Memaparkan catatan dengan label Sejarah BaganBeachBoy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah BaganBeachBoy. Papar semua catatan

Ahad, 6 Januari 2013

2012 : PROJEK JETI 3 PULAU NEGERI JOHOR YANG AMAT MENYIBUKKAN




ALHAMDULILLAH....

Tahun 2012 telah berlalu dan sekarang kita sudah pun berada di tahun 2013. Terasa peredaran waktu dan masa semakin hari semakin cepat dan tanpa aku sedari ( walaupun setiap hari aku lihat kalendar dan jam ) sudah 8 bulan aku tidak menulis sebarang entri baru di sini. Dan dalam tempoh 8 bulan ini juga aku hanya sekadar singgah menjawap pertanyaan dan komen dari kalangan pembaca saja.

8 bulan yang aku tinggalkan itu bukanlah kerana aku sudah tidak ada cerita atau ilmu yang mahu aku kongsikan tetapi adalah 8 bulan yang amat sibuk bagi ku. Selama 8 bulan itu aku terbabit dalam kerja-kerja kejuruteraan marin yang membabitkan kerja membuat jeti pelancongan bagi pihak Kementerian Pelancongan dan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya ( JKR ) di 3 buah pulau sekitar perairan daerah Mersing, Johor Darul Takzim.

3 pulau yang aku maksudkan itu adalah Pulau Aur, Pulau Besar dan juga Pulau Sibu yang mana kesemuanya terletak dalam daerah Mersing dan juga merupakan Taman Laut Negeri Johor yang telah diwartakan. Mungkin tak ramai yang tahu apa itu 'Taman Laut' sebenarnya. Jika di darat kita tahu ada taman perumahan kerana terdapat banyak rumah di dalamnya, taman bunga kerana terdapat banyak pokok bunga dan sebagai tempat untuk beriadah, berehat dan berlepak, tempat untuk 'ringan ringan' serta tempat untuk bermadu kasih asmara serta rindu dendam juga tempat dimana 'Pak Haji' jabatan agama Islam sibuk dengan tugas menangkap pasangan beragama Islam yang tak segan silu melakukan maksiat khalwat.

Isnin, 28 Mac 2011

ANTARA SRI JAYA, SUBANG PARADE DAN SUBANG JAYA





Mac 1990 : Setelah aku balik semula ke Butterworth daripada projek ukur Cameron Highland aku dipanggil oleh secretary pejabat cawangan kami yang di Taman Selat supaya melaporkan diri ke pejabat. Heran aku kerana selama ini tak pernah pula aku disuruh kesana kecualilah pada hari gaji. Entah apa pulak ceritanya kali ini aku pun tak tahu kerana si awek yang comel tu pun tak nak ceritakan hal sebenar kepada aku.

Keesokan paginya sebelum pejabat dibuka aku dah pun sampai. Betul lah kata orang “penantian itu satu penyiksaan” bila aku terpaksa menunggu hampir sejam sebelum ada yang datang membuka pintu dan membenarkan aku masuk. Mungkin salah aku juga kerana tak ambil tahu waktu pejabat yang sangkaku dibuka pada jam 8 pagi tapi rupanya 9 pagi. Dari sini barulah aku tahu rupanya waktu bekerja di site dan di pejabat adalah tak sama. Kalau bagi pekerja luar waktu bekerja adalah bermula dari 8 pagi hingga 5 ptg ( kami biasanya mula lebih awal seawal 7 pagi bagi mengelakkan sinar matahari yang panas dan pulang juga lebih awal atas faktor yang sama ) waktu pejabat pula adalah bermula dari jam 9 pagi hingga 5 ptg dengan waktu rehat yang tetap selama sejam dari pukul 12 tghari hingga 1 ptg. Pada hari Sabtu pula mereka hanya bekerja setengah hari sehingga pukul 1 saja. Bukan itu saja yang berlainan tapi cuti umum juga tak sama. Kami pekerja luar diberikan 10 hari ‘public holiday’ sedangkan pekerja pejabat sehingga 17 hari mengikut cuti persekutuan dan juga cuti umum negeri. Amatlah tak adil sama sekali “tak aci” kata orang utara.. kehkehkeh..

Setelah semua pekerja pejabat dah sampai aku pun mula bertanya si secretary comel tu apakah tujuannya aku dipanggil ke pejabat. Bukan dia saja yang comel tapi kesemua 5 org awek yang ada disitu iaitu 3 melayu dan 2 cina pun comel2 belaka. Terpesona dan jadi termalu pula aku ni pasal tak ada lelaki lain dalam pejabat waktu tu kecuali aku. Dahsyat juga bos aku ni, pandai dia cari pekerja sudah lah comel muda2 lagi pulak tu. “Awak Mohd xxxxx kan yang kelmarin saya minta Anuar pesan suruh datang ke pejabat? “ “Ya.. saya lah tu. Apahal panggil saya” jawap aku. Anuar tu kerani ukur akulah dan dia yang beritahu aku suruh datang ke pejabat pasal rumah aku tak ada telefon. Handfon lagilah tak ada waktu ni kalau yang ada pun cuma tokey2 besar saja yang pakai pasal waktu ni yang ada cuma satu line saja iaitu 011 ATUR iaitu telefon satelit yang harganya beribu ribu dan saiznya mak datuk punyalah besar dengan baterinya saja dah sebesar 2 laptop dikembarkan. Tapi yang bagus tentang telefon ATUR ni adalah coveragenya, dimana mana saja baik di bandar, di pendalaman atau dalam hutan sekalipun linenya tetap ada dan boleh juga dipasang di dalam kereta.

Rupanya bila aku dah perkenalkan diri dia masih juga tak ceritakan pada aku apa tujuan aku dipanggil kesana. Yang disuruhnya, duduk dan tunggu kerana dia sendiri pun tak tahu dan katanya aku disuruh oleh bos kami datang ke pejabat. Heran lagi sekali pasal bila aku tanya mana bos katanya ada di pejabat HQ di Kuala Lumpur ( KL ). Jadi apa gunanya aku datang sini kalau bos tak ada. “Tunggulah, bos minta saya telefon dia kalau awak dah sampai. Sabar sikit no.. tadi saya dah call tp dia engage”.  Tak lama lepas tu telefon pun berbunyi dan memang betul itu adalah call dari bos kami. Lalu aku diminta oleh awek comel tu supaya bercakap sendiri dengan bos di telefon. Skrg barulah aku tahu dan faham tujuan aku dipanggil ke pejabat.
Bos aku yang ada di HQ KL tu minta supaya aku pergi kesana selama seminggu dan mengarahkan awek comel tadi memberikan aku duit ‘petty cash’ sebanyak RM 50 ( waktu ni tak pakai lagi tanda RM = Ringgit Malaysia, yang digunapakai adalah tanda $ dan sebutannya adalah ringgit ) serta berikan alamat HQ dan tip bagaimana aku boleh sampai ke sana bermula dari Butterworth lagi. Dah selesai bercakap dengan bos aku ( ini adalah kali pertama aku bercakap dengan bos semenjak aku bekerja ) dan selesai penerangan dari awek tadi maka aku pun pergilah ke station bas untuk membeli tiket ke KL dengan senyuman yang tak boleh nak berhenti di muka. Senyum aku ada 3 hal sebenarnya, pertamanya kerana aku asyik teringat muka awek2 pejabat yang comel dan lawa yang kesemuanya ‘bye bye dan senyum2’ kat aku waktu aku nak keluar dari pejabat tadi ( jgn tak tahu, aku ni dikira hensem jugalah time dulu2 ). Ke 2, pasal ini adalah kali pertama aku bercakap 1 by 1 dgn bos aku dan ke 3 pasal aku nak ke KL. Ini adalah kali pertama aku akan ke KL seorang diri tanpa ditemani keluarga atau kawan2. Bila tiket bas dah dibeli aku pun balik ke rumah dan ceritakan pada kedua orangtua aku apa yang aku dah buat dan nak buat malam nanti.

Orangtua aku tak ada halangan apa2 jadi malam itu maka berangkatlah aku ke KL dengan bas MARA EKSPRES ( nama lama bagi perkhidmatan bas ekspres MARA Liner ). Sepanjang perjalanan hampir 8 jam dari jam 10 mlm hingga 6 pagi tersebut aku tak rasa mengantok walau sedikit pun. 8 jam tu pasal waktu ni tak ada lagi highway utara – selatan PLUS dan masih melalui jalan2 lama dari satu bandar ke satu bandar yang lain termasuklah berhenti di Ipoh dan singgah makan di Taiping & Tanjung Malim. Sekarang ni lainlah dengan teknologi bas yang canggih, highway luas sepanjang perjalanan dan dengan driver yang seperti memandu kereta Formula 1, dalam masa 4 jam saja dah boleh sampai perjalanan dari Butterworth ke KL. Dan kalau 8 jam maka dah boleh berpatah balik ke Butterworth semula atau sampai pula ke Johor Baru.

Sampai saja ke tol jalan Kuching ( tol 50 sen ni sekarang dah tak ada lagi setelah tempoh konsesi tamat pada 8/01/2003 ) driver bas telah memainkan lagu popular dari kumpulan Alleycats iaitu “Senyumlah Kuala Lumpur” dan aku jadi tersenyum kerana kami dah hampir sampai ke destinasi. “Kuala Lumpur.. senyumanmu di pagi ini.. sungguh bererti kerana cinta bersemi lagi.. selepas kemarau panjang”. Sampai sekarang aku masih ingat lagi lagu ni dan peristiwa bersejarah pertama kalinya aku berjalan jauh ke KL seorang diri.

Sampai saja ke station bas Puduraya, perkara pertama yang aku buat adalah makan sarapan kerana aku dah lapar sangat. Walaupun 2 kali bas berhenti rehat malam tadi tapi aku tak berselera nak makan kerana aku sememangnya jarang makan tengah malam. Kadang2 tu dalam bulan puasa, waktu bersahur pun aku tak lalu makan cuma sekadar bangun dan minum air saja. Selesai sarapan aku bertanya pada tuan kedai macamana aku nak ke bas stand Klang untuk ambil bas ke Subang Jaya. Dia pun menunjuk arah dan katanya tak jauh cuma perlu berjalan kaki dalam masa 10 minit saja. Apalagi aku pun berterima kasih dan berjalan mengikut arah yang diberitahu kepada aku. Rupanya station bas Klang ni bukanlah di Klang tapi di KL juga dan berhampiran dengan Pasar Seni ( dulunya dikenali sebagai Central Market sewaktu masih lagi berfungsi sebagai pasar basah menjual keperluan dapur setiap hari ) dan dekat juga dengan komplek Dayabumi iaitu bangunan tertinggi di KL pada masa tersebut sebelum adanya menara berkembar KLCC.

Aku mengeluarkan nota yang ditulis awek comel di pejabat kelmarin dan ditulis disitu aku kena naik bas Sri Jaya yang nombornya aku dah lupa dan beritahu pada konduktornya yang aku nak ke pasar SS15 Subang Jaya. Pada waktu ini semua bas henti2 dimana2 bandar dalam Malaysia masih ada konduktor bas yang menjual tiket di dalam bas termasuklah bas2 mini yang banyak di KL ini. Sekarang ni dah tak ada lagi jawatan konduktor bas kat Malaysia pasal semua bas pun dah pakai mesin duit pada tangga naik ataupun mesin ‘Touch n Go’ bagi yang gemar kepada kepantasan dan tak payah nak bawa duit syiling banyak untuk dimasukkan ke dalam mesin ( iklan percuma ni.. hehehe ).

Tip berikut yang tertulis pada nota tu adalah kalau dah sampai ke Subang Parade dan melepasi masjid hendaklah aku memetik loceng dan turun. Macamana rupanya Subang Parade tu pun aku tak tahu tapi nama tu memang cukup terkenal kerana ini adalah komplek membeli belah yang tercanggih dan terbesar di Malaysia pada waktu tersebut dan baru dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Selangor pada Ogos, 1988. Iklan mengenai Subang Parade ni sentiasa ada di kaca tv setiap hari. Tapi perlulah di ketahui pada masa ni tak banyak saluran yang ada di Malaysia apalagi Astro memang tak ada pun. Yang ada hanyalah sekadar TV1 dan TV2 oleh RTM ( Radio & Telivisyen Malaysia ~ kepunyaan kerajaan ) dan TV3 sahaja iaitu saluran tv swasta yang pertama di Malaysia yang mula bersiaran pada tahun 1983.

Sampai saja di tepi satu komplek yang cukup besar dan tercantik pernah aku lihat maka si konduktor tadi pun menjeritlah “subang parade.. subang parade” maka tahulah aku inilah subang parade yang tertulis di nota tersebut dan maknanya aku dah hampir nak sampai. Aku pun perhatikan dimanakah letaknya masjid iaitu tip aku yang seterusnya. Setelah ramai orang yang turun dan naik maka bergerak lagi bas Sri Jaya tersebut dan pada simpang traffic light yang di depan dibelok ke kiri dan kelihatanlah masjid jamek Subang Jaya berdiri megah di sebelah kiri jalan. Di belok lagi ke kiri dan pada kali ini si konduktor menjerit pula “ss15.. ss15”. Aku pun jadi terkejut kerana SS15 dah sampai tapi mana pulak pasarnya. Mahu tak mahu aku pun turun dari bas tersebut dan keluarkan nota aku sekali lagi. Di tulis lagi pada nota itu, setelah turun dari bas hendaklah aku telefon ke HQ dengan nombor yang dicatit disitu dan bertanyakan arah kalau aku tak tahu nak mencari pejabat itu dengan sendirinya. Memanglah alamat dah ada tapi masalahnya banyak sangat lorong2 sehala di situ dan semua pun menggunakan nombor bukannya nama jalan seperti biasa pada alamat di tempat2 lain. Adohhh.. lebih baik aku telefon sajalah daripada aku tersesat dan buang masa.

Akhirnya terdengarlah satu suara amoy cina yang tak begitu fasih berbahasa Malaysia di lubang suara telefon awam tersebut setelah aku dail dan ucapkan hello. “Hello.. lu mau cali siape..?”. “Saya Mohd xxxxx mau cakap dengan Steven Soon”. “Ooo.. lu ada mane.. sula sampai ke.. Steven talak sikalang”. “Iyala saya baru turun bas tapi tak tahu mau cari jalan pergi ofis”. “Sinang saja lo.. lu mali sini dekat jalan ss15/4b talak pun lu cali itu lestolan XXX ( hahaha aku dah tak ingat namanya ) ada sana tepi sekali lo”. “ok saya try cari tapi kalau tak jumpa saya call awak lagi” “lu nama apa..?” aku jadi terikut dengan slang cinanya yang tak fasih tu. “wa Annie Tan.. sikalang lu mali ar wa tunggu lu di bawah tangga ok..”.”ok.. terima kasih”.

Maka setelah tercangak cangak mencari restoran tersebut maka berjumpalah aku dengan papantanda jalan menuju ke pejabat tersebut. Dan memang betul ada seorang amoy cina yang kelihatannya lebih muda dari aku tapi taklah secomel awek2 yang ada di pejabat cawangan Butterworth. Jadi tersenyum lagi bila aku teringat senyuman awek2 tu waktu aku nak keluar dari ofis kelmarin. Disapanya aku dan dihulurkan tangan buat ber’shakehand’ dengan aku. Kami pun naik ke atas dan sampailah aku ke destinasi tujuan tanpa sebarang masalah. Tapi nasib aku masih lagi malang kerana bos aku tak ada di pejabat dan aku hanya dapat bercakap melalui telefon saja dengan dia. Di suruhnya aku berehat dahulu dan katanya ada satu bilik dibelakang yang kosong untuk aku. Katanya lagi mungkin dia akan sampai agak lewat petang, malam atau esok pagi tak tentu lagi. Selepas itu Annie pun berikan aku kunci bilik tersebut dan dalam bilik itu dah tersedia satu katil bujang dan juga dilengkapi dengan aircond. Waduh waduh waduh.. macam dia tahu pula yang aku ni letih dan mengantuk akibat tak tidur dari malam tadi.

Annie.. saya mahu tidur sekejap.. nanti tengahari awak tolong kejutkan ya..” aku berpesan pada Annie dan dia pun membuka aircond bagi menyejukkan bilik tersebut. Setelah itu aku pun tak sedar, samada terlena atau pengsan aku pun tak tahu..hehehe.
Sejuk sangat bilik tu, sedar2 Annie datang kejutkan aku pukul 4.30 ptg katanya dia dah bersiap nak balik jam 5 nanti. Aku bangun membasuh muka di tandas dan ke depan ke arah pejabat. Aku lihat Annie masih menaip sesuatu di komputernya dan aku hanya tercengang saja kerana ini adalah pertama kali aku melihat komputer di depan mata. Oh ya.. pada waktu ini kebanyakan komputer di dunia memakai sistem operasi yang masih berlandas kepada MS-DOS dimana setiap arahan perlu ditaip secara manual dan bukannya diklik pakai mouse. Seingat aku OS windows yang pertama adalah dikeluarkan pada November 1985 dengan nama Windows 1.0 tapi versi yang paling berjaya menarik perhatian dan menjadi bualan adalah yang dilancarkan pada Ogos 1995 iaitu Windows 95..

Oklah setakat ini dahulu cerita ku pada kali ini. Di entri yg akan datang barulah aku akan ceritakan tentang untuk apa dan apa sebabnya aku diminta datang ke pejabat HQ KL oleh bos aku. Terima kasih.


Nota kaki :

Annie Tan adalah orang yang bertanggungjawap mengajar aku penggunaan komputer dari zaman MS-DOS lagi dan juga asas2 program AutoCAD bagi melukis pelan secara berkomputer. Perkhidmatan bas Sri Jaya dan bas mini tiada lagi dan digantikan dengan konsortium Intrakota dan kemudian ditukar lagi menjadi perkhidmatan RapidKL apabila diambilalih oleh Syarikat Prasarana Negara Bhd ( milik kerajaan ). Bas ekspres MARA masih wujud hingga sekarang tapi bukan lagi sebagai badan berkanun setelah perkhidmatan bas MARA diswastakan oleh pentadbiran MARA bagi mengelak kerugian kos pengendalian ke atas MARA. Operation System komputer pada masa kini lebih canggih dan mesra pengguna sehinggakan kanak2 yang tak tahu membaca pun boleh menggunakan komputer tanpa masalah. Sistem windows yang terkini adalah Windows 7 keluaran Microsoft dan selain itu terdapat juga sistem lain seperti MAC dan juga LINUX. Apa2 pun pasaran adalah dikuasai oleh komputer yang bersistemkan Windows dan menjadikan pemilik Microsoft iaitu Bill Gates sebagai orang yang terkaya di dunia selama bertahun tahun lamanya. Subang Jaya bermula pada tahun 1997 telah mempunyai pentadbiran Majlis Perbandarannya yang sendiri tetapi tetap masih di dalam pentadbiran daerah Petaling, Selangor.

Jumaat, 18 Februari 2011

CAMERON HIGHLAND : KESEJUKAN YANG MEMBAKAR




November 1989 : Setelah sampai ke Kampung Raja, Balai Polis merupakan tempat pertama yg kami tuju kerana rumah yg kami sewa adalah milik seorang pegawai polis di situ. Agak lucu kerana sampai skrg aku tak tahu siapakah namanya yg sebenar. Dari hari pertama berjumpa, dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai ‘Arab’ dan memberitahu bahawa dialah ‘syerif’ Kampung Raja ( pangkatnya hanyalah konstabel ) dan semua org disitu kenal dgnnya. Tapi jika menggunakan namanya yg sebenar, tak seorang pun yg kenal. Arab yg berupa ala hindustan dan berhidung tinggi bengkok sebelah ini berasal dari Tapah masih bujang dan dia juga akan tinggal bersama kami tapi dlm bilik yg berasingan.

Dibawanya kami pergi ke rumah yg letaknya hampir 1 km dari simpang Kg Raja menuju ke Blue Valley ( sempadan Kelantan ). Rumah tersebut terletak dlm satu kebun sayur, berdinding papan dan beratapkan zink. Di dlmnya terdapat dua bilik tidur, yg besar utk kami dan yg kecil adalah bilik Arab. Terdapat juga dapur walaupun menurut Arab dia tak pernah memasak dan juga peti sejuk yg tak pernah dibuka suisnya tetapi tetap juga sejuk. Yg menjadi kekuatiran kepada kami semua adalah air paipnya yg sejuk seperti ais walaupun ketika itu masih lagi tengahari dan cuaca diluar rumah cerah dgn cahaya matahari. Entah bagaimana pula keadaannya di waktu pagi dan malam. Mestilah lebih sejuk lagi dr skrg. Dipendekkan cerita, ada beberapa org dikalangan kami yg seminggu tak mandi pagi dan ada juga yg selama tinggal disitu tak pernah mandi tp hanya sekadar lap badan dgn kain basah saja. Waktu malam pula kami tidur beramai ramai secara rapat rapat bagi memanaskan badan. Walaupun begitu, sejuknya masih tetap terasa sehinggakan terpaksa memakai jaket dan stokin selain dari selimut. Yg bestnya, tidak susah melelapkan mata untuk tidur. Baring sekejap saja mata terus terpejam lena dek kerana sejuk dan sedar2 hari dah pun pagi.

Keesokan pagi kerja pun bermula dengan 1 team mencari batu sempadan untuk dibuat kerja traverse. Yg lainnya membuat chainage x-section setiap 25m sepanjang 2 kilometer pertama jajaran cadangan jalan baru tersebut kerana jajaran tersebut masih menggunakan jalan lama yg sedia ada. Pada 1 kilometer yg berikutnya jajaran cadangan jalan baru itu telah melencong pula ke atas bukit2 dan melalui kawasan semak dan hutan. Cuaca pagi itu amatlah sejuk sehinggakan kemeja western berlengan panjang yg dipakai bersama jaket pun masih lagi terasa sejuk. Jalan2 yg sempit dan berbelok belok sepanjang Kg Raja dan Blue Valley mulalah menjadi sibuk dgn jeep 4WD pekerja2 kebun. Jika ada 2 kenderaan yg bertembung berlawanan arah maka salah satunya terpaksa mengundur ke tepi yg agak lebar sedikit bagi memberi laluan kpd kenderaan yg satu lagi. Sesuatu yg menarik disini adalah mereka2 ini tak pernah bermasam muka atau bersikap keras kepala dalam merebut siapa yg harus berundur. Seperti telah menjadi satu budaya hidup mereka, memberi laluan dan mengucapkan terima kasih. Berbanding di bawah sini, andai kenderaan depan terlambat sedikit bergerak, maka yg dibelakang akan membunyikan ‘hon’ sebagai tanda protes. Dan yg tak berpuashati pulak akibat di’hon’ akan menunjukkan tanda lucah.

Pada waktu itu juga ada peraturan yg hanya membenarkan lori balak melalui jalan tersebut pada waktu malam sahaja iaitu bermula pada jam 9 mlm sehingga ke pukul 6 pagi. Perjalanan mereka pula seperti berkonvoi dan panjang seperti keretapi. Jikalau lori pertama melintas di hadapan kita maka tunggulah selepas setengah jam nnt barulah lori yg terakhir akan sampai. Pada siang hari pula tak ternampak sebuah pun lori2 balak ini. Tapi sekali sekala tu ada jugalah yg melanggar peraturan tapi bukannya secara berkonvoi.

Berbalik kpd pekerjaan yg kami lakukan, setelah habis ditanda jajaran yg berada di atas jalan lama maka kami pun mulai meredah hutan mendaki bukit utk ditanda pada bahagian yg berada di luar dari jalan lama yg berbaki 1 kilometer tersebut. Dengan menggunakan parang kami mulai merintis hutan2 ini seperti lorong yg muat sebuah kereta dgn ditunjuk arah oleh kerani ukur. Walaupun cuaca masih terasa sejuk, tapi akibat dari kerja merintis ni, badan pun mulai menjadi panas dan berpeluh. Setelah 2-3 jam merintis maka kami pun turun ke bawah semula utk rehat makan tengahari. Tugas membeli makanan dan minuman ini diserahkan kpd si driver ( kami memasak di rumah utk makan malam sahaja sarapan dan mkn tghari di kedai ). Sampai dibawah ditepi jalan lama, kami pun mencari tempat yg sesuai dan bermulalah acara rehat bebas. Dikatakan bebas kerana ada yg ambil kesempatan utk tidur dan ada juga yg berjalan jalan melihat kebun bunga dan sayur sambil mencuci mata mellihat pekerja2 wanita yg ada ( kebanyakannya adalah dari suku kaum asli dan keturunan india ). Apa nak buat, yg ada seramai 12 org ni pun semuanya lelaki.

Jaket dibuka kerana baju dah basah akibat peluh, mau tak berpeluh kerja merintis ni bukan kerja yg senang. Oh ya mungkin ada yg tak tahu apa itu merintis ni, maknanya menebas semak dan pokok2 utk dibuat lorong. Dah buka jaket barulah terasa sejuk sikit dan berangin. Si driver tadi pun dah balik semula dan benda pertama yg aku capai adalah milo ais ( minuman favaret aku dulu2 tp skrg tak lagi ). Alangkah leganya bila milo ais ni masuk ke dlm mulut dan tekak. Terpejam mata aku nikmatinya kerana terasa enak sgt2. Tapi lepas 5 minit kemudian aku pakai jaket balik pasal bila panas badan dah hilang tiba2 saja angin yg bertiup tu terasa sejuk sgt2 sampai ke tulang. Ini semua akibat dari minum milo ais lah.

Hari pertama bekerja disini dah nak hampir selesai dan kami pun sedikit sebanyak dah faham tentang bentuk mukabumi serta masalah2 yg ada di sekitar tempat kerja. Mungkin aku ni org baru dlm bidang ukurtanah tapi nampaknya kerani2 kami yg bertiga pun sama juga kerana ini adalah pengalaman pertama mereka membuat kerja di tanah tinggi Cameron. Dengan cuaca pagi yg dingin berkabus, cermin teodolite dan prism yg kami gunakan pun turut terjejas akibat berair pada permukaan. Dan pernah juga, dalam masa tak sampai 5 minit kami sampai ke tempat kerja, kabus tebal turun dan jarak pandangan dah jadi kurang dari 5 meter. Pada jarak lebih dari 5 meter, tak nampak apa2 pun kecuali putih sahaja. Mahu tak mahu terpaksalah tunggu sebentar sehingga kabus hilang dan kalau agak lama tak hilang2 juga, balik rumah atau ke kedai minum dahulu.

Dengan ketinggian purata Cameron Highland pada paras 1700 meter dari aras laut, cuaca memang sejuk tapi jangan sangka tiada panas matahari. Sebenarnya semakin tinggi kita berada semakin dekat kita dgn matahari. Walaupun dalam cuaca dingin, kulit badan yg terdedah pada panas matahari tetap bertukar warna keperangan atau kehitaman. Begitu juga dgn bulu2 roma, misai janggut dan rambut kita. Dan 4 perkara yg aku pasti kau org semua tak tahu adalah selepas lebih 4 hari kita berada di atas sana, hidung dan mulut kita akan mulai pecah2 kulitnya. Kentot kita pun akan menjadi busuk dan baunya sama saja bagi semua org walaupun kita berak setiap hari hahahahaha... Dan ular2 yg ada di tanah tinggi tak mempunyai bisa. Yg bestnya di atas sini tak ada nyamuk siang atau malam. Yg tak best pulak lalat ada di merata rata tak kira tempat dan masa. Kalau di kedai kopi kita tak tutupkan cawan minum kita tu, alamat adalah lalat yg menjunam masuk tumpang mandi. Dan disinilah org tempatan bakal tahu yg kita ni org luar yg baru datang kesini apabila kita komplen pada tokey kedai dan minta tukar air yg baru. Mungkin kalau di tanah rendah, lalat adalah jijik dan air yg dimasuki lalat ni maka kita tak akan minum lagi. Tapi berlainan dgn keadaan di tanah tinggi ni. Mereka semua dah jadi lali pada lalat kerana memang dah tak boleh nak dibuat apa2 lagi. Ini semua akibat dari penggunaan baja tahi ayam di kebun2 maka lalat2 ni membiak dalam kadar yg cukup banyak.

Ok lah aku bagi petua sikit bagaimana caranya nak atasi masalah lalat yg masuk ke dalam air minum kita. Mengikut kata org2 disini, segala kekotoran atau kuman bawaan dari lalat ni terdapat pada bahagian kakinya dan penawarnya pula ada pada bahagian sayapnya. Jadi yg perlu kita buat jika ada lalat yg terapung pada permukaan air minum kita adalah dengan merejam lalat tu masuk seluruh badannya ke dlm air tadi dan buangkannya. Selepas itu minuman tadi dah jadi neutral semula dan boleh diminum.

Sebenarnya company kami cuma dapat kontrak mengukur 3 kilometer sahaja dan baki sebanyak 6 kilometer lagi company lain yg buat. Tapi oleh kerana kami datang ke sini dgn 3 team jadi kerja kami pun siap dlm masa 1 bulan sementara company yg satu lagi tu datang hanya 1 team, cuma kerani dan driver sahaja, chainmannya pula diupah org tempatan. Maka kerjanya tak siap2 lagi walaupun dah hampir 2 bulan mereka disana. Jadi atas arahan dari bos kami, setelah kerja kami siap 2 team akan turun balik ke ibu pejabat di KL dan 1 team lagi di arahkan untuk membantu company yg satu lagi tu siapkan kerjanya atas dasar give and take iaitu kami tolong dia siapkan kerjanya dan dia akan ajar kerani ukur kami cara menggunakan alat total station dgn data recordernya. Dan team aku diarahkan utk terus tinggal disana. Rupanya inilah peluang utk aku mempelajari lebih byk selok belok kerja ukur tanah ni. Company aku pada masa ini masih menggunakan kaedah konvosional dalam kerja2 ukur dan melukis pelan maknanya masih menulis dalam buku kerjaluar dan melukis pelan diatas kertas tracing dengan secara manual ( pakai tangan lah tu ). Sedangkan company yg kami bantu pula menggunakan kaedah komputer. Dari mula kerja ukur lagi semua data ukur dimasukkan ke dlm alat yg dipanggil data recorder dan apabila balik ke rumah di download masuk ke dlm komputer. Lepas tu pula dgn sedikit kerja pemprosesan data ukur menggunakan software SDRmap maka segala data2 tadi akan dilukis secara automatik oleh komputer tadi pada skrin moniter komputer tersebut ( canggih wey time ni tak ada mana2 company jurukur berlesen pun yg pakai ).

Team kami yg berempat tu pula dikecilkan menjadi 3 org saja dan aku dipilih menjadi kompasman kpd kerani company tersebut. Kerja aku skrg bukan lagi merintis semak, memasang kaki tiga belakang atau buat station di depan tapi sebagai pembantu kerani ukur. Pada setiap kali berpindah station ukur, aku akan bawa alat ukur total station dan pasangkannya. Jadi dari sinilah aku terdedah dgn asas ilmu kerja ukur tanah iaitu set alat, set back bearing dan pelajari juga bagaimana memasukkan data ukur ke dalam data recorder. Susah juga buat freshie yg mcm aku ni apalagi sebelum ni aku tak pernah sentuh mana2 komputer pun seumur hidup. Team aku yg bertiga tadi ditugaskan membuat kerja traverse sepanjang 6 kilometer jajaran tersebut ( kebanyakannya merentasi kebun sayur, bunga dan juga kebun teh Blue Valley ) sementara team baru aku ni membuat kerja ukur topografi tanpa membuat lagi x-section setiap 25m spt yg kami buat sebelumnya. Utk pengetahuan kau org semua, nama kerani baru aku ni Ian Peter Soul ( bukan mat saleh tp keturunan india Malaysia yg tak tahu bercakap tamil ). Drivernya menjadi mandor di depan sementara chainmannya terdiri dari 2 org tempatan iaitu seorg budak kaum asli dan seorg lagi adalah keturunan india anak kpd pekerja kebun teh Blue Valley ( jeles aku tau ka pasal gaji aku time ni baru rm16 sedangkan budak asli dan india tu gajinya rm25 ).

Di pendekkan cerita ( dah panjang pun aku cerita ) kami berempat pindah tinggal di hotel di Brinchang dan masalah kesejukan air mandi pun selesai kerana disini ada kemudahan air panas ( pada masa ni air panas di hotel masih menggunakan gas jadi sebelum mandi kena hidupkan dulu api gas diluar bilik dan kena tunggu hampir 15 minit baru jadi panas ). Kami berempat tak lagi memasak melainkan makan di kedai setiap hari ( kami bayar sebanyak rm80 sebulan seorg utk 3 kali makan sehari di kedai yg terdekat dgn hotel ). Waktu kerja pula dah bertukar kalau dulu bermula dari pagi sampai jam 2 ptg saja tapi skrg mulai jam 7 pagi sampailah 7 mlm setiap hari tanpa ada cuti ( kata kerani baru tu sampai hujan batu baru boleh berhenti kerja ). Selepas seminggu kami buat mogok tak mahu bekerja kerana dah la dia tak bayar kami gaji ( gaji kami dibayar mcm biasa oleh company kami setiap bulan ), kerja pula tak ada hari cuti, keluar pada gelap pagi balik pula pada gelap malam setiap hari. Selepas itu barulah Peter tawarkan kami rm10 sehari seorg dan dibayar pada setiap hari sabtu tanpa pengetahuan bos kami. Sebulan kemudian kami ditawarkan pula rm1000 seminggu dgn syarat duit hotel kami sendiri yg bayar dan segala kerja yg tinggal kami sendiri yg buat dan habiskan. Jadi tamatlah sudah perkhidmatan budak asli dan india tu. Pada masa sama si Peter tadi tidak lagi menjadi kerani kami tapi cuma menghantar kami ke tempat kerja dan membawa pulang saja. Gaji kami pula dibayar setiap sabtu dgn pecahan 3 org chainman termasuk aku, seorg rm200 seminggu dan kerani aku mendapat rm400 ( dia juga kena bayar duit sewa hotel rm25 sehari ). Agak mewah la jadinya kerana selain dari mendapat duit mingguan dari Peter kami juga mendapat gaji dari company kami secara bulanan.

Dan di Cameron Highland jugalah aku mendapat pengalaman baru yg sebelum ini tak pernah aku dapat dan lakukan di tanah rendah. Akibat dari sifat kami yg masih muda remaja berdarah panas, mewah dgn wang ringgit dan kesejukkan tanah tinggi, aku mula belajar meminum arak pada malam hari. Aku masih ingat lagi kata2 yg keluar dari mulut Arab si syerif Kg. Raja “1 tak apa, 2 seri muka, 3 ingat2 lupa dan 4 lu sapa wa sapa”. Tapi sebenarnya kami bukannya pakai duit pun minum tiap malam, ada saja tokey2 kebun bunga dan sayur yg belanja kami dgn niat nak minta kami tak masukkan lot tanahnya dlm jajaran jalan baru tersebut ( kebanyakan lot kebun bunga dan sayur adalah bertaraf tanah TOL iaitu geran sementara jadi bukan milik sebenar tokey2 tersebut ). Dan kalau tak ada siapa2 yg nak belanja kami maka Arab akan cari jalan lain iaitu menahan lori2 balak yg langgar peraturan dan meminta wang dari tokeynya utk dilepaskan ataupun meminta kami pasang alat ukur di kebun2 yg secara betulnya tak termasuk dlm jajaran tersebut. Kami cuma diminta berlakon saja seperti kerja yg biasa kami lakukan dan selebihnya dia yg akan uruskan. Jahat betul la Arab ni tapi aku cukup hormat dgn dia. Otaknya betul2 ligat bergeliga dalam soal nak mencari duit belanja tapi sayang kesemuanya dihabiskan tanpa tersisa sedikit pun. Yg keduanya pula, aku berpeluang pergi ke majlis keramaian kaum asli di perkampungan mereka. Majlis ini lebih dikenali sebagai “sewang” dalam bahasa kaum asli. Biasanya diadakan kerana meraikan majlis2 kahwin atau kebesaran yg lain2. Sewang ni atau joget lambak diadakan dlm satu dewan pada sebelah malam. Tak ada pancaragam tapi cuma gunakan radio mini compo saja. Pada hari sewang ni maka banyaklah remaja2 kaum asli baik lelaki atau perempuan yg datang dan berhias diri cantik2. Yg si perempuannya berebut nak menjadi penari di dlm dewan tersebut tapi dihadkan kpd 4 org saja utk 3 buah lagu. Dan bagi lelaki pula terpaksa menunggu giliran dan dihadkan cuma 1 lagu saja seorg. Bukan setakat kaum asli saja yg hadir tapi semua kaum pun ada baik melayu, cina mahupun india. Jadi si pengerusi majlis akan gilirkan mengikut kaum supaya semua dapat ambil bahagian. Disinilah tempatnya kalau nak mencari jodoh bagi kaum asli dan bagi mereka yg berminat dgn kaum asli. Dan pada malam inilah juga segala aktiviti menjadi bebas dan pandai pandailah sendiri ( harap kau org semua faham maksud aku ). Selain itu kami sempat juga pergi ke disko di Strawberry Park. Banggunannya kalau dilihat hanyalah setingkat seperti club house tapi di bawah tanah ada 3 tingkat lagi iatu mengandungi kolam renang, gymnasium dan disko ( bayangkan kalau kolam renangnya di atas tanah, siapa nak mandi kalau airnya sentiasa sejuk mcm ais ). Dan pengalaman terakhir adalah menghantar ibu yg hendak beranak ke hospital pada malam hari. Bayangkanlah perjalanan hampir 20 kilometer dari Kg Raja ke Tanah Rata dgn gelap malam dan jalan yg berbelok belok. Dah tu si ibu tadi suruh kami bawa laju2 pula pasal dia dah terasa nak beranak.

Dan akhirnya setelah lebih 3 bulan kami berada di atas sana ( setelah kami dah terbiasa dgn cuaca kalau tak pakai jaket pun dah tak terasa sejuk lagi ) sebaik kami siapkan kesemua kerja2, kami diarahkan balik ke ibu pejabat KL oleh bos kami. Dan dgn berat hatinya kami pun tinggalkanlah segala pengalaman dan kenangan yg ada di sana dgn van C20 kami dipenuhi oleh bunga2 dan sayur2 pemberian org2 sana. Aku membawa pulang bunga kobis seberat 5 kilogram yg membuatkan emak aku terkejut kerana tak pernah dilihatnya sebesar itu sebelum ni. Apa lagi ya...oh teh Cameron, mungkin anda dah biasa minum teh Boh ( ada ditanam di sini ) tapi tahukah anda ada 3 jenis lagi teh cameron iaitu Bharat Tea, Cameronian dan Blue Valley tak dijual di tanah rendah Malaysia tapi kesemuanya di ekspot ke luar negara. Anda dapat membelinya hanya di Cameron Highland sahaja. Kalau anda naik ke sini cubalah beli.

Nota kaki :
Terima kasih yg tak terhingga aku ucapkan kepada Ian Peter Soul atas segala ilmu2 ukurtanah berkomputer yg diberikan secara percuma kepadaku. Arab si syerif Kg. Raja, kau tetap dalam ingatan kami semua sampai skrg dan sampai akhir hayat kami, percayalah. Kepada rakan2 yg aku kenali di sana terutamanya Gie ( Fauzi ) dan aweknya yg aku dah lupa nama ( tahun 1989 & 1990 bekerja di hotel Parkland, Brinchang ), aku teringin sgt nak jumpa kamu semula. Kepada Syam dan adik2 perempuannya di Warung Sudi Mampir Kg. Raja ~ terima kasih atas layanan anda semua. Akhirnya buat 4 gadis anak mami yg bersaudara ( buka kedai makan di Tanah Rata dan skrg aku percaya masing2 dah kahwin dan beranak pinak ) bila aku teringat Cameron Highland aku mesti teringat pada kalian semua.

Isnin, 24 Januari 2011

UKUR TANAH : EPISOD BARU HIDUPKU







BERMULANYA SEJARAH AKU DAN UKUR TANAH 


Penghujung 1989, aku mendapat kerja di syarikat Ukurtanah yang berpejabat di Taman Selat, Butterworth. Terletak bersebelahan dengan kuarters STC iaitu bekas kilang melebur bijih timah yang terbesar di dunia, berdekatan juga dengan tempat lahir aku iaitu Kampung Balai Pukat. 

Dengan gaji permulaan iaitu gaji harian sebanyak RM 10 di campur elaun RM 6 sehari jikalau bekerja di Pulau Pinang dan RM 10 sehari jikalau kerja luar dari Pulau Pinang. Aku sebenarnya tak kisah tentang gaji, maklumlah jawatan pun bukanlah pegawai tapi cuma pembantu saja yang di panggil 'chainman'

Yang bestnya aku langsung tak pernah jejak kaki di dalam pejabat kecuali pada hari terima gaji saja. Jadi aku langsung tak kenal Bos dan kesemua pekerja syarikat yang lain selain daripada team kami. Kerja pun sama juga macam kerja sebelum ni iaitu cuma bekerja jika ada kerja dan jika tak bekerja maka elaun tak dikira. 

Dulu-dulu dalam satu team ukur ada 4 orang semuanya. Diketuai oleh juruteknik ukur tanah yang lebih dikenali sebagai 'kerani ukur' ( skrg gelaran 'kerani' dah bertukar jadi surveyor ), seorang pembantu yang berpengalaman iaitu 'compas man' dan 2 orang lagi adalah 'chainman' termasuklah aku. 

Pada waktu bekerja susunan kedudukan kami biasanya, kerani bersama 'compas man' di tengah dengan teodolite, 'chainman' yang lebih berpengalaman akan berada di bahagian hadapan dan aku sebagai 'chainman' baru pula berkedudukan di bahagian belakang atau lebih dikenali sebagai penjaga 'kayu kaki tiga' iaitu tripod kayu buatan sendiri gunanya untuk gantung plumbob back bearing. 

Rupa-rupanya kerja aku ni tidak semudah yang aku sangka kerana selain dari terpaksa membawa batang kayu kaki tiga dengan ladung plumbob besi, aku juga terpaksa bawa kayu pancang, leveling setaf iaitu pembaris ukur yang bersaiz gergasi, parang dan cat.

Projek pertamaku adalah mengukur kawasan sawah padi berhampiran bulatan Bukit Tengah, Bukit Mertajam utuk pemaju yang akan memajukan kawasan tersebut dengan projek perumahan yang dikenali sebagai Taman Pauh ( skrg dah pun siap sepenuhnya ). Letaknya Taman Pauh ini pada waktu skrg adalah betul-betul ditepi bulatan tersebut dan memanjang melalui jalan Permatang Pauh sehinggalah sampai ke sempadan pagar Universiti Teknologi Mara cawangan Pulau Pinang ( Uitm atau dahulunya lebih dikenali sebagai Institut Teknologi Mara ITM ). 

Entah mengapa ITM yang sudah begitu terkenal dan tersohor sebagai pusat kecemerlangan pendidikan orang Melayu/Bumiputera di Malaysia tiba tiba diubah namanya menjadi UITM. Padahal Massachusetts Institute of Technology ( MIT ) nama yang cukup terkenal di dunia terletak di Amerika yang telah melahirkan banyak bijak pandai dalam bidang IT pun masih mengekalkan namanya hanya sebagai Institut sahaja. Di sebelah atas Taman Pauh iaitu mengikut jalan yang menghala ke arah Bukit Mertajam, terletaknya pula Bandar Perda yang disebelahnya pula adalah Politeknik Seberang Perai.

Berbalik kembali ke cerita aku, di hari pertama lagi rasanya macam nak berhenti kerja sahaja pasal selain dari kena meredah sawah padi yang dipenuhi air ( dan dah tentu pacat2 serta lintah2 ), terpaksa juga berjemur di bawah panas bahang matahari yang tak ada satu pokok pun buat tumpang berteduh. Dah la macam tu, kena marah pulak dengan pesawah pasal pijak pokok padi dan kami diarahkan supaya mengangkat kembali mana2 pokok padi yg rebah dan tenggelam. Kerani dengan compas man tak apalah pasal mereka berdua hanya berdiri terpacak di batas sedangkan kerja2 meredah kotor ni, chainman saja yg buat. Sungguh2 satu pengalaman yang baru bagi aku dan disaat itu juga aku berfikir, aku ni kerja ukur kah atau tanam padi...?

Waktu kerja adalah seawal jam 7 pagi tatkala matahari baru naik dan waktu pulang adalah sebelum waktu solat Zohor ( antara jam 1 atau 2 tghari ). Bergantung juga pada kerjaan dan lokasi kerana kadang2 kami akan berehat dulu selama sejam kemudian sambung kembali hingga jam 5 petang tapi kebiasaannya kami akan terus pulang. Kerana sinar matahari yang terik pada waktu tengahari dan petang akan memberi kesan pada ketepatan alat ukur. Di dalam cuaca panas, apabila diteropong melalui alat ukur, pemandangan akan terlihat seperti ada air, kabur dan bergoyang goyang. Jadi di dalam keadaan yg sebegitu bacaan dari alat ukur tersebut adalah tidak tepat dan jika diteruskan juga maka ukuran yg error tadi akan bertambah besar errornya jika jaraknya semakin jauh. Bayangkan pada huruf 'V', alat ukur berada pada titik tajam dibawah 'V' tersebut dan ruang error adalah berada di bahagian 2 dindingnya yg terbuka di atas. Jika semakin besar huruf 'V' tersebut maka semakin besarlah juga error nya. Pada kebiasaannya kami pulang pada jam 2 ptg, gaji akan dikira seperti biasa manakala jika bekerja hingga jam 5 ptg, maka dapat pula overtime 2 jam ( yg ni yg best pun ).

Sebelum pulang atau menaiki kereta, tubuh badan yg kotor kena dibersihkan dulu, pakaian kerja ditukar ke pakaian yg lain dan alat2 ukur juga dicuci bersih sebelum disimpan di dlm kereta. Bukanlah ada pekeliling yg menyatakan begitu tetapi ini adalah atas arahan dari kerani kerana kereta tu dia yg punya. 

Dulu2 majikan masih kurang menyediakan kenderaan bagi team ukur. Pemilik kereta akan diberi bayaran sewa bulanan serta kos minyak ditanggung sepenuhnya. Bagi kerani ukur, ini adalah satu kelebihan kerana keretanya secara tak langsung dibayar oleh majikan dan duit lebihan akan masuk ke poketnya. Lebihan dari duit minyak pula ( kerana bila minyak di isi RM 40, di claim RM 50 ) itulah yg digunakan utk membelanja kami sarapan pagi, minuman waktu rehat kerja dan rokok. 

Pada waktu ini sarapan pagi yg berupa sekeping roti canai, secawan teh tarik dan sebtg rokok 555, Gold Leaf atau Benson cuma berharga RM 1 sahaja. Skrg mana ada lagi nak dapat harga yg mcm tu. Roti canai pun dah jadi RM 1 sama juga dgn teh tarik manakala sebtg rokok pun dijual pada harga 80 sen ( sekotak rokok 20 batang pula skrg berharga lebih dari RM 10. Meskipun begitu penggemar rokok spt aku tetap membelinya dan yg untung besar bukan saja pengeluar rokok tapi juga kerajaan yg mengutip cukai ).

Apabila diwaktu rehat ( bkn waktu rehat makan tapi apabila kerani membuat perkiraan ) aku diajar oleh compass man cara2 hendak memasang alat kayu kaki tiga tersebut. Agak payah juga nak pasang rupanya lebih2 lagi kalau di kawasan yg bertanah lembik dan berbukit. Kayu kaki tiga tersebut akan dipacak ke tanah dan digantung dgn ladung besi bertali ( plumbob ). Hujung tajam ladung tersebut akan diubah sedikit demi sedikit hingga berada tepat di atas kepala tudung paku payung yg berada di atas kayu peg yg terpacak di atas tanah. Mau berpeluh satu badan nak pasang alat tu jika tak mahir seperti aku. Ditetapkan oleh kerani ukur, tempoh pemasangan mesti siap dlm 3-5 minit barulah boleh dikatakan cekap. Tapi 3-5 minit tu aku rasakan mcm 3-5 saat saja kerana aku mmg tak mampu nak siapkan. Paling2 cepat pun dlm 15 minit baru siap itupun ditempat yg rata ditempat aku belajar pasang. Bila sampai waktunya nak pasang di tempat kerja yg sebenarnya, 15 minit pun masih tak siap2 lagi kerana setiap kali adjust satu kaki, ladung itu akan pergi ke tempat lain. Adjust kaki yg lain pula, lari lagi kesebelah lain. Mau tak mau si compass man tadi akan datang kepada aku dan bantu aku. Nasib baik la yg jadi kerani tu pun serta semua yg satu team ni adalah berasal dari Jalan Mohd Saad juga iaitu sama tempat tinggal dgn aku. Nasib baiklah kawan2 juga, mau kata org lain, aku rasa hari pertama lagi aku dah kena marah berjela jela dgn kerani kami. Tapi terbalik pula keadaannya, aku cuma diketawakan saja oleh mereka.

Jadi inilah pengalaman pertama aku bekerja dalam bidang ukurtanah dengan jawatan yg pertama sebagai chainman. Dan dalam tempoh 3 bulan kemudian, aku dah jadi mahir bab2 pasang alat kayu kaki tiga ini termasuklah mahir memasang alat teodolite utk kerani aku. Tempoh pemasangan aku dah jadi standard cuma dlm waktu 5 minit sahaja tak kiralah walau dimana dan apa keadaan tapak tanah pun. Dan sepanjang 3 bulan tersebut, merata ratalah segala pelusuk negeri Pulau Pinang kami pergi utk dibuat kerja ukur. Kebanyakkan kerja2 yg kami buat adalah untuk pemaju perumahan dan juga tuan2 tanah yg mahu tahu dimana sempadan tanahnya berada dan menanda sempadan pecahan bahagian. Mengukur ketinggian tanah untuk di tambak menjadi lebh tinggi atau pun mananda bahagian2 tertentu mengikut pelan yg diberikan pada kami. Ada juga mananda kawasan berbukit untuk dipotong tanahnya menjadi lebih rendah dan rata dan kadang2 ada juga menanda cerucuk piling yg akan ditanam di bawah tapak2 tiang rumah yg bakal dibina.

Sesuatu yg membuatkan aku merasa sungguh seronok bekerja dalam bidang ukurtanah ini adalah, kami bekerja di tempat yg berlainan pada setiap hari. Dan apabila lalu semula ke tapak kerja kami yg telah siap terbina, akan terbitlah satu rasa bangga dlm diri bahawasanya kamilah yg meneroka kawasan tersebut dari keadaan yg masih semak berhutan tanpa ada apa2 pun sehinggalah siap sepenuhnya dipenuhi rumah2 atau jalan2 baru. Kira kira kami ini punyai jasa yg amat besar dan penting dalam kemajuan projek tersebut. Dan kerja2 kami adalah tepat dan tidak lari dari pelan pembinaan yg dilukis oleh jurutera2 rekabentuk daripada firma2 konsultant. Kenyataannya kerja2 pengukuran tanah adalah semestinya tepat dan andaikata tidak, maka syarikat kami akan disaman ke mahkamah dan segala gantirugi akibat tidak tepatnya ukuran kami tersebut terpaksa dibayar oleh majikan kami.

Jadi inilah dia sedikit sebanyak pengenalanku dengan kerja ukur tanah ini dan sebabnya mengapa aku jadi berminat dan terdorong untuk maju dlm bidang ini sampailah ke hari ini. Walaupun kegawatan ekonomi pada tahun 1998 hampir menggugat sektor pembinaan dan kerjayaku namun aku bersyukur kerana masih dapat bertahan sampailah ke hari ini. Pada entri yg seterusnya akan ku ceritakan pula pengalaman2 ku merantau ke seluruh pelusok Malaysia dengan segala pemerhatianku terhadap perubahan2 yg terjadi di negara kita. Mungkin pada kebanyakan orang perubahan itu adalah perkara biasa tetapi bagi aku pula, perubahan2 itu adalah ada pro dan kontranya yg dapat kita fikirkan dan analisis akan bahana dan faedahnya. Melalui pekerjaanku ini aku dapat melihatnya dgn lebih dekat lagi kerana aku terbabit secara langsung dan merupakan sebahagian dari tenaga yg menrealisasikannya. Semuanya akan aku mulai dengan pengalamanku keluar merantau buat pertama kali dari negeri kesayanganku Pulau Pinang dan bermula dengan projek pertamaku di Cameron Highland.




Nota kaki :


Ucapan terima kasihku yang tak terhingga kepada tok guruku dalam bidang ini iaitu Saudara Anuar bin Abdul dan juga Bos pertamaku iaitu Mendiang Steven Soon Tet Hen atas jasa2 mereka mendidik aku dlm bidang ini. Tanpa mereka, siapalah aku....

Ahad, 24 Januari 2010

BERSEKOLAH DI SEKOLAH DATO ONN BUTTERWORTH


Sekolah Dato Onn Butterworth, Pulau Pinang

Seperti yang aku ceritakan sebelum ini, Sekolah Assumption Butterworth hanya setakat tingkatan 3 sahaja. Jadi pada tahun 1986 aku dan pelajar-pelajar lain telah dipisahkan dan dipindahkan ke beberapa sekolah yang berasingan. Asalnya aku ada memohon untuk memasuki Maktab Tentera Diraja Malaysia dan telah pun diterima tetapi atas alasan tertentu terpaksa aku tolak dan hanya meneruskan persekolahan di sekolah baru iaitu Sekolah Dato Onn Butterworth ( aku akan tulis sebagai SDOB saja lepas ni ). 

Sebenarnya bersama dengan aku ada ramai lagi bekas pelajar Sekolah Assumption Butterworth yang telah dipindahkan ke SDOB ini. Aku dah lupa berapa orang tapi boleh dikatakan hampir 50 pelajar kesemuanya. Pada hari pertama melapor diri kami semua belum ditempatkan ke mana-mana kelas lagi. Kami sekadar dikumpul beramai-ramai di dalam 2 kelas yang kosong. Pada hari yang kedua barulah kami diasingkan ke kelas yang berlainan seperti yang telah ditentukan oleh pihak pentadbiran SDOB. Dan di hari tersebut jugalah kedatangan kami terasa seperti tidak dialu-alukan oleh Penolong Pengetua sekolah iaitu Tuan Ahmad Kadir. Belum sempat masuk ke kelas lagi dan di dalam perhimpunan khas untuk pengumuman pengasingan kelas, amaran keras dan kata dua telah diberikan olehnya. Katanya kelakuan yang buruk di sekolah lama jangan cuba nak diulang di SDOB. Tambahnya lagi kesemua rekod-rekod disiplin kami dari Sekolah Assumption ada di tangannya, jadi dia akan selalu pantau keadaan disiplin kami semua.

Lokasi sekolah ini adalah di tepi jalan besar jalan lama Butterworth ke Sungai Petani / Alor Setar / Kangar. Terletak di Bagan Ajam berjarak kira-kira 5 kilometer dari Jeti PPC Butterworth. Berhampiran dengan pantai yang agak terkenal di Butterworth pada waktu dahulu iaitu Pantai Bersih. Berdekatan juga dengan kawasan perumahan rumah pangsa kerajaan negeri Taman Tun Dr. Awang dan terdapat lagi 2 sekolah yang berjiran di sini iaitu Sekolah Menengah St. Mark's Butterworth dan Sekolah Rendah Kebangsaan Bagan Ajam. Bersebelahan sekolah arah ke pantai adalah lokasi asal perkampungan pantai Bagan Ajam yang sebahagian besar rumah-rumah kampung disitu sudah tak wujud lagi digantikan dengan rumah-rumah pangsa dan dinaik taraf sebagai Taman Tun Dr. Awang tetapi lebih dikenali sebagai rumah flat Bagan Ajam sahaja. Bersebelahan sekolah pada arah utara pula adalah Kampung Bagan Lebai Tahir dan selepas itu terletak pula pengkalan tentera udara yang luas dan besar serta terpenting sekali dalam soal penjagaan keselamatan wilayah utara negara Malaysia, iaitu Pengkalan udara Tentera Udara Di Raja Malaysia ( TUDM Butterworth ). Pengkalan udara yang telah lama wujud dari zaman sebelum merdeka lagi. Dibina oleh pihak British dan dikawal oleh 'Royal Air Force' tentera udara British yang berpengkalan di Australia yang juga jajahan British tetapi mendapat lebih kuasa autonomi untuk mentadbir negara sendiri berbanding dengan Malaysia. Hanya selepas kemerdekaan dan mempunyai keupayaan untuk menjaga keselamatan ruang udara negara sendiri barulah pengkalan tentera udara ini diserahkan kepada TUDM oleh RAF Australia ( RAAF ). Sekadar nota, dahulu ada juga sebahagian kecil dikalangan anak-anak tentera RAAF ini yang belajar di sekolah Assumption Butterworth. Tidaklah ramai tetapi memang ada juga sebelum RAAF berundur keluar dari Malaysia dan sebab kenapa mereka pilih untuk bersekolah di Assumption, itu penulis tak tahulah. Berkemungkinan besar adalah kerana jarak dekat dengan pengkalan udara RAAF berbanding lokasi sekolah antarabangsa untuk mereka belajar yang terletak di bahagian pulau.

Sekolah Dato Onn ini memang besar, luas dan berlainan sekali dari sekolah lama aku. Di sini pelajarnya adalah bercampur lelaki dan perempuan. Dalam setiap tingkatan terdapat 9 kelas iaitu 3 kelas bagi setiap aliran iaitu sains, perdagangan dan sastera. Kelas yang ada pula adalah dari tingkatan 1  hingga ke tingkatan 6 atas. Bagi tingkatan 1 hingga 3 waktu persekolahan adalah pada sesi petang. Manakala tingkatan 4 hingga 6 pula di sesi pagi. Dan aku telah ditempatkan di kelas tingkatan 4 Sains 2 bersama 4 pelajar lain iaitu Nor Azman, Dharmaraja, Martin Peter dan Mahendran. ( Aku dah pernah berjumpa semula dengan Martin Peter dan Dharmaraja dalam 'reunion SDOB 87' yang pernah kami buat manakala Nor Azman tak dapat dikesan oleh sesiapa pun sejak tamat zaman persekolahan dan Mahendran pula dikhabarkan telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya beberapa tahun yang lepas yang aku dah lupa pula tahunnya.. )

Rasa malu dan segan pada kali pertama nak masuk ke kelas 4 Sains 2 bila melihat jumlah pelajar perempuan lebih ramai dari yang lelaki. Tapi nasib baiklah terdapat 2 kawan aku yang tinggal berjiran dengan aku di Jalan Mohd Saad dalam kelas yang sama. Ahmad Ezan Mustafa ( Mat Ejan Spek ) dan Anas Tajuddin yang kami beri gelaran 'In Leleh' dah pun ada dalam kelas yang sama dengan aku dan mereka berdua dah bersekolah disini sejak dari tingkatan 1 lagi. Jadi melalui merekalah aku diperkenalkan kepada pelajar lain. 

Di sini terdapat juga pelajar yang dari keturunan Cina dan India walau tak sebanyak di Sekolah Assumption dan majoriti pelajar adalah dari kalangan bangsa Melayu. Dari segi komunikasi sesama pelajar SDOB ada perbezaan kalau dibanding dengan komunikasi pelajar di Sekolah Assumption yang agak muhibah tanpa mengira keturunan atau bangsa. Nampak ketara sangat di SDOB ini setiap pelajar hanya bercakap dan berkumpul dikalangan sesama bangsanya sahaja. Jadi terdapat sedikit isu perkauman dari segi komunikasi dan 'persahabatan' di kalangan pelajar tapi bukanlah isu perkauman yang bersifat negatif.

Puan Rodziah adalah merupakan guru kelas 4 Sains 2 dan pelajaran yang diajarnya adalah matematik. Orangnya cantik manis serta muda dan berwajah lembut dengan penampilan bertudung. Suaranya alahai lemah lembut dan tak pernah meninggikan suara walau pun dalam mood marah. Sekali pandang kita ingat anak dara tapi sebenarnya dah kahwin tapi masih belum ada anak. Secara kebetulan pula rumah dia dengan rumah aku adalah berdekatan kerana suaminya bekerja sebagai pegawai TNB dan mereka tinggal di perumahan kakitangan TNB di Kampung Kastam yang berjiran dengan rumah aku di Jalan Mohd Saad . Jadi secara tak langsung hubungan antara aku dengan Cikgu Rodziah di dalam kelas adalah mesra. Di SDOB ini bermulalah sebuah episod baru dalam hidup aku perkara yang tak pernah aku lakukan sebelum ini iaitu berkawan dengan pelajar perempuan kerana di Sekolah Assumption  yang aku belajar selama 9 tahun dulu semua pelajar adalah lelaki.

Di SDOB hubungan aku dengan ramai lagi kawan-kawan aku yang dari Sekolah Assumption dulu dah menjadi agak renggang. Ini adalah kerana semua kelas aliran sains telah ditambahkan 1 waktu tambahan selama 40 minit setiap hari. Waktu belajar mengikut jadual biasa bagi persekolahan sesi pagi adalah dari jam 7.30 pagi hingga jam 1.20 petang tetapi bagi kelas aliran sains pula adalah dari jam 7.30 pagi sehingga jam 2 petang setiap hari kecuali hari Jumaat sahaja kami semua akan balik pada waktu yang sama iaitu pada pukul 12 tengahari. Waktu rehat kami pun tak sama dengan kelas aliran lain. Pada sesi pagi terdapat 2 waktu giliran rehat yang bertujuan bagi mengurangkan kesesakan di kantin. Ini adalah kerana jumlah pelajar SDOB yang mempunyai 9 kelas bagi setiap tingkatan itu jumlah pelajarnya adalah cukup ramai kalau dikumpulkan serentak pada masa yang sama di kantin yang agak sederhana saja saiznya. Begitu juga dengan jadual untuk kelas Pendidikan Jasmani jika nak menggunakan kemudahan dewan. Kebiasaannya kelas aku akan digilirkan waktu rehat dan waktu kelas pendidikan jasmani sama dengan pelajar dari tingkatan 6. Bagi kelas tingkatan 4 aliran yang lain pula akan digilirkan dengan pelajar tingkatan 5. Jadi walaupun belajar dalam sekolah yang sama tapi amat payah untuk aku berjumpa dengan kawan-kawan aku yang belajar di kelas aliran Perdagangan dan Sastera.

Tak berapa lama kemudian walaupun aku bukanlah ketua kelas bagi kelas 4 Sains 2 tapi akulah pelajar yang paling berpengaruh dalam kelas. Aku pernah berkonfrantasi dengan Cikgu Bakar yang mengajar matapelajaran Bahasa Malaysia ( BM ) kerana pada tahun ini buat pertama kali dalam hidup, aku telah GAGAL dan mendapat markah 'merah' dalam peperiksaan awal tahun bagi matapelajaran Bahasa Malaysia. Katanya karangan yang aku tulis itu walaupun dari segi penulisan adalah bagus tapi karangan itu telah lari dari tajuk dan mata maksimum yang boleh diberikan hanyalah 25 sahaja. Puas aku merayu padanya supaya ditukar kepada jumlah mata yang paling minimum bagi LULUS tapi dia tetap juga dengan keputusannya. Pada peperiksaan yang berikutnya iaitu pada peperiksaan pertengahan tahun dengan matlamat untuk membuktikan bahawa tindakan Cikgu Bakar mengagalkan aku dulu adalah salah, aku berjaya mendapat keputusan A1 dan kedudukan ke 2 terbaik dalam kelas aku untuk matapelajaran Bahasa Malaysia. Tapi Cikgu Bakar pula yang cuba mengambil 'credit' dengan mengatakan bahawa keputusan GAGAL yang dia berikan pada aku dulu adalah pencetus dan pendorong kepada kejayaan aku sekarang. Pirrrrrrrrrrraaaaaaaaahhhhhh....

Cikgu Mat Isa pula mengajar kami pelajaran yang tak masuk dalam senarai peperiksaan iaitu matapelajaran Moral dan Sivik ( kemudian ditukarkan nama kepada Kewarganegaraan pula ). Cikgu Mat Isa sangatlah garang, bengis dan 'jahat mulut' kalau dia tengah marah dan tiada beza samada kepada pelajar lelaki atau perempuan. Pelajar yang dia rasakan tak memberi perhatian pada pengajarannya akan dipanggil ke depan kemudian dirotan dan kadangkala penampar pun akan diberikannya beserta dengan maki hamun yang tak sepatutnya keluar dari seorang cikgu yang mengajar matapelajaran Moral dan Sivik. Kelemahan dia adalah dia tak kenal nama sebenar kami walaupun seorang. Aku dipanggilnya 'mat marlboro' kerana aku memakai tali pinggang dan dompet duit berjenama 'Marlboro' pemberian dari abang tiri aku yang telahpun bekerja. Setiap kali dia nak memanggil aku itulah panggilannya dan untuk pelajar lain, lain pulak gelaran yang dia berikan.

Terdapat juga seorang cikgu yang menguruskan koperasi sekolah dan mengajar matapelajaran matematik tambahan. Namanya adalah Cikgu Abdullah tapi kami gelarnya 'Cikgu Lah Botak' kerana kepalanya yang botak. Setiap kali masuk kelas, 15 minit yang pertama adalah sesi penerangan tentang benda-benda atau buku-buku baru yang ada di koperasi. Kemudian dia akan menulis satu soalan di papanhitam dan kami diarahkan duduk diam dan buatkan jawapan dengan mempunyai jalan kerja. Waktu kelas bagi matapelaran Matematik Tambahan dekat nak habis masa barulah dia tulis jawapan dengan jalan kerja di papanhitam. Samada kami faham atau tak faham itu kami punya masalah dan disuruh usahakan sendiri waktu di rumah dan dia telah menjadi cikgu yang paling tak disukai kaedah pengajarannya oleh kami semua. Cikgu-cikgu lain yang aku masih ingat adalah Ustaz Osman cikgu matapelajaran Agama Islam, Puan Sharma yang mengajar English, Puan Ensun mengajar Sains Biologi, Puan Mahani mengajar Sains Kimia, Cikgu Yusof Cowboy yang mengajar pendidikan jasmani yang juga merupakan guru disiplin dan ramai lagi cikgu yang aku dah lupa nama mereka. Pada waktu tingkatan 5 pula guru kelas kami adalah Puan Norizan yang mengajar matapelajaran Matematik. Puan Rodziah pula telah berpindah sekolah ke Kapar, Selangor kerana mengikut suaminya yang ditukarkan ke Loji Stesyen Janakuasa Elektrik Kapar.

Semasa bersekolah di sini setiap pelajar diwajibkan untuk menjadi ahli kepada mana-mana salah satu pasukan beruniform untuk kegiatan ko-kurikulum pada setiap hari Sabtu. Aku memilih menjadi ahli Pergerakan Pengakap dan seterusnya aku telah dilantik oleh ketua pengakap waktu itu iaitu Saudara Jabian untuk menjawat jawatan Quatermaster. Tugas aku adalah seperti seorang 'storekeeper' yang menjaga dan merekodkan segala keluar masuk barang-barang pengakap dari setor pengakap. Tugas tambahan lain yang diberikan kepada aku adalah menjadi jurulatih kepada budak-budak perempuan kumpulan Pandu Puteri iaitu cabang Pergerakan Pengakap bagi perempuan dan merancang majlis jambori perkhemahan Pengakap dan Pandu Puteri yang dianjurkan diperkarangan sekolah secara tahunan. Di SDOB aku dah tak bergiat lagi dalam kegiatan sukan kerana aku lebih sibuk dan lebih aktif dengan kegiatan kokurikulum pasukan beruniform pulak. Pada kemuncak pembabitan aku dengan Pergerakan Pengakap SDOB, aku telah berjaya menghasilkan satu inovasi kaedah perasmian program jambori perkhemahan Pengakap dan Pandu Puteri dengan menyalakan unggun api yang besar dalam kegelapan malam yang telah dimatikan lampu dengan gaya ala-ala majlis perasmian Sukan Olimpik. Apabila menyala saja unggun api tersebut, kesemua pelajar dan jemputan yang hadir telah memberikan tepukan dan sorakan dengan amat meriah sekali. Rasa bangga yang teramat sangat kerana aku sebenarnya lebih takut lagi jika yang sebaliknya yang terjadi. Untuk menyalakan loggokan kayu unggun api tersebut aku perlu menggunakan minyak petrol. Inilah masalahnya kerana jika terlebih petrol loggokan kayu api itu bakal akan meletup dan membahayakan. Boleh saja kayu api yang meletup itu akan berterabur ke seluruh kawasan sekolah dan berkemungkinan juga satu bencana kebakaran boleh terjadi. Jika tak cukup bahan petrol, longgokan kayu api tidak akan terbakar pula maka ini adalah satu kegagalan inovasi. Malangnya, waktu itu belum ada lagi HP pintar seperti sekarang yang boleh merakamkan peristiwa dan dikirim ke internet untuk tontonan orang ramai.

Tahun berikutnya pula pada waktu di tingkatan 5, aku telah mendapat undi yang terbanyak mengalahkan 3 calon lain untuk dilantik menjadi ketua kelas 5 Sains 2. Tugas utama aku sebagai ketua kelas adalah merekodkan kedatangan murid dan menjaga ketenteraman kelas ketika cikgu tidak ada. Kadang-kadang cikgu yang sedang sibuk dengan tugasan yang lain dan tak dapat masuk ke kelas akan memberikan nota dan menyuruh aku menulisnya di papanhitam untuk disalin oleh semua pelajar. Untuk tugas-tugas tertentu aku akan bahagikan tugas dengan penolong aku iatu Zanariah Hassan yang mendapat undian kedua terbanyak waktu pencalonan dulu. Aku memilih untuk menguruskan kelas aku seperti seorang pengurus yang menguruskan sebuah persatuan ataupun syarikat. Jadi aku mengadakan satu mesyuarat dengan semua murid dalam kelas aku dan melalui mesyurat itu kami telah mengundi dan memilih satu kumpulan Ahli Jawantankuasa Kelas ( AJK ) yang aku bahagi-bahagikan kuasa dan bidang tugas yang berlainan untuk setiap ahli AJK. Setiap AJK itu pula diberikan kebebasan untuk memilih seberapa ramai ahli pasukan yang akan membantu tugasnya. Seorang AJK ditugaskan menjaga soal kebersihan kelas dan membuat program pengindahan kelas. Seorang AJK ditugaskan untuk mengetuai bahagian penyertaan pertandingan untuk setiap pertandingan atau program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Seorang AJK mengetuai bahagian perancangan majlis keraian serta pemberian hadiah dan seorang AJK lagi akan mengetuai bahagian kegiatan luar kelas dan yang terakhir adalah seorang Bendahari yang ditugaskan untuk membuat kutipan duit tabung kelas pada kadar 20 sen setiap pelajar pada setiap minggu dengan merekodkan setiap keluar masuk duit tabung di dalam sebuah buku akaun. Aku sendiri memilih untuk mengetuai bahagian kebajikan pelajar kelas aku. Setiap AJK yang memerlukan duit untuk programnya perlulah membuat permohonan duit tabung kelas kepada bendahari dan perlu mendapatkan kelulusan dari aku terlebih dahulu. Pada hujung tahun 1987 kami mempunyai jumlah hampir RM 300 dalam tabung kelas untuk menganjurkan majlis perpisahan akhir tahun dan juga pemberian hadiah kenangan kepada beberapa orang cikgu yang kami pilih selain dari guru kelas kami iaitu Puan Norizan. Oleh kerana kami mempunyai duit tabung yang agak banyak aku memberikan kemudahan kepada setiap pelajar kelas aku untuk membuat pinjaman jika memerlukan duit untuk membeli buku atau peralatan sekolah yang lain dari koperasi sekolah dengan tempoh pembayaran balik selama 3 kali. 

Pada waktu itu sekolah SDOB ini baru saja mempunyai kemudahan asrama desa untuk pelajar-pelajar yang tinggal jauh dari sekolah ataupun untuk pelajar yang mempunyai masalah kewangan yang berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah. Terdapat 2 blok iaitu blok asrama bagi pelajar lelaki dan asrama bagi pelajar perempuan yang diasingkan. Terdapat makmal biologi, makmal kimia, perpustakaan, bilik lukisan, pusat pelajar, pusat kaunseling, dewan tertutup, gelangang badminton dan sepaktakraw, gelangang bolakeranjang, padang bolasepak, sangkar burung yang besar projek mini zoo sekolah dan juga 'sick bay' iaitu bilik khas untuk pelajar mendapat rawatan sakit ringan di sekolah.

Setiap dinding bangunan sekolah akan dilukiskan dengan lukisan 'mural' oleh pelajar jurusan Seni Lukisan yang dikendalikan oleh cikgu Rama. Sehinggalah pada satu hari maka terjadilah satu peristiwa yang aku masih ingat lagi sampai ke hari ini. Pada satu hari sabtu iaitu pada hari kegiatan kokurikulum, sedang aku duduk berehat di bangku bawah pokok berdekatan kantin sekolah lepas mengajar budak pandu puteri berkawad, tiba-tiba salah seorang pelajar perempuan yang sedang melukis di dinding kantin tersebut menjerit jerit dan berguling guling di atas tanah. Pada mulanya hanya dia seorang saja kemudiannya bertambah lagi 2 -3 orang pelajar perempuan lain yang turut menjerit dan berguling di atas tanah. Rupa-rupanya inilah yang dinamakan sebagai 'Histeria'. Histeria ini boleh terjadi secara tiba-tiba dan boleh pula berjangkit kepada pelajar yang lain tapi biasanya kepada pelajar perempuan sahaja. Pada waktu mereka menjadi histeria tenaga mereka menjadi sangat kuat seperti tenaga 4 orang di dalam satu badan, menjerit-jerit dan berguling-guling di atas lantai atau tanah. Untuk mendiamkan seorang pelajar yang sedang mengalami histeria perlukan 4 orang pelajar lain untuk memegangnya. Apa yang aku fikirkan dan dapat merumuskan tentang kejadian histeria ini, ia adalah kemuncak emosi kepada keadaan stress dan tekanan secara mental atau spiritual yang di alami oleh seseorang terutamanya yang kurang bergaul dengan orang lain, suka bersendirian dan kurang keyakinan diri. Setiap masalah yang dihadapinya tidak akan diceritakan pada sesiapa pun, mudah hilang fokus / tumpuan dan fikiran yang sering melayang. Sukar aku nak jelaskan dengan ayat yang sesuai tapi apa yang aku faham, hati dan otak mereka akan saling bertelingkah. Sebelum membuat apa-apa, otak atau fikiran mereka akan ada satu pendapat tetapi hati mereka pula akan ada pendapat yang lain yang tak sama pula. Satu badan tapi fikiran ( otak ) dan perasaan ( hati ) yang tak bersatu pendapat. Nampak seperti mereka berdiam diri tak membuat apa-apa tetapi sebenarnya ada konflik dalaman yang sangat aktif seperti ada pertandingan perbahasan di dalam diri mereka. Sekejap dia jadi pihak pencadang dan kemudiannya dia juga yang akan jadi pihak pembangkang. Cadang, bangkang, cadang, bangkang secara berterusan dan bersendirian tanpa ada keputusan. Inilah punca utama, konflik dalaman yang berpunca daripada kurangnya keyakinan diri kurangnya kekuatan dalaman. Tapi agak mengecewakan, pelajar yang sering terkena histeria ini adalah merupakan pelajar perempuan dari keturunan Melayu. Jarang sangat kita dengar terjadi histeria di kalangan lelaki dan bangsa lain selain dari Melayu. Nak kata tak pernah jadi tidak juga sebab perkataan 'histeria' itu sendiri bukanlah berasal dari perkataan Melayu tetapi perkataan 'amok' yang digunapakai oleh bahasa dan bangsa lain itu barulah yang berasal dari isitlah Melayu. Amok juga adalah satu jenis kejadian yang sama bentuknya dengan histeria tetapi kebiasannya hanya terjadi kepada orang lelaki. Berpunca dari konflik dalaman diri pelaku amok tersebut. Kemuncak kepada konflik itulah yang akan mendorong mereka melakukan amok dengan tanpa disedari. Pendek kata, 'histeria' biasa terjadi kepada perempuan Melayu manakala 'amok' pula terjadi kepada lelaki Melayu. Sebab dan kenapa itu tak dapatlah penulis jelaskan.

Selain kejadian histeria tadi, di SDOB juga terdapat beberapa kejadian mistik dan 'paranormal' lain yang biasa terjadi di asrama pelajar dengan cerita cerita yang diperturun kepada pelajar 'freshie' oleh pelajar 'senior' yang pernah menetap di asrama. Dan salah satu cerita yang terkenal adalah cerita dari pelajar yang tinggal di asrama yang pernah berjumpa dengan bayangan seorang bekas pelajar perempuan yang bernama 'Intan' yang pernah bersekolah di sini tetapi telah meninggal dunia digilis keretapi di Permatang Tinggi pada penghujung tahun 1986 dipercayai membunuh diri bersama kekasihnya dengan tidur di atas landasan keretapi kerana dikatakan kecewa percintaan mereka yang dihalang oleh keluarga. 

Keseluruhannya sekolah SDOB ini tidaklah banyak memberikan kenangan kepada aku kerana aku hanya belajar disini selama 2 tahun sahaja. SDOB lebih menumpukan pada kecermelangan akedemik dan kokurikulum tetapi tidak banyak pencapaian dalam bidang sukan kecuali bolasepak. Oleh kerana mempunyai jumlah pelajar yang ramai, sedikit demi sedikit kawasan lapang yang ada dibangunkan dengan bangunan baru sehingga sekolah ini menjadi padat dengan bangunan dan sehingga terpaksa menggunakan padang sekolah menengah St. Mark's untuk penganjuran hari sukan sekolah.

Tahun 1987 adalah tahun aku menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) dan juga tahun terakhir aku bersekolah di sini. Setelah tamat peperiksaan dan setelah mendapat keputusan peperiksaan SPM yang agak baik juga aku telah ditawarkan untuk menyambung pelajaran ke tingkatan 6 di sini. Tapi setelah memikir panjang aku telah mengambil keputusan untuk tidak sambung belajar lagi dan aku bercadang hendak mencari pekerjaan dan hanya akan menyambung belajar secara jarak jauh atau secara belajar sambil bekerja sahaja. Jadi tamatlah sudah sejarah singkatku di sekolah ini. Walaupun singkat sekadar 2 tahun sahaja tapi segala kenangan manis dan ada juga yang pahit semasa aku belajar di sini tetap aku tak lupakan. Setelah aku tidak lagi bersekolah disini, sekolah SDOB ini telah dipilih oleh kerajaan untuk menjadi salah satu sekolah perintis dalam Program Sekolah Bestari dan namanya juga telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Onn Butterworth 
( SMKDOB ). 



Bekas Pelajar Sains 2 Kelas 1986-87 Di Perjumpaan Aidilfitri Pada 19/7/2015

Terkini..

Kepada bekas pelajar SDO Butterworth tahun SPM 1987 anda boleh bergabung dengan kami di Facebook kumpulan dengan mengikuti link ini : 


( Klik Ayat Biru di Bawah )




NOTA KAKI

Dengan ini maka lengkaplah sudah 'Episod Pertama' ceritaku mengenai apa yang aku ungkapkan sebagai kisah 11 tahunku yang penuh kenangan. Iaitu himpunan cerita, peristiwa, sejarah dan nostalgia yang bersangkutan dengan zaman persekolahanku yang merangkumi jarak waktu selama 11 tahun bermula dari 1977 hingga 1987. Dari darjah 1 hingga ke tingkatan 5 dan dari budak hingga meningkat remaja. 

6 tahun di Sekolah Rendah Assumption Butterworth
3 tahun di Sekolah Menengah Assumption Butterworth
2 tahun di Sekolah Dato Onn Butterworth

Pada entri-entri yang seterusnya adalah merupakan 'Episod Kedua' iaitu himpunan cerita yang tercetus setelah tamat zaman persekolahanku merangkumi dari waktu aku masih remaja sehingga meningkat dewasa. Pada setiap entri akan terselit satu-dua peristiwa serta nostalgia zaman 90'an yang aku olah dan tuliskan disini daripada pandangan dan pengalaman yang aku sendiri melaluinya.

Dewasa pada umur dan dewasa juga dengan pengalaman hidup.

...TAMAT...

Selasa, 29 Disember 2009

BERPINDAH KE JALAN MOHD SAAD, BUTTERWORTH



1980 : Pada tahun ini bapa aku telah mendapat 2 tawaran rumah kos rendah dari kerajaan negeri Pulau Pinang. Yang pertama adalah di sebelah pulau iaitu Taman Tun Sardon ( nama taman sempena Gabenor negeri Pulau Pinang pada waktu itu ). Dan yang kedua pula adalah di sebelah tanah besar iaitu di Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal, Butterworth ( JAMOSA ). Yang menjadi masalah kepada bapa aku adalah dia hanya boleh memilih satu rumah saja dan pengundian untuk kedua dua unit rumah tersebut adalah dijadualkan pada hari dan tempat yang sama iaitu di dewan Kelab Rekreasi Butterworth atau lebih dikenali sebagai dewan BRC atau dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai, di Jalan Bagan Luar, Butterworth. Jadi bapa pun bertanya kepada emak dan kami : Di manakah tempat yang kami lebih suka samada di sebelah pulau atau di Bagan? Orang tempatan lebih suka menyebut Bagan untuk Butterworth dan Tanjung untuk Georgetown. 

Setelah berbincang akhirnya pilihan kami adalah di Bagan dengan alasan aku dan adik aku bersekolah disini, saudara mara juga ramai disini. Maka bapa aku pun melepaskan tawaran rumah di sebelah pulau dan pada bulan 5 tahun ini juga kami pun berpindah ke rumah baru di Jalan Mohd Saad. Rumah kos rendah ini adalah dari jenis 2 tingkat dan mempunyai 2 bilik tidur di atas. Pada waktu itu harganya hanyalah RM 18,000 dan bayaran ansuran bulanan pula cuma RM 60 + RM 5 duit penyengelaraan selama 25 tahun

Letaknya Jalan Mohd Saad ini adalah berdekatan pantai seperti Balai Pukat juga cuma dipisahkan oleh sebatang jalanraya yang menuju ke arah utara merentasi bandar Sungai Petani, Alor Setar, Kangar dan Padang Besar iaitu bandar di sempadan Malaysia dan Thailand. Jaraknya adalah 3 km dari Komplek PPC ( yang telah terbakar dan dirobohkan ) iaitu stesyen bas bagi bandar Butterworth. Di sini terdapat satu komplek Jabatan Pertahanan Awam Wilayah Utara, kawasan perumahan untuk kakitangan LLN ( sekarang TNB ), kawasan perumahan untuk kakitangan Jabatan Kastam, juga kawasan perumahan untuk Pegawai Daerah dan kakitangan Pejabat Daerah Seberang Perai Utara. Di tepi jalan masuk ke Jalan Mohd Saad ini terdapat sebuah restoran yang cukup terkenal pada satu waktu dahulu iaitu Rose Restoran. Di seberang jalan sebelah pantainya pula ada satu perkampungan nelayan yang dikenali sebagai Kampung Pantai Bagan Jermal tapi bagi orang Cina pertempatan ini dipanggil "Sa Lak Kau" yang maksudnya dalam Bahasa Melayu ialah "369". Digelar begitu kerana pada waktu dahulu terdapat satu kumpulan kongsi gelap Cina yang berpusat disitu dikenali dengan nama yang sama. Terdapat juga sebuah kilang belacan di situ serta sebuah kedai yang menjual haiwan peliharaan sebagai hobi. Betul-betul di tepi jalan pula terdapat sebuah perkuburan Islam yang cukup lama hinggakan tiada siapa pun tahu pada tahun bilakah ia bermula sebagai sebuah perkuburan. Di bahagian utara Jalan Mohd Saad ini pula terdapat sebuah perkampungan Melayu tradisional iaitu Bagan Jermal yang pada asalnya adalah terbentuk dari dua kampung yang bersebelahan iaitu kampung Parit Alur dan juga kampung Buluh. Dan di sebelah timurnya pula adalah pertempatan bagi orang-orang Cina iaitu Jalan Raja Uda.

Di tengah-tengah Jalan Mohd Saad ini terdapat sebuah kawasan lapang yang amat luas hingga boleh memuatkan 4 padang bolasepak. Dan disinilah tempatnya aku mula berkenalan dengan kawan-kawan baru dan bermain bolasepak setiap petang. Seingat aku pada waktu itu terdapat seorang budak perempuan yang turut bermain bolasepak dengan kami setiap hari dan posisi tetapnya adalah sebagai penjaga gol. Pada setiap kali datangnya bulan puasa kami akan bermain "perang" pula pada sebelah malam di padang ini. Peperangan ini adalah menggunakan mercun dan bunga api sebagai senjata dan ia adalah perang di antara dua kumpulan iaitu kumpulan budak-budak rumah kos rendah dengan kumpulan budak-budak rumah teres. Padang ini juga kerap digunakan oleh kumpulan sarkas untuk membuat persembahan di Butterworth. Hairan juga aku, dulu sarkas ni selalu ada boleh dikatakan setiap tahun tetapi sekarang langsung dah tak pernah tengok lagi walau di mana-mana pun kecuali "funfair" saja. 

Sayangnya, tidak lama kemudian maka padang yang luas ini pun turut menjadi korban kepada pembanggunan seperti juga yang terjadi pada Padang 3 Segi di Balai Pukat. Pada tahun yang aku dah tak berapa ingat lagi kemungkinan pada tahun 1984 atau 1985 maka berdirilah 6 blok rumah pangsa 5 tingkat dengan mempunyai sebanyak 300 unit rumah. Suasana disini pun telah bertukar menjadi lebih meriah lagi dengan jumlah penduduknya yang telah bertambah ramai. Kalau sebelum ini Jalan Mohd Saad ini boleh dikatakan sebagai kawasan pertempatan bagi orang Melayu tapi kini dah bertukar menjadi majmuk dengan semua bangsa pun ada.

Akibat dari terbinanya rumah pangsa ini maka tiadalah lagi padang untuk beriadah dan bermain bolasepak setiap petang seperti dulu. Dan budaya melepak pun menjadi jadilah dikalangan belia remajanya. Dari budaya melepak inilah maka budaya menghisap ganja dan heroin pun menjadi jadi juga. Sana sini terdapat "port" untuk anak muda berlepak dan tidak melakukan apa-apa kegiatan yang berfaedah pun. Sehinggalah pada suatu ketika Jalan Mohd Saad dan Bagan Jermal telah tersenarai sebagai "Black Area" oleh pihak polis daerah Butterworth. Pada yang masih berminat bermain bolasepak maka terpaksalah bermain jauh sedikit iaitu di padang perumahan LLN atu pun padang perumahan Kastam. Sehingga kini aku masih lagi terfikirkan mengapakah pihak kerajaan tidak memikirkan akan akibat masalah sosial yang terjadi daripada hasil pembanggunan yang tak terancang ini. Sepatutnya pada setiap pembanggunan, kegiatan dan aktiviti masyarakat setempat juga seharusnya dibangunkan bersama seperti di Singapura. Di Singapura di setiap kawasan perumahan yang dibangunkan oleh kerajaan maka dibina juga kemudahan beriadah seperti kolam renang, gelanggang tenis dan badminton, padang bolasepak, dewan untuk aktiviti dalaman seperti gimnasium serta kawasan berjoging walaupun kecil.

Berbalik kepada Jalan Mohd Saad pada waktu kini pula, kesan pembanggunan amatlah ketara sekali. Perkampungan di bahagian pantainya telah tiada lagi keseluruhannya telah dijadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ). Perumahan Pegawai Daerah dan kakitangannya juga telah dijadikan kawasan komersial dengan terbinanya deretan bangunan kedai pejabat dan apartmen. Berhadapan dengan Komplek Jabatan Pertahanan Awam pula telah didirikan Komplek Mahkamah Majistret Butterworth yang baru yang lebih moden bagi menggantikan dengan yang ada di sebelah hospital daerah Butterworth. Begitu juga dengan bahagian tepi tanah perkuburan telah dibangunkan dengan lot-lot komersial serta hotel. Kampung Bagan Jermal juga tidak ketinggalan dari aktiviti pembanggunan. Kini separuh dari kampung tradisional ini sudah tiada lagi diganti dengan kedai-kedai serta apartmen oleh pihak swasta.

Walaupun sudah berbelas tahun aku merantau tetapi Jalan Mohd Saad sampai bila-bila pun tetap akan menjadi destinasi "balik kampung" bagi aku. Kubur Allahyarham bapa aku juga terdapat disana dan sampai ke saat ini, emak dan adik bongsu aku masih lagi menetap disana. Walaupun aku membesar di kota besar Kuala Lumpur tetapi aku adalah dilahirkan di Kampung Balai Pukat, aku belajar celik mata melihat ragam dunia di Jalan Mohd Saad dan aku tak akan sekali kali segan dan malu untuk mengaku bahawa aku adalah anak Bagan. Dan aku sangat-sangat berbangga menjadi seorang anak kelahiran negeri Pulau Pinang sehinggakan aku sanggup mengekalkan hingga ke hari ini alamat rumah dalam Kad Pengenalan MyKad aku dengan alamat rumah orangtua ku di Jalan Mohd Saad, Butterworth, Pulau Pinang walaupun sudah 3 kali aku menukar MyKad yang baru.

Aku adalah Bagan Beach Boy....
Aku adalah Anak Pantai Bagan....

Sabtu, 19 Disember 2009

KAMPUNG BALAI PUKAT ADALAH ASALKU


Aku dilahirkan di Hospital Daerah Butterworth, Pulau Pinang. Ketika itu ibubapaku menetap di sebuah kampung yang bernama Kampung Balai Pukat. Kampung Balai Pukat ini mendapat namanya kerana diceritakan pada masa dahulu kampung ini adalah tempat dimana para nelayan menjemur pukat setelah pulang dari laut. Keadaannya adalah sebuah kampung di dalam bandar. Kalau di Kuala Lumpur bolehlah disamakan dengan Kampung Baru cuma kampung aku ini lebih kecil keluasannya. 

Terletak berhampiran dengan jeti feri untuk pergi ke Pulau Pinang dimana pada tahun 1988 dahulu pernah digemparkan dengan kisah sedih tragedi jeti runtuh yang mengorbankan beratus nyawa manusia. Berhampiran juga dengan komplek stesyen bas dan teksi dimana kompleknya dikenali sebagai Komplek PPC bersempena dengan nama pemiliknya iaitu Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dalam bahasa Inggeris ( Penang Port Commissioner ) dan berhampiran juga dengan stesyen keretapi Butterworth. Boleh dikatakan untuk pergi kesemua tempat yang aku sebutkan tadi hanya perlu berjalan kaki sahaja kerana jaraknya tidaklah jauh dari Kampung Balai Pukat.


Pada waktu dahulu kampungku ini tak ada kemudahan bekalan air paip bersih disetiap rumahnya. Yang ada hanyalah satu paip air percuma di tepi jalan berhadapan dengan surau ( menaksah : sebutan orang utara dulu-dulu ) dan juga tanah perkuburan orang Islam. Pada setiap pagi terpaksalah kami berebut mengambil giliran memasang paip getah untuk disalurkan ke rumah masing-masing. Bagi yang tiada paip getah panjang maka terpaksalah mengambil air dengan menggunakan baldi atau timba ( sebutan orang utara ) secara berulang alik seperti keluarga aku. Mungkin kerana kegiatan inilah badan aku jadi agak keras sampai sekarang... hahaha



Sistem kumbahan moden pun masih tiada lagi waktu itu dengan tandas yang ada di dalam kampung hanyalah menggunakan sistem 'jamban angkut' atau lebih dikenali dengan panggilan 'jamban tong'. Setiap 2-3 hari sekali akan datanglah seorang apek mengangkut 'sisa kumbahan kami' itu dengan mengosongkannya ke dalam tong yang dibawa menggunakan kereta beroda tiga. Bayangkanlah kalau apek itu sakit dan tidak datang selama seminggu dengan kesemua jamban tong dalam kampung dah penuh...... XXX. Adalah dipercayai apek itu tidak mendapat sebarang bayaran upah untuk perkhidmatannya dan sisa kumbahan itu pula akan digunakan sebagai baja organik untuk kebun-kebun sayur yang ada disekitar Butterworth.



Banjir kilat pula adalah fenomena yang biasa bagi kami tanpa mengira apa musim pun dan secara puratanya berlaku sekitar 5-6 kali setiap tahun. Setiap kali turun hujan lebat tanpa henti selama 2-3 jam atau lebih dari sehari maka seluruh kampung kami akan menjadi 'bah' sebutan loghat orang utara untuk banjir dan boleh mencapai setinggi 1 meter. Bagi budak-budak yang seperti aku, fenomena inilah yang kami tunggu-tunggu. Mau tak tunggu, buka pintu saja tak payah turun pakai tangga lagi terus terjun macam mandi sungai. Tapi sebenarnya di Butterworth memang tak ada sungai yang boleh dijadikan tempat mandi. Seingat aku walaupun dah terbiasa dengan banjir tapi tak pernah walau sekalipun kami sampai terpaksa berpindah ke tempat perlindungan mangsa banjir seperti yang terjadi sekarang di sesetengah negeri terutamanya di negeri pantai timur dalam musim tengkujuh. 



Rekabentuk rumah kampung waktu dahulu iaitu rumah kayu berlantai tinggi dengan mempunyai tiang di bawahnya menyebabkan air banjir tidak sampai mencecah paras lantai rumah. Berbanding dengan keadaan sekarang apabila ahli keluarga menjadi bertambah ramai maka ada keperluan untuk membesarkan rumah. Pilihan pertama yang berkos rendah adalah dengan menambahkan dinding dan lantai di bahagian bawah rumah asal tadi samada menggunakan kayu atau simen. Maka apabila berlaku saja keadaan banjir, rumah itu sudah tidak dapat didiami lagi kerana bahagian tingkat bawah yang ditambah itu akan tenggelam. Jadi apabila saja banjir itu tidak surut dan bertambah tinggi airnya dari hari ke hari maka penghuni rumah tersebut perlulah berpindah ke kawasan yang lebih tinggi, selamat dan biasanya adalah ke pertempatan perlindungan mangsa banjir yang telah disediakan oleh pihak kerajaan yang punyai banyak kemudahan. Dapat kita simpulkan bahawa faktor kemajuan dan pertambahan ahli keluarga adalah penyebab utama kepada perubahan rekabentuk rumah tradisi kampung dan penyebab kepada risiko sesebuah rumah itu ditenggelami banjir. 



Kebanyakan banjir kilat terjadi apabila air laut berkeadaan pasang besar dan aliran air dari parit dan longkang tak dapat mengalir masuk ke laut kerana paras air laut yang sedang tinggi waktu itu. Hanya setelah air laut kembali surut barulah keadaan banjir ini akan kembali seperti biasa. Yang lucunya dengan banjir ini adalah, jamban-jamban tong kami akan terapung dan ada juga yang hilang akibat hanyut mengikut arus air banjir tadi.  



Walaupun kampung aku terletak berhampiran pantai tetapi pantainya memang sejak aku dilahirkan lagi dah pun tak ada. Yang tinggal hanyalah pada alamat posnya sahaja iaitu 'Jalan Pantai' tapi orang sini lebih suka menyebut dengan sebutan ala-ala orang putih iaitu Pantai Road dan kalau untuk pasar pulak kami akan panggil 'market'. Yang uniknya nama Bandar Butterworth yang ejaannya mengikut sebutan orang putih, orang sini lebih suka menggunakan nama Bagan saja begitu juga dengan Bandaraya Georgetown kami lebih suka menyebut dengan nama Tanjung. Ok berbalik kepada cerita pantai tadi. Hampir kesemua pantai berdekatan Kampung Balai Pukat telah dijadikan terminal minyak oleh syarikat minyak Shell & Esso. Kalau adapun pantai hanyalah sedikit sahaja iaitu berdekatan dengan Komplek PPC yang dinamakan pantai Meriam Timbul. Meriam Timbul ini pula mendapat namanya kerana di situ terdapat satu tokong Cina yang di dalamnya ada sebiji meriam lama yang dikhabarkan pada suatu masa dahulu timbul di permukaan laut dengan sendirinya. Pantai ini merupakan pengkalan nelayan pantai dan juga terdapat astaka iaitu deretan kedai-kedai makan yang dibina oleh pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai ( MPSP ) iaitu pihak berkuasa tempatan bagi bandar Butterworth dan keseluruhan daerah Seberang Perai. 



Jauh sedikit ke arah utara dari Balai Pukat ini barulah ada satu pantai yang agak sesuai untuk kegiatan rekreasi dan mandi manda iaitu pantai yang berdekatan dengan hospital daerah Butterworth iaitu tempat aku dilahirkan dulu. Selain dari menjadi tempat beriadah sebenarnya pantai ini lebih terkenal pada kegiatan malamnya iaitu menjadi tempat golongan 'pondan' berkumpul untuk mencari pelanggan. Di pantai ini juga dahulunya terdapat sebuah perpustakaan daerah Butterworth dimana terdapat kantin yang sangat terkenal dengan menu masakan maggi segeranya. Terdapat juga sebuah trek untuk bermain kasut roda, taman permainan kanak-kanak dan juga deretan kedai makan. Dahulu menu makanan yang paling popular disini adalah 'rojak buah' tetapi orang Bagan lebih suka menyebut sebagai 'rojak cicah' atau 'rojak tonggek' kerana ketika makan sambil berdiri kita perlu membongkok sedikit badan ke depan bagi mengelakkan dari terkena kuah rojak itu akibat tiupan angin laut. Menu kedua terkenal bagi aku adalah 'popia basah' yang dijual dibawah pokok ditepi jalan deretan kedai makan disitu. Disebelah utara hospital pula adalah bangunan lama Mahkamah Majistret Butterworth dimana sekarang telah pun berpindah ke bangunan dan lokasi baru yang lebih moden di Bagan Jermal.



Bersebelahan dengan kampungku adalah sebuah kilang yang cukup terkenal seluruh dunia pada waktu dahulu kerana kegiatan melebur bijih timah iaitu The Straits Trading Company Limited atau lebih dikenali dengan singkatan STC tetapi pada waktu sekarang telah ditukar namanya menjadi Malaysia Smelting Corporation ( MSC). Bukan sahaja kilang tetapi terdapat juga satu kawasan perumahan bagi pekerjanya yang berjiran dengan kampung aku dan berakhir sampilah ke persimpangan Jalan Allen. Terdapat juga pejabat Lembaga Letrik Negara ( LLN ) tempat untuk membayar bil elektrik yang sekarang telah pun ditukarkan namanya menjadi Tenaga Nasional Berhad setelah diswastakan oleh kerajaan. Terdapat juga sebuah hotel lama iaitu Pak Tai Hotel, bangunan Standard Chartered bank, sebuah restoran Cina bersebelahan dengan hotel tersebut dan sebuah padang rekreasi yang ada satu menara jam yang dikenali dengan nama Padang 3 Segi. Padang yang cukup bersejarah bagiku kerana disinilah tempat aku bermain bola setiap petang. Tetapi sayangnya padang yang amat bersejarah ini, pada waktu kini, seinci pun telah tiada lagi di Balai Pukat.






Kalau mengikut arah jalan dari jeti PPC menuju ke pusat bandar Butterworth yang pertama kelihatan disebelah kirinya adalah bangunan Pak Tai Hotel, restoran Cina, sebuah bank iaitu Chartered Bank ( waktu ni belum dinamakan Standard Chartered Bank lagi ), tanah kosong tapak cadangan bangunan Bank Rakyat dan seterusnya adalah sebuah kuil Hindu dan satu deretan kedai sebelum sampai ke pagar kawasan perumahan pekerja kilang STC. Di seberang Jalan Bagan Luar itu pula terdapat lebih banyak lagi deretan kedai dan salah satunya iaitu di penghujung deretan kedai itu adalah Malayan Banking iaitu rangkaian bank yang terbesar di Malaysia yang sekarang lebih dikenali sebagai Maybank. Di deretan kedai tersebut terdapat satu restoran mamak yang agak terkenal juga waktu dulu iaitu Restoran Abdul Rahman dan di belakang deretan kedai ini pula terletaknya sebuah kampung lain iaitu Kampung Jawa.


Di hadapan bangunan Chartered Bank adalah merupakan persimpangan 4 berlampu isyarat. Terdapat jalan sehala yang mengelilingi Padang 3 Segi yang menuju ke arah Jeti PPC dan jalan yang menuju Bagan Dalam, manakala jalan dari arah Jeti PPC pula adalah jalan yang menghala ke Sungai Nyior seterusnya ke jambatan Perai dan juga jalan yang menghala ke pusat bandar Butterworth iaitu Jalan Bagan Luar. Bangunan Malayan Banking terletak di sebelah kiri jalan yang menghala ke arah Sungai Nyior dan Perai manakala disebelah kanannya terdapat sebuah sekolah menengah untuk perempuan iaitu Sekolah Convent Butterworth. Jadi boleh dikatakan Kampung Balai Pukat ini adalah sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh jalan disekelilingnya.



Walaupun agak kecil tetapi untuk memasuki kampung Balai Pukat terdapat 4 jalan kesemuanya. Jalan utama adalah jalan yang ada di celah bangunan Pak Tai hotel dengan restoran Cina yang bersebelahan dengan Chartered Bank. Jalan kedua pula adalah jalan masuk di depan surau di sebelah Jalan Pantai. Jalan ketiga adalah jalan di hadapan bangunan LLN juga di Jalan Pantai dan jalan ke empat pula adalah jalan kecil yang hanya sesuai untuk pejalan kaki dan basikal sahaja iaitu terletak di sebelah Chartered Bank dengan tanah kosong tapak kepada Bank Rakyat yang tidak jadi dibina sampailah waktu aku berpindah keluar dari Balai Pukat. Sebenarnya terdapat lagi satu jalan iaitu dari tepi kuil Hindu tapi jalan itu adalah agak bersemak dan berpaya juga bertiti kayu dan tak selalu dilalui oleh penduduk Balai Pukat kecuali bagi penduduk kampung yang rumahnya terletak di belakang kuil Hindu tersebut. Manakala di tengah-tengah dalam Kampung Balai Pukat pula terdapat simpang 4 yang menemukan kesemua jalan masuk yang aku sebutkan tadi berdekatan dengan rumah aku. Rumah aku pula adalah rumah kedua jika menggunakan jalan dari depan surau di Jalan Pantai dan rumah kedua juga dari simpang 4 dalam kampung jika keluar mengikut jalan yang menuju arah surau.



Pada masa kini hampir kesemua tempat-tempat yang aku sebutkan tadi sudah tiada lagi di tempat asalnya. Sepanjang Pantai Road telah dijadikan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth ( BORR ) sehingga menyebabkan daerah Butterworth ini sudah tidak ada lagi pantai untuk rekreasi, bermandi manda dan mencari siput serta belangkas. Komplek PPC telah terbakar pada tahun 2001 yang berpunca dari kejadian lintar pintas elektrik pada sebuah pasaraya yang ada di dalamnya dan akhirnya telah dirobohkan. Padang 3 Segi pula telah dikorbankan menjadi sebuah persimpangan lampu isyarat yang amat besar. Turut berubah adalah hospital tempat aku dilahirkan yang kini telah diturun taraf kepada pusat kesihatan saja. Pantai yang terkenal kerana kegiatan malamnya juga tak terkecuali telah lenyap dijadikan lebuhraya BORR dan Meriam Timbul juga dikorbankan menjadi landasan keretapi yang menghubungkan stesyen keretapi Butterworth dengan pelabuhan baru NBCT iaitu pelabuhan khas untuk kapal kontena yang ditambak jauh sehingga hampir satu kilometer ketengah laut. 

Yang masih wujud sampai sekarang hanyalah bangunan Pak Tai hotel, Standard Chartered bank, Maybank, Sekolah Rendah Convent, kuil Hindu, Surau Kampung Balai Pukat dan tanah perkuburannya, kilang bijih MSC, bangunan LLN yang telah bertukar menjadi Pusat Giat Mara dan juga bangunan lama Hospital Daerah Butterworth yang sekarang dikenali sebagai Klinik Kesihatan Butterworth. Manakala yang lainnya samada telah lenyap dijadikan lebuhraya atau pun telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan yang lain pula.




Pada masa kini walaupun pembangunan telah merubah rupanya, saki baki Kampung Balai Pukat ini masih lagi berpenghuni dengan jumlah rumahnya hanyalah boleh dikira dengan jari saja. Pada tahun 1980 kami sekeluarga pun telah berpindah pula ke tempat lain iaitu ke Jalan Mohd Saad, Bagan Jermal yang masih lagi terletak dalam daerah Butterworth, Pulau Pinang setelah arwah bapa aku mendapat tawaran rumah kos rendah kerajaan negeri Pulau Pinang disitu.


Nota kaki :-


Pertamanya, aku sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah bapa aku, ABU BIN AHMAD yang telah pun meninggal dunia pada 1hb Julai 2014 yang lepas dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bagan Jermal, Butterworth. 


"TANPA BAPAK MAKA TIADALAH KAMI DIDUNIA INI. TERIMA KASIH ATAS SEGALA TUNJUK AJAR SEGALA KASIH SAYANG DAN SEGALA PENGORBANAN YANG TELAH BAPAK BERIKAN KEPADA KAMI ANAK-ANAK BAPAK. MOGA BAPAK DITEMPATKAN DI KALANGAN MEREKA YANG BERIMAN DAN DITERIMA DISISINYA ALLAH SWT... HENDAKNYA.... AMIN"



Keduanya, Balai Pukat adalah sangat-sangat nostalgia bagi aku oleh kerana itu aku akan menambah info dalam entri ini dari masa ke semasa jika ada informasi terbaru yang aku rasakan penting atau bersangkutan dengan Kampung Balai Pukat. Dan kepada pembaca yang ada maklumat mengenai kampung ini diharap dapatlah menghubungi aku melalui alamat email ini :-