Sabtu, 4 Mac 2023

JURUKUR TANAH BUKAN KAKITANGAN PEJABAT TANAH DAERAH ATAU JURUNILAI HARTANAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Kalau dahulu penulis banyak terima pertanyaan dan permintaan berkenaan jarak dan luas tanah dari satu unit ukuran ditukar nilainya ke unit yang lain. Biasanya dari satu unit lama yang ditulis dalam dokumen geran tanah sesetengah negeri dalam relung, depa, jempa & hektar ditukar kepada unit yang lebih mudah difahami seperti ekar, meter atau kaki. Tapi setelah penulis perjelaskan dalam 2-3 artikel, sudah tidak banyak lagi pertanyaan yang penulis terima berkenaan unit-unit ukuran tersebut. Samada pembaca mulai faham cara pengiraan yang betul atau pun akibat daripada penulis tidak lagi melayan permintaan sebegitu, tak tahulah tapi hasilnya amat jarang sekali penulis terima pertanyaan pada waktu kini dibanding dengan waktu dahulu.

Bagi pembaca yang masih lagi belum faham cara pengiraan yang betul, sila rujuk dan baca perlahan lahan hingga faham contoh-contoh pengiraan yang terdapat dalam artikel yang telah penulis terbitkan berkenaan ‘Unit Ukuran Bagi Jarak & Luas Tanah’ dengan klik link di bawah.


"UNIT UKURAN BAGI JARAK & LUAS TANAH"

 

Pada waktu sekarang pertanyaan yang banyak penulis terima yang tidak bersangkutan dengan kerja ukur tanah lebih merupakan peraturan-peraturan dan garis panduan bagi permohonan yang dalam bidang kuasa pihak pejabat tanah daerah atau pentadbir tanah negeri.

Perlu anda tahu, urusan tanah adalah urusan pihak kerajaan negeri bukan urusan kerajaan pusat dan diuruskan secara berasingan bagi setiap daerah. Anda tidak boleh melakukan urusan tanah yang berada dalam daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling atau Hulu Selangor di pejabat tanah daerah Klang. 

Walaupun berada dalam satu pentadbiran kerajaan negeri yang sama iaitu Selangor tetapi urusan tanah dalam mana-mana daerah perlu dan hanya boleh dibuat di pejabat tanah daerah itu sahaja tidak boleh dibuat di pejabat tanah daerah lain. Walaupun menggunakan undang-undang Kanun Tanah Negara yang sama tapi perlaksanaan atau peraturan ada sedikit perbezaan bagi setiap daerah. Dalam kebanyakan urusan tanah, pihak jurukur tanah hanya terbabit jika permohonan tersebut memerlukan lampiran pelan yang diukur dan disediakan oleh jurukur tanah sahaja.

Ada banyak kekeliruan berkenaan tugas dan bidang yang membabitkan jurukur tanah. Contohnya jika ada mana-mana pemilik tanah yang mahu membina rumah, jurukur tanah hanya terbabit dalam urusan penandaan dan pengesahan sempadan lot sahaja. Permohonan kelulusan untuk merancang pembinaan perlulah dibuat oleh pihak arkitek. 

Begitu juga jika ada mana-mana pemilik tanah yang mahu menukar syarat kegunaan tanah, permohonan tersebut perlulah dibuat oleh pemilik tanah dengan lampiran pelan serta laporan perancangan yang disediakan oleh pihak perancang bandar bertauliah bukan jurukur tanah. Jurukur tanah hanya menyediakan data dalam bentuk pelan ukuran demarkasi penandaan sempadan lot, ukuran topografi dan butiran bentuk sebenar mukabumi serta segala benda kekal yang terdapat dalam lot berkenaan sahaja. Daripada data yang diukur tersebut barulah pihak arkitek dan perancang bandar membuat perancangan dan menyediakan satu laporan dan pelan yang akan dimasukkan dalam permohonan bagi mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada pihak berkuasa.

Demikian juga dalam urusan menilai harga tanah. Seringkali disalahtafsir bahawa jurukur tanahlah yang membuat penilaian ini. Yang sebenarnya kerja menilai harga tanah adalah urusan pihak ‘Jurunilai Hartanah’ atau ‘valuever’ sepertimana urusan menilai harga rumah jika mahu memohon gadaian atau pinjaman atau jika mahu menuntut gantirugi insuran bagi kerosakan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. Pihak jurunilai inilah yang akan menyediakan laporan daripada pemeriksaannya dan seterusnya menentukan nilai pasaran untuk rumah atau tanah tersebut.

Diharap dengan penerangan ini pembaca akan lebih faham bahawa tidak semua urusan tanah itu membabitkan jurukur tanah. Penyediaan laporan perancangan dan penilaian bukan bidang kerja jurukur tanah tetapi jika memerlukan satu kerja ukuran dibuat itu barulah menjadi bidang tugas jurukur tanah.     

________________________________________________


 Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )

  

SEKIAN, TERIMA KASIH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PERINGATAN :-

PEMBACA yang mahu menulis di ruang komen PERLU MENULIS nama ID atau menulis 'NAMA SAMARAN'. Sebarang ulasan dan pertanyaan dari 'TANPA NAMA' akan dihapuskan. Penggunaan bahasa perlulah yang penuh DAN berhemah. Penulisan dengan gaya BAHASA SMS yang tidak difahami AKAN DIHAPUSKAN