Memaparkan catatan dengan label Kos Ukur Tanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kos Ukur Tanah. Papar semua catatan

Selasa, 5 November 2024

KADAR HARGA MINIMA UKUR TANAH ( JURUKUR TANAH KLANG )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


( Kadar harga berbeza mengikut kawasan & tidak termasuk kos bagi penyediaan pelan )


Juru Ukur Tanah adalah penyedia perkhidmatan profesional bagi kerja-kerja pengukuran tanah. Urusan ukur tanah bukanlah satu produk yang boleh disamakan dengan urusan jual beli barangan.

Pelanggan yang baru hendak membuat urusan ukur tanah sering salah faham dengan cara harga kerja ukur tanah dikira dan diberikan kepada mereka. Mereka membuat pertanyaan harga tanpa memberikan butiran lengkap berkenaan tanah dan jenis kerja ukur tanah yang sebenarnya yang diperlukan oleh mereka.


CONTOH PERTANYAAN ADALAH SEPERTI BERIKUT


i.) Saya ada tanah di Kuala Selangor, berapa harga kalau nak ukur...?

ii.) Berapa kos nak ukur tanah 1 ekar  tanah rata tapi semak...?

iii.) Tanah ayah berkongsi dengan pak cik & mak cik saya. Kalau saya nak ukur tanah ayah saja, berapa harga...?


Untuk memberikan harga bagi kerja ukur tanah yang diperlukan pelanggan tidak semudah itu. Bagi urusan jual beli barangan mungkin mudah tapi dalam urusan perkhidmatan ukur tanah, setiap juru ukur tanah perlu semak butiran tanah, butiran lokasi tanah dan butiran jenis kerja-kerja ukur yang perlu dibuat melalui kiriman dokumen dan perbincangan dengan pelanggan serta carian infomasi yang berkenaan dari laman web pihak berkuasa yang terlibat terlebih dahulu. 

Selepas perbincangan dan semakan info dibuat barulah juru ukur tanah faham kerja apakah sebenarnya yang perlu dibuat dengan memberikan cadangan kepada pelanggan. Selepas pelanggan faham dan bersetuju dengan cadangan kerja ukur yang diberikan oleh juru ukur tanah, barulah satu sebutharga bagi butiran tanah dan lokasi serta kerja-kerja yang terlibat dapat disenaraikan dalam satu dokumen sebutharga yang akan diberi kepada pelanggan.  

Bagi menyediakan satu sebutharga yang sebenar atau sekadar anggaran harga adalah penting untuk kami dapatkan pengesahan butiran berikut daripada pelanggan.

1.) Apakah jenis kerja ukur tanah yang nak kami buatkan

2.) Luas tanah berapa dan lokasi tanah dimana...?

3.) Nak kami ukur tanah ni, tuan tanah nak buat apa yang sebenarnya...?

4.) Nak buat ukuran atas tanah sahaja atau nak ukur dan sediakan pelan sekali

Selasa, 2 Julai 2024

UKUR TANAH : KEPENTINGAN MEMBUAT PELAN PECAH BAHAGIAN UNTUK PEMBAHAGIAN TANAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



( updated 2024 )

Bagaimanakah boleh terjadi satu lot tanah mempunyai banyak nama yang ditulis di dalam geran tanah sebagai pemilik tanah yang berhak..???

---------------------------------------------------

Bagi yang berminat hendak menyediakan pelan bagi membuat pembahagian tanah atau pecahan bahagian tanah lot yang dimiliki.

Anda boleh hubungi kami melalui WhatsApp
dengan klik nombor di bawah


-----------------------------------------------


PENYEBAB UTAMA TERDAPAT BANYAK NAMA PEMILIK DALAM SATU TANAH LOT

Penulis tak akan menghuraikan satu persatu punca terjadi begitu kerana terdapat banyak alasannya dan sejarahnya. Tetapi apa yang penulis nak tumpukan hanyalah kepada 2 sebab utama yang terjadi pada setiap hari dan tidak akan pernah ada pengakhirannya.

Teruskan membaca untuk mendapatkan penjelasan....

Jumaat, 29 September 2023

PERBEZAAN ANTARA TANAH LOT, PT & PLOT

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

( Apa yang dimaksudkan dengan ‘TANAH LOT’ di sini adalah bidang tanah yang mempunyai nombor rujukan dimulai dengan ‘LOT’ di depan bukan ‘PLOT’ atau ‘PT’ )


DEFINASI TANAH ‘LOT’

Tanah lot mempunyai geran tanah sendiri yang dikeluarkan oleh pihak Pentadbir Tanah Negeri melalui Pejabat Tanah Daerah. Tanah lot mempunyai batu sempadan yang telah pun ditandakan di atas tanah. Tanah lot juga mempunyai pelan yang diperakui ( Pelan PA ) yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) untuk dibuat sebagai rujukan rasmi bagi lot tersebut.


CONTOH GERAN TANAH LOT


DEFINASI TANAH ‘PT’

Berbeza pula keadaannya dengan tanah yang ditulis dengan ‘PT’ di depan. Tanah yang bernombor PT mempunyai geran tanah sendiri sama seperti tanah LOT. Tetapi tanah PT masih lagi hanya berstatus sementara ( nombor sementara / lot sementara / geran tanah sementara ) disebabkan kerja ‘ukuran halus / title survey’ bagi penandaan batu sempadan masih belum dibuat oleh kerajaan atau Jurukur Tanah Berlesen ( LS ) yang dilantik. Tanah PT tidak mempunyai pelan PA untuk dibuat sebagai rujukan rasmi. Semua jarak dan bearing garisan sempadan tanah lot PT termasuklah keluasan sebenar adalah bersifat sementara sahaja dan boleh berubah setelah kerja ukuran halus penandaan batu sempadan dibuat oleh Kerajaan atau LS yang dilantik.


CONTOH GERAN TANAH SEMENTARA LOT PT
  

DEFINASI TANAH ‘PLOT’

  Manakala bagi tanah yang hanya berstatus ‘plot’ sahaja, tanah tersebut tidak mempunyai geran tanah secara individu seperti tanah ‘LOT’. Tanah tersebut bukanlah satu lot sementara seperti tanah lot ‘PT’. Tanah ini hanyalah sebahagian tanah yang berkongsi hakmilik dengan tanah bahagian hakmilik orang lain dalam satu lot yang sama dan satu geran tanah yang sama. 


CONTOH PELAN PLOT PECAHAN BAHAGIAN TANAH LOT
 

RINGKASAN ARTIKEL

    Secara ringkasan, mana-mana bahagian tanah yang berstatus ‘PLOT’ jika pemiliknya ingin mendapatkan geran tanah berasingan tidak mahu lagi berkongsi geran tanah yang sama dengan pemilik-pemilik lain, maka dia perlulah membuat permohonan rasmi pecahan bahagian kepada Pentadbir Tanah Negeri melalui Pejabat Tanah Daerah. Permohonan pecahan bahagian tersebut perlulah memenuhi syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara.

Sesuatu permohonan pecahan bahagian yang cukup syarat akan didaftarkan dan dikeluarkan satu hakmilik / geran tanah sementara oleh pihak Pejabat Tanah Daerah. Sekarang barulah tanah ‘plot’ tersebut berubah menjadi tanah lot ‘PT’ yang mempunyai geran tanah sendiri tetapi masih lagi berstatus sementara.

Permohonan tersebut akan dibawa kepada pihak Pentadbir Tanah Negeri berserta dengan kesemua komen serta ulasan daripada pihak-pihak berkuasa yang terlibat seperti pihak Majlis Perbandaran, Jabatan Parit & Saliran serta lain-lain lagi.

Hanya setelah memenuhi kesemua syarat dan diberikan kelulusan oleh semua pihak berkuasa yang terlibat barulah permohonan tersebut akan diberikan kelulusan oleh pihak pentadbir tanah. Barulah kerja ukuran halus penandaan batu sempadan boleh dibuat dan satu pelan PA bagi lot tanah tersebut boleh dikeluarkan.

Dengan adanya pelan PA bagi lot tanah tersebut barulah nombor lot PT yang berstatus sementara sudah tidak digunapakai lagi ditukar dengan satu nombor LOT tanah yang baru. Geran tanah yang sementara juga sudah boleh ditukar kepada geran tanah yang kekal bukan sementara lagi.


------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pembaca yang memiliki tanah yang perlukan khidmat jurukur tanah bagi menyelesaikan isu & masalah tanah yang sedia ada atau bagi mengelakkan terjadinya sebarang masalah tanah pada masa hadapan, anda boleh buat semakan perkhidmatan ukur tanah yang disediakan oleh kami terlebih dahulu sebelum anda menghubungi kami.

( klik pautan di bawah )

 
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


SEKIAN

TERIMA KASIH


----------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ---------------

Khamis, 15 September 2022

FAQ's : SEBUTHARGA UKUR TANAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


CARTA Perkhidmatan Jurukur Tanah Klang


KOS UPAH ATAU JUMLAH HARGA UKUR TANAH

1.) Saya berminat nak dapatkan perkhidmatan ukur
tanah. Boleh saya tahu berapakah harga untuk ukur tanah saya..?

Sebutharga’ kerja ukur tanah adalah merupakan jumlah harga beberapa faktor dan kos sampingan yang akan disemak nilai dan dikirakan jumlah harganya. 

Bagaimana pun untuk memudahkan pelanggan faham dan membuat anggaran, kami sediakan satu kadar harga terendah atau minima mengikut kawasan dengan keluasan tanah 1 ekar atau sebahagiannya. Jika luas tanah kurang dari 1 ekar harga tetap sama. Jika keluasan tanah lebih dari 1 ekar baru ada tambahan harga.

KADAR HARGA MINIMA KAMI BAGI LOKASI TANAH DI KL & SELANGOR : 

RM 600 - 800 * 

( Kadar harga adalah berbeza mengikut kawasan & tidak termasuk kos bagi penyediaan pelan )
** ( Kadar harga terendah RM 600 hanya bagi tanah yang di dalam daerah Klang sahaja )


Di bawah adalah senarai butiran yang perlu kami semak dan ambilkira apabila memberikan harga kepada pelanggan. 


 FAKTOR UTAMA & FAKTOR SAMPINGAN

1.) Jenis Kerja Ukur Tanah yang perlu dibuat


Samada ukur demarkasi cari & tanda semula sempadan lot, ukur tanda sempadan pecahan bahagian, ukur topografi atau ukur butiran. Setiap jenis kerja tidak sama kadar harganya.

2.Faktor LUAS tanah


Bagi luas tanah yang kurang dari 1 ekar harga akan dikira sama pada kadar minima. Hanya jika luas tanah melebihi 1 ekar, baru ada tambahan harga pada kadar 250 - 400 per / Ekar


3.) Faktor LOKASI tanah


Jika lokasi tanah yang perlu di ukur terletak jauh dari jalan utama atau tiada jalan masuk yang mudah untuk pergi ke lokasi, ada tambahan harga 100 - 200 per / Ekar
 

4.) Faktor GEOGRAFI ( Keadaan mukabumi lokasi )


Jika lokasi tanah dikawasan bersemak samun, hutan belukar, berbukit bukau atau berpaya, ada tambahan harga 100 - 200 per / Ekar

5.) Faktor SAMPINGAN

i.) Pembelian info & pelan PA dari Jabatan Ukur ( JUPEM )

ii.) Jenis format pelan yang diperlukan sama ada pelan biasa untuk kegunaan sendiri atau pelan rasmi untuk urusan rasmi pelanggan

iii.) Yuran endorsement Jurukur Tanah Berlesen ( LS ) bagi setiap jenis pelan rasmi yang perlu disediakan

iv.) Jumlah bahagian yang perlu di ukur tanda di atas tanah

v.) Jumlah hari bekerja yang diperlukan

vi.) Jumlah pasukan jurukur yang diperlukan



MAKLUMAT DAN DOKUMEN YANG PERLU DIKIRIM PELANGGAN


2.) Apakah maklumat dan dokumen yang perlu saya berikan kepada jurukur tanah...?

Maklumat dan dokumen yang diperlukan adalah bagi tujuan buka file pelanggan dan penyediaan surat sebutharga. Yang perlu dikirimkan adalah seperti berikut :

1.) Nama penuh pelanggan
2.) Alamat pelanggan
3.) Nombor telefon pelanggan
4.) Salinan geran tanah ( semua mukasurat / jika ada )
5.) Lain-lain dokumen yang berkenaan ( jika ada )

Dan dokumen tambahan seperti berikut jika pelanggan mahu membuat kerja ukur yang membabitkan 'pecahan bahagian'

6.) Salinan pelan pecah bahagian ( jika sudah pernah dibuat )

7.) Lakaran kasar bentuk, kedudukan dan keluasan setiap pecahan bahagian yang hendak dibuat jika belum pernah ada pelan pecah bahagian dibuat sebelum ini.

Salinan dokumen, pelan atau lakaran perlulah dikirim dalam bentuk foto atau dokumen PDF )


DOKUMEN SEBUTHARGA DENGAN TAWARAN DAN SYARAT TERTENTU


3.) Bilakah saya boleh dapatkan surat sebutharga untuk tanah saya..?

Selepas kami terima maklumat & dokumen daripada pelanggan satu dokumen sebutharga sudah boleh disiapkan dan dikirimkan kepada pelanggan dalam masa 1 hingga 3 hari. 



PERSETUJUAN SEBUTHARGA DENGAN BAYARAN DEPOSIT

4.) Jika saya bersetuju dengan sebutharga yang diberi
kepada saya apakah langkah seterusnya yang perlu saya buat..?


a.) Pelanggan perlulah memberikan persetujuan dengan cara bertulis tidak boleh secara cakap dalam telefon sahaja serta membuat surat pelantikan rasmi

( PEMILIK TANAH PERSENDIRIAN TAK PERLU BUAT tapi kalau syarikat atau persatuan yang berdaftar, surat perlantikan rasmi adalah PERLU diberikan kepada kami )

b.) Membuat bayaran deposit sebagai tanda persetujuan rasmi melalui bank. Pelanggan perlu memasukkan jumlah bayaran deposit seperti yang telah dinyatakan dalam surat sebutharga, ambil foto resit bank-in kirimkan kepada kami untuk disimpan dalam file rekod urusan kerja serta sebagai bukti pembayaran. Pelanggan perlu simpan resit yang asal untuk rekod pelanggan sendiri. Setiap pembayaran akan diberikan resit.



JADUAL KERJA UKUR TANAH DI LOKASI

5.) Saya setuju dengan harga dan sudah buat bayaran deposit jadi bilakah kerja ukur tanah saya akan dibuat..?


Kebiasaannya tarikh kerja adalah tarikh yang dicadangkan oleh kami tetapi dipilih dan dipersetujui oleh pelanggan. Tarikh tersebut adalah tarikh yang bersesuaian dengan kedua dua pihak. Pelanggan juga boleh membuat tempahan tarikh tetapi tarikh tersebut perlulah dipersetujui oleh kami. Jadual kerja setiap pelanggan adalah mengikut sistem giliran, siapa cepat dia didahulukan.


JENIS PETANDA SEMPADAN YANG AKAN DIGUNAKAN

6.) Jika batu sempadan lot tanah saya dah hilang adakah jurukur tanah akan gantikan dengan batu sempadan yang baru..?


Method atau cara kerja bagi kerja ukur tanda sempadan adalah kami akan mencari semula batu sempadan yang telah ditanam oleh pihak kerajaan dahulu. Kalau hilang atau pun jumpa tetapi sudah rosak atau berubah dari tempat asal barulah kami akan gantikan tanda sempadan tersebut dengan yang lain. Tetapi bukanlah digantikan dengan batu sempadan yang sama seperti asal. Petanda yang digunakan adalah mengikut kesesuaian lokasi sepertii paip besi, paip PVC, iron spike, paku besi anti karat, kayu piket dengan paku dan lain-lain jenis penanda yang bersesuaian.

NOTA PENTING :- 

Hanya pihak kerajaan melalui Jabatan Ukur ( JUPEM ) dan Jurukur Tanah Berlesen yang dilantik dan diberikan kebenaran oleh Pejabat Tanah Daerah sahaja yang boleh menggunakan batu untuk tanda sempadan lot. Lain-lain juruukur tanah swasta serta pemilik tanah adalah dilarang tidak boleh gunakan batu. Jika semua orang boleh gunakan batu maka akan timbul isu 1 lokasi boleh ada banyak batu sempadan yang ditanda oleh setiap pemilik tanah yang berkongsi garisan dan batu sempadan yang sama. Bagi pemilik tanah yang mahu tandakan semula sempadan tanahnya dengan batu sempadan yang baru maka dia perlulah membuat permohonan 'Ukuran Semula' di Pejabat Tanah Daerah.
 


BAYARAN DEPOSIT SEBELUM KERJA DIMULAKAN MANAKALA BAYARAN BAKI HANYA PERLU DIBAYAR SELEPAS KERJA UKURAN DISIAPKAN


7.)  Satu saja lagi yang saya nak bertanya iaitu selepas kerja ukur siap apakah yang saya akan dapat dan apa lagi yang perlu saya buat..?

Bergantung kepada jenis kerja ukur tanah yang perlu dibuat dan senarai sebutharga yang telah diberi kepada pelanggan. Kalau kerja hanya membabitkan kerja penandaan atas tanah sahaja tanpa perlu disediakan apa-apa jenis pelan, selepas kerja ukuran disiapkan kami cuma akan tunjukkan kepada pelanggan semua lokasi tanda-tanda yang telah kami tandakan atas tanah. Tak ada apa-apa lagi yang kami akan berikan kepada pelanggan. Tapi jika kerja tersebut perlu disediakan satu pelan, kami akan berikan sebanyak 3 salinan pelan kertas cetakan ( hardcopy ) bersama 1 salinan pelan softcopy dalam format PDF atau CAD. Selepas siap kerja ukuran pelanggan perlulah menjelaskan baki bayaran secara TUNAI atau 'cash transfer' pada hari itu juga. Satu resit bagi bayaran penuh yang kami terima akan kami berikan kepada pelanggan.

Manakala bagi kerja ukur yang perlu dibuat ukuran dahulu kemudian baru boleh disediakan satu pelan contohnya kerja ukuran topografi, ukuran butiran / detail survey atau pelan pre-comp dan pelan rasmi yang perlukan endorsement Jurukur Tanah Berlesen. Pelan tersebut hanya boleh diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh 7 - 14 hari selepas kerja ukuran dibuat. Hanya selepas pelan tersebut disiapkan barulah pelanggan perlu jelaskan baki bayaran sebelum pelan tersebut dapat diserahkan kepada pelanggan. Sama juga seperti pelan yang disediakan sebelum kerja ukuran dibuat, sebanyak 4 salinan pelan kertas cetakan ( hardcopy ), 1 salinan pelan softcopy dan satu resit bagi bayaran penuh yang kami terima dari pelanggan.

______________________________

DENGAN PENJELASAN DI ATAS DIHARAP ANDA FAHAM DENGAN CARA URUSAN DIBUAT DAN KEPERLUAN INFO MAKLUMAT SERTA DOKUMEN YANG PERLU DIKIRIM KEPADA KAMI BAGI TUJUAN BUKA FILE PELANGGAN DAN CARIAN INFO LOKASI TANAH BAGI MENYEDIAKAN SEBUTHARGA KEPADA ANDA.

JIKA BERMINAT NAK DAPATKAN SEBUTHARGA UNTUK KERJA UKUR TANAH SILA HUBUNGI KAMI MELALUI KIRIMAN MESEJ APLIKASI WHATSAPP DENGAN KLIK PAUTAN DI BAWAH

( klik nombor bawah  )

012-394 9064





_______________________________

SEKIAN TERIMA KASIH


Rabu, 12 Januari 2022

UNIT UKURAN : MAKSUD SIMBOL 'Ki' & 'Sc' DALAM PELAN PA LAMA DAN SEKARANG

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Walaupun kami telah memberikan penjelasan & penerangan bercontoh dalam bentuk artikel serta soal jawap pertanyaan pembaca berkenaan unit-unit ukuran yang biasa digunapakai bagi jarak & luas untuk tanah sejak tahun 2014 malangnya hingga ke hari ini kami masih lagi terima pertanyaan dan permintaan untuk mengira dan menukar jarak serta luas dari unit asal ke unit yang lain.

Tak kurang juga ada lagi yang masih bertanya nilai tukaran unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ serta cara mengira menukar unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini kepada unit meter atau kaki.

Sebenarnya simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini walaupun ada ditulis di belakang ‘bearing’ dan ‘jarak’ garisan sempadan lot dalam pelan PA tapi itu bukanlah menunjukkan jenis unit ukuran yang digunakan. Simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini diletakkan pada garisan tersebut cuma sekadar memberitahu bahawa ‘bearing’ dan ‘jarak’ itu bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah tetapi adalah hasil dari pengiraan dan ukuran pembaris di atas pelan sahaja. Untuk penerangan lebih lanjut berkenaan maksud sebenar ‘Ki’ dan ‘Sc’ penulis akan tunjukkan dengan contoh dibahagian bawah artikel ini.


Rujuk foto contoh pelan PA di atas, simbol-simbol yang biasa dapat dilihat dalam pelan PA pada waktu sekarang kebanyakan simbol-simbol ini adalah dalam bahasa Malaysia.


SIMBOL & MAKSUDNYA

BKL = Batu sempadan konkrit berbentuk bulat

BL = Batu sempadan granit berbentuk empat segi

Pk = Paku

P = Paip

Pb = Paip besi

Pkt = Kayu berpaku

TT = Tiada Tanda

j = Jumpa

Jum = Jumlah jarak


Semua simbol ini adalah merujuk kepada jenis penanda yang digunakan sebagai tanda sempadan lot yang telah ditanam di atas tanah kecuali simbol ‘j’ yang merujuk kepada tanda sempadan asal yang telah dijumpai semasa kerja ukuran dibuat. Manakala simbol ‘jum’ pula adalah bermaksud jumlah panjang garisan sempadan yang mempunyai banyak batu sempadan tetapi mempunyai satu garisan bearing yang sama.


SIMBOL ‘Ki’ DALAM PELAN PA SEKARANG



Rujuk foto contoh di atas, simbol ‘Ki’ yang ditulis pada belakang bearing & jarak garisan sempadan berwarna biru tersebut adalah bermaksud bahawa bearing dan jarak yang ditulis itu adalah hasil daripada ‘kiraan’ bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah seperti bearing dan jarak setiap garisan sempadan berwarna merah. Cara mendapatkan nilai bearing dan jarak garisan biru tersebut adalah perlu dikira jumlah nilai ‘Latit’ dan ‘Dipat’ bermula dari batu sempadan A ke batu B bersambung ke batu C dan berakhir di batu D.

Tapi oleh kerana kemajuan teknologi waktu kini, pelan tidak lagi dilukis menggunakan jangka sudut dan pembaris T maka jurukur tanah tidak perlu lagi membuat kiraan ‘latit’ & ‘dipat’ untuk menghitung ‘direct bearing’ & ‘direct distance’. Aplikasi CAD komputer dan mesin kalkulator berprogram sudah boleh membuat pengiraan ‘Ki’ ini dengan hanya ‘klik-klik’ sahaja. Kerana kemajuan teknologi jugalah yang menyebabkan jurukur tanah zaman sekarang tidak lagi menghafal formula bagi membuat pengiraan dan membuat pembetulan tikaian lurus secara manual.


SIMBOL ‘Sc’ DALAM PELAN PA LAMA

Rujuk foto contoh di atas, garisan sempadan yang berwarna hijau ditulis dengan jarak ‘Sc’ bermaksud jarak tersebut adalah hasil daripada ukuran menggunakan pembaris. ‘Sc’ adalah singkatan daripada perkataan ‘scale’ dalam bahasa Inggeris. Jarak-jarak dengan ukuran secara ‘Sc’ ini hanya terdapat dalam pelan PA yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris T. Kerja membuat ukuran tetap sama walaupun zaman dan teknologi sudah berubah. Ukuran tetap perlu dibuat bermula dari batu A ke batu B kemudian ditandakan batu 1, 2 & 3 yang terletak di atas garisan yang sama tapi berlainan jarak sahaja. Dari batu C ditandakan pula batu 4, 5 & 6 yang terletak atas garisan yang sama dengan batu D.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, pada waktu dulu pelan tanah perlu dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Waktu dulu masih tiada lagi komputer atau mesin kalkulator yang boleh membantu memudahkan kerja mengira dan melukis pelan. Perlu masa yang lama dan kemahiran tinggi untuk membuat pengiraan matematik tanpa mesin kalkulator. Jadi untuk mendapatkan nilai bagi garisan sempadan yang berwarna hijau yang tidak diukur di atas tanah seperti garisan dari batu 1 ke batu 6, dari batu 2 ke batu 5 dan dari batu 3 ke batu 4, pelukis pelan hanya menggunakan ukuran pembaris sahaja selepas kesemua garisan sempadan berwarna merah yang diukur di atas tanah dilukis terlebih dahulu. Selepas terciptanya mesin kira-kira dan sebelum negara merdeka, walaupun pelan masih lagi perlu dilukis secara manual tetapi pengiraan sudah boleh dibuat dengan mudah. Bearing & jarak bagi garisan yang didapati dari hasil kiraan akan ditulis dengan simbol ‘Cal’ ( singkatan Calculation ) atau ‘Comp’ ( singkatan Computation ) yang berasal dari perkataan bahasa Inggeris. Setelah merdeka barulah ditukar kepada ‘Ki’ ( singkatan Kiraan ) yang menggunakan perkataan bahasa Malaysia.

Jadi bearing & jarak yang diukur secara kiraan ‘Ki’ hanya terdapat dalam pelan PA selepas negara merdeka. ‘Cal’ atau ‘Comp’ terdapat dalam pelan PA sebelum merdeka selepas terciptanya alat mesin kira-kira. Manakala bearing & jarak yang diukur secara ukuran pembaris ‘Sc’ hanya terdapat dalam pelan PA lama yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Sebelum merdeka pelan PA lebih dikenali sebagai pelan CP dari singkatan bahasa Inggeris untuk ‘Certified Plan’.

Dengan penjelasan beserta foto contoh di atas adalah diharapkan pembaca akan faham bahawa simbol-simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini bukanlah satu unit ukuran seperti ‘ling’, ‘meter’ atau ‘kaki’. Simbol ini cuma sekadar memberitahu bahawa nilai bearing dan jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Ki’ adalah nilai yang didapati dari hasil pengiraan manakala jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Sc’ pula adalah hasil dari ukuran pembaris di atas pelan. Kedua-dua nilai ini bukanlah dari hasil ukuran sebenar di atas tanah.


LAIN-LAIN SIMBOL YANG BIASA TERDAPAT DALAM PELAN TANAH

in = inci

ka / ft = kaki

ch = rantai

m = meter

km = kilometer

m2 / mp / sq. m = meter persegi

k2 / ka2 / kp / kp / ft2 / sq. ft = kaki persegi

H / hek / ha = hektar

A / ac / ek = ekar

R / r = rood

p = pole

cal = calculation

comp = computation / kiraan

ki = kiraan / computation

dpi = dari perkiraan

sc = scale

po / sa = seperti asal

az = azimuth cerapan matahari

j = jumpa

tt = tiada tanda / tak tanda

bl = batu lama

bkl = batu konkrit lama

pkt = kayu piket

pk = paku

p = paip

pb = paip besi / paip baru

sp = iron spike / pepaku besi

T = ukuran kelas 3


SEKIAN
TERIMA KASIH

 ------------------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ------------------------

Selasa, 2 Mac 2021

UNIT UKURAN LAMA DALAM GERAN TANAH NEGERI TERTENTU

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



Negara kita Malaysia sebelum merdeka dan jauh lebih lama lagi sebelum dijajah oleh mana-mana negara lain walaupun dari segi kemajuan kita tidaklah semaju negara penjajah tersebut. Tetapi dari segi tamadun dan budaya kita juga mempunyai tamadun dan budaya kita sendiri yang merangkumi hampir setiap aspek kehidupan termasuklah dari segi ukuran-ukuran bagi menentukan jarak, luas serta berat.

Tamadun dan budaya kita ini mungkin tidak sama dengan yang dibawa oleh pihak penjajah tetapi dari segi kesesuaian hidup masyarakat penduduk setempat serta geografi persekitaran inilah merupakan ciri dan cara hidup yang paling bersesuaian dengan kita sejajar dengan kemajuan serta sistem pemerintahan kita pada waktu itu.

Ketamadunan dan kebudayaan kita tidaklah kurang maju atau tidak mempunyai aspek nilai tambah yang boleh dan berpotensi untuk terus berkembang maju mengikut peredaran masa serta keperluan. Tetapi oleh kerana negara kita dahulu tidak bersatu dalam satu kesatuan yang besar, kukuh dan kuat inilah yang menjadi kelemahan kita dan penyebab kepada kedatangan penjajah mengekspoiltasikan kelemahan kita ini.

Kelemahan paling ketara adalah negara kita dahulu tidak bersatu, berpecah belah dan saling bermusuhan. Setiap tebing sungai adalah sempadan wilayah kekuasaan dan pemerintahan. Dan setiap wilayah ini pula akan mengamalkan budaya hidup sendiri dengan sedikit perubahan daripada apa yang diamalkan di wilayah bersebelahan. Walaupun secara zahirnya ciri-ciri budaya setiap wilayah itu nampak sama tetapi setiap pemerintah akan cuba menonjolkan sedikit kelainan bagi memberikan identiti tersendiri kepada wilayah kekuasaan pemerintahannya.

Jadi inilah sebabnya mengapa di sesetengah negeri unit ukuran yang digunakan tidak sama dengan di negeri lain. Sebelum kedatangan penjajah lagi kita sudah ada sistem yang berbeza bagi setiap wilayah dan negeri. Apabila negara kita dijajah secara ‘pecah perintah’ oleh Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun pula sistem yang dibawa dan diperkenal oleh pihak penjajah ini juga berlainan tidak sama mengikut waktu dan sistem penjajah itu sendiri. Ini juga menjelaskan mengapa terdapat sistem atau unit ukuran yang berlainan bagi negeri-negeri tertentu sebelum negara kita menukar keseluruhannya secara standard kepada hanya satu unit yang sama iaitu unit ‘METRIK’ selepas negara kita mencapai kemerdekaan.


UNIT UKURAN LAMA DI NEGERI KELANTAN

( DEPA )

Bagi negeri Kelantan keluasan yang selalu ditulis dalam geran tanah yang lama adalah dalam unit ‘Ekar’ dan ‘Depa’. Luas tanah akan ditulis seperti contoh berikut :

0ᴬ 167ᴰ

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 0 ekar ) + ( 167 depa persegi )

Jadi berapakah luas tanah ini yang sebenarnya dalam nilai ‘ekar’, ‘meter persegi’ atau ‘kaki persegi’. Untuk mengira luas sebenar tanah ini maka kita perlulah tahu terlebih dahulu formula penukar yang tepat yang boleh digunakan untuk membuat pengiraan.


FORMULA ASAS PENGIRAAN

1 depa = 6 kaki

1 ekar = 43,560 kaki persegi

1 depa persegi = ( 6 x 6 ) = 36 kaki persegi

1 ekar = ( 43,560 / 36 ) = 1,210 depa persegi

1 ekar = ( 1,210 x 36 ) = 43,560 kaki persegi

1 ekar = 4,046.86 meter persegi

1 meter persegi = 10.764 kaki persegi


Maka luas tanah contoh di atas adalah :

Dalam unit EKAR :

= ( 167 depa / 1,210 depa ) ekar

= 0.1380 ekar


Dalam unit KAKI PERSEGI :

= ( 0 ekar = 0 kp ) + ( 167 depa x 36 kp )

= 6012 kaki persegi


Dalam unit METER PERSEGI :

( 1 ) = 0.1380 ekar x 4046.86 = 558.5 meter persegi

( 2 ) = ( 6012 kp / 10.764 ) = 558.5 meter persegi



UNIT UKURAN LAMA DI NEGERI KEDAH & PERLIS

( RELUNG & JEMPA )

Bagi negeri Kedah & Perlis keluasan yang selalu ditulis dalam geran tanah yang lama adalah dalam unit ‘Relung’ dan ‘Jempa’. Luas tanah akan ditulis seperti contoh berikut :

2r 423j

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 2 relung ) + ( 423 jempa )


Jadi berapakah luas tanah ini yang sebenarnya dalam nilai ‘ekar’, ‘meter persegi’ atau ‘kaki persegi’. Untuk mengira luas sebenar tanah ini maka kita perlulah tahu terlebih dahulu formula penukar yang tepat yang boleh digunakan untuk membuat pengiraan.


FORMULA ASAS PENGIRAAN

1 relung = 176 kaki = 53.644 meter

1 relung persegi = 484 jempa

1 relung persegi = 30,976 kaki persegi

1 relung persegi = 2,877.7 meter persegi

1 relung persegi = 0.7111 ekar

1 jempa = 64 kaki persegi = 5.946 meter persegi

1 jempa = 0.001469 ekar


Maka luas tanah contoh di atas adalah :

Dalam unit EKAR :

= ( 2 relung x 0.7111 ) + ( 423 jempa x 0.001469 )

= ( 1.4222 ) + ( 0.6214 )

= 2.0436 ekar


Dalam unit METER PERSEGI :

= ( 2 x 2,877.7 ) + ( 423 x 5.946 )

= ( 5,755.40 ) + ( 2,515.16 )

= 8,270.56 meter persegi


Dalam unit KAKI PERSEGI :

= ( 2 X 30,976 ) + ( 423 X 64 )

= ( 61,952 ) + ( 27,072 )

= 89,024 kaki persegi

----------------------------------------------------------

Jika anda ada keperluan untuk membuat kerja ukur tanah atau hendak menyediakan pelan bagi pembahagian tanah anda bolehlah hubungi kami. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan melalui mesej aplikasi WhatsApp dengan klik nombor di bawah.

( klik bawah )


012-3949064



SEKIAN TERIMA KASIH

----------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2024