بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Negara kita Malaysia sebelum merdeka dan jauh lebih lama lagi sebelum dijajah oleh mana-mana negara lain walaupun dari segi kemajuan kita tidaklah semaju negara penjajah tersebut. Tetapi dari segi tamadun dan budaya kita juga mempunyai tamadun dan budaya kita sendiri yang merangkumi hampir setiap aspek kehidupan termasuklah dari segi ukuran-ukuran bagi menentukan jarak, luas serta berat.
Tamadun dan budaya kita ini mungkin tidak sama dengan yang dibawa oleh pihak penjajah tetapi dari segi kesesuaian hidup masyarakat penduduk setempat serta geografi persekitaran inilah merupakan ciri dan cara hidup yang paling bersesuaian dengan kita sejajar dengan kemajuan serta sistem pemerintahan kita pada waktu itu.
Ketamadunan dan kebudayaan kita tidaklah kurang maju atau tidak mempunyai aspek nilai tambah yang boleh dan berpotensi untuk terus berkembang maju mengikut peredaran masa serta keperluan. Tetapi oleh kerana negara kita dahulu tidak bersatu dalam satu kesatuan yang besar, kukuh dan kuat inilah yang menjadi kelemahan kita dan penyebab kepada kedatangan penjajah mengekspoiltasikan kelemahan kita ini.
Kelemahan paling ketara adalah negara kita dahulu tidak bersatu, berpecah belah dan saling bermusuhan. Setiap tebing sungai adalah sempadan wilayah kekuasaan dan pemerintahan. Dan setiap wilayah ini pula akan mengamalkan budaya hidup sendiri dengan sedikit perubahan daripada apa yang diamalkan di wilayah bersebelahan. Walaupun secara zahirnya ciri-ciri budaya setiap wilayah itu nampak sama tetapi setiap pemerintah akan cuba menonjolkan sedikit kelainan bagi memberikan identiti tersendiri kepada wilayah kekuasaan pemerintahannya.
Jadi inilah sebabnya mengapa di sesetengah negeri unit ukuran yang digunakan tidak sama dengan di negeri lain. Sebelum kedatangan penjajah lagi kita sudah ada sistem yang berbeza bagi setiap wilayah dan negeri. Apabila negara kita dijajah secara ‘pecah perintah’ oleh Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun pula sistem yang dibawa dan diperkenal oleh pihak penjajah ini juga berlainan tidak sama mengikut waktu dan sistem penjajah itu sendiri. Ini juga menjelaskan mengapa terdapat sistem atau unit ukuran yang berlainan bagi negeri-negeri tertentu sebelum negara kita menukar keseluruhannya secara standard kepada hanya satu unit yang sama iaitu unit ‘METRIK’ selepas negara kita mencapai kemerdekaan.
UNIT UKURAN LAMA DI NEGERI KELANTAN
( DEPA )
Bagi negeri Kelantan keluasan yang selalu ditulis dalam geran tanah yang lama adalah dalam unit ‘Ekar’ dan ‘Depa’. Luas tanah akan ditulis seperti contoh berikut :
0ᴬ 167ᴰ
Ini bermaksud luas tanah ini adalah :
( 0 ekar ) + ( 167 depa persegi )
Jadi berapakah luas tanah ini yang sebenarnya dalam nilai ‘ekar’, ‘meter persegi’ atau ‘kaki persegi’. Untuk mengira luas sebenar tanah ini maka kita perlulah tahu terlebih dahulu formula penukar yang tepat yang boleh digunakan untuk membuat pengiraan.
FORMULA ASAS PENGIRAAN
1 depa = 6 kaki
1 ekar = 43,560 kaki persegi
1 depa persegi = ( 6 x 6 ) = 36 kaki persegi
1 ekar = ( 43,560 / 36 ) = 1,210 depa persegi
1 ekar = ( 1,210 x 36 ) = 43,560 kaki persegi
1 ekar = 4,046.86 meter persegi
1 meter persegi = 10.764 kaki persegi
Maka luas tanah contoh di atas adalah :
Dalam unit EKAR :
= ( 167 depa / 1,210 depa ) ekar
= 0.1380 ekar
Dalam unit KAKI PERSEGI :
= ( 0 ekar = 0 kp ) + ( 167 depa x 36 kp )
= 6012 kaki persegi
Dalam unit METER PERSEGI :
( 1 ) = 0.1380 ekar x 4046.86 = 558.5 meter persegi
( 2 ) = ( 6012 kp / 10.764 ) = 558.5 meter persegi
UNIT UKURAN LAMA DI NEGERI KEDAH & PERLIS
( RELUNG & JEMPA )
Bagi negeri Kedah & Perlis keluasan yang selalu ditulis dalam geran tanah yang lama adalah dalam unit ‘Relung’ dan ‘Jempa’. Luas tanah akan ditulis seperti contoh berikut :
2r 423j
Ini bermaksud luas tanah ini adalah :
( 2 relung ) + ( 423 jempa )
Jadi berapakah luas tanah ini yang sebenarnya dalam nilai ‘ekar’, ‘meter persegi’ atau ‘kaki persegi’. Untuk mengira luas sebenar tanah ini maka kita perlulah tahu terlebih dahulu formula penukar yang tepat yang boleh digunakan untuk membuat pengiraan.
FORMULA ASAS PENGIRAAN
1 relung = 176 kaki = 53.644 meter
1 relung persegi = 484 jempa
1 relung persegi = 30,976 kaki persegi
1 relung persegi = 2,877.7 meter persegi
1 relung persegi = 0.7111 ekar
1 jempa = 64 kaki persegi = 5.946 meter persegi
1 jempa = 0.001469 ekar
Maka luas tanah contoh di atas adalah :
Dalam unit EKAR :
= ( 2 relung x 0.7111 ) + ( 423 jempa x 0.001469 )
= ( 1.4222 ) + ( 0.6214 )
= 2.0436 ekar
Dalam unit METER PERSEGI :
= ( 2 x 2,877.7 ) + ( 423 x 5.946 )
= ( 5,755.40 ) + ( 2,515.16 )
= 8,270.56 meter persegi
Dalam unit KAKI PERSEGI :
= ( 2 X 30,976 ) + ( 423 X 64 )
= ( 61,952 ) + ( 27,072 )
= 89,024 kaki persegi
----------------------------------------------------------
Jika anda ada keperluan untuk membuat kerja ukur tanah atau hendak menyediakan pelan bagi pembahagian tanah anda bolehlah hubungi kami. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan melalui mesej aplikasi WhatsApp dengan klik nombor di bawah.
( klik bawah )
SEKIAN TERIMA KASIH
----------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2024