Selasa, 10 April 2012

KERJA UKUR KEJURUTERAAN : SETTING OUT BANGUNAN 2



Dalam entri yang lepas "KERJA UKUR KEJURUTERAAN : SETTING OUT BANGUNAN" ada ramai yang bertanya serta ingin lebih info tentang kerja2 ukur kejuruteraan bangunan serta cara praktikalnya. Maka secara tanpa kedekut ilmu disini aku akan terangkan dengan lebih panjang sikit dari entri sebelum ini asas kerja ukur bangunan.

Dan apa yang terpenting sekali adalah dalam soal kerja mengawal aras ketinggian bangunan serta mengawal ketepatan jarak tiang ke tiang, dinding ke dinding serta mengawal ketegakan bangunan supaya tidak condong.

Di bawah ini aku akan pecahkan kepada 4 bahagian praktikal kerja-kerja asas ukur bangunan ini iaitu kawalan aras laras ( ketinggian aras ), kawalan horizontal ( jarak dan bearing ), kawalan verticality ( ketegakan bangunan ) dan akhir sekali kawalan kerja iaitu tertib pekerjaan pengukuran mengikut turutan A, B, C, D, E dan seterusnya. 


KAWALAN ARAS LARAS

Untuk kerja kawalan 'aras laras' macam biasa kita kena ada satu TBM ( batu aras sementara ) yang dah dibuktikan arasnya dari batu tanda aras Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( Benchmark / BM JUPEM ) atau TBM jurukur berlesen dan dibuat berdekatan dengan tapak bangunan tersebut. Sebaiknya TBM ini hendaklah diletakkan di tempat yg selamat dan dibuat dari paip besi serta disimenkan supaya dapat bertahan lama dan tak mudah rosak.

Untuk buktikan aras TBM itu adalah betul kita kenalah membuat kerja ‘leveling’ dengan menggunakan alat 'Dumpy level' dan setaf secara pergi dan balik ( satu loop / pusingan ). Jika terdapat 'misclose' maka hendaklah di buat pembetulan secara purata setiap 'change point' ( CP ) dan barulah kita dapat mengira nilai aras TBM kita tadi.

Contohnya setelah kita membuat leveling dari BM JUPEM atau TBM jurukur berlesen dan terdapat 'misclose' sebanyak +50mm bagi BM yang punyai aras 5.00m dan setelah pergi & balik dibaca 4.950m serta ada 10 'change point' bagi keseluruhan kerja leveling ini. Maka setiap CP tersebut secara purata perlu ditambah 5mm sebagai pembetulan. Jadi secara ringkasnya CP1 = +5mm, CP2 = +10mm, CP3 = +15mm, CP4 = +20mm seterusnya sampailah CP10 atau BM tadi = +50mm.

Bagi kerja ukur bangunan apa yang penting sekali adalah kita perlu tahu level lantai siap atau 'floor finish level' bangunan tersebut. Dan dari pelan profile 'pile cap' atau 'footing' pula kita perlu mengira aras ketinggian 'cut off pile' ( aras tinggi pemotongan batang cerucuk ), ketebalan 'pile cap' atau tebal 'footing' serta ketebalan 'ground beam'.

Tapak bangunan yangg perlu ditanam cerucuk / piling akan ada 'pile cap' di bahagian atas batang cerucuk yang telah dipotong pada aras yang telah ditetapkan. Biasanya cerucuk ini di tanam di bawah tiang column bangunan tersebut dan saiz serta ketebalan 'pile cap' adalah bergantung pada saiz tiang column bangunan itu. Lebih besar tiang maka lebih besar dan lebih tebal 'pile cap'nya. Bagi bagunan yang tak perlukan cerucuk maka barulah 'footing' digunakan kebiasaannya adalah di atas tapak tanah berbatu, bukit dan keras. Asasnya adalah sama seperti 'pile cap' tadi. Tiang ‘column' adalah tiang yang bermula dari 'pile cap' dan tiang 'stifner' pula adalah tiang sokongan dan hanya bermula dari 'ground beam' serta tidak bersambung dari bawah sampai atas bangunan. Biasanya tiang stifner ini berjarak 10 kaki setiap satu dan fungsinya adalah untuk membuat dinding, menjadi bucu bangunan yang banyak segi dan bentuk serta mengelakan dari batu bata dinding itu menjadi merekah dan tidak rata.

Selebihnya setelah siap ditanda aras 'pile cap' atau 'footing', aras 'ground beam', dan aras 'finish floor level' maka kerja kawalan aras seterusnya adalah ketinggian lantai setiap tingkat bangunan tersebut. Jadi jurukur kenalah menandakan pada kayu frame tiang column bangunan itu ketinggian aras lantai tingkat seterusnya sebelum kerja kerja pemasangan kayu frame untuk lantai atas sebelum kerja konkrit dijalankan. Setelah siap lantai di atas maka surveyor perlu membuat satu TBM lagi di lantai atas tersebut dan begitulah seterusnya. Perlu diketahui lantai bangunan adalah tidak rata dan terdapat perbezaan aras pada bahagian2 tertentu contohnya pada bahagian dapur atau bilik mandi.

Satu tip untuk kau orang semua dan mungkin kau orang tak tahu sebelum ini atau terfikir cara begini. Bagaimana caranya kita nak ukur ketinggian lantai atas tanpa perlu pindahkan alat ukur atau lantai atas itu masih tidak ada tangga untuk kita panjat naik ke atas?

Caranya adalah begini, seperti biasa kita perlu pasang alat dumpy level dan baca ketinggian ‘back sight’ TBM kita. Kemudian setaf tadi hendaklah diterbalikan atas ke bawah. Biasanya tanda tinggi 0.0m setaf ada di bawah tapi kali ini 0.0m itu kita terbalikan ke atas pula. Tanda 0.0m itu hendaklah kita letakkan secara tegak di bahagian bawah lantai atas tersebut dan dibaca aras larasnya. Kemudian kita ukur ketebalan lantai tersebut.

Contoh kiraan :

(A) Tinggi aras TBM     = 4.000m
(B) Bacaan back sight  = 1.500m
(C) Bacaan setaf terbalik bawah lantai pula = 2.500m
(D) Ketebalan lantai      = 0.325m

Formula : ( A + B + C + D ) = aras tinggi lantai atas

4.000m + 1.500m + 2.500m + 0.325m = 8.325m


KAWALAN HORIZONTAL

Bagi kerja ukur kawalan horizontal pula, jurukur perlulah membuat traverse / terabas dengan secara 1 loop / pusingan serta dibuat pembetulan jika terdapat misclose yang banyak. Seterusnya jurukur perlu membuat tanda base point baseline sekurang kurangnya pada 2 penjuru bangunan itu selari dengan bearing tepi bangunan dan di offset pada jarak yang tertentu ( lebih jauh lebih bagus ). 2 tanda baseline ini hendaklah disimenkan dan dipagar dan kukuh. Selepas itu dari base point tadi jurukur perlulah menanda 'grid line' seperti mana yang terdapat dalam pelan 'piling / footing layout'. Contohnya pada paksi X terdapat grid line bermula dari A, B, C, D dan E. Pada paksi Y pula terdapat grid line 1, 2, 3, 4 dan 5. Apa yg perlu jurukur tandakan adalah titik penjuru bangunan tersebut iaitu bagi titik silang grid line A1, A5, E1 dan E5. Dan tanda ini mestilah di anjak ( offset ) sekurang kurangnya 2 meter ( bergantung kepada luas kawasan kerja ) keluar dari titik sebenar grid line itu. Sebaiknya gunakanlah paip besi dan disimenkan serta dipagar supaya dapat bertahan lama dan tak mudah rosak.

Seterusnya pekerja pembinaan akan membuat pagar profile pada keliling grid line tersebut dan jurukur perlulah menanda grid line yang pertama dan terakhir pada pagar tersebut. Setelah ditanda jurukur perlu memastikan bahawa jarak antara grid line pertama ke grid line terakhir adalah seperti yang terdapat dalam pelan 'piling / footing layout' bangunan tersebut. Jika terdapat misclose yang besar jurukur perlulah menanda sekali lagi kerana ditakuti bangunan itu akan menjadi senget bucunya apabila siap nanti. Setelah siap maka pekerja binaan akan menanda pula dengan paku setiap grid line yang ada sepanjang bangunan itu di atas pagar profile tadi.

Tujuan dibuat tanda base point baseline yang bersimen dan kukuh adalah supaya jika tanda grid line tadi hilang atau rosak akibat kerja2 pembinaan maka jurukur boleh membuat tanda grid line yang baru dengan menggunakan baseline yang sama dari mula projek hinggalah siap projek bangunan tersebut. 

Kerja menanda titk batang piling boleh dilakukan secara menggunakan kiraan kordinat ataupun secara menarik benang antara 2 grid line tadi. Jika piling itu tidak ada offset maka titik silang antara 2 benang itulah tempatnya yang perlu di tanda. Jadi perlulah jurukur pastikan betul2 samada piling point tadi terletak di atas grid line atau pun tidak. Kebiasaannya piling point tersebut ada jarak offsetnya dari grid line dan tidak sama jarak offset antara satu piling dan piling yang lain. Jangan tergopoh mamasang tanda piling point sebaiknya jurukur perlulah mengambil sedikit masa dengan mengkaji ( plan study ) pelan layout piling itu dan faham betul2 semua keperluan dan hitungkan semua jarak gridline dan jarak offset dengan tepat sebelum menandanya di atas tapak.

Setelah kerja menanam piling selesai maka jurukur perlulah membuat ukuran 'as-built' piling tadi. Barulah kita dapat tahu samada batang piling itu masuk tepat pada titiknya atau pun tidak. Biasanya jarak yang dibenarkan adalah 75mm ( 3 inci ) tapi bergantung juga pada saiz piling, saiz pile cap serta jenis tanah di tapak bangunan tersebut.

Setelah lantai bawah dan tiang column siap maka jurukur perlulah membuat station kawalan ( control point ) pada lantai tadi dan juga di luar dinding bangunan tersebut dengan menggunakan 'iron spike', bolt atau paku simen. Untuk bangunan kecil empat segi 2 station di dalam bangunan di atas lantai dan 2 station di luar bangunan pada setiap bahagian bucu dinding bangunan itu sudah memadai. Setiap luar bucu bangunan perlulah di buat 2 point pada jarak 1 atau 2 kaki offset dari dinding dan bertujuan mengawal kecondongan bangunan itu. Contohnya jurukur telah menanda 2 point pada jarak offset 2 kaki dari dinding luar di bahagian lantai bawah dan bila kerja2 memasang frame kayu untuk lantai di atas, jurukur perlulah mengantung 'plumbob' ( bandul pemberat ) dengan tepat di atas point di bawah tadi dengan menggunakan kayu dan benang pada frame kayu lantai atas tersebut. Dan jurukur atau pekerja binaan perlulah memastikan bahawa jarak dinding lantai atas nanti adalah pada jarak 2 kaki sama seperti lantai di bawah. Setelah di tanda jarak 2 kaki barulah frame untuk lantai atas dipasang bahagian tepinya. 

Berbalik kepada 2 control point di atas lantai dalam bangunan pula bertujuan untuk menanda kedudukan tepat setiap tiang column di bahagian lantai itu dan juga untuk dipindahkan ke lantai atas pada kordinat yang sama. Cara asas praktikalnya adalah semasa frame lantai bahagian atas dipasang, jurukur perlu menandakan kordinat yang sama di bahagian bawah frame kayu lantai atas tersebut. Jika untuk bangunan yang rendah kurang dari 5 tingkat dan jurukur tiada alat ukur 'optical plummet' maka jurukur boleh menggunakan benang dan plumbob. Caranya, plumbob tadi digantung dari bahagian bawah frame kayu lantai atas tepat di atas kedua dua control point yang di atas lantai tadi. Setelah titik kordinat yang sama ditanda pada bahagian bawah frame kayu lantai atas tersebut maka hendaklah ditebuk lubang pada papan frame tersebut sekurang kurangnya seluas diameter 3 inci dan pekerja binaan hendaklah memasukkan paip PVC tembus ke bahagian atas lantai tingkat atas itu. Kemudian barulah lantai atas itu disimenkan dan pada bahagian titik control point tadi akan menjadi berlubang. 

Setelah simen konkrit lantai atas kering maka jurukur bolehlah memasang alat ukur di atas bahagian lantai yang berlubang tadi. Jurukur perlu memasang alat tepat di atas titik control point pada lantai bawah dan pastikan jarak kedua dua point di lantai atas itu adalah sama seperti jarak di lantai bawah. Selepas itu barulah lubang tadi ditutup dengan simen dan ditanda control point tadi dengan iron spike, bolt atau paku. Kemudian 2 control point yang baru dibuat di bahagian lantai atas tadi disemak kembali jaraknya samada tepat atau tidak sama seperti jarak point bahagian bawah sebelum simen itu kering. Jika jurukur menggunakan alat 'optical plummet', lubang tadi tidak perlu ditutup serta merta kerana alat 'optical plummet' ini dapat melihat dan menandakan dengan tepat sehingga ketinggian aras 150 meter. Apa yang perlu hanyalah memasang rangka dawai seperti sarang labah labah yang mempunyai point di bahagian tengah. 



KAWALAN VERTICALITY

Dengan adanya station control point pada lantai atas bangunan yang dibuat dengan menggunakan alat optical plummet tadi bukan sahaja jurukur dapat membuat kawalan horizontal tapi sekaligus juga dapat membuat kawalan vericality iaitu mengawal ketegakan bangunan agar tidak condong. 

Sewaktu memasang alat pada station yang ada di lantai terbawah sekali dan sebelum jurukur memindahkan alat ke bahagian lantai atas, secara gridline X dan Y bacakan jarak dari station control point tersebut ke bahagian tepi dinding bangunan itu. Jikalau jurukur membuat 4 station control point bermakna di setiap 1 station control point tersebut jurukur dapat membuat 2 ukuran ke tepi dinding secara paksi X dan Y. Dan jika jurukur membuat 4 station control point bermakna terdapat 8 ukuran ke tepi dinding yang dapat dibuat. Rekodkan setiap jarak yang telah diukur tadi dan apabila jurukur memasang alat pada bahagian lantai atas bangunan, pastikan jarak yang sama juga ditandakan di atas papan formwork lantai itu. Dengan itu kawalan kepada ketegakan bangunan ini dapat dilakukan daripada setiap station control point di setiap lantai bangunan itu.

Kaedah yang pertama iaitu kaedah tradisional seperti yang telah dituliskan awal tadi iaitu dengan membuat point offset pada bahagian luar bangunan dengan jarak samada 1 atau 2 kaki dari dinding dan seterusnya digantung pula plumbob yang berat pada bahagian hujung lantai atas pada jarak yang sama seperti jarak offset di bahagian luar bangunan tadi juga dapat mengawal ketegakan bangunan. Tapi kaedah itu hanya sesuai bagi bangunan yang tidak terlalu tinggi saja.

KAWALAN KERJA

Kawalan kerja adalah merupakan turutan kerja-kerja pengukuran yang perlu dilakukan di lantai bawah mengikut gilirannya iaitu bermula dari kerja A, B, C, D, E dan seterusnya apabila sudah berpindah ke lantai atas turutan kerja yang sama juga perlu dilakukan oleh jurukur. Begitulah seterusnya dan jurukur hanya perlu ulangi kerja yang sama pada setiap lantai bahagian atas bagunan itu. Dan kerja-kerja seterusnya adalah memastikan setiap kerja pengukuran bagi setiap kerja kawalan pembinaan bangunan tersebut adalah tepat dari segi ukuran jarak dan bearing dinding ke dinding, tiang ke tiang mengikut pelan struktur dan bangunan itu juga adalah tegak tidak condong bagi setiap tiang dan dindingnya. Pengulangan kerja yang sama di bahagian lantai lebih atas dengan mengikut turutan yang sama seperti di lantai bawah itulah yang dinamakan sebagai pengawalan kerja.




Nota kaki : 

Sekali lagi aku nak tegaskan entri ini adalah sekadar nota ringkas sahaja dan merupakan penjelasan kepada pertanyaan yang aku dapat dalam entri yang sebelum ini. Terdapat banyak lagi kerja kerja ukuran yang perlu dilakukan jurukur dan apa yang aku tulis di sini hanyalah yang asas sahaja. Bagi yang berpengalaman luas dan ada yang nak ditokok tambah aku amat alu alukan. Kita jangan sesekali kedekut ilmu kerana ilmu dunia ni tak boleh dibawa ke kubur pun. Dengan chainman kita pun, ajarlah sikit sikit ilmu ukur supaya dia jadi pandai dan dapat naik pangkat serta dapat pula kita kerah dia bantu kerja kita… ini alasan terbaik aku.. hahaha


Jikalau anda betul-betul nak kan lebih penjelasan dan kefahaman dengan bidang kerja pengukuran setting out bangunan ini, bolehlah dapatkan e-book garis panduan lengkap kerja-kerja pengukuran secara praktikal di tapak pembinaan yang telah aku tuliskan dan dijual dengan harga RM 30 setiap satu. Jikalau anda berminat dengan e-book tersebut sila klik link dibawah ini dan disana nanti ada panduan bagaimana cara nak dapatkannya.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

thanks for ur entri. gaya mcm nk kna wut kptsn smula je.. ukr bhn or bgnn...? :)

Tanpa Nama berkata...

bro bleh ajar cara untuk pengiraan koordinat drp drawinh sebelum kerja ukur...aku bru nk belajar....

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN