Jumaat, 10 Mac 2023

PERKHIDMATAN JURUKUR TANAH KLANG : UKUR TOPOGRAFI

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Kerja ‘Ukur Topografi’ merupakan kerja ukur bagi merekodkan aras ketinggian tanah mana-mana kawasan yang perlu di ukur. Bagi projek pembangunan seperti pembinaan jalanraya, jalan keretapi, projek pembinaan empangan atau pun pembinaan kawasan perumahan kerja ukur topografi perlulah dibuat terlebih dahulu untuk perancangan guna tanah dan kesesuaian pembinaan bagi projek berkenaan.

Dari ukuran topografi tinggi rendah tanah di kawasan terlibat akan direkodkan dan ditunjukkan dalam satu pelan atau peta topografi. Ketinggian dan bentuk sebenar keadaan mukabumi kawasan berkenaan akan ditunjukkan dalam bentuk garisan yang dinamakan sebagai garisan kontor. Jumlah garisan kontor yang akan ditunjukkan adalah bergantung kepada perbezaan tinggi tanah kawasan yang terlibat. Secara asasnya garisan kontor yang akan ditunjukkan adalah dalam 2 jenis garisan iaitu ‘kecil dan besar’ atau ‘major dan minor’. Garisan minor adalah bagi beza tinggi yang kecil seperti setiap 1 meter satu garisan manakala garisan major pula adalah bagi beza tinggi yang lebih besar seperti setiap 5 atau 10 meter satu garisan. Garisan minor akan berada di antara garisan major. Sebagai contoh, bagi ketinggian di antara 0 hingga 10 meter, garisan major akan dilukis bagi ketinggian setiap 5 meter bermula dengan ketinggian 0m , 5m & 10m. Garisan minor pula akan dilukis untuk beza tinggi setiap 1 meter bermula dengan 1m, 2m, 3m, 4m, 6m, 7m, 8m dan 9m. Apabila selang garisan kontor berada jauh serta tidak banyak ini menunjukkan tanah tersebut landai tetapi jika selang garisan kontor berada rapat dan banyak ini pula bermaksud kawasan tersebut berbukit. Sila rujuk foto lampiran untuk faham.

Ukuran topografi penting bagi perancangan guna tanah dan kesesuaian pembinaan tak kiralah bagi projek besar atau kecil. Contohnya, satu tanah lot yang terletak di lereng bukit atau kawasan yang tidak rata jika pemilik tanah ingin membina sebuah rumah atau bangunan dengan adanya pelan topografi pihak jurutera dan arkitek dapat mencadangkan bentuk, kedudukan serta kesesuaian jenis kediaman yang boleh dibina di tapak tanah. Perancangan guna tanah dapat dibuat bagi pengaliran air hujan atau peparitan bagi mengelakkan kerja tambahan seperti menambak atau memotong tanah asal yang pastinya akan melibatkan kos tambahan bagi kerja penyediaan tapak rumah atau bangunan tersebut. Bentuk serta ketinggian lantai rumah atau bangunan dapat diselaraskan dengan bentuk serta ketinggian tanah asal lot tersebut. Dengan perancangan yang bersesuaian dengan keadaan asal sudah pasti kos bagi pembinaan dapat dijimatkan. 

Bagi tanah pertanian yang terletak di kawasan berbukit, dengan ukuran topografi teres-teres bagi tanaman, parit untuk saliran serta jalan keluar masuk dapat dibuat perancangan di tempat yang lebih sesuai bagi memudahkan aktiviti pertanian. Produktiviti dapat dipertingkatkan dan kos pengurusan serta selenggaraan dapat dikurangkan. 



CIRI-CIRI GARISAN KONTOR DALAM PELAN / PETA TOPOGRAFI

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064

 

----------------------------------------------------------


Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy


Rabu, 8 Mac 2023

GERAN TANAH HILANG ATAU ROSAK

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

( FOTO : contoh borang permohonan memperbaharui hakmilik hilang / rosak )


Dokumen hakmilik tanah yang lebih sering disebut sebagai geran tanah sama jugalah seperti dokumen lain. Waktu tak diperlukan dokumen ini hanya akan disimpan begitu sahaja hingga ramai pemilik tanah yang terlupa dimana dokumen tersebut disimpan.

Apabila timbul perkara yang memerlukan dokumen ini barulah dicari di sana sini. Banyak juga kes dokumen geran tanah hanya diketemui selepas pemilik tanah telah meninggal dunia sewaktu anak isterinya memperkemaskan barang-barang yang pernah menjadi milik si mati. Sewaktu sibuk mengumpul dan memperkemaskan barang-barang si mati tiba-tiba baru ditemui dan baru disedari rupa rupanya si mati ada mempunyai hakmilik tanah yang tidak pernah diberitahu kepada anak isterinya sewaktu dia masih hidup.

Ada juga yang hanya mencari selepas rumah mereka ditenggelami banjir kilat yang tidak pernah terjadi sebelum itu.

Sama seperti dokumen lain, dokumen geran tanah ini juga boleh berisiko rosak atau hilang walaupun hanya dalam waktu simpanan. Mungkin bagi segelintir orang yang sedar akan kepentingannya dan mempunyai kemampuan akan menyimpan dokumen geran tanah yang asal di dalam peti besi keselamatan samada di rumah sendiri atau pun dimana-mana peti besi simpanan di dalam bank. Tetapi bagi ramai pemilik tanah yang dari kalangan orang biasa-biasa sahaja, biasanya dokumen ini hanya disimpan di dalam almari pakaian sahaja.

Selagi tak ada keperluan selagi itulah dokumen geran tanah ini hanya tersimpan tanpa dipedulikan. Apabila diperlukan barulah dicari dan waktu ditemui baru sedar dokumen tersebut telah pun rosak akibat dimakan lipas atau anai-anai atau telah hancur reput akibat diletakkan ditempat yang tidak sesuai.

Mungkin ada yang tahu tapi mungkin juga ada yang tidak tahu sama seperti lain-lain dokumen hakmilik seperti geran kereta, geran rumah, kad pengenalan atau sijil surat beranak dan lain-lain, dokumen geran tanah ini juga boleh diperbaharui dengan dokumen yang baru bagi menggantikan dokumen asal yang telah rosak atau hilang di Pejabat Tanah Daerah. Tetapi perlulah dibuat satu laporan polis terlebih dahulu kemudian dapatkan pula 1 salinan sijil carian rasmi bagi mengesahkan bahawa namanya adalah sah sebagai pemilik tanah yang disebut dalam laporan polis tersebut.

Selain daripada laporan polis dan sijil carian rasmi pemilik tanah juga perlu bawa 1 salinan kad pengenalan depan dan belakang serta 1 salinan resit bayaran cukai tanah terkini yang telah dijelaskan. Bagi pemilik tanah yang telah meninggal dunia pula, selain laporan polis pewaris juga perlu membawa 1 salinan sijil kematian serta sijil beranak pewaris.

Anda boleh semak senarai dokumen yang perlu dibawa daripada foto contoh ‘Borang Permohonan Memperbaharui Hakmilik Hilang / Rosak’ di bahagian atas artikel ini.

Selain dari dokumen lampiran yang perlu dibawa jangan lupa bawa juga duit untuk bayaran bagi mendapatkan geran tanah ganti yang baru.

Jika geran tanah rosak : RM 120 & RM 10 untuk drafting

Jika geran tanah hilang : RM 400 & RM 10 untuk drafting

Maaflah tak ada yang percuma. Jika anda berasa rugi sebab kena bayar kos tinggi untuk dapatkan geran tanah ganti maka jagalah dan simpanlah geran tanah yang anda miliki dengan cara yang lebih baik dan lebih selamat. 


 ___________________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )

 

Sekian dahulu untuk kali ini.

 

TERIMA KASIH

Selasa, 7 Mac 2023

SURAT PERJANJIAN JUAL BELI TANAH ( SNP )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Apabila membuat urusan jual beli tanah samada keseluruhan lot atau cuma sebahagian mengikut luas atau bahagian yang tertentu, adalah penting urusan jual beli ini didokumentasikan dalam satu surat perjanjian yang sah yang boleh dijadikan sebagai rujukan atau bukti bagi urusan jual beli tersebut.

Ada orang yang berpendapat jika membuat urusan jual beli dengan secara bayaran tunai mereka tak perlu lagi sediakan apa-apa surat perjanjian tetapi boleh terus pergi ke Pejabat Tanah Daerah ( PTD ) membuat urusan pertukaran nama pemilik tanah dengan mengisi borang 14A.

Alasan mereka cara begini adalah lebih cepat dan mudah serta lebih menjimatkan kos sebab tanpa surat perjanjian mereka tak perlu buat bayaran kepada pihak ejen dan peguam hartanah. Memang betul dari segi kos tambahan yang perlu dikeluarkan tetapi pendapat mereka itu ada juga kesalahan sebab surat perjanjian jual beli tak semestinya disediakan oleh ejen hartanah atau peguam hartanah.

Sebenarnya pihak penjual atau pembeli sendiri boleh sediakan satu surat perjanjian jual beli tanpa perlu pembabitan ejen atau peguam hartanah tetapi perlulah dibuat dalam format tertentu yang lengkap segala butiran urusan yang kemudiannya ditandatangani dihadapan dan diperakui sah oleh seorang Pesuruhjaya Sumpah sahaja.

Dalam menyediakan satu surat perjanjian jual beli tanah ini apa yang perlu ada dan dimasukkan ke dalam surat ini adalah butiran-butiran seperti yang berikut.

 ___________________________________________________ 

( TAJUK ) : SURAT PERJANJIAN JUAL BELI TANAH

 

1.)        TARIKH PERJANJIAN DIBUAT :

2.)        PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT :

( NAMA PENUH & NOMBOR KAD PENGENALAN / penjual )

( NAMA PENUH & NOMBOR KAD PENGENALAN / pembeli )

 

3.)        BUTIRAN MAKLUMAT TANAH YANG TERLIBAT :

( NOMBOR LOT )

( SEKSYEN / MUKIM / DAERAH / NEGERI )

( KATEGORI TANAH / jenis tanah samada pertanian atau lain )

( NOMBOR PLOT / jika sekadar 1 pecahan bahagian sahaja dengan merujuk kepada nombor plot dalam pelan lampiran  )

( LUAS TANAH / keseluruhan atau sebahagian dalam hektar / ekar / meter persegi / kaki persegi )

( PECAHAN BAHAGIAN / luas dalam pecahan bahagian seperti tertulis dalam geran tanah / 1/1 bahagian jika keseluruhan )

 

4.)        TERMA & SYARAT PERJANJIAN : ( ini paling penting )

( HARGA YANG DIPERSETUJUI )

( CARA PEMBAYARAN / tunai atau ansuran / deposit & baki yang perlu dibayar )

( TEMPOH BAYARAN PERLU DIBUAT / nyatakan )

( SYARAT-SYARAT / bila dan berapa jumlah perlu dibayar  / bila urusan tukarnama akan dibuat dan lain-lain syarat yang wajar seperti keperluan ukuran tanda pengesahan sempadan dibuat )

( PERINTAH HALANGAN / apa yang kedua-dua pihak boleh dan tidak boleh lakukan selama dalam tempoh selagi belum selesai pembayaran ATAU selepas selesai urusan jual beli )

NOTA : bahagian ini penulis katakan sebagai bahagian yang terpenting sebab bahagian inilah yang sebenarnya yang akan menjadi isikandung pokok pangkal perjanjian ini. Perjanjian boleh terbatal jika ada mana-mana pihak yang gagal tunaikan terma & syarat perjanjian ini. Jadi apa sahaja yang difikirkan perlu dibuat dan ditunaikan mestilah ditulis dengan secara jelas dibahagian ini.

5.)        2 ORANG SAKSI : ( setiap pihak 1 saksi )

( NAMA PENUH & NO. KAD PENGENALAN / saksi penjual )

( tandatangan saksi / tarikh )

 

( NAMA PENUH & NO. KAD PENGENALAN / saksi pembeli )

( tandatangan saksi / tarikh )

 

6.)        RUANGAN TANDATANGAN PERJANJIAN ANTARA PENJUAL & PEMBELI

 

( tandatangan pihak penjual / tarikh )

( NAMA PENUH & NO. KAD PENGENALAN )

 

( tandatangan pihak pembeli / tarikh )

( NAMA PENUH & NO. KAD PENGENALAN )

 

7.)        PESURUHJAYA SUMPAH : ( pengesahan )

( COP & TANDATANGAN / tarikh )

 ____________________________________________________

 Ini bukanlah contoh surat perjanjian tetapi cuma rangka butiran-butiranyang perlu ada dalam surat perjanjian jual beli tanah sahaja. Anda boleh sediakan sendiri surat perjanjian ini dengan mengikut gaya & format anda sendiri. Tapi elakkan daripada membuat satu surat yang sangat ringkas yang hanya 1 mukasurat sahaja. Sebaiknya ditulis dalam bentuk ayat penuh contoh seperti berikut :-

“Saya  Encik Alif Ba Ta  , seorang warganegara Malaysia dengan No. Kad Pengenalan : 123456789, selaku pemilik tanah yang terlibat dalam perjanjian ini ( selepas ini akan dirujuk sebagai ‘penjual’ ) dengan ini bersetuju untuk menjual tanah tersebut kepada Encik Do Re Mi , seorang warganegara Malaysia dengan No. Kad Pengenalan : 987654321 ( selepas ini akan dirujuk sebagai ‘pembeli’ )

( sekadar contoh penggunaan ayat penuh )

Akhir sekali setelah semua pihak menurunkan tandatangan persetujuan dan persaksian di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, satu setem hasil perlulah dimatikan di kepala surat perjanjian tersebut bagi menjadikan surat itu satu surat perjanjian yang sah dan boleh digunapakai sampai bila-bila pun bagi membuktikan urusan jual beli tanah tersebut telah dibuat dengan sempurna.

 _________________________________________________


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064( JT Klang )



SEKIAN TERIMA KASIH