Jumaat, 10 Mac 2023

PERKHIDMATAN JURUKUR TANAH KLANG : UKUR DEMARKASI TANDA SEMPADAN LOT

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


( Atas : Contoh maklumat lot dalam Pelan PA )


( Bawah : Pandangan lot dari Google )

Kerja ‘Ukur Demarkasi’ adalah merupakan salah satu kerja ukur berkelas pertama dalam bidang kerja ‘Ukur Kadastral’. Ukuran demarkasi dibuat bagi menandakan semula sempadan lot atau bagi mengesahkan sempadan lot.

Dalam bidang kerja ukur kadastral, ukur demarkasi lebih sering disebut sebagai kerja ‘cari batu’. Manakala bagi kerja ‘Ukur Halus’ pula adalah kerja ‘tanam batu’. Pihak kerajaan melalui Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) atau pun pihak Jurukur Tanah Berlesen ( LS ) yang dilantik akan membuat kerja tanam batu sempadan apabila satu lot tanah itu diluluskan penerbitannya. Selain daripada menanam batu sempadan untuk lot tersebut, satu ‘Pelan Diperakui’ ( PA ) juga akan dikeluarkan dan didaftarkan sebagai pelan rujukan yang sah bagi lot tersebut. Nombor rujukan pelan PA bagi setiap lot akan ditulis masuk di dalam dokumen geran tanah lot tersebut.

Method kerja Ukur Demarkasi ini adalah jurukur tanah akan mencari semula batu sempadan yang telah ditanam oleh kerajaan dengan rujukan kepada pelan PA yang telah didaftarkan untuk lot tersebut. Jikalau tidak jumpa atau sudah hilang barulah jurukur tanah akan menandakan semula batu sempadan lot tersebut dengan tanda yang baru. Kerja ukur akan dimulakan dengan mencari batu sempadan lot berdekatan yang masih lagi dalam ‘keadaan baik’ untuk dijadikan sebagai datum titik permulaan. Maksud ‘keadaan baik’ adalah batu sempadan tersebut masih dalam keadaan sempurna tidak rosak, jarak dan bearing di antara 2 hingga 3 batu sempadan tersebut masih lagi dalam toleran yang dibenarkan seperti yang ditulis dalam pelan PA. Daripada batu sempadan yang dijumpai itu barulah jurukur tanah akan membuat pengiraan dan seterusnya mencari serta menandakan semula batu sempadan lot yang perlu diukur.

Ukur demarkasi ini diperlukan apabila pemilik tanah lot tersebut tidak tahu dimanakah sempadan tanahnya yang sebenar. Apabila pemilik tanah mahu mengorek parit, memasang pagar, membuat jalan atau membina rumah, sempadan tanah yang sebenar perlulah ditandakan dan disahkan terlebih dahulu bagi mengelakkan terjadinya perlanggaran sempadan dengan lot bersebelahan. Biasanya jika hanya untuk kegunaan sendiri kerja ukur demarkasi ini hanya dibuat kerja ukur penandaan di atas tanah sahaja. Tetapi jika membabitkan apa-apa permohonan rasmi atau sebagai satu syarat dalam urusan jual beli tanah, satu pelan ukur demarkasi pengesahan sempadan lot akan dilukis dan dikeluarkan selepas kerja ukur di atas tanah disiapkan. Dalam pelan ukur demarkasi selain daripada tarikh kerja ukur dibuat, jarak & bearing setiap garisan sempadan, jenis-jenis tanda sempadan lot juga akan ditulis ditunjukkan di dalam pelan tersebut. Jika diminta oleh pemilik tanah, satu foto bagi setiap batu sempadan juga akan diletakkan di dalam pelan tersebut untuk menunjukkan keadaan serta kedudukan sebenar dan membuktikan satu kerja ukur bagi penandaan sempadan lot tersebut telah pun dibuat.

___________________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064


 --------------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy


PERKHIDMATAN JURUKUR TANAH KLANG : UKUR TOPOGRAFI

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Kerja ‘Ukur Topografi’ merupakan kerja ukur bagi merekodkan aras ketinggian tanah mana-mana kawasan yang perlu di ukur. Bagi projek pembangunan seperti pembinaan jalanraya, jalan keretapi, projek pembinaan empangan atau pun pembinaan kawasan perumahan kerja ukur topografi perlulah dibuat terlebih dahulu untuk perancangan guna tanah dan kesesuaian pembinaan bagi projek berkenaan.

Dari ukuran topografi tinggi rendah tanah di kawasan terlibat akan direkodkan dan ditunjukkan dalam satu pelan atau peta topografi. Ketinggian dan bentuk sebenar keadaan mukabumi kawasan berkenaan akan ditunjukkan dalam bentuk garisan yang dinamakan sebagai garisan kontor. Jumlah garisan kontor yang akan ditunjukkan adalah bergantung kepada perbezaan tinggi tanah kawasan yang terlibat. Secara asasnya garisan kontor yang akan ditunjukkan adalah dalam 2 jenis garisan iaitu ‘kecil dan besar’ atau ‘major dan minor’. Garisan minor adalah bagi beza tinggi yang kecil seperti setiap 1 meter satu garisan manakala garisan major pula adalah bagi beza tinggi yang lebih besar seperti setiap 5 atau 10 meter satu garisan. Garisan minor akan berada di antara garisan major. Sebagai contoh, bagi ketinggian di antara 0 hingga 10 meter, garisan major akan dilukis bagi ketinggian setiap 5 meter bermula dengan ketinggian 0m , 5m & 10m. Garisan minor pula akan dilukis untuk beza tinggi setiap 1 meter bermula dengan 1m, 2m, 3m, 4m, 6m, 7m, 8m dan 9m. Apabila selang garisan kontor berada jauh serta tidak banyak ini menunjukkan tanah tersebut landai tetapi jika selang garisan kontor berada rapat dan banyak ini pula bermaksud kawasan tersebut berbukit. Sila rujuk foto lampiran untuk faham.

Ukuran topografi penting bagi perancangan guna tanah dan kesesuaian pembinaan tak kiralah bagi projek besar atau kecil. Contohnya, satu tanah lot yang terletak di lereng bukit atau kawasan yang tidak rata jika pemilik tanah ingin membina sebuah rumah atau bangunan dengan adanya pelan topografi pihak jurutera dan arkitek dapat mencadangkan bentuk, kedudukan serta kesesuaian jenis kediaman yang boleh dibina di tapak tanah. Perancangan guna tanah dapat dibuat bagi pengaliran air hujan atau peparitan bagi mengelakkan kerja tambahan seperti menambak atau memotong tanah asal yang pastinya akan melibatkan kos tambahan bagi kerja penyediaan tapak rumah atau bangunan tersebut. Bentuk serta ketinggian lantai rumah atau bangunan dapat diselaraskan dengan bentuk serta ketinggian tanah asal lot tersebut. Dengan perancangan yang bersesuaian dengan keadaan asal sudah pasti kos bagi pembinaan dapat dijimatkan. 

Bagi tanah pertanian yang terletak di kawasan berbukit, dengan ukuran topografi teres-teres bagi tanaman, parit untuk saliran serta jalan keluar masuk dapat dibuat perancangan di tempat yang lebih sesuai bagi memudahkan aktiviti pertanian. Produktiviti dapat dipertingkatkan dan kos pengurusan serta selenggaraan dapat dikurangkan. 



CIRI-CIRI GARISAN KONTOR DALAM PELAN / PETA TOPOGRAFI

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064

 

----------------------------------------------------------


Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy


Rabu, 8 Mac 2023

GERAN TANAH HILANG ATAU ROSAK

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

( FOTO : contoh borang permohonan memperbaharui hakmilik hilang / rosak )


Dokumen hakmilik tanah yang lebih sering disebut sebagai geran tanah sama jugalah seperti dokumen lain. Waktu tak diperlukan dokumen ini hanya akan disimpan begitu sahaja hingga ramai pemilik tanah yang terlupa dimana dokumen tersebut disimpan.

Apabila timbul perkara yang memerlukan dokumen ini barulah dicari di sana sini. Banyak juga kes dokumen geran tanah hanya diketemui selepas pemilik tanah telah meninggal dunia sewaktu anak isterinya memperkemaskan barang-barang yang pernah menjadi milik si mati. Sewaktu sibuk mengumpul dan memperkemaskan barang-barang si mati tiba-tiba baru ditemui dan baru disedari rupa rupanya si mati ada mempunyai hakmilik tanah yang tidak pernah diberitahu kepada anak isterinya sewaktu dia masih hidup.

Ada juga yang hanya mencari selepas rumah mereka ditenggelami banjir kilat yang tidak pernah terjadi sebelum itu.

Sama seperti dokumen lain, dokumen geran tanah ini juga boleh berisiko rosak atau hilang walaupun hanya dalam waktu simpanan. Mungkin bagi segelintir orang yang sedar akan kepentingannya dan mempunyai kemampuan akan menyimpan dokumen geran tanah yang asal di dalam peti besi keselamatan samada di rumah sendiri atau pun dimana-mana peti besi simpanan di dalam bank. Tetapi bagi ramai pemilik tanah yang dari kalangan orang biasa-biasa sahaja, biasanya dokumen ini hanya disimpan di dalam almari pakaian sahaja.

Selagi tak ada keperluan selagi itulah dokumen geran tanah ini hanya tersimpan tanpa dipedulikan. Apabila diperlukan barulah dicari dan waktu ditemui baru sedar dokumen tersebut telah pun rosak akibat dimakan lipas atau anai-anai atau telah hancur reput akibat diletakkan ditempat yang tidak sesuai.

Mungkin ada yang tahu tapi mungkin juga ada yang tidak tahu sama seperti lain-lain dokumen hakmilik seperti geran kereta, geran rumah, kad pengenalan atau sijil surat beranak dan lain-lain, dokumen geran tanah ini juga boleh diperbaharui dengan dokumen yang baru bagi menggantikan dokumen asal yang telah rosak atau hilang di Pejabat Tanah Daerah. Tetapi perlulah dibuat satu laporan polis terlebih dahulu kemudian dapatkan pula 1 salinan sijil carian rasmi bagi mengesahkan bahawa namanya adalah sah sebagai pemilik tanah yang disebut dalam laporan polis tersebut.

Selain daripada laporan polis dan sijil carian rasmi pemilik tanah juga perlu bawa 1 salinan kad pengenalan depan dan belakang serta 1 salinan resit bayaran cukai tanah terkini yang telah dijelaskan. Bagi pemilik tanah yang telah meninggal dunia pula, selain laporan polis pewaris juga perlu membawa 1 salinan sijil kematian serta sijil beranak pewaris.

Anda boleh semak senarai dokumen yang perlu dibawa daripada foto contoh ‘Borang Permohonan Memperbaharui Hakmilik Hilang / Rosak’ di bahagian atas artikel ini.

Selain dari dokumen lampiran yang perlu dibawa jangan lupa bawa juga duit untuk bayaran bagi mendapatkan geran tanah ganti yang baru.

Jika geran tanah rosak : RM 120 & RM 10 untuk drafting

Jika geran tanah hilang : RM 400 & RM 10 untuk drafting

Maaflah tak ada yang percuma. Jika anda berasa rugi sebab kena bayar kos tinggi untuk dapatkan geran tanah ganti maka jagalah dan simpanlah geran tanah yang anda miliki dengan cara yang lebih baik dan lebih selamat. 


 ___________________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )

 

Sekian dahulu untuk kali ini.

 

TERIMA KASIH