Khamis, 27 Jun 2024

PENANDAAN REZAB JALAN MASUK KE LOKASI TANAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Selain daripada kerja ukur bagi penandaan sempadan lot dan sempadan bahagian tanah dalam lot yang mempunyai ramai pemilik berkongsi geran tanah, kami dan jurukur tanah yang lain juga boleh membuat kerja carian dan ukuran bagi penandaan rezab jalan masuk yang sedia ada atau penandaan jajaran jalan masuk dengan lebar yang dikehendaki oleh pelanggan.

Tidak semua tanah yang bergeran dan yang mahu dibangunkan berada bersebelahan dengan jalan yang telah sedia ada boleh dilalui untuk pergi ke lokasi tanah tersebut. Pemilik tanah juga tidak boleh sesuka hati membuka jalan di atas tanah lot hak pemilik lain. 

Untuk mengelakkan isu perlanggaran sempadan atau pencerobohan tanah orang serta kerugian pada masa hadapan, jalan masuk untuk ke lokasi tanah pemilik perlulah dibuat di dalam rezab jalan yang sedia ada tapi jalan belum ada.

Jurukur tanah boleh membantu pemilik tanah dengan membuat carian dan cadangan pilihan arah jajaran jalan yang boleh dibuat dan dapat bersambung ke jalan yang sudah sedia ada ( rujuk foto lampiran contoh di atas ). 

Kadar harga bagi kerja ini bergantung kepada jumlah keluasan tanah rezab jalan tersebut atau jumlah jarak jauh jalan yang perlu diukur serta lain-lain faktor seperti lokasi, bentuk mukabumi dan lain-lain faktor yang sama seperti kerja ukur untuk penandaan sempadan tanah.

Secara asas bagi keluasan tanah 1 ekar yang pertama atau sebahagiannya untuk penandaan rezab jalan atau bagi penandaan jajaran jalan berjarak 200m atau sebahagiannya, kadar harga kami adalah RM 800. Jikalau luas rezab jalan tersebut melebihi 1 ekar atau jarak jalan masuk tersebut melebihi 200m baru ada tambahan harga pada kadar RM 4 / per meter. Faktor lokasi dan bentuk mukabumi juga akan diambilkira dan ditentukan samada terdapat kos tambahan atau tidak sama seperti untuk kerja penandaan sempadan tanah.

Sudah tentulah di antara 2 kawasan tanah yang berlainan keadaan, lokasi dan bentuk mukabumi kadar harga tidak boleh sama walaupun luas tanah atau jumlah jarak sama. Faktor-faktor yang menambah kepayahan bagi kami dalam membuat kerja perlulah diambilkira dan akan ditambahkan dalam jumlah harga.

Pemilik tanah yang berminat boleh hubungi kami bagi perbincangan dan seterusnya mendapatkan sebutharga bagi kerja pengukuran rezab jalan dan jajaran jalan masuk yang anda perlukan.

 

TERIMA KASIH

------Jurukur Tanah Klang @ 2024 -----

Rabu, 22 Mei 2024

MEMBUAT CARIAN LOT KADASTER MELALUI APLIKASI MYLOT JUPEM2U

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 



Pihak Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) telah membangunkan satu aplikasi bagi tujuan membuat carian lot kadaster berdigit yang boleh digunakan oleh pengguna dengan akaun berdaftar dengan Jupem serta pengguna awam melalui komputer atau telefon pintar yang mempunyai capaian internet pada skala jalur lebar atau berkelajuan tinggi.

Bagi pengguna awam walaupun mereka tidak mempunyai sebarang akaun yang berdaftar dengan pihak Jupem mereka tetap boleh memuat turun, instal aplikasi dan membuat setting tetapan aplikasi. Cuma bagi pengguna awam infodata yang dapat dicapai dan diperolehi hanyalah sekadar yang asas sahaja. Untuk membolehkan lebih banyak infodata dicapai dan diperolehi mereka perlulah membuat pendaftaran dan membuka satu akaun pengguna data digital dengan pihak Jupem.

Di bawah penulis akan berikan penerangan bergambar secara ringkas proses yang perlu dibuat satu persatu sebelum aplikasi ini boleh aktif berfungsi di dalam komputer atau telefon pintar anda.


DARI MANA NAK MUAT TURUN APLIKASI

1.) Dari laman web JUPEM :

( klik link bawah )

APLIKASI MyLot


2.) Dari Google Play Store :

( klik link bawah )

APPS MyLot Jupem


Setelah muat turun aplikasi secara otomatik OS telefon pintar akan memproses isu keselamatan dan memberikan notis peringatan serta membuat pertanyaan samada kita mahu 'instal' atau 'delete' aplikasi ( bergantung kepada privacy setting telefon anda ).

Selesai proses instal aplikasi barulah anda boleh 'OPEN' dan membuat sedikit penetapan / setting bagi membolehkan aplikasi ini berfungsi dengan sempurna dan dalam keadaan 'real time'.


MEMBUAT SETTING PETA NEGERI DAN LAPISAN ASAS BAGI PAPARAN LOT KADASTER SERTA PETA LATAR APLIKASI MYLOT

  

( Pramuka Aplikasi MyLot )

1.) Klik pada menu 'Map' untuk akses masuk ke aplikasi

 

( Paparan Muka Hadapan Aplikasi MyLot )


( Senarai Menu Utama Aplikasi )

2.) Pergi ke senarai MENU utama


( Menu Pilihan Peta Negeri Asas Aplikasi )

3.) PILIH negeri untuk paparan lot kadaster latar


( Menu Pilihan Lapisan Layer Asas Aplikasi )

4.) PILIH lapisan paparan peta lot kadaster :-

Lot NDCDB : lot telah diukur halus dan sedia ada dalam aplikasi

Lot Relative NDCDB : lot baru diukur halus dan masih belum dikemaskini dalam aplikasi

Lot C3 : lot yang perlu dikemaskini atau perlu dibuat ukuran semula



( Menu Pilihan Peta Asas Aplikasi )

5.) PILIH lapisan paparan peta latar belakang aplikasi :-

Google Satelite : paparan peta pandangan satelit

Google Road : paparan peta jalan

Tiada : untuk tutup semua jenis paparan peta latar tinggalkan hanya paparan peta lot kadaster sahaja



( Menu Untuk Buat Carian Lot Kadaster )

6.) Setelah semua perkara di atas telah ditetapkan barulah pengguna boleh membuat carian lot kadaster melalui info nombor lot, mukim, daerah & negeri atau membuat carian lot kadaster melalui info koordinat GPS secara memasukkan info ( Latitude , Longlitude ).



PENETAPAN DAN SETTING YANG PALING UTAMA TERPENTING DIBUAT SEBELUM MENGGUNAKAN APLIKASI MYLOT JUPEM2U

Yang paling utama serta terpenting yang perlu dilakukan bagi membolehkan aplikasi ini berfungsi dengan sempurna serta secara 'ONLINE' dan 'REALTIME' adalah anda perlulah berikan kebenaran kepada aplikasi MyLot menggunakan lokasi sebenar anda bagi setiap masa atau bagi setiap penggunaan aplikasi di dalam privacy setting komputer atau privacy setting telefon pintar anda. 

Tanpa kebenaran ini aplikasi MyLot tak dapatlah nak tunjukkan dimana lokasi anda berada secara tepat pada waktu MENU kedudukan semasa seperti dalam foto dibawah digunakan.




Apa yang penulis berikan diatas hanyalah perkara asas bagi membolehkan aplikasi MyLot ini berfungsi dengan sempurna setelah di instal. Ada beberapa lagi info yang boleh dibuat carian oleh pengguna awam seperti nombor Pelan PA bagi lot, koordinat GPS kedudukan setiap batu sempadan lot, reset semula paparan dan lain-lain. Untuk ini pengguna perlulah mahirkan diri dengan penggunaan aplikasi terlebih dahulu.

Sekian dahulu untuk kali ini

TERIMA KASIH

---------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 ---------------

Ahad, 25 Februari 2024

KADAR FI & BAYARAN PENGURUSAN TANAH DI PEJABAT TANAH DAERAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

KADAR FI & BAYARAN PENGURUSAN TANAH DI PEJABAT TANAH DAERAH

( Kadar Fi & Bayaran PTD Klang ini sekadar contoh rujukan dan tidak semestinya sama di setiap daerah setiap negeri di Malaysia )




Seperti yang pernah kami beritahu pembaca pada tahun awal penerbitan halaman ini dahulu iaitu anda boleh membuat 'carian persendirian' atau 'carian rasmi' bagi mendapatkan maklumat terkini kandungan geran hakmilik tanah dalam lot tanah tertentu. Maklumat yang terdapat dalam dokumen carian ini seperti maklumat keluasan tanah terkini, senarai nama pemilik terkini, alamat pemilik, luas pegangan tanah setiap pemilik dan lain-lain lagi. Bagi perkhidmatan carian ini terdapat sejumlah bayaran yang perlu dibayar kepada Pejabat Tanah Daerah ( PTD ) yang kadarnya bergantung kepada jenis dokumen carian yang diperlukan pelanggan.

Sebenarnya bukan itu sahaja perkhidmatan yang disediakan oleh pihak PTD. Dalam hal pengurusan tanah di PTD terdapat banyak lagi jenis fi & bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan mengikut kadar yang telah ditetapkan samada oleh akta Kanun Tanah Negara ( KTN ) atau peraturan dan pekeliling yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri merangkap pihak berkuasa tertinggi dalam pentadbiran tanah negeri di Malaysia. Urusan bagi mana-mana bidang tanah hanya boleh dibuat di PTD lokasi tanah tersebut sahaja tidak boleh dibuat di PTD daerah lain walaupun masih dalam satu negeri yang sama. Oleh kerana terdapat perbezaan dari segi infrastruktur, kemajuan pembangunan, taraf hidup penduduk, kegunaan dan nilai tanah serta kualiti perkhidmatan yang disediakan maka kadar fi & bayaran bagi perkhidmatan PTD ini juga terdapat sedikit perbezaan di setiap daerah setiap negeri kecuali bagi urusan tanah yang terikat dengan undang undang persekutuan dalam akta KTN yang sama.

Pengurusan tanah di PTD dibahagikan kepada beberapa unit-unit pengurusan yang diwujudkan bagi memudahkan dan mempercepatkan pengurusan dengan matlamat setiap urusan dapat diselesaikan dalam masa yang segera tanpa melambakkan urusan yang belum selesai.

Bagi penulis walau apa pun kemajuan taraf perkhidmatan, cantik manapun lobi bangunan atau pakaian kakitangan, kelemahan dan kelewatan urusan tetap ada. Pengukuhan sistem perlaksanaan perlulah dilakukan dari masa ke semasa. Kakitangan awam perlulah melaksanakan tugas dengan penuh integriti, penuh tanggungjawab dan kesamarataan serta menghormati setiap golongan pelanggan tanpa mengira usia, jantina, etnik atau taraf hidup mereka. Kerana pekerjaan sebagai kakitangan awam tidak menjadikan mereka sebagai 'insan terpilih' yang boleh membuat sesuka hati tanpa perlu mengikut peraturan. Dalam memberikan perkhidmatan kaunter, kakitangan awam haruslah bersifat jujur, ikhlas, mesra serta rendah diri sepertimana dedikasi doktor dan jururawat di hospital atau pun sekurang-kurangnya menyamai standard perkhidmatan kaunter hadapan di sektor swasta.

Di pihak pelanggan pula, mereka perlulah menyediakan dokumen yang lengkap dengan merujuk kepada senarai semak ( checklist ) yang boleh diperolehi samada dari talian laman web PTD di internet atau di kaunter perkhidmatan PTD. Kegagalan pelanggan membuat urusan mengikut susunan peraturan dan kegagalan menyediakan dokumen lengkap pada waktu membuat permohonan di PTD juga akan menyebabkan urusan tidak boleh diselesaikan dalam waktu yang segera serta perlu berulang alik pergi ke kaunter berulang kali. Pelanggan tersebut bukan sahaja akan kerugian masa, tenaga dan kos tetapi pelanggan lain yang berada di giliran belakangnya juga turut terlibat kerugian akibat perlu menunggu lebih lama daripada yang sepatutnya. Pihak PTD perlulah mencari jalan dalam mempertingkatkan sistem penyampaian maklumat kepada bakal pelanggan.

Habis dan tutup cerita berkenaan mutu perkhidmatan. Sekarang kembali semula kepada fi & bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan bagi pengurusan tanah di PTD.

UNIT PELUPUSAN TANAH

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan permohonan tanah kerajaan, permohonan Lesen Pendudukan Sementara ( LPS ), permohonan penempatan pondok pengawal dalam kawasan perumahan serta permohonan pemindahan bahan batuan.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT PEMBANGUNAN TANAH

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan penyatuan @ penggabungan tanah lot, pecahan bahagian dan sempadan tanah lot, tukar syarat jenis kegunaan tanah serta serah balik dan berimilik semula.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT PENDAFTARAN ( BUKAN URUSAN URUSNIAGA )

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan membuat carian rasmi, carian persendirian, salinan sah dokumen, salinan geran hakmilik tanah, pendaftaran surat amanah, pemegang amanah, surat kuasa wakil, tukarnama, surat akuan sumpah, permohonan masuk kaveat, tarik kaveat, potong kaveat, perintah mahkamah, pusaka kecil, tukar alamat dan lain-lain.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT PENDAFTARAN ( URUSAN URUSNIAGA )

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan jualbeli tanah, pindahmilik tanah, gadaian dan pajakan tanah, perintah jualan melalui mahkamah atau melalui pentadbiran tanah.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

UNIT-UNIT PENTADBIRAN YANG LAIN

( PINDAHMILIK & LELONGAN, HASIL, TEKNIKAL DAN PENGUATKUASAAN )

Antara perkhidmatan unit ini adalah dalam urusan permohonan pemilik gadaian, pajakan, permohonan dan rayuan pindahmilik, permohonan dan penangguhan perintah jualan, permohonan atau pembatalan lelongan awam, bayaran tunggakan hasil tanah dan penjualan peta.


( klik foto untuk zoom pembesaran atau muat turun )

 

SEKIAN TERIMA KASIH