sebuah perkampungan Melayu tradisional iaitu Bagan Jermal yang pada asalnya adalah terbentuk dari dua kampung yang bersebelahan iaitu kampung Parit Alur dan juga kampung Buluh. Dan di sebelah timurnya pula adalah pertempatan bagi orang-orang Cina iaitu Jalan Raja Uda.
Di tengah-tengah Jalan Mohd Saad ini terdapat sebuah kawasan lapang yang amat luas hingga boleh memuatkan 4 padang bolasepak. Dan disinilah tempatnya aku mula berkenalan dengan kawan-kawan baru dan bermain bolasepak setiap petang. Seingat aku pada waktu itu terdapat seorang budak perempuan yang turut bermain bolasepak dengan kami setiap hari dan posisi tetapnya adalah sebagai penjaga gol. Pada setiap kali datangnya bulan puasa kami akan bermain "perang" pula pada sebelah malam di padang ini. Peperangan ini adalah menggunakan mercun dan bunga api sebagai senjata dan ia adalah perang di antara dua kumpulan iaitu kumpulan budak-budak rumah kos rendah dengan kumpulan budak-budak rumah teres. Padang ini juga kerap digunakan oleh kumpulan sarkas untuk membuat persembahan di Butterworth. Hairan juga aku, dulu sarkas ni selalu ada boleh dikatakan setiap tahun tetapi sekarang langsung dah tak pernah tengok lagi walau di mana-mana pun kecuali "funfair" saja.
Sayangnya, tidak lama kemudian maka padang yang luas ini pun turut menjadi korban kepada pembanggunan seperti juga yang terjadi pada Padang 3 Segi di Balai Pukat. Pada tahun yang aku dah tak berapa ingat lagi kemungkinan pada tahun 1984 atau 1985 maka berdirilah 6 blok rumah pangsa 5 tingkat dengan mempunyai sebanyak 300 unit rumah. Suasana disini pun telah bertukar menjadi lebih meriah lagi dengan jumlah penduduknya yang telah bertambah ramai. Kalau sebelum ini Jalan Mohd Saad ini boleh dikatakan sebagai kawasan pertempatan bagi orang Melayu tapi kini dah bertukar menjadi majmuk dengan semua bangsa pun ada.
Akibat dari terbinanya rumah pangsa ini maka tiadalah lagi padang untuk beriadah dan bermain bolasepak setiap petang seperti dulu. Dan budaya melepak pun menjadi jadilah dikalangan belia remajanya. Dari budaya melepak inilah maka budaya menghisap ganja dan heroin pun menjadi jadi juga. Sana sini terdapat "port" untuk anak muda berlepak dan tidak melakukan apa-apa kegiatan yang berfaedah pun. Sehinggalah pada suatu ketika Jalan Mohd Saad dan Bagan Jermal telah tersenarai sebagai "Black Area" oleh pihak polis daerah Butterworth. Pada yang masih berminat bermain bolasepak maka terpaksalah bermain jauh sedikit iaitu di padang perumahan LLN atu pun padang perumahan Kastam. Sehingga kini aku masih lagi terfikirkan mengapakah pihak kerajaan tidak memikirkan akan akibat masalah sosial yang terjadi daripada hasil pembanggunan yang tak terancang ini. Sepatutnya pada setiap pembanggunan, kegiatan dan aktiviti masyarakat setempat juga seharusnya dibangunkan bersama seperti di Singapura. Di Singapura di setiap kawasan perumahan yang dibangunkan oleh kerajaan maka dibina juga kemudahan beriadah seperti kolam renang, gelanggang tenis dan badminton, padang bolasepak, dewan untuk aktiviti dalaman seperti gimnasium serta kawasan berjoging walaupun kecil.
Berbalik kepada Jalan Mohd Saad pada waktu kini pula, kesan pembanggunan amatlah ketara sekali. Perkampungan di bahagian pantainya telah tiada lagi keseluruhannya telah dijadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ). Perumahan Pegawai Daerah dan kakitangannya juga telah dijadikan kawasan komersial dengan terbinanya deretan bangunan kedai pejabat dan apartmen. Berhadapan dengan Komplek Jabatan Pertahanan Awam pula telah didirikan Komplek Mahkamah Majistret Butterworth yang baru yang lebih moden bagi menggantikan dengan yang ada di sebelah hospital daerah Butterworth. Begitu juga dengan bahagian tepi tanah perkuburan telah dibangunkan dengan lot-lot komersial serta hotel. Kampung Bagan Jermal juga tidak ketinggalan dari aktiviti pembanggunan. Kini separuh dari kampung tradisional ini sudah tiada lagi diganti dengan kedai-kedai serta apartmen oleh pihak swasta.
Walaupun sudah berbelas tahun aku merantau tetapi Jalan Mohd Saad sampai bila-bila pun tetap akan menjadi destinasi "balik kampung" bagi aku. Kubur Allahyarham bapa aku juga terdapat disana dan sampai ke saat ini, emak dan adik bongsu aku masih lagi menetap disana. Walaupun aku membesar di kota besar Kuala Lumpur tetapi aku adalah dilahirkan di Kampung Balai Pukat, aku belajar celik mata melihat ragam dunia di Jalan Mohd Saad dan aku tak akan sekali kali segan dan malu untuk mengaku bahawa aku adalah anak Bagan. Dan aku sangat-sangat berbangga menjadi seorang anak kelahiran negeri Pulau Pinang sehinggakan aku sanggup mengekalkan hingga ke hari ini alamat rumah dalam Kad Pengenalan MyKad aku dengan alamat rumah orangtua ku di Jalan Mohd Saad, Butterworth, Pulau Pinang walaupun sudah 3 kali aku menukar MyKad yang baru.
Aku adalah Bagan Beach Boy....
Aku adalah Anak Pantai Bagan....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PERINGATAN :-
PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN