Rabu, 12 Januari 2022

UNIT UKURAN : MAKSUD SIMBOL 'Ki' & 'Sc' DALAM PELAN PA LAMA DAN SEKARANG

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Walaupun kami telah memberikan penjelasan & penerangan bercontoh dalam bentuk artikel serta soal jawap pertanyaan pembaca berkenaan unit-unit ukuran yang biasa digunapakai bagi jarak & luas untuk tanah sejak tahun 2014 malangnya hingga ke hari ini kami masih lagi terima pertanyaan dan permintaan untuk mengira dan menukar jarak serta luas dari unit asal ke unit yang lain.

Tak kurang juga ada lagi yang masih bertanya nilai tukaran unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ serta cara mengira menukar unit ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini kepada unit meter atau kaki.

Sebenarnya simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini walaupun ada ditulis di belakang ‘bearing’ dan ‘jarak’ garisan sempadan lot dalam pelan PA tapi itu bukanlah menunjukkan jenis unit ukuran yang digunakan. Simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini diletakkan pada garisan tersebut cuma sekadar memberitahu bahawa ‘bearing’ dan ‘jarak’ itu bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah tetapi adalah hasil dari pengiraan dan ukuran pembaris di atas pelan sahaja. Untuk penerangan lebih lanjut berkenaan maksud sebenar ‘Ki’ dan ‘Sc’ penulis akan tunjukkan dengan contoh dibahagian bawah artikel ini.


Rujuk foto contoh pelan PA di atas, simbol-simbol yang biasa dapat dilihat dalam pelan PA pada waktu sekarang kebanyakan simbol-simbol ini adalah dalam bahasa Malaysia.


SIMBOL & MAKSUDNYA

BKL = Batu sempadan konkrit berbentuk bulat

BL = Batu sempadan granit berbentuk empat segi

Pk = Paku

P = Paip

Pb = Paip besi

Pkt = Kayu berpaku

TT = Tiada Tanda

j = Jumpa

Jum = Jumlah jarak


Semua simbol ini adalah merujuk kepada jenis penanda yang digunakan sebagai tanda sempadan lot yang telah ditanam di atas tanah kecuali simbol ‘j’ yang merujuk kepada tanda sempadan asal yang telah dijumpai semasa kerja ukuran dibuat. Manakala simbol ‘jum’ pula adalah bermaksud jumlah panjang garisan sempadan yang mempunyai banyak batu sempadan tetapi mempunyai satu garisan bearing yang sama.


SIMBOL ‘Ki’ DALAM PELAN PA SEKARANG



Rujuk foto contoh di atas, simbol ‘Ki’ yang ditulis pada belakang bearing & jarak garisan sempadan berwarna biru tersebut adalah bermaksud bahawa bearing dan jarak yang ditulis itu adalah hasil daripada ‘kiraan’ bukan daripada ukuran sebenar di atas tanah seperti bearing dan jarak setiap garisan sempadan berwarna merah. Cara mendapatkan nilai bearing dan jarak garisan biru tersebut adalah perlu dikira jumlah nilai ‘Latit’ dan ‘Dipat’ bermula dari batu sempadan A ke batu B bersambung ke batu C dan berakhir di batu D.

Tapi oleh kerana kemajuan teknologi waktu kini, pelan tidak lagi dilukis menggunakan jangka sudut dan pembaris T maka jurukur tanah tidak perlu lagi membuat kiraan ‘latit’ & ‘dipat’ untuk menghitung ‘direct bearing’ & ‘direct distance’. Aplikasi CAD komputer dan mesin kalkulator berprogram sudah boleh membuat pengiraan ‘Ki’ ini dengan hanya ‘klik-klik’ sahaja. Kerana kemajuan teknologi jugalah yang menyebabkan jurukur tanah zaman sekarang tidak lagi menghafal formula bagi membuat pengiraan dan membuat pembetulan tikaian lurus secara manual.


SIMBOL ‘Sc’ DALAM PELAN PA LAMA

Rujuk foto contoh di atas, garisan sempadan yang berwarna hijau ditulis dengan jarak ‘Sc’ bermaksud jarak tersebut adalah hasil daripada ukuran menggunakan pembaris. ‘Sc’ adalah singkatan daripada perkataan ‘scale’ dalam bahasa Inggeris. Jarak-jarak dengan ukuran secara ‘Sc’ ini hanya terdapat dalam pelan PA yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris T. Kerja membuat ukuran tetap sama walaupun zaman dan teknologi sudah berubah. Ukuran tetap perlu dibuat bermula dari batu A ke batu B kemudian ditandakan batu 1, 2 & 3 yang terletak di atas garisan yang sama tapi berlainan jarak sahaja. Dari batu C ditandakan pula batu 4, 5 & 6 yang terletak atas garisan yang sama dengan batu D.

Seperti yang telah dinyatakan di atas, pada waktu dulu pelan tanah perlu dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Waktu dulu masih tiada lagi komputer atau mesin kalkulator yang boleh membantu memudahkan kerja mengira dan melukis pelan. Perlu masa yang lama dan kemahiran tinggi untuk membuat pengiraan matematik tanpa mesin kalkulator. Jadi untuk mendapatkan nilai bagi garisan sempadan yang berwarna hijau yang tidak diukur di atas tanah seperti garisan dari batu 1 ke batu 6, dari batu 2 ke batu 5 dan dari batu 3 ke batu 4, pelukis pelan hanya menggunakan ukuran pembaris sahaja selepas kesemua garisan sempadan berwarna merah yang diukur di atas tanah dilukis terlebih dahulu. Selepas terciptanya mesin kira-kira dan sebelum negara merdeka, walaupun pelan masih lagi perlu dilukis secara manual tetapi pengiraan sudah boleh dibuat dengan mudah. Bearing & jarak bagi garisan yang didapati dari hasil kiraan akan ditulis dengan simbol ‘Cal’ ( singkatan Calculation ) atau ‘Comp’ ( singkatan Computation ) yang berasal dari perkataan bahasa Inggeris. Setelah merdeka barulah ditukar kepada ‘Ki’ ( singkatan Kiraan ) yang menggunakan perkataan bahasa Malaysia.

Jadi bearing & jarak yang diukur secara kiraan ‘Ki’ hanya terdapat dalam pelan PA selepas negara merdeka. ‘Cal’ atau ‘Comp’ terdapat dalam pelan PA sebelum merdeka selepas terciptanya alat mesin kira-kira. Manakala bearing & jarak yang diukur secara ukuran pembaris ‘Sc’ hanya terdapat dalam pelan PA lama yang dilukis secara manual menggunakan jangka sudut dan pembaris. Sebelum merdeka pelan PA lebih dikenali sebagai pelan CP dari singkatan bahasa Inggeris untuk ‘Certified Plan’.

Dengan penjelasan beserta foto contoh di atas adalah diharapkan pembaca akan faham bahawa simbol-simbol ‘Ki’ dan ‘Sc’ ini bukanlah satu unit ukuran seperti ‘ling’, ‘meter’ atau ‘kaki’. Simbol ini cuma sekadar memberitahu bahawa nilai bearing dan jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Ki’ adalah nilai yang didapati dari hasil pengiraan manakala jarak yang ditulis dengan akhiran ‘Sc’ pula adalah hasil dari ukuran pembaris di atas pelan. Kedua-dua nilai ini bukanlah dari hasil ukuran sebenar di atas tanah.


LAIN-LAIN SIMBOL YANG BIASA TERDAPAT DALAM PELAN TANAH

in = inci

ka / ft = kaki

ch = rantai

m = meter

km = kilometer

m2 / mp / sq. m = meter persegi

k2 / ka2 / kp / kp / ft2 / sq. ft = kaki persegi

H / hek / ha = hektar

A / ac / ek = ekar

R / r = rood

p = pole

cal = calculation

comp = computation / kiraan

ki = kiraan / computation

dpi = dari perkiraan

sc = scale

po / sa = seperti asal

az = azimuth cerapan matahari

j = jumpa

tt = tiada tanda / tak tanda

bl = batu lama

bkl = batu konkrit lama

pkt = kayu piket

pk = paku

p = paip

pb = paip besi / paip baru

sp = iron spike / pepaku besi

T = ukuran kelas 3


SEKIAN
TERIMA KASIH

 ------------------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ------------------------

Jumaat, 16 April 2021

PECAH GERAN TANAH : ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

PECAH GERAN TANAH
ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP

Proses diantara ‘Pecah Sempadan’ dan ‘Pecah Bahagian’ yang membabitkan pengeluaran geran tanah berasingan / individual dari segi prosedur mempunyai sedikit perbezaan namun persamaannya adalah kedua-dua proses pecahan ini terbabit dengan beberapa jenis bayaran secara berperingkat dari awal permohonan dibuat sehinggalah mendapat kelulusan. Secara asasnya terdapat pelbagai prosedur dan pelbagai jenis bayaran yang perlu dibuat kepada pihak-pihak berkuasa yang berlainan bidang kuasa. Dan inilah sebabnya mengapa yuran harga bagi kerja ini dikatakan tinggi atau mahal oleh pemilik tanah. Seringkali pemilik tanah akan tersalah anggap bahawa kesemua duit itu akan dibayar kepada pihak jurukur tanah. Itu adalah salah anggapan sebenarnya. Yang sebenarnya terdapat banyak jenis bayaran yang perlu dibuat kepada banyak pihak untuk mendapatkan kelulusan. 
Di bawah adalah 5 pihak yang terlibat dengan senarai perkhidmatan serta fee / yuran yang perlu dibuat bayaran kepada mereka. 

1.) Pejabat Tanah Daerah ( PTD )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Memperenggan
> Cabutan
> Borang 9A atau 9B
> Pelan Surih
> Pendaftaran QT / Hakmilik Sementara
> Wang Pos
> Deposit Ubah Syarat / Premium
> Akuan Sumpah
> Notis

Nota : Kadar bayaran ini adalah berbeza dan tertakluk kepada PTD setempat


2.) Majlis Daerah / Perbandaran / Bandaraya ( Majlis )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Pelan Surih
> Cabutan
> Bayaran proses Kebenaran Merancang
> Fee Pemajuan

Nota : Kadar bayaran ini juga berbeza dan tertakluk kepada Majlis setempat


3.) Jurukur Tanah Berlesen ( LS )

Antara bayaran yang terlibat ialah :

> Pendaftaran fail
> Penyediaan pelan Pra-Hitungan serta lain-lain pelan yang perlu
> Bayaran untuk kerja ukuran di tapak tanah bagi penyediaan pelan

Nota : 
* bayaran untuk ini perlu dijelaskan terlebih dahulu jikalau terdapat keperluan untuk Jurukur menjalankan kerja ukur bagi mendapatkan maklumat butiran pada tanah yang terlibat bagi tujuan penyediaan pelan Pra-Hitungan dan lain-lain jenis pelan-terlibat bagi tujuan permohonan.


4.) Perancang Bandar Berlesen ( Swasta )

Ada kategori tanah yang perlu disertakan bersama plan Kebenaran Merancang (LCP) bersama dengan permohonan (rujuk bayaran kepada Majlis Daerah). Plan Kebenaran Merancang ini perlulah disediakan oleh Perancang Bandar Berlesen.

Kadar bayaran bukan dibawah kawalan pihak PTD, Majlis atau LS. Ianya tidak tetap dan mungkin terdapat perbezaan harga bergantung kepada kadar harga serta yuran perkhidmatan pihak Perancang Bandar Berlesen yang berkenaan.


5.) Lembaga Jurukur Tanah ( LJT )

LJT selaku persatuan bagi kesemua jurukur tanah berlesen adalah sebuah lembaga yang ditubuhkan berasaskan kepada perlembagaan negara melalui undang-undang Kanun Tanah Negara ( KTN ). KTN bukan sahaja kepentingan setiap jurukur tanah berlesen dipelihara tetapi kepentingan rakyat selaku pelanggan dan kepentingan kerajaan selaku pentadbir tanah juga telah ditetapkan dalam bentuk peraturan dan undang-undang. 

Antara bayaran untuk LJT ialah :

> Bayaran asas
> Bayaran bagi petak-petak pecahan
> Bayaran bagi pelan Pra-Hitungan
> Garisan Azimuth, sambungan dan kawalan
> 20% Yuran Proses Data Digital *
> 6% cukai kerajaan

Penggunaan data geospatial dalam format digital yang disediakan oleh JUPEM dan dikelolakan oleh LJT adalah seperti jurukur tanah menggunakan lebuhraya yang disediakan oleh LJT untuk mudah dan cepat sampai ke destinasi. Jadi pada setiap penggunaan lebuhraya digital ini maka perlulah dibayar kadar tol seperti yang telah ditetapkan.


TEMPOH MASA ANGGARAN SIAP

Secara umumnya tempoh masa yang diambil dari awal permohonan hingga mendapat kelulusan adalah di antara 6 – 18 bulan ( paling cepat ) dan boleh berlanjutan hingga bertahun tahun lamanya jika lot tersebut ada isu atau bermasalah.

HARGA ANGGARAN KASAR

Hanya sekadar contoh harga anggaran kasar untuk perbandingan, satu lot asal seluas 2 ekar. Jika pelanggan mahu pecahkan menjadi 2 lot kecil berasingan dengan keluasan masing-masing 1 ekar maka perlu dibuat 1 permohonan untuk pecah 1 lot baru dengan luas 1 ekar dan baki tanah 1 ekar lagi akan kekal dalam lot asal dengan pindaan luas yang baru iaitu cuma 1 ekar. Kos anggaran kasar adalah dalam julat harga :
RM 10 ++ ribu ( updated : Tahun 2021 )

Tetapi jika pelanggan mahu pecahkan lot asal yang luas 2 ekar tersebut kepada 4 lot kecil dengan masing-masing luas 0.5 ekar. Mungkin kos anggaran kasar bagi kerja pecah geran tanah ini dalam julat harga RM 30 ribu. Ini secara purata akan menjadikan harga untuk setiap 1 lot baru dengan geran tanah sendiri cuma sebanyak RM 7.5 ribu sahaja. Dibanding harga untuk pecah 1 lot baru berharga RM 10 ribu, sekarang bila dipecah kepada 4 lot, kos harga cuma RM 7.5 ribu ini bermakna sudah berkurangan sebanyak RM 2.5 ribu untuk setiap 1 lot baru. Atau mungkin jika dipecah pula kepada 8 lot kecil dengan luas masing-masing 0.25 ekar, kos harga bagi setiap 1 lot baru dengan geran tanah sendiri hanya pada harga RM 5 ribu sahaja.

Inilah maksudnya semakin banyak lot pecahan dibuat maka semakin berkurangan kos harga bagi keseluruhan proses pecah geran tanah tersebut. Tetapi ini bukanlah harga sebenar ini hanyalah sekadar harga anggaran kasar sahaja.


PECAH BAHAGIAN YANG TAK MEMBABITKAN URUSAN PECAH GERAN TANAH BERASINGAN


Bagi pemilik tanah yang mahu membuat pecahan bahagian tetapi masih terus kekal mahu menggunakan geran tanah asal yang berkongsi hakmilik, itu pun boleh dibuat. Pelan yang sama akan disediakan tetapi tak perlu mohon kelulusan daripada pentadbir tanah daerah / pejabat tanah daerah. Jika setiap pemilik tanah yang berkongsi geran tanah tersebut bersetuju dengan pelan pecahan bahagian yang telah disediakan barulah jurukur tanah akan pergi ke lokasi dan buat penandaan di atas tanah. Kerja ini tidak perlu permohonan atau kelulusan mana-mana pihak berkuasa kecuali kelulusan para pemilik tanah sahaja. Dan sudah tentu juga kos harga akan jauh lebih rendah daripada kos pecahan bahagian yang bertujuan untuk dapatkan geran tanah berasingan.

Dan untuk lebih faham jenis pecahan bahagian yang tak membabitkan pecah geran tanah berasingan, pecahan dibuat hanya sekadar untuk pembahagian tanah ikut keluasan tertentu atau ikut hak masing-masing seperti yang tertulis dalam geran tanah, pelan pecahan bahagian yang perlu disediakan serta kerja ukuran yang terlibat sila baca artikel dengan klik link dibawah :-




NOTA KAKI

Jika permohonan 'Pecahan Bahagian' yang hendak dibuat tak cukup syarat dari segi luas minima 0.25 ekar bagi tanah pertanian satu penama atau permohonan 'Pecahan Sempadan' yang tidak cukup luas 1 ekar 1 plot / bahagian maka permohonan tukar syarat kegunaan tanah perlulah dibuat terlebih dahulu. Dan untuk lakukan ini perlulah disemak dengan PTD samada perlu dibuat perancangan oleh Perancang Bandar Bertauliah atau pun tidak. Ini adalah kerana pihak kerajaan mempunyai perancangan sendiri yang dibuat secara sistem 'zoning'.

Permohonan bagi 'Tukar Syarat' jenis kegunaan tanah dengan 'Pecahan Bahagian' atau 'Pecahan Sempadan' bagi mendapatkan geran tanah berasingan boleh dibuat secara berasingan dan boleh juga dibuat secara serentak. Tetapi permohonan untuk perancangan pemajuan tanah bagi tukar syarat ini perlulah dibuat dengan lampiran laporan cadangan pemajuan tanah serta pelan perancangan yang disediakan oleh pihak perancang bandar bertauliah bukan jurukur tanah berlesen. Permohonan Kebenaran Merancang perlu dihantar kepada pihak Majlis terlebih dahulu. Selepas mendapat kelulusan daripda pihak Majlis barulah kelulusan tersebut dilampirkan bersama dengan permohonan pecah bahagian atau pecah sempadan yang dihantar kepada pihak Pejabat Tanah Daerah.

Untuk lebih faham prosedur yang terlibat anda boleh baca penjelasan di artikel lain dengan klik pada link di bawah.

 

Sampai sini dahulu untuk kali ini

_____________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :


( Klik nombor di bawah )


012-3949064


-----------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah

#jurukurtanahbagan

#jurukurtanahklang

#jurukurtanahdiklang

#jurukurtanahdiselangor

#baganbeachboy

#jtklang


Selasa, 2 Mac 2021

UNIT UKURAN LAMA DALAM GERAN TANAH NEGERI TERTENTU

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



Negara kita Malaysia sebelum merdeka dan jauh lebih lama lagi sebelum dijajah oleh mana-mana negara lain walaupun dari segi kemajuan kita tidaklah semaju negara penjajah tersebut. Tetapi dari segi tamadun dan budaya kita juga mempunyai tamadun dan budaya kita sendiri yang merangkumi hampir setiap aspek kehidupan termasuklah dari segi ukuran-ukuran bagi menentukan jarak, luas serta berat.

Tamadun dan budaya kita ini mungkin tidak sama dengan yang dibawa oleh pihak penjajah tetapi dari segi kesesuaian hidup masyarakat penduduk setempat serta geografi persekitaran inilah merupakan ciri dan cara hidup yang paling bersesuaian dengan kita sejajar dengan kemajuan serta sistem pemerintahan kita pada waktu itu.

Ketamadunan dan kebudayaan kita tidaklah kurang maju atau tidak mempunyai aspek nilai tambah yang boleh dan berpotensi untuk terus berkembang maju mengikut peredaran masa serta keperluan. Tetapi oleh kerana negara kita dahulu tidak bersatu dalam satu kesatuan yang besar, kukuh dan kuat inilah yang menjadi kelemahan kita dan penyebab kepada kedatangan penjajah mengekspoiltasikan kelemahan kita ini.

Kelemahan paling ketara adalah negara kita dahulu tidak bersatu, berpecah belah dan saling bermusuhan. Setiap tebing sungai adalah sempadan wilayah kekuasaan dan pemerintahan. Dan setiap wilayah ini pula akan mengamalkan budaya hidup sendiri dengan sedikit perubahan daripada apa yang diamalkan di wilayah bersebelahan. Walaupun secara zahirnya ciri-ciri budaya setiap wilayah itu nampak sama tetapi setiap pemerintah akan cuba menonjolkan sedikit kelainan bagi memberikan identiti tersendiri kepada wilayah kekuasaan pemerintahannya.

Jadi inilah sebabnya mengapa di sesetengah negeri unit ukuran yang digunakan tidak sama dengan di negeri lain. Sebelum kedatangan penjajah lagi kita sudah ada sistem yang berbeza bagi setiap wilayah dan negeri. Apabila negara kita dijajah secara ‘pecah perintah’ oleh Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun pula sistem yang dibawa dan diperkenal oleh pihak penjajah ini juga berlainan tidak sama mengikut waktu dan sistem penjajah itu sendiri. Ini juga menjelaskan mengapa terdapat sistem atau unit ukuran yang berlainan bagi negeri-negeri tertentu sebelum negara kita menukar keseluruhannya secara standard kepada hanya satu unit yang sama iaitu unit ‘METRIK’ selepas negara kita mencapai kemerdekaan.


UNIT UKURAN LAMA DI NEGERI KELANTAN

( DEPA )

Bagi negeri Kelantan keluasan yang selalu ditulis dalam geran tanah yang lama adalah dalam unit ‘Ekar’ dan ‘Depa’. Luas tanah akan ditulis seperti contoh berikut :

0ᴬ 167ᴰ

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 0 ekar ) + ( 167 depa persegi )

Jadi berapakah luas tanah ini yang sebenarnya dalam nilai ‘ekar’, ‘meter persegi’ atau ‘kaki persegi’. Untuk mengira luas sebenar tanah ini maka kita perlulah tahu terlebih dahulu formula penukar yang tepat yang boleh digunakan untuk membuat pengiraan.


FORMULA ASAS PENGIRAAN

1 depa = 6 kaki

1 ekar = 43,560 kaki persegi

1 depa persegi = ( 6 x 6 ) = 36 kaki persegi

1 ekar = ( 43,560 / 36 ) = 1,210 depa persegi

1 ekar = ( 1,210 x 36 ) = 43,560 kaki persegi

1 ekar = 4,046.86 meter persegi

1 meter persegi = 10.764 kaki persegi


Maka luas tanah contoh di atas adalah :

Dalam unit EKAR :

= ( 167 depa / 1,210 depa ) ekar

= 0.1380 ekar


Dalam unit KAKI PERSEGI :

= ( 0 ekar = 0 kp ) + ( 167 depa x 36 kp )

= 6012 kaki persegi


Dalam unit METER PERSEGI :

( 1 ) = 0.1380 ekar x 4046.86 = 558.5 meter persegi

( 2 ) = ( 6012 kp / 10.764 ) = 558.5 meter persegi



UNIT UKURAN LAMA DI NEGERI KEDAH & PERLIS

( RELUNG & JEMPA )

Bagi negeri Kedah & Perlis keluasan yang selalu ditulis dalam geran tanah yang lama adalah dalam unit ‘Relung’ dan ‘Jempa’. Luas tanah akan ditulis seperti contoh berikut :

2r 423j

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 2 relung ) + ( 423 jempa )


Jadi berapakah luas tanah ini yang sebenarnya dalam nilai ‘ekar’, ‘meter persegi’ atau ‘kaki persegi’. Untuk mengira luas sebenar tanah ini maka kita perlulah tahu terlebih dahulu formula penukar yang tepat yang boleh digunakan untuk membuat pengiraan.


FORMULA ASAS PENGIRAAN

1 relung = 176 kaki = 53.644 meter

1 relung persegi = 484 jempa

1 relung persegi = 30,976 kaki persegi

1 relung persegi = 2,877.7 meter persegi

1 relung persegi = 0.7111 ekar

1 jempa = 64 kaki persegi = 5.946 meter persegi

1 jempa = 0.001469 ekar


Maka luas tanah contoh di atas adalah :

Dalam unit EKAR :

= ( 2 relung x 0.7111 ) + ( 423 jempa x 0.001469 )

= ( 1.4222 ) + ( 0.6214 )

= 2.0436 ekar


Dalam unit METER PERSEGI :

= ( 2 x 2,877.7 ) + ( 423 x 5.946 )

= ( 5,755.40 ) + ( 2,515.16 )

= 8,270.56 meter persegi


Dalam unit KAKI PERSEGI :

= ( 2 X 30,976 ) + ( 423 X 64 )

= ( 61,952 ) + ( 27,072 )

= 89,024 kaki persegi

----------------------------------------------------------

Jika anda ada keperluan untuk membuat kerja ukur tanah atau hendak menyediakan pelan bagi pembahagian tanah anda bolehlah hubungi kami. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan melalui mesej aplikasi WhatsApp dengan klik nombor di bawah.

( klik bawah )


012-3949064



SEKIAN TERIMA KASIH

----------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2024