Memaparkan catatan dengan label Tukar Syarat Guna Tanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tukar Syarat Guna Tanah. Papar semua catatan

Rabu, 22 Mac 2023

PECAH GERAN TANAH : ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP ( BAHAGIAN 2 )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Nota : Artikel ini adalah lanjutan daripada artikel asal dengan tajuk yang sama diterbitkan beberapa tahun lepas. Penulisan kali ini adalah sebagai pembetulan fakta serta penjelasan lanjut bagi salah anggapan banyak pembaca dari kalangan pemilik tanah melalui pertanyaan yang banyak penulis terima selepas artikel asal diterbitkan dahulu.

Untuk membaca artikel asal yang telah diterbitkan beberapa tahun lepas sila klik link di bawah.


______________________________________

Kebanyakan pemilik tanah tidak berminat mengambil tahu prosedur yang terlibat serta keperluan syarat kelulusan bagi setiap permohonan. Apa yang mereka lebih pentingkan adalah ‘Berapa harga dan bila boleh siap..?’
Itulah sebabnya penulis tuliskan satu artikel berkenaan ‘anggaran harga serta tempoh siap’ bagi permohonan pecah geran tanah di facebook kemudian diterbitkan juga disini. Setiap pertanyaan dan permintaan yang penulis terima penulis akan berikan link artikel tersebut untuk mereka baca sendiri tanpa perlu penulis berulang kali berikan penerangan yang sama pada setiap pemilik tanah dan pembaca yang bertanya. 

Apa yang ditulis hanyalah satu jumlah harga anggaran kasar sahaja sebagai contoh untuk memudahkan pembaca faham dan membuat persediaan dari segi kewangan. Penulis tidak letak pun sebarang harga atau yuran bagi setiap urusan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak lain. Namun begitu banyak yang telah salah anggap bahawa harga dan tempoh masa tersebut adalah standard bagi permohonan pecah geran tanah. Daripada salah anggapan inilah penulis merasa perlu dibuat satu pembetulan fakta serta diberikan satu penerangan yang lebih jelas bagi memperbetulkan salah anggapan tersebut.

Adalah penting untuk pembaca lebih faham prosedur yang terlibat serta syarat lulus yang utama apabila satu permohonan pecah geran tanah dikemukakan kepada pihak pentadbir tanah melalui Pejabat Tanah Daerah. Ini adalah kerana prosedur serta syarat lulus inilah yang akan memberikan kesan pada jumlah harga sebenar serta tempoh masa yang perlu bagi mendapatkan kelulusan.

Untuk itu adalah lebih baik kita mulai dengan penerangan definasi yang sebenar bagi 'Pecah Sempadan' serta 'Pecah Bahagian'.


PERBEZAAN ANTARA PECAH SEMPADAN DENGAN PECAH BAHAGIAN


Apabila pemilik tanah membuat permohonan samada ‘Pecah Bahagian’ atau ‘Pecah Sempadan’ yang membabitkan pengeluaran geran tanah / hakmilik secara berasingan bagi setiap plot ( bahagian ), secara asasnya terdapat pelbagai syarat peraturan, pelbagai jenis kelulusan berperingkat dan juga pelbagai jenis bayaran yang perlu dibuat kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Kita fahami terlebih dahulu apakah persamaan dan perbezaan antara 2 jenis pecahan tersebut.

PECAH SEMPADAN

Pecahan sempadan adalah bertujuan untuk memecah sempadan tanah kepada plot-plot ( bahagian ) yang lebih kecil tanpa mengubah apa-apa dari segi pemilikannya. Syarat asas dari segi keluasan adalah tidak boleh kurang daripada 1 ekar bagi tanah pertanian, tiada tunggakan cukai tanah dan mempunyai jalan keluar masuk yang sah ( rezab jalan 20 kaki ) bagi setiap plot ( bahagian ) yang hendak dipecahkan. Jika luas tidak cukup maka permohonan pertukaran syarat kegunaan tanah perlulah dibuat terlebih dahulu. Tukar syarat ini boleh juga dibuat secara serentak dengan permohonan untuk pecah sempadan lot.

PECAH BAHAGIAN

Pecahan bahagian pula adalah bertujuan memecahkan satu lot tanah yang dimiliki oleh 2 orang atau lebih tuan tanah yang biasa disebut sebagai ‘lot atau geran kongsi’. Pecahan bahagian dibuat bagi membolehkan setiap pemilik tanah yang berkongsi ini mendapatkan satu geran tanah / hakmilik mengikut hak masing-masing secara berasingan. Syarat asas dari segi keluasan adalah tidak boleh lebih kurang daripada 0.25 ekar setiap bahagian bagi tanah pertanian dengan keperluan jalan keluar masuk bagi setiap bahagian ( rezab jalan 20 kaki ). Proses permohonan untuk pecah bahagian mempunyai syarat kelulusan yang lebih rumit kerana membabitkan persetujuan daripada banyak pemilik yang berkongsi hakmilik dibanding dengan proses pecah sempadan. Sama seperti pecah sempadan, jika luas minima 0.25 ekar tidak mencukupi maka perlulah dibuat tukar syarat kegunaan tanah terlebih dahulu. Jika jenis guna tanah dipinda daripada pertanian kepada kediaman atau bangunan rezab jalan keluar masuk juga perlu dipinda daripada 20 kaki kepada 40 kaki. Dan jika ada antara pemilik tanah telah meninggal dunia, dinasihatkan agar proses pewarisan atau pusaka diselesaikan terlebih dahulu bagi memudahkan urusan permohonan ini mendapat kelulusan.

Sebagai contoh untuk pemahaman, ada satu bidang tanah dengan bernombor Lot 1234 berkeluasan 2 ekar dengan mempunyai 2 nama ‘Pemilik A’ dan ‘Pemilik B’ sebagai tuan tanah dengan masing-masing mempunyai ½ bahagian. Kemudian mereka bersetuju untuk membuat pecahan lot kepada 2 lot kecil yang masing-masing berkeluasan 1 ekar.

Jika pemilik tanah membuat permohonan ‘Pecah Sempadan’ maka akan terbitlah 2 lot baru bagi menggantikan lot asal dengan setiap lot baru itu akan mempunyai pegangan hakmilik yang sama seperti dalam lot asal. Dalam kedua dua lot pecahan yang baru itu nama kedua pemilik akan kekal sama dengan masing-masing ada pegangan hakmilik, ½ bahagian dalam setiap lot. Mereka masih kekal berkongsi ½ bahagian dalam setiap lot baru sama seperti dalam lot asal.

Tetapi jika pemilik tanah memilih untuk membuat permohonan ‘Pecah Bahagian’ maka akan terbitlah 2 lot baru bagi menggantikan lot asal dengan setiap pemilik akan memiliki pegangan 100% atau 1/1 bahagian dalam salah satu lot tersebut. Pemilik A akan dapat 1 lot dan pemilik B juga akan dapat 1 lot. Mereka tidak lagi berkongsi hakmilik seperti dalam lot yang asal.

Sudah faham dengan perbezaan bagi kedua dua jenis permohonan Pecah Sempadan dan Pecah Bahagian, sekarang barulah kita lihat pula persamaan yang melibatkan urusan permohonan dengan senarai pihak-pihak yang terlibat serta jenis-jenis pembayaran yang perlu dibuat kepada mereka. Penulis tak dapat nak letakkan harga bagi setiap urusan yang terlibat sebab lain pihak lain harganya. Begitu juga setiap permohonan akan berbeza dengan permohonan yang lain disebabkan oleh beberapa faktor. Dengan jumlah plot pecahan yang berbeza, keluasan tanah yang berbeza, jenis kegunaan tanah berbeza, lokasi tanah berbeza, serta situasi pemilikan tanah juga berbeza maka sudah tentulah kadar harga bagi setiap permohonan juga akan berbeza harganya. Kos bagi setiap permohonan tidak boleh dihitung secara perkadaran standard yang mengikut kepada contoh harga anggaran kasar yang telah penulis cadangkan dalam artikel sebelum ini.





PERINGKAT-PERINGKAT PERMOHONAN

Setiap permohonan akan ada 3 peringkat bagi perlaksanaannya. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut :

PERTAMA : PENYEDIAAN PELAN

Peringkat penyediaan pelan cadangan Pra-Hitungan yang memenuhi syarat serta mendapat persetujuan setiap pemilik tanah atau pemegang syer yang ada kepentingan. Jika ada keperluan satu kerja pengukuran perlu dibuat terlebih dahulu di lokasi tanah berkenaan bagi proses penyediaan pelan Pra-Hitungan. Hanya selepas satu pelan cadangan dapat disediakan dengan memenuhi segala syarat asas permohonan dan pelan tersebut mendapat persetujuan secara perakuan bertulis melalui tandatangan persetujuan kesemua pemilik tanah di atas pelan tersebut barulah kerja bagi permohonan tersebut dapat diteruskan.

KEDUA : PENYEDIAAN DOKUMEN SERTA BORANG

Selepas pelan cadangan disiapkan, dengan merujuk kepada keperluan berdasarkan kepada pelan tersebut maka setiap dokumen lampiran yang perlu dilampirkan serta borang-borang yang perlu di isi perlulah disediakan oleh pemilik tanah. Berdasarkan kepada pelan cadangan jika perlu dibuat tukar syarat jenis kegunaan tanah satu proses permohonan Kebenaran Merancang kepada pihak Majlis Perbandaran perlulah dibuat terlebih dahulu oleh pihak Perancang Bandar Bertauliah yang dilantik oleh pemilik tanah. Kelulusan daripada pihak Majlis adalah satu keperluan yang perlu dilampirkan dalam permohonan yang akan dibuat kepada pihak Pejabat Tanah Daerah ( Pentadbir Tanah )




KETIGA : PERMOHONAN KE PEJABAT TANAH DAERAH

Selepas segala dokumen lampiran mencukupi, borang-borang yang perlu di isi sepenuhnya dengan nama dan tandatangan setiap pemilik tanah, salinan sah bagi setiap dokumen disediakan, barulah permohonan dibuat di kaunter pejabat tanah samada oleh pemilik tanah sendiri atau wakil pemilik tanah atau pun pihak jurukur tanah yang telah dilantik oleh pemilik tanah.



PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT DALAM SETIAP URUSAN PERMOHONAN PECAH SEMPADAN ATAU PECAH BAHAGIAN BAGI MENDAPATKAN GERAN TANAH BERASINGAN ADALAH SEPERTI BERIKUT :


1.) JURUKUR TANAH BERLESEN ( LS )

Antara perkhidmatan dan bayaran yang terlibat ialah :

> Pendaftaran fail
> Kos penyediaan pelan Pra-Hitungan dan lain-lain pelan
> Kos bayaran untuk kerja ukuran bagi penyediaan pelan berkenaan


Biasanya keperluan membuat kerja ukuran di atas tanah terlebih dahulu adalah disebabkan oleh terdapatnya pagar, rumah atau bangunan, jalan keluar masuk sedia ada, parit saliran atau pun talian penghantaran elektrik TNB sedia ada di atas tanah terlibat. Daripada ukuran offset, ukuran butiran atau topografi yang dibuat barulah satu pelan pra-hitungan bagi permohonan pecah bahagian atau pecah sempadan dapat disediakan yang memenuhi syarat kelulusan serta mendapat persetujuan setiap pemilik tanah yang terlibat.



2.) LEMBAGA JURUKUR TANAH SEMENANJUNG MALAYSIA ( LJT )

Bayaran yang terlibat ialah :

> Bayaran asas
> Bayaran bagi petak-petak pecahan
> Bayaran bagi pelan Pra-Hitungan
> Garisan Azimuth, sambungan dan kawalan
> 20% Yuran Proses Data Digital
> 6% cukai kerajaan

Transformasi teknologi dalam bidang geospatial / ukur tanah sekarang sedang berubah kepada format digital sepenuhnya. Kos bagi penyediaan dan pembangunan prasarana data digital ini dikelola oleh pihak LJT melalui fee yang dijana daripada yuran yang dibayar oleh pihak Jurukur Tanah Berlesen. Maka itu dalam setiap bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan kepada Jurukur Tanah Berlesen maka pelanggan perlu juga membuat bayaran kepada pihak LJT. Penggunaan data geospatial dalam format digital ini seperti jurukur tanah menggunakan lebuhraya yang disediakan oleh LJT untuk mudah dan cepat sampai ke destinasi. Jadi pada setiap penggunaan perlulah dibayar kadar tol penggunaanya seperti yang telah ditetapkan.


3.) PERANCANG BANDAR BERTAULIAH ( PERANCANG BANDAR )

Ada permohonan tertentu contohnya jika satu lot jenis pertanian yang tidak cukup syarat luas minima 1 ekar bagi Pecah Sempadan atau 0.25 ekar bagi Pecah Bahagian perlulah disertakan bersama Pelan Kebenaran Merancang (LCP) yang telah mendapat kelulusan daripada pihak Majlis sekali dengan permohonan. Laporan cadangan pembangunan tanah dan pelan ini perlulah disediakan oleh pihak Perancang Bandar Bertauliah yang dilantik oleh pemilik tanah. Kos bagi laporan dan pelan ini perlulah dibayar kepada pihak perancang bandar tersebut bukan kepada pejabat tanah atau jurukur tanah. Mengikut pekeliling Lembaga Perancang Bandar Malaysia ( LBPM ) yuran minima untuk Kebenaran Merancang adalah 15 ribu bagi tanah pertanian luas 3 hektar yang pertama.  


4.) MAJLIS DAERAH / PERBANDARAN / BANDARAYA ( MAJLIS )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Pelan Surih
> Cabutan
> Bayaran proses Kebenaran Merancang
> Fee Pemajuan


5.) PEJABAT TANAH DAERAH ( PTD )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Memperenggan
> Cabutan
> Borang 9A atau 9B
> Pelan Surih
> Pendaftaran QT / Hakmilik Sementara
> Wang Pos
> Deposit Tukar Syarat / ( Premium Nilai tanah semasa )
> Akuan Sumpah
> Notis

Demikianlah 5 pihak yang terbabit dengan senarai yuran atau fee yang perlu dibuat kepada mereka. Jumlah yuran tidaklah boleh sama bagi setiap permohonan bagi setiap pemilik tanah. Kos harga sangat bergantung kepada keperluan prosedur yang terbabit dalam setiap permohonan. Apa yang dapat penulis berikan hanya senarai fee atau yuran yang terlibat tetapi bukan harga bagi setiap fee atau yuran yang perlu dibayar. Setiap pihak ada harga masing-masing jadi penulis tak dapat nak letakkan harga bagi perkhidmatan yang disediakan oleh pihak lain.

RINGKASAN PENJELASAN

Penulisan ini hanya sekadar memberikan kefahaman dan penjelasan ringkas kepada prosedur untuk kerja pecah geran tanah sahaja. Tidak ada kadar harga tetap mahu pun anggaran yang boleh diberikan selagi segala syarat dan dokumen lampiran yang perlu disertakan tidak memenuhi syarat, tidak mendapat kelulusan serta tidak mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat. Sebab itulah pada peringkat awal hanya harga bagi kerja-kerja yang perlu dibuat oleh jurukur tanah sahaja yang boleh diberikan kepada pemilik tanah. Selepas pelan cadangan disiapkan, barulah peringkat seterusnya iaitu penyediaan dokumen yang diperlukan seperti sijil carian rasmi, salinan geran tanah yang sah, salinan kad pengenalan pemilik, surat kebenaran daripada setiap pihak yang ada kepentingan termasuklah jika perlu dibuat tukar syarat jenis kegunaan tanah atau diselesaikan urusan penamaan, pewarisan atau pusaka terlebih dahulu jika ada antara pemilik yang telah meninggal dunia. Kos bagi urusan tersebut perlulah dibuat bayaran oleh pemohon dan tidak boleh dimasukkan dalam senarai sebutharga bagi urusan yang membabitkan jurukur tanah.

Semua proses ini perlu dibuat secara satu persatu dan berperingkat. Dari satu permohonan kepada satu pihak, selepas mendapat kelulusan barulah boleh dimajukan kepada pihak yang lain pula.

Perlu anda tahu jika ada mana-mana pihak berkuasa yang memberikan komen atau meminta pindaan dibuat, maka pelan pra-hitungan yang disediakan oleh jurukur tanah pada peringkat awal perlulah dilukis semula dengan dimasukkan pindaan seperti yang diminta oleh pihak berkuasa tersebut. Proses permohonan perlu diulang sekali lagi sehingga mendapat kelulusan. Ini akan menyebabkan pertambahan kos serta pertambahan tempoh masa kelulusan.

Jika dahulu penulis berikan satu kadar harga anggaran kasar iaitu RM 10 ribu bagi satu permohonan untuk mendapatkan satu geran tanah berasingan. Tapi ini hanya sekadar harga anggaran untuk permohonan yang tak perlu Kebenaran Merancang dan tak perlu buat tukar syarat kegunaan tanah sahaja.
Kalau ada keperluan untuk dapatkan kelulusan Majlis untuk Kebenaran Merancang bagi tukar syarat jenis guna tanah kos akan menjadi lebih lagi sebab perlu dibuat bayaran kepada pihak Perancang Bandar dan perlu juga dibuat bayaran premium 15% nilai tanah semasa kepada kerajaan. 

Kos harga walau pun sekadar harga anggaran untuk membuat pecahan lot bagi mendapatkan satu geran tanah berasingan adalah bergantung kepada banyak faktor terutamanya, jumlah plot pecahan, keluasan plot pecahan, jenis guna tanah lot tersebut, kadar cukai tanah semasa, kadar premium nilai tanah semasa dan fee serta yuran pembayaran kepada setiap perkhidmatan daripada setiap pihak yang terlibat.

Akhir kata jika ada pemilik tanah yang berminat nak buat samada pecahan sempadan atau pecahan bahagian, pergilah ke pejabat tanah daerah bawa bersama geran tanah yang dimiliki. Buatlah pertanyaan dan dapatkan senarai semak keperluan serta syarat lulus yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan kelulusan. Dengan mengetahui situasi serta status tanah anda terlebih dahulu, anda pasti akan lebih arif dengan segala syarat lulus serta prosedur yang perlu dibuat bagi mendapatkan kelulusan. 

_____________________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )

 

012-3949064 ( JT Klang )


SEKIAN TERIMA KASIH

-------------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah
#jurukurtanahbagan
#jurukurtanahklang
#jurukurtanahdiklang
#jurukurtanahdiselangor
#baganbeachboy


Ahad, 5 Mac 2023

PENGUBAHAN KATEGORI KEGUNAAN TANAH ( TUKAR SYARAT )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

Mengikut seksyen 52 Kanun Tanah Negara ( KTN ) 1965, semua tanah yang diberi milik terbahagi kepada 3 kategori kegunaan tanah iaitu :

i.)                  Pertanian

ii.)                 Bangunan ( Kediaman atau Perniagaan )

iii.)               Industri 


Semua pemilik tanah sepatutnya menggunakan tanah berkenaan mengikut kategori kegunaan tanah dan syarat nyata dalam hakmilik. Kegagalan berbuat demikian adalah melanggar syarat yang ditetapkan dan pihak berkuasa negeri boleh merampas balik tanah berkenaan. Tuan tanah yang ingin menggunakan tanahnya untuk kategori selain daripada yang tercatat dalam hakmilik perlulah mengambil tindakan untuk mengubah kategori kegunaan tersebut.

Seksyen 124 dan 124A KTN serta Kaedah-Kaedah Tanah Negeri membolehkan tuan tanah berbuat demikan. Pihak berkuasa negeri akan mengenakan bayaran premium tambahan ke atas setiap permohonan tukar syarat yang diluluskan.

Mengikut KTN bagi tanah jenis pertanian syarat keluasan minima untuk mendapatkan geran tanah secara berasingan bagi mana-mana bahagian yang berkongsi hakmilik adalah tidak boleh kurang daripada 0.25 ekar.

  Sebagai contoh untuk pemahaman pembaca. Ada 1 lot tanah jenis pertanian berkeluasan 2 ekar yang dimiliki secara berkongsi hakmilik oleh 6 penama. Pemilik ‘A’ mempunyai ½ bahagian bersamaan luas 1 ekar. Manakala baki 1 ekar lagi dimiliki oleh 5 pemilik dari satu keluarga ‘B’ dengan masing-masing memiliki 1/10 bahagian yang bersamaan luas 0.2 ekar.

Jika pemilik ‘A’ mahu membuat pecahan bahagian bagi mendapatkan geran tanah berasingan dia boleh buat sebab tidak mempunyai masalah dari segi syarat luas minima sebab tanah bahagiannya adalah 1 ekar. Tetapi jika 5 pemilik dari keluarga ‘B’ mahu membuat pecahan bahagian untuk tujuan yang sama bagi mendapatkan geran tanah secara berasingan, mereka tidak dapat buat kerana luas tanah bahagian mereka tidak memenuhi syarat luas minima iaitu tidak boleh kurang dari 0.25 ekar.

Bagi membolehkan kesemua 6 pemilik tanah ini mendapatkan geran tanah berasingan maka disinilah perlunya dibuat permohonan ‘tukar syarat’ kegunaan tanah terlebih dahulu. Mereka perlulah menukar kategori kegunaan tanah dari pertanian kepada kediaman atau bangunan. Permohonan untuk menukar syarat kegunaan tanah boleh dibuat secara berasingan dan boleh juga dibuat secara serentak dengan permohonan pecahan bahagian bagi mendapatkan geran tanah berasingan. Selagi tidak ditukar syarat kegunaan tanah maka tidaklah boleh mereka membuat permohonan bagi mendapatkan geran tanah berasingan.

Apa yang perlu dilakukan oleh mereka adalah melantik pihak ‘Perancang Bandar Bertauliah’ mengemukakan satu permohonan bagi merancang pemajuan tanah tersebut bagi pihak mereka. Selain daripada keperluan menyediakan cadangan pemajuan tanah dalam bentuk laporan dan pelan perancangan mereka juga perlulah membayar premium berjumlah 15% dari nilai pasaran tanah mereka dalam kategori kegunaan yang baru pada masa permohonan dibuat sejurus selepas mendapat kelulusan. Nilai premium inilah yang menjadi halangan besar kepada ramai pemilik tanah yang berkongsi geran daripada mendapatkan geran tanah secara berasingan.

Sila rujuk rajah di bawah, senarai dokumen dan lampiran keperluan bagi permohonan mendapatkan kelulusan tukar syarat kegunaan tanah daripada pihak berkuasa negeri.



( klik foto untuk zoom pembesaran )


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )



SEKIAN TERIMA KASIH

Jumaat, 16 April 2021

PECAH GERAN TANAH : ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

PECAH GERAN TANAH
ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP

Proses diantara ‘Pecah Sempadan’ dan ‘Pecah Bahagian’ yang membabitkan pengeluaran geran tanah berasingan / individual dari segi prosedur mempunyai sedikit perbezaan namun persamaannya adalah kedua-dua proses pecahan ini terbabit dengan beberapa jenis bayaran secara berperingkat dari awal permohonan dibuat sehinggalah mendapat kelulusan. Secara asasnya terdapat pelbagai prosedur dan pelbagai jenis bayaran yang perlu dibuat kepada pihak-pihak berkuasa yang berlainan bidang kuasa. Dan inilah sebabnya mengapa yuran harga bagi kerja ini dikatakan tinggi atau mahal oleh pemilik tanah. Seringkali pemilik tanah akan tersalah anggap bahawa kesemua duit itu akan dibayar kepada pihak jurukur tanah. Itu adalah salah anggapan sebenarnya. Yang sebenarnya terdapat banyak jenis bayaran yang perlu dibuat kepada banyak pihak untuk mendapatkan kelulusan. 
Di bawah adalah 5 pihak yang terlibat dengan senarai perkhidmatan serta fee / yuran yang perlu dibuat bayaran kepada mereka. 

1.) Pejabat Tanah Daerah ( PTD )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Memperenggan
> Cabutan
> Borang 9A atau 9B
> Pelan Surih
> Pendaftaran QT / Hakmilik Sementara
> Wang Pos
> Deposit Ubah Syarat / Premium
> Akuan Sumpah
> Notis

Nota : Kadar bayaran ini adalah berbeza dan tertakluk kepada PTD setempat


2.) Majlis Daerah / Perbandaran / Bandaraya ( Majlis )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Pelan Surih
> Cabutan
> Bayaran proses Kebenaran Merancang
> Fee Pemajuan

Nota : Kadar bayaran ini juga berbeza dan tertakluk kepada Majlis setempat


3.) Jurukur Tanah Berlesen ( LS )

Antara bayaran yang terlibat ialah :

> Pendaftaran fail
> Penyediaan pelan Pra-Hitungan serta lain-lain pelan yang perlu
> Bayaran untuk kerja ukuran di tapak tanah bagi penyediaan pelan

Nota : 
* bayaran untuk ini perlu dijelaskan terlebih dahulu jikalau terdapat keperluan untuk Jurukur menjalankan kerja ukur bagi mendapatkan maklumat butiran pada tanah yang terlibat bagi tujuan penyediaan pelan Pra-Hitungan dan lain-lain jenis pelan-terlibat bagi tujuan permohonan.


4.) Perancang Bandar Berlesen ( Swasta )

Ada kategori tanah yang perlu disertakan bersama plan Kebenaran Merancang (LCP) bersama dengan permohonan (rujuk bayaran kepada Majlis Daerah). Plan Kebenaran Merancang ini perlulah disediakan oleh Perancang Bandar Berlesen.

Kadar bayaran bukan dibawah kawalan pihak PTD, Majlis atau LS. Ianya tidak tetap dan mungkin terdapat perbezaan harga bergantung kepada kadar harga serta yuran perkhidmatan pihak Perancang Bandar Berlesen yang berkenaan.


5.) Lembaga Jurukur Tanah ( LJT )

LJT selaku persatuan bagi kesemua jurukur tanah berlesen adalah sebuah lembaga yang ditubuhkan berasaskan kepada perlembagaan negara melalui undang-undang Kanun Tanah Negara ( KTN ). KTN bukan sahaja kepentingan setiap jurukur tanah berlesen dipelihara tetapi kepentingan rakyat selaku pelanggan dan kepentingan kerajaan selaku pentadbir tanah juga telah ditetapkan dalam bentuk peraturan dan undang-undang. 

Antara bayaran untuk LJT ialah :

> Bayaran asas
> Bayaran bagi petak-petak pecahan
> Bayaran bagi pelan Pra-Hitungan
> Garisan Azimuth, sambungan dan kawalan
> 20% Yuran Proses Data Digital *
> 6% cukai kerajaan

Penggunaan data geospatial dalam format digital yang disediakan oleh JUPEM dan dikelolakan oleh LJT adalah seperti jurukur tanah menggunakan lebuhraya yang disediakan oleh LJT untuk mudah dan cepat sampai ke destinasi. Jadi pada setiap penggunaan lebuhraya digital ini maka perlulah dibayar kadar tol seperti yang telah ditetapkan.


TEMPOH MASA ANGGARAN SIAP

Secara umumnya tempoh masa yang diambil dari awal permohonan hingga mendapat kelulusan adalah di antara 6 – 18 bulan ( paling cepat ) dan boleh berlanjutan hingga bertahun tahun lamanya jika lot tersebut ada isu atau bermasalah.

HARGA ANGGARAN KASAR

Hanya sekadar contoh harga anggaran kasar untuk perbandingan, satu lot asal seluas 2 ekar. Jika pelanggan mahu pecahkan menjadi 2 lot kecil berasingan dengan keluasan masing-masing 1 ekar maka perlu dibuat 1 permohonan untuk pecah 1 lot baru dengan luas 1 ekar dan baki tanah 1 ekar lagi akan kekal dalam lot asal dengan pindaan luas yang baru iaitu cuma 1 ekar. Kos anggaran kasar adalah dalam julat harga :
RM 10 ++ ribu ( updated : Tahun 2021 )

Tetapi jika pelanggan mahu pecahkan lot asal yang luas 2 ekar tersebut kepada 4 lot kecil dengan masing-masing luas 0.5 ekar. Mungkin kos anggaran kasar bagi kerja pecah geran tanah ini dalam julat harga RM 30 ribu. Ini secara purata akan menjadikan harga untuk setiap 1 lot baru dengan geran tanah sendiri cuma sebanyak RM 7.5 ribu sahaja. Dibanding harga untuk pecah 1 lot baru berharga RM 10 ribu, sekarang bila dipecah kepada 4 lot, kos harga cuma RM 7.5 ribu ini bermakna sudah berkurangan sebanyak RM 2.5 ribu untuk setiap 1 lot baru. Atau mungkin jika dipecah pula kepada 8 lot kecil dengan luas masing-masing 0.25 ekar, kos harga bagi setiap 1 lot baru dengan geran tanah sendiri hanya pada harga RM 5 ribu sahaja.

Inilah maksudnya semakin banyak lot pecahan dibuat maka semakin berkurangan kos harga bagi keseluruhan proses pecah geran tanah tersebut. Tetapi ini bukanlah harga sebenar ini hanyalah sekadar harga anggaran kasar sahaja.


PECAH BAHAGIAN YANG TAK MEMBABITKAN URUSAN PECAH GERAN TANAH BERASINGAN


Bagi pemilik tanah yang mahu membuat pecahan bahagian tetapi masih terus kekal mahu menggunakan geran tanah asal yang berkongsi hakmilik, itu pun boleh dibuat. Pelan yang sama akan disediakan tetapi tak perlu mohon kelulusan daripada pentadbir tanah daerah / pejabat tanah daerah. Jika setiap pemilik tanah yang berkongsi geran tanah tersebut bersetuju dengan pelan pecahan bahagian yang telah disediakan barulah jurukur tanah akan pergi ke lokasi dan buat penandaan di atas tanah. Kerja ini tidak perlu permohonan atau kelulusan mana-mana pihak berkuasa kecuali kelulusan para pemilik tanah sahaja. Dan sudah tentu juga kos harga akan jauh lebih rendah daripada kos pecahan bahagian yang bertujuan untuk dapatkan geran tanah berasingan.

Dan untuk lebih faham jenis pecahan bahagian yang tak membabitkan pecah geran tanah berasingan, pecahan dibuat hanya sekadar untuk pembahagian tanah ikut keluasan tertentu atau ikut hak masing-masing seperti yang tertulis dalam geran tanah, pelan pecahan bahagian yang perlu disediakan serta kerja ukuran yang terlibat sila baca artikel dengan klik link dibawah :-




NOTA KAKI

Jika permohonan 'Pecahan Bahagian' yang hendak dibuat tak cukup syarat dari segi luas minima 0.25 ekar bagi tanah pertanian satu penama atau permohonan 'Pecahan Sempadan' yang tidak cukup luas 1 ekar 1 plot / bahagian maka permohonan tukar syarat kegunaan tanah perlulah dibuat terlebih dahulu. Dan untuk lakukan ini perlulah disemak dengan PTD samada perlu dibuat perancangan oleh Perancang Bandar Bertauliah atau pun tidak. Ini adalah kerana pihak kerajaan mempunyai perancangan sendiri yang dibuat secara sistem 'zoning'.

Permohonan bagi 'Tukar Syarat' jenis kegunaan tanah dengan 'Pecahan Bahagian' atau 'Pecahan Sempadan' bagi mendapatkan geran tanah berasingan boleh dibuat secara berasingan dan boleh juga dibuat secara serentak. Tetapi permohonan untuk perancangan pemajuan tanah bagi tukar syarat ini perlulah dibuat dengan lampiran laporan cadangan pemajuan tanah serta pelan perancangan yang disediakan oleh pihak perancang bandar bertauliah bukan jurukur tanah berlesen. Permohonan Kebenaran Merancang perlu dihantar kepada pihak Majlis terlebih dahulu. Selepas mendapat kelulusan daripda pihak Majlis barulah kelulusan tersebut dilampirkan bersama dengan permohonan pecah bahagian atau pecah sempadan yang dihantar kepada pihak Pejabat Tanah Daerah.

Untuk lebih faham prosedur yang terlibat anda boleh baca penjelasan di artikel lain dengan klik pada link di bawah.

 

Sampai sini dahulu untuk kali ini

_____________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :


( Klik nombor di bawah )


012-3949064


-----------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy

#jtklang