بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Salam Sejahtera dan selamat bertemu kembali.
( updated : 2/4/2021 )
Topik dan kandungan artikel pada kali ini adalah merupakan sambungan kepada artikel yang terakhir iaitu masih lagi berkenaan kerja ukur tanah yang membabitkan proses membuat pecahan bahagian bagi lot tanah yang mempunyai lebih daripada 1 nama sebagai pemilik tanah tersebut.
Tetapi pada kali ini penulis akan memberikan penerangan secara penjelasan ringkas dengan rujukan gambarajah contoh mengenai apakah perbezaannya di antara prosedur dan juga kerja ukur tanah yang membabitkan antara
‘Pecah Bahagian’ dengan ‘Pecah Sempadan’.
Dari segi sebutan, mungkin kedengaran seperti sama sahaja tetapi dari segi kefahaman serta definasinya, ramai tuan tanah yang masih lagi keliru serta tidak faham apakah maksud sebenar dan juga perbezaan proses kerja yang membabitkan ‘Pecah Bahagian’ dan juga ‘Pecah Sempadan’ sesuatu bidang lot tanah yang berkongsi hakmilik.
Untuk memudahkan pembaca memahami apakah perbezaan di antara 2 kerja pecah lot tanah ini, pertama sekali penulis akan berikan definasi ringkas akan maksud sebenar kedua-dua perkataan tersebut.
PECAH BAHAGIAN
Prosedur pecah bahagian adalah merupakan satu proses kerja yang dibuat bagi membahagikan satu lot tanah itu kepada beberapa bahagian mengikut luas sebenar bahagian masing-masing seperti yang telah ditulis di dalam dokumen geran tanah untuk lot tanah tersebut.
Terdapat 2 jenis pecah bahagian yang biasa dibuat. Satu yang membabitkan pembahagian tanah ikut luas bahagian masing-masing sekali dengan proses pecah geran tanah secara individu iaitu setiap bahagian akhirnya akan mendapat geran tanah berasingan tidak lagi berkongsi hakmilik dalam satu geran tanah asal yang ada banyak nama sebagai pemilik tanah lot tersebut.
Dan satu lagi adalah proses pembahagian tanah yang sama juga seperti tadi cuma bezanya tidak sampai membuat pecah geran tanah secara berasingan dan masih lagi digunakan geran tanah asal yang mempunyai banyak nama sebagai pemilik yang berkongsi hakmilik tanah lot tersebut.
PECAH SEMPADAN
Manakala prosedur pecah sempadan pula adalah berlainan kerana kerja pembahagian lot tanah tersebut adalah dibuat bukan kerana hendak membahagikan lot tanah tersebut kepada luas sebenar bahagian masing-masing. Pemecahan sempadan lot tanah tersebut dibuat bagi menerbitkan beberapa jumlah bahagian tertentu yang dipersetujui atau yang hendak dibuat oleh pemilik tanah lot tersebut tetapi tidaklah mengikut jumlah bahagian serta luas sebenar seperti yang telah ditulis di dalam dokumen geran tanah. Satu lot tanah yang mempunyai hanya 1 nama atau lebih dari 1 pemilik tetapi boleh saja dipecahkan kepada 2 atau lebih daripada 2 bahagian tetapi masih mengekalkan jumlah pegangan kadar pecahan bahagian pemilikan tanah yang sama seperti asal.
Masih tidak faham, pening dan keliru !!! Hehe... maaflah sebagai seorang jurukur tanah yang bukan pakar bahasa, penulis sendiri pun kurang arif dalam memilih ayat yang sesuai untuk memberikan penjelasan tepat tetapi di bawah akan penulis tunjukkan dengan contoh gambarajah rujukan untuk lebih memudahkan anda faham maksud sebenar penulis. Adalah diharapkan dengan penerangan dan juga rujukan gambarajah contoh akan memudahkan pembaca faham definasi antara 2 jenis pecahan tanah ini.
( klik foto untuk zoom besarkan )
Diberikan satu contoh mudah, ada satu lot tanah iaitu Lot 1234 dengan luas 1 ekar dan mempunyai 2 pemilik dengan luas bahagian masing-masing adalah ½ bahagian.
Pemilik tanah itu adalah :
1.) Si Abang : 1/2 bahagian
2.) Si Adik : 1/2 bahagian
Jika kedua-dua pemilik tanah ini bersetuju untuk membahagikan lot tersebut kepada luas sebenar mengikut luas bahagian masing-masing seperti yang telah ditulis di dalam geran tanah maka mereka perlulah membuat proses ‘Pecah Bahagian’ yang seperti dalam gambarajah di bawah.
( klik foto untuk zoom besarkan )
Maka dibuat satu Pelan Pecah Bahagian dengan masing-masing akan mendapat bahagian tanah dengan keluasan 0.5 ekar setiap pemilik. Sekarang terpulang kepada kehendak 2 beradik ini samada masih nak kekal gunakan geran tanah asal yang berkongsi hakmilik ( pecah bahagian tanpa melibatkan pecah geran tanah asal ) atau pun mereka mahu membuat pula pecahan geran tanah berasingan dengan masing-masing akan mendapat satu geran tanah berasingan untuk bahagian tanah masing-masing yang tidak lagi berkongsi hakmilik seperti dalam geran tanah asal. ( pecah bahagian yang melibatkan proses pecah geran tanah secara berasingan / individu ).
Nota :
Untuk membuat pecahan geran tanah secara berasingan ada pula syarat lulus yang bersangkutan dengan luas minima tanah setiap bahagian, kategori kegunaan tanah serta jalan keluar masuk untuk setiap pecahan bahagian tersebut. Maka disinilah proses lain akan terlibat dan perlu dibuat secara berasingan atau ada yang boleh dibuat secara serentak. Contohnya syarat luas tanah bagi kategori pertanian perlulah luas minima 0.25 ekar bagi setiap bahagian dengan cuma ada 1 penama hakmilik barulah layak untuk memohon geran tanah berasingan. Tetapi jika tak cukup luas maka perlu pula dibuat proses 'tukar syarat' kategori kegunaan tanah daripada pertanian kepada kediaman atau bangunan. Permohonan untuk pecah bahagian dan pecah geran tanah ini boleh dibuat secara serentak dengan permohonan untuk tukar syarat kegunaan tanah. Ini hanya sekadar perkara yang asas saja. Ada syarat lulus lain-lain lagi yang perlu dibuat pertanyaan dan semakan di pejabat tanah daerah terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa permohonan supaya tidak terjadi kerugian masa, tenaga serta wang ringgit kepada pemilik tanah. Jadi jangan malas hendak pergi ke pejabat tanah dan jangan sekadar berharap atau bagi kepercayaan kepada agen atau orang tengah. Lakukanlah sendiri barulah kurang kos yang terlibat.
OK.... sambung balik kepada proses 'Pecah Sempadan' pula.
Tetapi andaikata 2 beradik pemilik tanah yang berkongsi hakmilik itu bersepakat pula hendak membuat pecahan kepada 2 bahagian tetapi masing-masing masih hendak mengekalkan jumlah pegangan hakmilik yang sama ke atas setiap bahagian yang mahu dibuat iaitu masing-masing mempunyai hak ½ bahagian maka perlulah dibuat proses ‘Pecah Sempadan’ seperti berikut.
( klik foto untuk zoom besarkan )
Dibuat 2 pecahan bahagian dengan luas 0.5 ekar setiap bahagian tetapi kedua-dua mereka masih juga berkongsi hakmilik yang sama luas iaitu masing-masing mempunyai luas ½ bahagian ke atas setiap pecahan bahagian tersebut.
Tetapi jika mereka bersepakat pula hendak membuat lebih daripada 2 pecahan bahagian, contohnya dipecahkan kepada 4 bahagian tidaklah menjadi masalah jika masing-masing sudah bersetuju dengan jumlah pecahan yang hendak dibuat. Maka beginilah pula bentuk pecahan tersebut.
( klik foto untuk zoom besarkan )
Dibuat 4 pecahan bahagian dengan luas setiap bahagian tersebut adalah 0.25 ekar tetapi kedua-dua pemilik tanah itu masih juga mengekalkan pegangan hakmilik berupa ½ bahagian di dalam setiap pecahan bahagian yang dibuat.
Melalui gambarajah contoh yang telah ditunjukkan beserta dengan penerangan ringkas berkenaan setiap proses pecahan yang telah dibuat oleh kedua-dua pemilik tanah di atas, penulis harap pembaca telah faham akan perbezaan proses dan kerja di antara kedua-dua prosedur pecah tanah ini iaitu di antara ‘Pecah Bahagian’ dan juga ‘Pecah Sempadan’. Jikalau masih juga tak faham, penulis pun tak dapat nak buat apa-apa lagi. Tak perlulah kirim pertanyaan kepada penulis di bawah sebabnya ini adalah urusan pejabat tanah bukannya urusan jurukur tanah. Jurukur tanah boleh berikan nasihat serta sediakan pelan cadangan tapi urusan serta kuasa meluluskan apa-apa permohonan mengenai tanah ini masih juga di tangan pihak pentadbir tanah daerah di pejabat tanah daerah. Hanya kalau urusan pecah bahagian yang hanya untuk membahagikan tanah tanpa melibatkan urusan pecah geran tanah, itu saja yang jurukur tanah boleh lakukan dari awal sampai siap tanpa perlu kelulusan pihak pejabat tanah daerah.
Jadi hanya setakat ini sahaja untuk kali ini. Jika di izinkan dan jika ada kelapangan masa penulis akan menambahkan lagi pengisian dengan artikel-artikel baru tetapi masih lagi dalam bidang topik ukur tanah untuk kita sama-sama beroleh manafaat dan juga sedikit ilmu daripadanya.
-----------------------------------------------------------------
>> PERKHIDMATAN JURUKUR TANAH<<
Jika anda merancang untuk mendapatkan khidmat Jurukur Tanah dan mahukan penjelasan lanjut berkenaan bidang kerja ukur tanah serta anggaran harga upah untuk setiap kerja tanah yang akan dikenakan, anda bolehlah mendapatkan maklumat lanjut dengan membaca di link yang telah kami sediakan di bawah.
Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :
( Klik nombor di bawah )
-----------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2023
#jurukurtanah
#jurukurtanahbagan
#jurukurtanahklang
#jurukurtanahdiklang
#jurukurtanahdiselangor
#baganbeachboy