Isnin, 7 Mac 2022

CARI & TANDA SEMULA BATU SEMPADAN TANAH LOT

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

CARI & TANDA SEMULA BATU SEMPADAN TANAH LOT 



( Foto : batu sempadan lama dengan bulan & bintang penunjuk arah kiblat )

Dalam berbagai bidang kerja ukur tanah, kepakaran kami yang terutama adalah dalam bidang kerja ukur ‘Cari & Tandakan semula batu sempadan’ tanah lot persendirian.

Tak kiralah apa jenis tanah lot anda samada tanah kebun, tanah terbiar, tanah rata dan lapang, tanah bukit, tanah semak belukar atau tanah yang dipinggiran mahu pun dalam hutan. Selama kami beroperasi dari sebelum adanya teknologi secanggih sekarang kami belum pernah lagi mengecewakan pelanggan kami.

Walau lot tanah yang sudah berusia lebih dari 100 tahun dengan pelan PA masih lagi pelan lukisan tangan. Walau pun batu sempadan asal berupa batu granit batu bukit generasi pertama penanda sempadan tanah di bumi Malaya atau batu generasi kedua batu bulat buatan manusia yang tertera ‘bulan & bintang’ tegak berdiri menunjuk arah kiblat. Samada masih ada di atas tanah atau sudah tenggelam ke dalam tanah, jikalau masih ada batu tersebut tetap akan boleh jumpa semula. Kalau tak jumpa di atas tanah, kami akan cuba korekkan tanah sedalam 1-2 kaki. Kalau tak jumpa juga kami akan timbus balik lubang tersebut dan tandakan dengan tanda sempadan yang baru.

Agak pelik juga, antara tanah lot baru yang bernombor 5-6 angka dengan tanah lot lama yang bernombor cuma sekadar 2-4 angka sahaja. Antara tanah lot baru yang berlokasi di kawasan perbandaran dengan tanah lot lama yang berlokasi jauh di dalam semak hutan, adalah lebih mudah untuk jumpa semula batu asal lot lama daripada lot baru.

Bagi kami jurukur tanah, apabila dapat jumpa semula mana-mana batu sempadan asal yang lama, satu perasaan menyeronokkan akan terbit menghilangkan segala rasa letih dan marah ibarat seperti membuat jaringan gol dalam permainan bolasepak. Walau pun tak menang tapi jaringan gol tersebut dapat memberikan sedkit kegembiraan selepas tamat perlawanan. Anda boleh lihat pada foto contoh di bawah batu-batu sempadan yang kami dapat jumpa kembali pada waktu membuat kerja cari & tanda semula sempadan tanah lot pelanggan kami.

Jika pemilik tanah persendirian berminat untuk berurusan dengan kami bagi mencari dan tandakan semula sempadan tanah lot anda, sila hubungi kami secara telefon terus atau sekadar kirim mesej melalui aplikasi Whatsapp sahaja ke nombor :


Telefon @ Whatsapp

012-3949064 

( JT Klang )

Sebenarnya sebelum adanya pandemik Covid-19 di mukabumi ini kami sudah pun membuat urusan perbincangan dan kiriman dokumen secara atas talian sahaja tanpa perlu pelanggan keluar dari rumah pergi ke pejabat kami. Berurusan secara terus begini bukan sahaja lebih mudah malah lebih cepat, lebih jimat dan yang terpenting adalah lebih selamat daripada persekitaran virus merbahaya ini.


BAWAH : FOTO - FOTO CONTOH BATU SEMPADAN ASAL YANG JUMPA SEMULA
















Khamis, 3 Mac 2022

KANDUNGAN MAKLUMAT DALAM PELAN DIPERAKUI ( PA )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

KANDUNGAN MAKLUMAT DALAM PELAN DIPERAKUI ( PA )


( ATAS : FOTO CONTOH PELAN GERAN TANAH )


( BAWAH : FOTO CONTOH PELAN PA 19191 )


Apakah maksud dan fungsi sebenar ‘PELAN DIPERAKUI’ ( PA ) sebutan waktu kini dalam Bahasa Malaysia atau ‘CERTIFIED PLAN’ ( CP ) sebutan lama dalam Bahasa Inggeris.

Sepertimana kita warganegara Malaysia walaupun berjumlah puluhan juta orang dan ramai yang mempunyai nama yang sama tetapi setiap orang akan diberikan satu nombor pendaftaran MyKad atau nombor pengenalan diri yang berbeza yang boleh dirujuk untuk mengenalpasti identiti yang sebenar bagi setiap orang.

Begitulah fungsinya nombor rujukan ‘Pelan Diperakui’ atau pelan PA yang berlainan bagi setiap tanah lot walaupun bernombor sama dan berlokasi dalam daerah yang sama di negeri yang sama. Dalam setiap dokumen geran tanah bagi setiap tanah lot akan dituliskan satu nombor rujukan ‘Pelan Diperakui’ pada bahagian mukasurat depan untuk maklumat tanah dan juga pada mukasurat belakang yang mengandungi pelan tanah bagi tanah lot tersebut.

Selain itu dalam setiap pelan PA juga terdapat maklumat penting lain yang boleh dirujuk dan dijadikan sebagai pengesahan apabila membuat pencarian informasi tepat berkenaan mana-mana bidang tanah lot. Sebagai contoh apabila jurukur tanah perlu mencari atau menandakan semula sempadan mana-mana lot, pelan PA inilah yang akan dijadikan sebagai rujukan yang sah dan tepat dalam menandakan semula sempadan lot tersebut supaya berada pada tempat yang sama seperti asal walaupun pelan PA atau batu sempadan asal bagi lot tersebut telah berusia lebih dari 100 tahun. 


Antara kandungan maklumat dalam setiap pelan PA adalah seperti berikut :


1.)        Jarak setiap garisan sempadan

2.)        Bearing setiap garisan sempadan

3.)        Jenis petanda sempadan yang diguna untuk lot tersebut

4.)        Keluasan sebenar lot tersebut

5.)        Koordinat lokasi setiap batu sempadan lot tersebut

6.)        Jarak, bearing dan nombor lot yang bersebelahan

7.)        Nombor pelan PA bagi lot bersebelahan

8.)        Tahun kerja ukuran asal atau ukuran semula dibuat

9.)        Batu sempadan asal yang dijumpai waktu ukuran semula

10.)    Perubahan jarak & bearing antara yang asal dan terkini

11.)    Kedudukan rezab jalan & saliran yang berdekatan

12.)    Lebar, panjang & luas setiap rezab berkenaan

13.)    Lot tanah yang terlibat dalam setiap pengambilan tanah bagi tujuan rezab jalan, saliran atau talian elektrik


Jadi adalah disarankan kepada setiap pemilik tanah selain menyimpan dokumen geran tanah yang asal simpan juga pelan diperakui ( PA ) bagi lot tanah anda tersebut. Pengalaman daripada kejadian banjir besar penghujung tahun lepas, selain menyimpan dalam bentuk dokumen kertas, simpan juga salinan dalam bentuk digital dalam format foto atau pun dokumen PDF.

----------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy



Rabu, 12 Januari 2022

UNIT UKURAN : MAKSUD SIMBOL 'Ki' & 'Sc' DALAM PELAN PA LAMA DAN SEKARANG

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Walaupun kami telah memberikan penjelasan & penerangan bercontoh dalam bentuk artikel serta soal jawap pertanyaan pembaca berkenaan unit-unit ukuran yang biasa digunapakai bagi jarak & luas untuk tanah sejak tahun 2014 malangnya hingga ke hari ini kami masih lagi terima pertanyaan dan permintaan untuk mengira dan menukar jarak serta luas dari unit asal ke unit yang lain.

Tak kurang juga ada lagi yang masih bertanya nilai tukaran unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ serta cara mengira menukar unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini kepada unit meter atau kaki.

Sebenarnya simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini walaupun ada ditulis di belakang ‘bearing’ dan ‘jarak’ garisan sempadan lot dalam pelan PA tapi itu bukanlah menunjukkan jenis unit ukuran yang digunakan. Simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini diletakkan pada garisan tersebut cuma sekadar memberitahu bahawa ‘bearing’ dan ‘jarak’ itu bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah tetapi adalah hasil dari pengiraan dan ukuran pembaris di atas pelan sahaja. Untuk penerangan lebih lanjut berkenaan maksud sebenar ‘Ki’ dan ‘Sc’ penulis akan tunjukkan dengan contoh dibahagian bawah artikel ini.


Rujuk foto contoh pelan PA di atas, simbol-simbol yang biasa dapat dilihat dalam pelan PA pada waktu sekarang kebanyakan simbol-simbol ini adalah dalam bahasa Malaysia.


SIMBOL & MAKSUDNYA

BKL = Batu sempadan konkrit berbentuk bulat

BL = Batu sempadan granit berbentuk empat segi

Pk = Paku

P = Paip

Pb = Paip besi

Pkt = Kayu berpaku

TT = Tiada Tanda

j = Jumpa

Jum = Jumlah jarak


Semua simbol ini adalah merujuk kepada jenis penanda yang digunakan sebagai tanda sempadan lot yang telah ditanam di atas tanah kecuali simbol ‘j’ yang merujuk kepada tanda sempadan asal yang telah dijumpai semasa kerja ukuran dibuat. Manakala simbol ‘jum’ pula adalah bermaksud jumlah panjang garisan sempadan yang mempunyai banyak batu sempadan tetapi mempunyai satu garisan bearing yang sama.


SIMBOL ‘Ki’ DALAM PELAN PA SEKARANG



Rujuk foto contoh di atas, simbol ‘Ki’ yang ditulis pada belakang bearing & jarak garisan sempadan berwarna biru tersebut adalah bermaksud bahawa bearing dan jarak yang ditulis itu adalah hasil daripada ‘kiraan’ bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah seperti bearing dan jarak setiap garisan sempadan berwarna merah. Cara mendapatkan nilai bearing dan jarak garisan biru tersebut adalah perlu dikira jumlah nilai ‘Latit’ dan ‘Dipat’ bermula dari batu sempadan A ke batu B bersambung ke batu C dan berakhir di batu D.

Tapi oleh kerana kemajuan teknologi waktu kini, pelan tidak lagi dilukis menggunakan jangka sudut dan pembaris T maka jurukur tanah tidak perlu lagi membuat kiraan ‘latit’ & ‘dipat’ untuk menghitung ‘direct bearing’ & ‘direct distance’. Aplikasi CAD komputer dan mesin kalkulator berprogram sudah boleh membuat pengiraan ‘Ki’ ini dengan hanya ‘klik-klik’ sahaja. Kerana kemajuan teknologi jugalah yang menyebabkan jurukur tanah zaman sekarang tidak lagi menghafal formula bagi membuat pengiraan dan membuat pembetulan tikaian lurus secara manual.


SIMBOL ‘Sc’ DALAM PELAN PA LAMA

Rujuk foto contoh di atas, garisan sempadan yang berwarna hijau ditulis dengan jarak ‘Sc’ bermaksud jarak tersebut adalah hasil daripada ukuran menggunakan pembaris. ‘Sc’ adalah singkatan daripada perkataan ‘scale’ dalam bahasa Inggeris. Jarak-jarak dengan ukuran secara ‘Sc’ ini hanya terdapat dalam pelan PA yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris T. Kerja membuat ukuran tetap sama walaupun zaman dan teknologi sudah berubah. Ukuran tetap perlu dibuat bermula dari batu A ke batu B kemudian ditandakan batu 1, 2 & 3 yang terletak di atas garisan yang sama tapi berlainan jarak sahaja. Dari batu C ditandakan pula batu 4, 5 & 6 yang terletak atas garisan yang sama dengan batu D.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, pada waktu dulu pelan tanah perlu dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Waktu dulu masih tiada lagi komputer atau mesin kalkulator yang boleh membantu memudahkan kerja mengira dan melukis pelan. Perlu masa yang lama dan kemahiran tinggi untuk membuat pengiraan matematik tanpa mesin kalkulator. Jadi untuk mendapatkan nilai bagi garisan sempadan yang berwarna hijau yang tidak diukur di atas tanah seperti garisan dari batu 1 ke batu 6, dari batu 2 ke batu 5 dan dari batu 3 ke batu 4, pelukis pelan hanya menggunakan ukuran pembaris sahaja selepas kesemua garisan sempadan berwarna merah yang diukur di atas tanah dilukis terlebih dahulu. Selepas terciptanya mesin kira-kira dan sebelum negara merdeka, walaupun pelan masih lagi perlu dilukis secara manual tetapi pengiraan sudah boleh dibuat dengan mudah. Bearing & jarak bagi garisan yang didapati dari hasil kiraan akan ditulis dengan simbol ‘Cal’ ( singkatan Calculation ) atau ‘Comp’ ( singkatan Computation ) yang berasal dari perkataan bahasa Inggeris. Setelah merdeka barulah ditukar kepada ‘Ki’ ( singkatan Kiraan ) yang menggunakan perkataan bahasa Malaysia.

Jadi bearing & jarak yang diukur secara kiraan ‘Ki’ hanya terdapat dalam pelan PA selepas negara merdeka. ‘Cal’ atau ‘Comp’ terdapat dalam pelan PA sebelum merdeka selepas terciptanya alat mesin kira-kira. Manakala bearing & jarak yang diukur secara ukuran pembaris ‘Sc’ hanya terdapat dalam pelan PA lama yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Sebelum merdeka pelan PA lebih dikenali sebagai pelan CP dari singkatan bahasa Inggeris untuk ‘Certified Plan’.

Dengan penjelasan beserta foto contoh di atas adalah diharapkan pembaca akan faham bahawa simbol-simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini bukanlah satu unit ukuran seperti ‘ling’, ‘meter’ atau ‘kaki’. Simbol ini cuma sekadar memberitahu bahawa nilai bearing dan jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Ki’ adalah nilai yang didapati dari hasil pengiraan manakala jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Sc’ pula adalah hasil dari ukuran pembaris di atas pelan. Kedua-dua nilai ini bukanlah dari hasil ukuran sebenar di atas tanah.


LAIN-LAIN SIMBOL YANG BIASA TERDAPAT DALAM PELAN TANAH

in = inci

ka / ft = kaki

ch = rantai

m = meter

km = kilometer

m2 / mp / sq. m = meter persegi

k2 / ka2 / kp / kp / ft2 / sq. ft = kaki persegi

H / hek / ha = hektar

A / ac / ek = ekar

R / r = rood

p = pole

cal = calculation

comp = computation / kiraan

ki = kiraan / computation

dpi = dari perkiraan

sc = scale

po / sa = seperti asal

az = azimuth cerapan matahari

j = jumpa

tt = tiada tanda / tak tanda

bl = batu lama

bkl = batu konkrit lama

pkt = kayu piket

pk = paku

p = paip

pb = paip besi / paip baru

sp = iron spike / pepaku besi

T = ukuran kelas 3


SEKIAN
TERIMA KASIH

 ------------------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ------------------------