( foto sekadar contoh sahaja )
Salam
sejahtera & selamat bertemu kembali.
Lama
sudah tak menulis artikel baru disini tapi itu tidaklah bermaksud penulis sudah tak jengah buat update website hingga ada di kalangan pembaca atau bakal
pelanggan yang sangka penulis sudah tidak buat kerja ukur tanah lagi. Tiada alasan lain hanya kesibukan tugas dan pertambahan tanggungjawap hingga kurang masa untuk diluangkan disini saja. Bercakap soal teknologi seperti
perkara lain juga pada waktu ini teknologi dalam bidang ukur tanah pun telah berkembang dengan pesat juga.
Sebagai perbandingan, jika dulu telefon tangan atau HP hanya boleh
dibuat bercakap dan mendengar suara sahaja kemudian dipertingkatkan dengan
boleh mengirim atau terima mesej teks dan makin berkembang teknologinya
hinggakan pada waktu kini boleh digunakan untuk buat apa saja dan dijenamakan
semula telefon tangan atau HP ini menjadi ‘Telefon Pintar’ atau ‘Smart Phone’. Daripada
hanya untuk suara sahaja, kemudian mesej teks, foto, video & dokumen, telefon boleh digunakan untuk macam-macam perkara lain lagi yang dulunya tidak terfikir oleh
kita bahawa satu benda yang kecil di tangan kita boleh buat itu dan ini
yang sama atau mungkin lebih cepat dan lebih mudah lagi daripada menggunakan komputer,
televisyen, radio, pemain cakera padat, mesin slot permainan atau alat-alat lain. Telefon sekarang sudah menggantikan banyak perkara yang dulunya kita kena
gunakan pen, kertas, surat, envelope, setem pos dan kirim melalui pejabat pos
yang berdekatan. Sekarang ini orang sudah tidak lagi berebut beratur untuk
dapatkan setem untuk mengirim kad-kad ucapan selamat hari raya atau dokumen
kepada orang lain. Cukup hanya dengan ada telefon sahaja, teknologi untuk apa
saja kegunaan boleh dimasukkan untuk capaian kita pada bila-bila masa sahaja
ada yang kena bayar tapi banyak juga yang percuma sahaja.
Sepertimana
cerita telefon tadi, peralatan untuk kerja ukur tanah pun sama juga. Peralatan
ukur juga tidak terlepas daripada mengalami perkembangan dan kemajuan teknologi
dalam menyiapkan sesuatu kerja ukur tanah yang perlu dibuat di lokasi atau di dalam
pejabat. Jika dulu tak kiralah dimana saja lokasi, jikalau hendak membuat kerja
ukur tanah maka orang akan melihat jurukur tanah akan memasang alat teropong
untuk ukur tanah di atas tripod yang berkaki tiga. Tak kiralah di dalam bandar,
di dalam kampung, di dalam estet atau di dalam hutan atas bukit atau atas
gunung sekali pun inilah peralatannya kalau nak buat kerja ukur tanah. Setiap
kerja perlu dimulakan dengan mencari terlebih dahulu 3 biji batu sempadan yang
sudah sedia ada yang masih lagi dalam keadaan elok dan baik tidak rosak atau
tidak berubah tempat daripada lokasi asalnya waktu mula-mula ditanam puluhan
tahun dahulu.
Ada juga lot tanah yang sejak ditanam batu sempadannya sebelum
tahun 1900 lagi oleh jurukur tanah yang berbangsa British pada waktu Malaysia
masih lagi terjajah dan belum merdeka, sampai sekarang pun Pelan Akui ( PA )
yang digunakan untuk merujuk kepada keluasan dan jarak-jarak sempadan lot
tersebut masih lagi perlu merujuk kepada pelan PA yang dibuat oleh jurukur
tanah British tersebut walaupun usianya telah menjangkau lebih dari seratus
tahun lamanya. Ini adalah kerana tiadanya permintaan untuk dibuat ukuran semula
sempadan lot dan ditanam dengan batu sempadan yang baru jika batu sempadan asal
telah hilang atau berubah tempatnya oleh pihak tuan tanah lot tersebut.
Cuba
anda bayangkan satu lot tanah yang berkeluasan 6 ekar dengan hanya mempunyai 5 batu sempadan sahaja pada setiap penjuru lot dengan jarak antara satu batu
sempadan ke satu batu sempadan yang lain lebih daripada 200 meter jauhnya.
Garisan sempadan dari satu batu sempadan ke satu batu sempadan lain yang
berjarak lebih dari 200 meter itu pula merentasi 2 atau 3 bukit dulu baru
bertemu. Kalau tanah bukit itu sudah gondol diterangkan tanahnya tak apalah tapi
kalau tanah bukit itu sudah menjadi hutan tinggal walaupun dulu pernah ditanam
dengan pokok getah pada waktu mula-mula dibuka oleh pihak
British yang mentadbir, adakah berbaloi jika kami jurukur
tanah mengenakan bayaran untuk membuat ukuran sempadan lot sama harganya dengan tanah
yang terletak di lokasi dataran yang lapang tidak berpokok apalagi semak atau berhutan. Sebab itulah harga untuk perkhidmatan ukur tanah akan mengambilkira luas, lokasi dan juga bentuk mukabumi tanah yang perlu di ukur itu.
Kemudian
teknologi peralatan ukur juga sudah berubah tidak lagi menggunakan alat lama
yang biasa anda lihat seperti teropong yang dipasang di atas kaki tiga. Untuk
lokasi tanah yang tertentu atau dalam membuat kerja ukur yang tertentu sudah
ada alat ukur yang lebih canggih teknologinya contohnya alat yang menggunakan
data digital daripada sistem satelit GPS dan yang terkini dengan penggunaan
teknologi peralatan kapal terbang mini ‘drone’ dengan teknologi kamera 3D digital
terkini. Inilah perkembangan teknologi dalam bidang ukur tanah tetapi bukanlah
bertambah murah harganya. Untuk memudahkan kerja disiapkan maka kami perlulah
mengeluarkan modal yang besar untuk mendapatkan teknologi baru ini walaupun
mahal dan walaupun harga untuk kerja ukur tanah tetap sama tak kiralah dengan
apa alat ukur yang kami gunakan pun. Kadar harga untuk kerja ukur tanah tetap
tidak boleh dinaikkan melebihi daripada apa yang telah digariskan oleh pihak
Lembaga Jurukur Tanah Malaysia ( LJT ).
Rujuk
kepada foto lampiran contoh di atas, jika menggunakan peralatan biasa yang
berupa theodolite teropong ukur tanah, untuk menyiapkan kerja tanda sempadan
lot di atas yang berlokasi bukit dan hutan perlukan masa berhari hari untuk
disiapkan. Perlu menggunakan parang untuk merintis hutan membuat lorong untuk
membuat bacaan jarak dan bearing dan perlu juga memindahkan alat ukur berkali
kali hanya untuk pergi dari satu lokasi batu sempadan ke satu lagi batu
sempadan yang bersambung garisan sempadan dengannya. Tetapi dengan menggunakan
teknologi baru iaitu dengan data digital daripada satelit GPS, hanya perlukan
masa beberapa jam sahaja untuk disiapkan. Alat ukur tidak perlu lagi
dipindahkan berkali kali hanya perlu dipasang pada tempat yang sesuai sahaja
kemudian apabila sudah siap settingnya, tinggalkan alat tersebut dijaga oleh
seorang penjaga dan yang lain hanya perlu pergi terus ke lokasi batu sempadan
tersebut dengan maklumat arah dan jarak diberikan oleh satelit GPS. Inilah
bezanya, memberi penjimatan daripada segi masa kerja boleh disiapkan berbanding jika membuat kerja dengan cara lama.
Sebenarnya
sudah lama juga teknologi ini digunapakai dalam bidang kerja ukur tanah tapi
mungkin belum dilihat oleh orang awam maka ada juga tuan tanah yang mempersoal
dan mempertikaikan akan kesahan kerja yang dibuat oleh pihak jurukur tanah.
Ada yang hingga menuduh jurukur tanah membuat kerja tipu hanya kerana dia tidak
nampak lorong rentis hutan dan juga alat teropong yang biasanya dipasang atas
kaki tiga.
Penulis
tergerak untuk menulis artikel ini hanyalah kerana baru-baru ini sahaja penulis
sendiri dituduh menipu membuat kerja ukur tanda sempadan lot oleh pihak tuan
tanah yang mengupah penulis untuk menandakan sempadan lotnya kerana dia hendak
tunjukkan kepada bakal pembeli lot tanah tersebut. Dituduh penulis menipu
kerana daripada 5 batu sempadan lot tersebut hanya 1 sahaja yang jumpa semula
dan juga dia tak nampak pun penulis bawa alat teropong seperti biasa naik turun
bukit untuk pergi ke lokasi batu-batu sempadan tersebut.
Jadi
sebagai memberi penjelasan ringkas bagaimanakah teknologi satelit GPS digunakan
dalam membuat kerja ukur tanda sempadan lot dibuat inilah penulis kembali
meluangkan masa menulis artikel ini.
Secara ringkasnya untuk mendapatkan data digital
daripada satelit GPS setiap lokasi batu sempadan lot tersebut perlu dihitungkan
kodinit GPSnya yang dibaca secara longitude & latitude. Kemudian kodinit
GPS batu sempadan itu disimpan ke dalam database alat capaian data GPS yang saiznya
hanya sebesar HP. Untuk mencapai data daripada satelit GPS dengan lebih tepat
dan cepat perlulah dipasang satu antenna sepertimana antenna di bumbung rumah
berfungsi bagi mendapatkan gambar dan suara untuk televiseyen. Alat inilah yang
menggantikan alat teropong ukur tanah yang biasa digunakan. Rujuk foto lampiran
di bawah.
( gambarajah capaian data daripada satelit GPS oleh antenna dan dikirim semula kepada alat capiana data yang ada di tangan )
Nama sebenar bagi sistem satelit untuk kerja ukur tanah ini adalah 'Global Navigation Satellite System' atau ringkasnya GNSS. Terdapat beberapa negara besar yang maju dalam bidang teknologi angkasa telah pun melancarkan sistem satelit masing-masing tetapi kebanyakan orang mungkin hanya tahu satu sahaja iaitu GPS yang dilancarkan oleh NASA Amerika Syarikat. Selain dari GPS terdapat juga GLONASS milik Russia, GALILEO milik negara Kesatuan Eropah dan COMPASS milik negara China. Negara India juga telah dikhabarkan berjaya melancarkan satu sistem satelitnya sendiri kerana tidak mahu bergantung kepada informasi yang dibekalkan oleh negara asing yang akan membuatkannya terdedah kepada ancaman risikan pihak asing yang boleh memberikan ancaman kepada keselamatan negaranya. Tetapi bagi memajukan satu sistem satelit GNSS yang mampu berfungsi dengan lancar dan tepat bukanlah murah belanjanya. Oleh kerana kebanyakan kita hanya kenal kepada sistem GPS sahaja oleh itu penulis juga hanya akan menulis sistem ini sebagai sistem satelit GPS sahaja sebagai memudahkan kefahaman kepada semua pembaca.
Untuk membuat kerja ukur dengan menggunakan satelit GPS ini terdapat 3 peralatan utama yang diperlukan bagi melengkapkan sistem iaitu satu set antenna untuk menghubungi satelit secara langsung, satu alat 'receiver base' sebagai penerima dan mengirim semula data dari satelit dan satu lagi alat 'rover' atau alat capaian GPS bersaiz HP yang akan menerima data dari satelit melalui 'base' untuk membuat carian lokasi seperti mencari batu sempadan lot.
Bagaimana caranya satelit dan alatan ini memberikan data berupa jarak, lokasi dan ketinggian. Ia adalah melalui pantulan gelombang yang di ukur secara halaju masa perjalanan yang di ambil untuk gelombang itu pergi dan balik dari satu titik ke satu titik yang lain di atas mukabumi. Halaju masa..? Macamana nak kira tu..? Contoh mudah, kita pandu kereta pada kelajuan 100 km / per jam. Apabila kita telah memandu dalam tempoh 2 jam itu bermakna, jika 1 jam jaraknya adalah 100 km maka dalam masa 2 jam jaraknya adalah 2 x 100 km = 200 km. Ini adalah contoh bagaimana halaju gelombang dikira dalam membekalkan data dari satelit kepada peralatan yang digunakan.
Sekarang cara bekerja pula. Terlebih dahulu kesemua alat ini perlu dipasang, dibuat setting serta dibuat bacaan ke satelit dalam sekian
waktu yang bergantung kepada lokasi serta jumlah satelit di atas langit yang
terdedah dan boleh dicapai datanya oleh antenna untuk dibuat bacaan. Alat tadi akan menerima pantulan data daripada
satelit GPS dan kemudian akan mengirim pula kepada alat capaian GPS yang di tangan dan kemudian data itu akan berpatah balik melalui cara yang sama tapi dalam perjalanan yang terbalik arah. Itu bermaksud data itu akan melalui 2 perjalanan pergi dan balik tetapi memberikan jawapan yang sama. Apabila data yang dibaca itu sama, atau sudah ‘fix’ atau dalam bahasa mudah
sudah OK barulah boleh diteruskan kerja ukur. Alat antenna dan 'base receiver' itu boleh ditinggalkan tetapi perlukan seseorang untuk menjaganya takut terjatuh atau lebih
berbahaya lagi dicuri orang. Kecil saja cuma sebesar bola sepaktakraw tapi jangan terkejut harganya di antara 30 – 120 ribu ringgit. Mahukan yang lebih canggih lebih cepat
dan lebih tepat bacaannya maka harganya juga adalah lebih mahal lagi. Yang dibawa ke sana sini hanyalah alat GPS yang sebesar HP sahaja. Jika perlu ia boleh juga dipasang dengan satu set antenna bagi menguatkan pencapaian data dari satelit.
Jika dalam contoh tadi, televisyen,
antenna atau parabola perlu dilekatkan pada bumbung rumah dengan kukuh tanpa
bergoyang dan tidak boleh berpindah tempat lagi. Yang boleh dipindah pindah hanyalah televisyen
itu saja. Alat capaian GPS yang sebesar HP ini pun bertindak seperti televisyen juga. Alat GPS ini boleh dibawa kemana sahaja selagi ia
boleh menerima data yang dikirim oleh satelit melalui hubungan capaian data dengan alat 'base receiver'. Berbelit belit jugakan nak hadam dan
faham akan penggunaan alat-alat ini. Penulis sendiri pun dah jadi berbelit juga nak susun ayat untuk bagi penerangan dalam bahasa yang mudah difahami semua.
OK kita sambung
cerita tadi, setelah kesemuanya diset dalam keadaan ‘fix’ atau OK barulah kerja
pencarian lokasi batu sempadan dibuat dengan menggunakan alat GPS yang ada
ditangan. Skrin pada alat GPS akan menunjukkan arah dan juga jarak untuk pergi ke
lokasi batu sempadan tersebut berpandukan kepada data yang telah dikirim oleh satelit kepada alat 'base'. Kemudian alat 'base' akan mengirim semula kepada alat GPS di tangan. Begitulah caranya ia berfungsi dengan menggunakan data dari satelit GPS dan alat 'base' sebagai perantara. Alat di tangan itu akan bertindak bukan saja seperti kompas tetapi lebih
canggih lagi sebab ia juga boleh memberitahu jarak. Jika kompas hanya
memberikan arah saja tetapi alat ini memberikan arah, jarak dan juga ketinggian tanah dengan ketepatan
tinggi. Macam yang diberitahu tadi, semakin mahal harganya maka semakin
tinggilah ketepatannya.
Jadi
dengan penggunaan alatan capaian data digital satelit GPS ini tidak perlu lagi dibuat kerja ukur seperti dahulu yang perlu membuat lorong rintis hutan
yang luas dan berpindah pindah kedudukan alat ukur dari satu tempat ke tempat
yang lain. Jurukur tanah boleh pergi ke lokasi batu sempadan dengan menggunakan arah yang berlainan yang tidak semestinya ikut garisan sempadan lot sahaja. Alat di tangan akan sentiasa menunjukkan arah untuk sampai ke lokasi walaupun jurukur tanah telah mengubah haluan akibat daripada halangan pokok besar, sungai atau pun jurang dalam yang menyebabkan tak dapat diteruskan perjalanan ikut arah tersebut. Alat ini bukan saja boleh digunakan oleh jurukur tanah tetapi para pendaki gunung dan juga bot-bot nelayan yang keluar ke laut luas juga ada menggunakan alat yang serupa tapi mungkin dari jenis yang berlainan tetapi sistem yang sama. Dengan peralatan ini perjalanan pergi dan balik akan menjadi mudah ibarat alat GPS yang digunakan dalam kereta bagi membuat perjalanan ke mana-mana. Ya, mungkin pembaca lebih mudah faham fungsi alat GPS dalam kereta. Begitulah juga alat ini berfungsi kepada jurukur tanah cuma ianya lebih berketepatan tinggi maklumlah harganya pun agak tinggi juga.
Kenapa hanya 1 sahaja batu sempadan asal yang kami jumpa semula..? Ia adalah kerana
lokasi batu sempadan tersebut terletak di lurah antara 2 bukit dalam alor yang tak pernah
diusik atau terlibat dengan sebarang kerja pembersihan tanah. Manakala lokasi
lagi 4 batu sempadan yang lain adalah terletak di cerun bukit yang telah pernah
digondolkan menjadi lereng teres untuk tananam pokok getah. Dan lot tersebut
juga adalah merupakan lot yang tak pernah dibuat ukuran semula sejak ditanam batu sempadan oleh jurukur tanah British pada tahun 1920an dahulu. Dengan
menggunakan logik akal, cuba anda bayangkan akan keadaan sekarang berbanding dahulu, waktu hutan di kawasan bukit itu belum dibuka dan ditanam dengan pokok getah. Memang betul dulu
waktu nak buka tanah untuk diteroka dan ditanam dengan pokok getah, batu-batu
sempadan ini ditanam untuk menandakan sempadan lot tanah masing-masing. Tetapi
setelah dibuat kerja tanah dengan menggondolkan bukit dan lereng bukit dibuat teres untuk ditanam pokok getah, apakah batu sempadan ini boleh bertahan
lama hingga hampir seratus tahun lamanya di tempat asal. Kenapa 1 batu sempadan itu masih ada sampai sekarang kerana lokasinya tidak terlibat
dengan sebarang aktiviti kerja tanah dan juga penanaman pokok getah. Tidak ada sesiapa lalu lalang di lokasi batu tersebut melainkan kami saja yang ke sana membuat kerja
ukur tanah. Tetapi di lereng teres bukit, selepas ditanam dengan pokok getah,
berpuluh puluh tahun pula saban hari orang akan lalu lalang bagi menoreh getah.
Pada waktu tertentu ada yang menebas semak, mencabut rumput yang tumbuh atau meracun
rumpai liar. Lereng bukit juga terdedah dengan hujan. Pokok getah yang tumbuh mempunyai
akar yang masuk jauh ke dalam tanah bagi menguatkan berdirinya pokok itu di
sana tetapi batu sempadan yang ditanam tidak sampai 2 kaki dalam tanah,
lama kelamaan akan tercabut atau tumbang akibat hakisan tanah yang diakibatkan
oleh aktiviti manusia lebih-lebih lagi cuaca hujan. Itu saja penjelasannya kenapa sudah tidak ada lagi disana.
Untuk
menuduh kami menipu adakah pihak tuan tanah telah pernah lihat sendiri batu
sempadan yang kami tak jumpa tersebut sebelum ini. Sedangkan lokasi lot itu pun dia tidak tahu dimana, berada di bukit mana, dari mana sampai ke mana, jalan atau lorong mana yang boleh guna untuk sampai ke sana. Hanya tahu pun setelah kami pergi ukur tandakan
sempadannya dan tunjukkan kepadanya dimana sebenarnya lokasi lot tersebut.
Untuk mengatakan bahawa upah kami adalah mahal. Suka penulis jelaskan, bahawa kami membuat kerja ini secara profesional. Ada peraturan peraturan tertentu yang perlu kami patuhi apabila membuat sesuatu kerja. Dan ada peralatan tertentu yang perlu kami gunakan untuk menyiapkan sesuatu kerja. Malahan, tak ada sesiapa pun yang sanggup
meredah masuk ke dalam hutan, panjat bukit turun bukit hanya sekadar untuk mencari batu sempadan seperti kami. Banyak lagi kerja lain yang boleh hasilkan pendapatan dengan tanpa perlu meredah hutan, naik turun bukit dan terdedah dengan banyak risiko bahaya yang bermacam-macam. Setahu penulis hanya ada 3 golongan pekerja sahaja yang perlu meredah hutan belantara serta bukit bukau untuk membuat kerja iaitu kakitangan Perhutanan FRIM yang masuk hutan membuat kajian, bancian dan mengambil
sampel pokok-pokok yang boleh ditanam sebagai pokok hiasan landskap
taman-taman di tepi jalan dalam bandar. Pekerja pembanci dan penanda pokok balak sebelum sebarang kerja
pembalakan mula dibuat dan yang terakhir, kami jurukur tanah yang perlu masuk hutan membuat kerja ukuran sebelum
apa-apa kerja pembangunan dan pembinaan boleh dibuat di situ. Kami bukan saja
yang pertama tetapi kami jugalah yang terakhir sekali membuat kerja dalam
mana-mana projek pembangunan.
Jikalau
hendak membina lebuhraya, kamilah orang pertama yang masuk hutan panjat bukit, turun bukit untuk tandakan
jajaran lebuhraya tersebut. Kemudian barulah mesin-mesin dan pekerja masuk pula membuat kerja pembersihan hutan mengikut apa yang telah kami tandakan sebelumnya. Dan apabila lebuhraya itu sudah siap dibina kami jugalah pekerja
terkahir yang akan membuat kerja ukuran ‘as-built’ projek untuk memeriksa segalanya yang telah dibina itu adalah betul, tepat dan seperti yang telah dirancangkan dalam pelan pembangunan oleh jurutera projek tersebut.
Hasil
kerja kami adalah dapat dilihat oleh semua pihak. Jika ada pihak yang tidak
berpuashati bukanlah dengan terus menuduh kami membuat kerja salah atau tipu
tetapi dia boleh pula mengupah jurukur tanah yang lain untuk membuat
semakan dan pemeriksaan bagi pihaknya samada apa yang kami tandakan itu betul atau salah. Jika
sudah dibuat pemeriksaan dengan cara yang betul jika terdapat
sebarang kesalahan tandaan barulah boleh dikatakan salah. Tetapi jika hanya
berpandukan kepada pandangan mata kasar saja, tidaklah boleh anda terus
mengatakan yang tanda itu salah. Jika demikian buat apalah diciptakan kerjaya
sebagai jurukur tanah ini di seluruh dunia. Lebih baik ukur dengan mata sendiri
sahaja, jimat duit, jimat masa.
Jadi
hanya setakat ini saja untuk kali ini. Jika ada kesalahan bahasa atau terasa,
harap maaf. Tiada niat untuk mengata atau menghina sesiapa sekadar mahu
memberikan penjelasan yang dalam serba ringkas berkenaan teknologi kerja ukur tanah pada
waktu sekarang berbanding waktu dahulu.
--------------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2023
#jurukurtanah
#jurukurtanahbagan
#jurukurtanahklang
#jurukurtanahdiklang
#jurukurtanahdiselangor
#baganbeachboy