Isnin, 6 Jun 2011

KERJA UKUR KEJURUTERAAN : SETTING OUT BANGUNAN




Entri kali ini adalah mengenai kerja asas pengukuran kejuruteraan untuk bangunan. Setiap bangunan terdiri dari 3 bahagian iaitu tapak, dinding dan bumbung. Tapak bangunan adalah yang paling penting sekali dan perlukan pengiraan serta ukuran yang tepat. Walaupun ukur kejuruteraan termasuk dalam ukuran kelas 3 tapi apabila membuat setting-out untuk bangunan atau rumah kediaman kerja ukuran perlulah dilakukan secara kelas pertama. Kerana kalau tersalah pengiraan lokasi ( x , y ) atau tersalah diberi ketinggian aras level maka bangunan tersebut akan tersalah bina dan tak mengikut rekabentuk sebenar seperti yang telah ditetapkan oleh jurutera dan arkitek.

Dalam setiap tapak bangunan atau dalam bahasa Inggeris disebut ‘foundation’ biasanya terdapat tiang piling ( bagi jenis tanah lembut atau pun tanah filing ), footing ( bagi jenis tanah keras atau berbatu ), pilecap, stump, ground beam, tiang column, tiang stifner dan lantai bangunan.

Pada bahagian dinding pula terdapat pintu, tingkap dan floor beam untuk tingkat atas manakala pada bahagian bumbung terdapat roof beam, rangka siling & siling, rangka atap dan atap ( samada zink, asbetos atau genting ). Ada juga bumbung bangunan yang diperbuat dari konkrit yang rata.

Perkara pertama yang mesti jurukur tapak buat ialah membaca dan mengkaji pelan arkitek dan pelan struktur rekabentuk bangunan ( piling layout, footing layout dan ground beam layout ). Pastikan terlebih dahulu pelan dari arkitek dan pelan dari jurutera rekabentuk sama dari segi ukuran setiap bucu bangunan dari dinding ke dinding dan tingkat ke tingkat. Mengikut pengalaman penulis selalunya terdapat perbezaan kecil bagi jarak dari satu tiang ke tiang yang lain. Atau pun terdapat percanggahan dari segi saiz keluasan sesuatu ruang yang berada dalam bangunan tersebut. Setelah kita mengkaji setiap pelan tersebut dan didapati ada percanggahan maka cepat-cepatlah beritahu pada pengurus projek untuk mendapatkan ulasan dan tindakan susulan yang perlu dibuat.

Perkara kedua yang perlu dilakukan oleh jurukur pula adalah membuat ‘pre-comp plan’ bagi memastikan kedudukan dan keluasan bangunan tersebut di dalam lot tanah adalah tepat mengikut pelan rekabentuk dan arkitek serta tidak ada pertindihan dengan infrastruktur lain seperti rezab jalan, rezab parit, saluran paip dan kumbahan serta lain-lain.

Setelah dua perkara di atas telah jurukur pastikan betul dan tidak mempunyai masalah barulah boleh dimulakan kerja pengukuran dan penandaan di atas tanah. Selagi masih bermasalah jangan sesekali jurukur meletakkan walau sebatang peg pun kerana kemungkinan besar akan ada perubahan pada pelan bangunan tersebut dan bagi mengelak dari membuat kesalahan atau mengulang kerja yang sama berulang kali.

KERJA2 PENGUKURAN SETTING OUT BANGUNAN

1.) Mulakan kerja pengukuran dengan membuat station terabas kawalan horizontal secara tertutup dan mengelilingi keseluruhan tapak pembinaan tersebut. Selain itu tandakan juga lokasi bangunan itu di atas tanah bagi memberikan jurukur lebih informasi mengenai keadaan sebenar tapak bangunan tersebut

2.) Buatkan juga TBM ( batu aras sementara ) berdekatan dengan tapak bangunan itu tetapi pastikan letaknya ditempat yang selamat dan senang untuk dibaca apabila kita perlu membuat kerja2 pelarasan kawalan ketinggian bangunan tersebut. Pastikan TBM itu di konkritkan supaya dapat bertahan lama dan kekal disitu. Tuliskan juga ketinggian aras laras pada TBM itu untuk memudahkan kerja ukur.

3.) Setelah siap kerja2 asas pengukuran iaitu terabas dan leveling dan dibuat pembetulan, dengan berpandukan pada pelan struktur samada pelan piling layout, footing layout atau pun ground beam layout jurukur perlu menandakan pula baseline bagi paksi X dan Y bangunan itu mengikut pelan layout di atas tanah. Contohnya bangunan itu bersegi 4 maka kita tandakan 4 penjuru bangunan tersebut yang telah di offsetkan sekurang kurangnya 2 meter ke belakang daripada garisan gridline pertama dan terakhir dan pagarkan supaya peg tersebut dapat bertahan lama, tidak diusik sewaktu kerja2 pembinaan dijalankan. Sebaiknya gunakanlah peg dari paip besi dan konkritkan tapaknya supaya tetap kekal disitu dalam jangkamasa yang lama serta tuliskan juga nombor gridline pada tapak peg itu contohnya A/1, A/9, F/1 & F/9. Dan jangan lupa dibaca juga ketinggian aras setiap peg tadi.

4.) Pekerja pembinaan bagi membuat kerja2 tapak asas bangunan tersebut kebiasaannya akan membuat pagar kayu yang dipanggil ‘profile board’ ( pagar profile ) disekeliling tapak bangunan itu dengan berpandukan baseline yang ditandakan oleh jurukur kecuali jika kerja2 menanam cerucuk/piling perlu dilakukan terlebih dahulu. Pastikan ketinggian pagar profile itu adalah di paras tinggi lantai siap ‘finish floor level’ ( FFL ) bangunan tersebut. Jadi jurukur perlu memberitahu kepada pekerja tadi dengan menulis di peg tersebut berapa tinggi dari peg ke tinggi FFL. Setelah pagar profile itu siap dipasang tugas jurukur seterusnya adalah menandakan dengan tepat kedudukan gridline 4 penjuru A/1, A/9, F/1 & F/9 tadi ke atas pagar profile tersebut dengan menggunakan paku. Kemudian jurukur perlu memastikan juga yang jarak paku ke paku yang ditandakan itu adalah tepat mengikut jarak yang dituliskan dalam pelan layout. Tanda paku bagi gridline yang selebihnya pula akan ditanda sendiri oleh pekerja pembinaan.




5.) Jikalau ada kerja2 menanam cerucuk di tapak bangunan itu maka jurukur perlu menandakan lokasi ‘piling point’ di atas tanah mengikut gridlinenya dengan tepat berpandukan pada pelan piling layout. Setelah siap kerja menanam cerucuk dan dipotong baki batang piling tersebut pada paras ‘cut off’ yang dimahukan oleh ‘supervisor’ projek bangunan itu maka jurukur perlu pula membuat satu ukuran ‘as-built’ piling iaitu dengan merekodkan X,Y center line batang piling yg telah dipotong tadi. Ini adalah untuk memastikan batang2 piling itu berada tepat di tempatnya dan tidak lari ke arah lain terlalu jauh. Selepas itu barulah pagar profile boleh dipasang oleh pekerja pembinaan dan jurukur menanda kedudukan gridline seperti perkara (4) di atas.

6.) Seterusnya kerja2 penandaan tapak footing/pilecap akan dilakukan oleh pekerja pembinaan dengan cara menarik benang bagi 2 garisan gridline yang berlainan secara bersilang ( lihat foto rujukan di atas ). Jurukur akan diminta memberikan paras kedalaman dan ketebalan setiap footing/pilecap yang akan dikorek oleh pekerja binaan tersebut. Setiap perbezaan pada saiz footing/pilecap maka kedalamannya juga akan berbeza dengan nombor rujukan bagi footing/pilecap itu juga akan berbeza mengikut jadual footing/pilecap yang telah disediakan oleh jurutera struktur.

7.) Seterusnya apabila footing/pilecap tadi telah siap dibuat maka jurukur perlu menanda pula ketinggian ground beam serta FFL pada casing atau framework kayu tiang column yang belum lagi dikonkritkan. Perlu diketahui disini kegunaan pagar profile sebenarnya adalah untuk memudahkan kerja penandaan gridline setiap tiang2 column yang akan dibina. Periksa dengan teliti sekali lagi pada pelan piling layout atau footing layout kerana kebiasaannya terdapat jarak offset yang tertentu bagi sesetengah tiang dan tak semestinya berada tepat di atas garisan gridline yang telah ditandakan. Dengan memastikan tinggi pagar profile itu berada di paras ketinggian 'finish floor level' maka pagar profile itu juga dapat digunakan sebagai penanda aras bagi memudahkan pekerja pembinaan menentukan ketinggian stump yang akan dibina. Stump adalah merupakan penyokong antara footing/pilecap dan ground beam.



8.) Seterusnya setelah siap ground beam maka jurukur perlu memastikan pula besi2 tiang column yang belum dikonkrit itu berada dikedudukan yang tepat dan tegak tidak condong.

9.) Dan apabila casing atau acuan framework tiang2 column telah siap dipasang maka jurukur perlu pula menanda ketinggian untuk floor beam bagi tingkat yang seterusnya.

10.) Sekarang ini kerja2 jurukur dah menjadi bertambah mudah. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memindah station control ke tingkat yang atas untuk kerja kawalan horizontal dan memindahkan juga TBM ke tingkat atas. Dan kerja ini perlu diulang lagi setiap siapnya tingkat atas yang baru. Pada waktu ini jurukur hanya perlu memastikan bucu bangunan dan tiang column tadi tidak condong dan ketinggian paras floor beam adalah mengikut pelan struktur dan arkitek.

NOTA KAKI :

Kerja2 pengukuran di atas adalah merupakan kerja2 asas sahaja dan bagi bangunan yang ketinggiannya tak melebihi 5 tingkat. Bagi bangunan yang lebih tinggi pula asasnya adalah sama melainkan alat yang digunakan sedikit berbeza. Untuk memindahkan station control ke tingkat yang lebih tinggi pula jurukur perlu menggunakan alat yang di panggil ‘laser optical plummet’ dengan cara membuat 3 atau 4 station control di atas lantai tapak bangunan secara ‘L’ , ‘Y’atau pun 'X' kemudian ditebuk lubang samada bulat atau segiempat pada lantai tingkat atas seluas 3-4 inci dan tak perlulah besar sangat kerana selepas ini ia akan ditutup semula. Alat laser optical plummet ini berfungsi memastikan point control dibawah dan diatas adalah pada kedudukan paksi yang sama atau dalam ertikata lain sama kordinit X,Y nya dan jarak tertinggi yang boleh di capai adalah 150 meter. Ketegakan bucu bangunan pula dapat di kawal dengan menggantung plumbob yang seberat 5-10 kilogram di tingkat atas dan disetkan pointnya di bawah sekali iaitu di bahagian luar lantai tapak bangunan pada jarak yang tetap iaitu antara 1 atau 2 kaki dari dinding bangunan.

Oleh kerana terdapat banyak pertanyaan yang perlukan penjelasan lanjut maka penulis telah tuliskan siri ke-2 bagi entri ini. Bukanlah penjelasan lengkap tetapi sekadar menjawap pertanyaan yang banyak penulis terima pada entri ini sahaja.

( klik link bawah )  


-----------------------------------------------------

Dan kepada yang berminat untuk dapatkan E-book Setting-Out Bangunan : Buku Garis Panduan Bagi Kerja Pengukuran Bangunan Secara Praktikal Di Tapak Pembinaan 
Ditulis sendiri oleh penulis daripada pengalaman lebih 20+ tahun dalam kerja ukur terutamanya kejuruteraan.

HARGA : RM 30

Kirimkan tempahan atau pertanyaan melalui :

WhatsApp : 012-3949064
( Jurukur Nizam @ nick )


Cover E-book Setting Out Bangunan




TERIMA KASIH

Jurukur Tanah Klang @ 2022