20 Jun 2016

THE SURVEYOR : Menjadi Seorang Jurukur Tanah Part 2


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



( terbit tahun 2016 update tahun 2025 )

Ini cuma pendapat peribadi penulis sahaja mengenai kebanyakan surveyor yang ada pada masa kini. Pendapat ini terbit dari hasil pengalaman peribadi penulis sendiri yang lebih 30 tahun dalam bidang ukur tanah bermula dari zaman surveyor masih dipanggil 'kerani', buat kerja 'traverse' masih gunakan 'rantai', buat 'leveling' masih gunakan 'setaf gajah serta bubble' dan 'tali plumbob' alat yang terpenting sekali jika nak mendapatkan hasil misclose bearing yang terbaik.

Dulu-dulu setiap kaki tripod tak kiralah samada yang di depan untuk buat station baru, yang di belakang untuk ikat back bearing atau yang di tengah yang dipasang dengan 'kompas' ( sebutan bagi alat ukur dulu2 ) semua mesti kena gantung tali plumbob. Biasanya untuk yang dibelakang tak pakai tripod, tapi pakai 'kaki tiga kayu' yang dibuat sendiri guna batang penyapu.

Walau apapun teknologi yang datang  dalam bidang ukur tanah sepatutnya hanya sebagai peralatan bagi membantu dan mempermudahkan tetapi apabila teknologi yang digunakan hingga seorang surveyor tidak lagi bercakap tentang 'bearing' tentang 'jarak' tentang 'datum' tentang 'garisan sempadan' tentang 'misclose' atau 'tikaian' tentang 'pembetulan' dan tentang 'solar atau matahari' serta tidak tahu membaca ukuran tinggi dan jarak tali tape maka ini bukanlah kerjaya seorang surveyor yang sejati tetapi lebih merupakan operator peralatan atau pemproses data sahaja. Budaya dan jiwa seorang surveyor telah tiada lagi hilang hasil teknologi yang digunakan. Bila budaya buku nota 555 dan kalkulator yang berprogram tidak lagi dibawa ke mana sahaja, budaya suka meminta dari orang lain pula yang berkembang mengatasi budaya mempelajari ilmu dengan melalui nota catitan dan membuat latihan dari hasil pemerhatian.

Mungkin kerana inilah agaknya masyarakat sekarang semakin memandang rendah kepada profesion surveyor hinggakan panggilan 'kerani' pun sudah tidak pernah lagi dipanggil kepada kita. Walau pun berperanan penting serta berjasa besar tetapi profesion surveyorlah yang paling kurang sekali mendapat perhatian di mana-mana pun sekarang ini....titik

( nukilan hasil menunggu waktu sahur 10 tahun yang lepas )



SEKIAN TERIMA KASIH


SHARING IS CARING

02 Jun 2016

SISTEM KORDINAT GDM2000 DALAM PELAN AKUI FORMAT TERKINI


( klik foto untuk besarkan pandangan )

Mulai tahun 2009, kesemua Pelan Akui ( PA ) keluaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia telah pun menggunakan sistem kordinat Geocentric Datum of Malaysia 2000 atau lebih dikenali dengan GDM2000.

Ini sekaligus telah menggantikan sistem kordinat yang digunapakai sebelum ini iaitu State Cassini iaitu sistem kordinat yang mempunyai titik origin ( 0,0 ) tersendiri bagi setiap negeri.

Sistem kordinat GDM2000 ini adalah bagi menyeragamkan kordinat yang digunakan bagi seluruh negara Malaysia. Kini baik pelan PA keluaran JUPEM Johor atau pun JUPEM Kelantan yang dikeluarkan bermula tahun 2009, kordinat yang digunakan adalah selaras dan sama sistemnya.

Perlu diakui sebagai pengguna dan juga pelanggan tetap pelan PA JUPEM ini, kami sebagai jurukur tanah amat mengalu-alukan perubahan sistem yang lebih selaras ini. Sistem kordinat GDM2000 dengan mudah pula boleh ditukarkan nilainya kepada sistem kordinat GPS yang menggunakan, darjah, minit dan saat bagi dua garisan LATITUDE dan LONGITUDE ( garisan bujur dan melintang paksi bumi ). 

* Update : Contoh foto Pelan Diperakui ( PA ) yang dilampir di atas adalah sekadar contoh format pelan PA yang pernah diterbitkan oleh JUPEM sebelum ini. Tapi selaras dengan komen-komen dan kritikan yang diterima dari pelanggan terutamanya dari kalangan jurukur tanah, pihak JUPEM sudah pun menukar kembali pelan PA hampir kepada format lama yang ada ditulis nilai jarak & bearing di atas setiap garisan sempadan lot.