Khamis, 25 Februari 2021

PECAH BAHAGIAN : KEPENTINGAN REZAB JALAN MASUK

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


( Foto sekadar hiasan / Contoh pelan pecah bahagian dengan rezab jalan masuk )

KEPENTINGAN REZAB JALAN MASUK DALAM PELAN PECAH BAHAGIAN

Dalam artikel-artikel sebelum ini penulis ada memberikan saranan serta cadangan kepada tuan-tuan tanah supaya menyediakan satu pelan pecah bahagian yang dipersetujui oleh semua pemilik tanah yang berhak ke atas lot tanah geran kongsi yang mempunyai banyak nama dalam satu geran tanah.

Dengan adanya satu pelan pecah bahagian yang telah dipersetujui oleh semua pemilik tanah, bukan sahaja kerja membahagikan tanah kepada keluasan yang menjadi hak masing-masing menjadi mudah tapi pelan itu juga bakal dijadikan sebagai rekod untuk rujukan bukan sahaja pada masa tersebut tetapi boleh dirujuk sehingga ke beberapa generasi selagi tiada apa-apa perubahan besar berlaku kepada luas serta status tanah lot tersebut.

Daripada permintaan yang makin bertambah dari hari ke hari penulis dapati kepentingan pelan pecah bahagian ini sudah semakin disedari oleh para pemilik tanah. Permintaan daripada pemilik tanah ini juga merangkumi banyak kegunaannya. Bukan sahaja bagi tujuan membahagi-bahagikan tanah kepada yang ada nama dalam geran tanah tapi banyak lagi tujuan lain seperti pewarisan harta pusaka, perwakafan sebahagian tanah, penurunan hakmilik daripada ibubapa kepada anak-anak dan tak kurang juga bagi tujuan urusan jual beli tanah.

Pada waktu kini dengan harga sebuah rumah selesa yang dijual di pasaran semakin tinggi harganya menjadi pula kecenderongan bagi pemilik tanah membuat pecahan bahagian untuk dijadikan sebagai ‘tanah lot’ samada untuk dijual atau untuk kegunaan sendiri. Kebanyakannya lot-lot pecahan bahagian ini dipecahkan kepada keluasan yang hanya cukup bagi pembinaan sebuah rumah kediaman. Jadi si pemilik tanah tersebut bolehlah membina sebuah rumah yang mengikut kemampuannya.

Bagi tanah-tanah lot banglo yang disediakan oleh pihak pemaju mungkin tidak banyak isu yang timbul oleh sebab pemaju tersebut terpaksa mengikut syarat dan memenuhi segala peraturan yang telah digariskan oleh pihak pejabat tanah daerah sebelum diberikan kelulusan. Tapi bagi lot pecahan yang dibuat secara persendirian oleh pemilik tanah mungkin ada isu yang akan terjadi oleh sebab tidak dibuat dengan secara sah dan lulus segala syarat serta peraturan pihak pejabat tanah daerah.

Antara masalah atau isu yang selalu terjadi adalah yang membabitkan jalan masuk. Kalau pun proses pembahagian dan pecahan tanah tersebut dibuat secara penyediaan pelan pecah bahagian terlebih dahulu tetapi kalau tidak disediakan satu rezab untuk jalan masuk dari depan hingga ke belakang isu jalan masuk inilah yang akan menjadi punca peselisihan faham dan pergaduhan yang tak sudah-sudah hingga bergenerasi turun temurun.

Inilah yang banyak berlaku pada waktu kini yang saban bulan penulis terima permintaan dan pertanyaan berkenaan jalan masuk yang boleh dibuat atau digunakan oleh pemilik tanah yang berada di bahagian belakang apabila pemilik tanah di bahagian depan atau yang bersebelahan dengan jalan bertindak menutup laluan sedia ada yang sebelum ini digunakan sebagai jalan masuk tapi tidak dimasukkan dalam pelan pecah bahagian sebagai rezab jalan bagi kegunaan semua pemilik tanah. Ada juga pemilik tanah bahagian depan yang meminta bayaran tol daripada pemilik tanah bahagian belakang jika mahu lalu di atas tanah bahagiannya untuk masuk ke belakang.

Perlu anda semua ambil maklum bahawa pihak pejabat tanah sendiri tidak dapat hendak membantu anda jikalau anda mempunyai masalah seperti ini. Apa yang boleh dilakukan oleh pihak pejabat tanah cuma memohon budibicara pihak pemilik tanah sahaja. Andaikata pemilik tanah tidak bersetuju maka pihak pejabat tanah pun tak dapat nak memaksa pemilik tanah bahagian depan tersebut memberikan kebenaran kepada pemilik tanah bahagian belakang untuk lalu atau masuk ke dalam dengan melalui bahagian tanah hak pemilik depan.

Inilah yang penulis hendak sarankan kepada semua pemilik tanah yang berkongsi geran tanah. Selain daripada pentingnya menyediakan satu pelan pecah bahagian yang dipersetujui oleh semua pemilik tanah adalah sama pentingnya juga disediakan satu rezab jalan dari depan hingga ke belakang bagi kegunaan semua pemilik tanah. Dengan adanya 2 perkara ini iaitu pelan pecah bahagian yang dipersetujui dan juga satu rezab jalan masuk dengan lebar yang dipersetujui di dalam pelan pecah bahagian itu barulah isu atau masalah yang berkaitan laluan masuk tidak akan timbul sampai bila-bila pun.

Lebar rezab jalan yang disarankan oleh penulis adalah lebar jalan yang boleh dilalui oleh 2 kenderaan secara 2 hala iaitu paling kurang pun 20 kaki. Dan jikalau mahu dilebarkan lagi kepada 40 kaki itu lagi bagus sebab syarat lulus bagi satu lot kediaman atau lot bangunan untuk membolehkan satu geran tanah individu dikeluarkan dan diluluskan adalah dengan bersyarat mempunyai rezab jalan masuk lebar 40 kaki. Jikalau sudah disediakan satu rezab jalan dengan lebar 20 kaki ( tanah jenis pertanian ) atau 40 kaki ( tanah jenis kediaman / bangunan ) maka pada masa hadapan jika ada antara pemilik tanah yang bercadang hendak membuat pecahan geran tanah sudah tidak bermasalah lagi sebab daripada dulu lagi sewaktu proses pembahagian tanah dibuat rezab jalan tersebut sudahpun disediakan oleh setiap pemilik tanah. Dan andaikata rezab jalan tersebut tidak pernah disediakan dari awal maka proses untuk membuat pecahan geran tanah individu ini mungkin akan terdapat halangan dan tidak dapat pula diluluskan oleh pejabat tanah daerah. Jadi sebelum terjadi atau timbul isu berkenaan jalan masuk ini pada masa hadapan adalah lebih baik disediakan satu rezab jalan awal-awal dimana kesemua pemilik tanah berhak dan boleh gunakan untuk keluar masuk tanpa terjadi sebarang kerugian pada mana-mana pemilik tanah pun.


______________________________________


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064


-------------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy