Isnin, 26 September 2022

GARISAN SEMPADAN TANAH BERTINDIH : SATU CADANGAN PENYELESAIAN PERTIKAIAN SECARA AMAN

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


HINDARI PERSENGKETAAN DAN PERGADUHAN BERPANJANGAN TANPA PERLU TINDAKAN UNDANG-UNDANG


Isu garisan sempadan tanah bertindih ini bukanlah satu isu yang boleh dipandang remeh. Tidak juga mudah untuk diselesaikan lebih-lebih lagi kalau di atas tanah sudah pun didirikan rumah kediaman atau pagar.

Bertambah rumit lagi kalau membabitkan lot tanah yang berkongsi hakmilik ( geran tanah ) tapi belum pernah disediakan satu pelan pecahan bahagian untuk rujukan kesemua pemilik tanah.

Sudah menjadi kebiasaan kepada jurukur tanah yang banyak terlibat dalam kerja penandaan sempadan berhadapan dengan pemilik tanah atau jiran yang tak berpuashati dan tak mahu terima keputusan hasil daripada ukuran yang telah dibuat.

Method kerja bagi kerja ukur demarkasi begini, apabila hendak menanda semula sempadan lot, jurukur tanah perlu membuat rujukan kepada ‘Pelan diperakui’ ( pelan PA ) bagi lot tersebut. Setiap lot tanah ada pelan PA sendiri yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) dan disahkan oleh kerajaan melalui pihak Pentadbir Tanah & Galian Daerah. Nombor rujukan pelan PA bagi setiap lot akan ditulis di dalam dokumen geran tanah. Jurukur tanah akan mencari semula batu sempadan lot yang telah ditanam oleh kerajaan dahulu. Jika kesemua batu sempadan lot tersebut telah hilang atau rosak, jurukur tanah akan mencari pula batu sempadan lot bersebelahan untuk dijadikan asas bagi pengiraan untuk penandaan semula batu sempadan yang telah hilang tersebut.

Bagi kerja penandaan sempadan pecahan bahagian pula sebelum kerja ukuran atas tanah dibuat, jurukur tanah perlu membuat pengiraan dan menyediakan satu pelan pecahan bahagian yang dipersetujui oleh pemilik tanah terlebih dahulu. Hanya selepas pelan pecahan bahagian itu siap dilukis barulah jurukur tanah boleh pergi ke lokasi membuat kerja ukuran penandaan dengan rujukan kepada pelan tersebut. Asas kerja tetap sama seperti kerja ukur demarkasi penandaan semula sempadan lot, kerja ukur dimulakan dengan membuat carian batu sempadan lot yang terlibat.

Secara realitinya jurukur tanah juga seorang manusia biasa yang tak lari daripada kesalahan. Akan tetapi jika persediaan rapi telah dibuat sebelum memulakan kerja ukuran, membuat kerja secara betul ikut peraturan dan membuat semakan ketepatan sebelum menyiapkan kerja, dengan bantuan peralatan yang serba canggih pada waktu sekarang, melakukan kesalahan adalah sangat minima dan amat jarang terjadi.

Apa yang sering berlaku adalah pemilik tanah atau jiran sebelah yang tak berpuashati dengan kedudukan tanda sempadan bagi lot atau pecahan bahagian yang telah ditandakan, tidak berpuashati hanya melalui pandangan mata sahaja. Mintalah 10 jurukur tanah datang tandakan, selagi tanda tersebut tak terletak di lokasi yang dia mahukan selagi itulah dia tetap tidak akan berpuashati. Inilah yang menjadi punca kepada perselisihan dan persengketaan sesama pemilik tanah yang mempunyai isu garisan sempadan yang bertindih. Dan yang selalu menjadi mangsa keadaan adalah jurukur tanah yang membuat kerja ukuran tersebut.

CARA PENYELESAIAN YANG BOLEH TAPI TAK PATUT DIBUAT

Sekadar pemberitahuan kepada pihak yang tak berpuashati.

a.) Jikalau anda memilih untuk membuat laporan ke pejabat tanah daerah, pihak pejabat tanah daerah akan memanggil kedua-dua pemilik tanah memberikan butiran. Pada akhirnya pejabat tanah daerah akan menyuruh kedua-dua pemilik tanah melantik Jurukur Tanah berkelayakan untuk membuat ukuran pengesahan.

b.) Jikalau anda memilih untuk membuat laporan polis, pihak polis pun tidak tahu dimana kedudukan garisan sempadan yang betul. Pada akhirnya pihak polis juga akan meminta kedua-dua pemilik tanah melantik Jurukur Tanah berkelayakan untuk membuat ukuran pengesahan.

c.) Jikalau anda memilih untuk membuat kes tuntutan undang-undang melalui peguam ke mahkamah. Pada akhirnya pihak mahkamah sendiri akan menyuruh kedua-dua pemilik tanah melantik Jurukur Tanah berkelayakan untuk membuat ukuran pengesahan.

Ketiga-tiga pilihan di atas memang boleh dibuat tetapi tidak patut dibuat sebab pada akhirnya selain daripada faktor memakan masa panjang, kos yang tinggi juga perlu dikeluarkan oleh pemilik tanah untuk mengupah peguam, membayar kos perbicaraan mahkamah dan membayar juga kepada pihak Jurukur Tanah yang akan membuat ukuran pengesahan. Dan secara tidak langsung walaupun selepas isu garisan sempadan bertindih ini dapat diselesaikan, persengketaan sesama pemilik tanah tetap akan berlanjutan.

CARA PENYELESAIAN YANG BETUL DAN AMAN

Jikalau selepas seorang pemilik tanah mengupah jurukur tanah (1) untuk membuat tandaan sempadan tanah hakmiliknya. Jika ada mana-mana pemilik tanah lain atau jiran sebelah yang tidak berpuashati dengan kedudukan tanda yang telah dibuat, apa yang boleh dan sepatutnya dibuat adalah.

1.) Pihak yang tidak berpuashati perlu melantik jurukur tanah (2) yang lain untuk membuat ukuran semakan bagi pihaknya

2.) Selepas ukuran semakan oleh jurukur tanah (2) dibuat, kedua-dua pemilik tanah boleh segera menyelesaikan isu garisan sempadan bertindih jika ukuran semakan tidak menemui apa-apa kesalahan pada tanda yang telah dibuat oleh jurukur tanah (1) sebelum itu

3.) Tetapi jikalau selepas ukuran semakan oleh jurukur tanah (2) dibuat didapati tanda sempadan berada pada lokasi yang tak sama dengan tanda oleh jurukur tanah (1). Kedua-dua pihak jurukur tanah boleh membuat ukuran bersama ( joint survey ) untuk membuat semakan semula ke atas dua-dua tanda yang berada di lokasi berlainan tersebut. Jikalau ukuran semakan kali ketiga berada sama lokasi dengan mana-mana satu daripada 2 tanda awal maka itulah yang mesti diterima dan digunapakai sebagai tanda sempadan yang betul bagi menyelesaikan isu garisan sempadan bertindih tersebut

4.) Dan sebagai opsyen pilihan, kedua-dua pemilik tanah boleh juga berkongsi kos dengan melantik jurukur tanah yang berkecuali ( 3rd party ) untuk membuat ukuran semula penandaan sempadan tanah yang dipertikaikan sebelum itu. Apa saja hasil daripada ukuran oleh jurukur tanah yang berkecuali ini mestilah diterima sebagai penyelesaian kepada isu yang menjadi punca pertikaian.

Penyelesaian secara begini bukan sahaja merupakan cara yang betul tetapi cara begini juga boleh mengelakkan isu berpanjangan dan tanpa perlu membabitkan mana-mana pihak berkuasa serta kos tambahan yang tinggi jika membabitkan tuntutan undang-undang. Selepas selesai isu, kedua-dua pemilik tanah juga boleh berdamai dan melupakan persengketaan yang pernah terjadi sebelum itu.

Tetapi ini hanyalah sekadar satu cadangan dari hasil pengalaman penulis sahaja. Apa saja keputusan dan tindakan yang akan dibuat oleh pihak yang tidak berpuashati, itu adalah hak anda. Tanah anda, duit anda, terpulanglah pada anda nak buat apa pun.

SEKIAN, TERIMA KASIH

 

Khamis, 15 September 2022

FAQ's : SEBUTHARGA UKUR TANAH

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


CARTA Perkhidmatan Jurukur Tanah Klang


KOS UPAH ATAU JUMLAH HARGA UKUR TANAH

1.) Saya berminat nak dapatkan perkhidmatan ukur
tanah. Boleh saya tahu berapakah harga untuk ukur tanah saya..?

Sebutharga’ kerja ukur tanah adalah merupakan jumlah harga beberapa faktor dan kos sampingan yang akan disemak nilai dan dikirakan jumlah harganya. 

Bagaimana pun untuk memudahkan pelanggan faham dan membuat anggaran, kami sediakan satu kadar harga terendah atau minima mengikut kawasan dengan keluasan tanah 1 ekar atau sebahagiannya. Jika luas tanah kurang dari 1 ekar harga tetap sama. Jika keluasan tanah lebih dari 1 ekar baru ada tambahan harga.

KADAR HARGA MINIMA KAMI BAGI LOKASI TANAH DI KL & SELANGOR : 

RM 600 - 800 * 

( Kadar harga adalah berbeza mengikut kawasan & tidak termasuk kos bagi penyediaan pelan )
** ( Kadar harga terendah RM 600 hanya bagi tanah yang di dalam daerah Klang sahaja )


Di bawah adalah senarai butiran yang perlu kami semak dan ambilkira apabila memberikan harga kepada pelanggan. 


 FAKTOR UTAMA & FAKTOR SAMPINGAN

1.) Jenis Kerja Ukur Tanah yang perlu dibuat


Samada ukur demarkasi cari & tanda semula sempadan lot, ukur tanda sempadan pecahan bahagian, ukur topografi atau ukur butiran. Setiap jenis kerja tidak sama kadar harganya.

2.Faktor LUAS tanah


Bagi luas tanah yang kurang dari 1 ekar harga akan dikira sama pada kadar minima. Hanya jika luas tanah melebihi 1 ekar, baru ada tambahan harga pada kadar 250 - 400 per / Ekar


3.) Faktor LOKASI tanah


Jika lokasi tanah yang perlu di ukur terletak jauh dari jalan utama atau tiada jalan masuk yang mudah untuk pergi ke lokasi, ada tambahan harga 100 - 200 per / Ekar
 

4.) Faktor GEOGRAFI ( Keadaan mukabumi lokasi )


Jika lokasi tanah dikawasan bersemak samun, hutan belukar, berbukit bukau atau berpaya, ada tambahan harga 100 - 200 per / Ekar

5.) Faktor SAMPINGAN

i.) Pembelian info & pelan PA dari Jabatan Ukur ( JUPEM )

ii.) Jenis format pelan yang diperlukan sama ada pelan biasa untuk kegunaan sendiri atau pelan rasmi untuk urusan rasmi pelanggan

iii.) Yuran endorsement Jurukur Tanah Berlesen ( LS ) bagi setiap jenis pelan rasmi yang perlu disediakan

iv.) Jumlah bahagian yang perlu di ukur tanda di atas tanah

v.) Jumlah hari bekerja yang diperlukan

vi.) Jumlah pasukan jurukur yang diperlukan



MAKLUMAT DAN DOKUMEN YANG PERLU DIKIRIM PELANGGAN


2.) Apakah maklumat dan dokumen yang perlu saya berikan kepada jurukur tanah...?

Maklumat dan dokumen yang diperlukan adalah bagi tujuan buka file pelanggan dan penyediaan surat sebutharga. Yang perlu dikirimkan adalah seperti berikut :

1.) Nama penuh pelanggan
2.) Alamat pelanggan
3.) Nombor telefon pelanggan
4.) Salinan geran tanah ( semua mukasurat / jika ada )
5.) Lain-lain dokumen yang berkenaan ( jika ada )

Dan dokumen tambahan seperti berikut jika pelanggan mahu membuat kerja ukur yang membabitkan 'pecahan bahagian'

6.) Salinan pelan pecah bahagian ( jika sudah pernah dibuat )

7.) Lakaran kasar bentuk, kedudukan dan keluasan setiap pecahan bahagian yang hendak dibuat jika belum pernah ada pelan pecah bahagian dibuat sebelum ini.

Salinan dokumen, pelan atau lakaran perlulah dikirim dalam bentuk foto atau dokumen PDF )


DOKUMEN SEBUTHARGA DENGAN TAWARAN DAN SYARAT TERTENTU


3.) Bilakah saya boleh dapatkan surat sebutharga untuk tanah saya..?

Selepas kami terima maklumat & dokumen daripada pelanggan satu dokumen sebutharga sudah boleh disiapkan dan dikirimkan kepada pelanggan dalam masa 1 hingga 3 hari. 



PERSETUJUAN SEBUTHARGA DENGAN BAYARAN DEPOSIT

4.) Jika saya bersetuju dengan sebutharga yang diberi
kepada saya apakah langkah seterusnya yang perlu saya buat..?


a.) Pelanggan perlulah memberikan persetujuan dengan cara bertulis tidak boleh secara cakap dalam telefon sahaja serta membuat surat pelantikan rasmi

( PEMILIK TANAH PERSENDIRIAN TAK PERLU BUAT tapi kalau syarikat atau persatuan yang berdaftar, surat perlantikan rasmi adalah PERLU diberikan kepada kami )

b.) Membuat bayaran deposit sebagai tanda persetujuan rasmi melalui bank. Pelanggan perlu memasukkan jumlah bayaran deposit seperti yang telah dinyatakan dalam surat sebutharga, ambil foto resit bank-in kirimkan kepada kami untuk disimpan dalam file rekod urusan kerja serta sebagai bukti pembayaran. Pelanggan perlu simpan resit yang asal untuk rekod pelanggan sendiri. Setiap pembayaran akan diberikan resit.



JADUAL KERJA UKUR TANAH DI LOKASI

5.) Saya setuju dengan harga dan sudah buat bayaran deposit jadi bilakah kerja ukur tanah saya akan dibuat..?


Kebiasaannya tarikh kerja adalah tarikh yang dicadangkan oleh kami tetapi dipilih dan dipersetujui oleh pelanggan. Tarikh tersebut adalah tarikh yang bersesuaian dengan kedua dua pihak. Pelanggan juga boleh membuat tempahan tarikh tetapi tarikh tersebut perlulah dipersetujui oleh kami. Jadual kerja setiap pelanggan adalah mengikut sistem giliran, siapa cepat dia didahulukan.


JENIS PETANDA SEMPADAN YANG AKAN DIGUNAKAN

6.) Jika batu sempadan lot tanah saya dah hilang adakah jurukur tanah akan gantikan dengan batu sempadan yang baru..?


Method atau cara kerja bagi kerja ukur tanda sempadan adalah kami akan mencari semula batu sempadan yang telah ditanam oleh pihak kerajaan dahulu. Kalau hilang atau pun jumpa tetapi sudah rosak atau berubah dari tempat asal barulah kami akan gantikan tanda sempadan tersebut dengan yang lain. Tetapi bukanlah digantikan dengan batu sempadan yang sama seperti asal. Petanda yang digunakan adalah mengikut kesesuaian lokasi sepertii paip besi, paip PVC, iron spike, paku besi anti karat, kayu piket dengan paku dan lain-lain jenis penanda yang bersesuaian.

NOTA PENTING :- 

Hanya pihak kerajaan melalui Jabatan Ukur ( JUPEM ) dan Jurukur Tanah Berlesen yang dilantik dan diberikan kebenaran oleh Pejabat Tanah Daerah sahaja yang boleh menggunakan batu untuk tanda sempadan lot. Lain-lain juruukur tanah swasta serta pemilik tanah adalah dilarang tidak boleh gunakan batu. Jika semua orang boleh gunakan batu maka akan timbul isu 1 lokasi boleh ada banyak batu sempadan yang ditanda oleh setiap pemilik tanah yang berkongsi garisan dan batu sempadan yang sama. Bagi pemilik tanah yang mahu tandakan semula sempadan tanahnya dengan batu sempadan yang baru maka dia perlulah membuat permohonan 'Ukuran Semula' di Pejabat Tanah Daerah.
 


BAYARAN DEPOSIT SEBELUM KERJA DIMULAKAN MANAKALA BAYARAN BAKI HANYA PERLU DIBAYAR SELEPAS KERJA UKURAN DISIAPKAN


7.)  Satu saja lagi yang saya nak bertanya iaitu selepas kerja ukur siap apakah yang saya akan dapat dan apa lagi yang perlu saya buat..?

Bergantung kepada jenis kerja ukur tanah yang perlu dibuat dan senarai sebutharga yang telah diberi kepada pelanggan. Kalau kerja hanya membabitkan kerja penandaan atas tanah sahaja tanpa perlu disediakan apa-apa jenis pelan, selepas kerja ukuran disiapkan kami cuma akan tunjukkan kepada pelanggan semua lokasi tanda-tanda yang telah kami tandakan atas tanah. Tak ada apa-apa lagi yang kami akan berikan kepada pelanggan. Tapi jika kerja tersebut perlu disediakan satu pelan, kami akan berikan sebanyak 3 salinan pelan kertas cetakan ( hardcopy ) bersama 1 salinan pelan softcopy dalam format PDF atau CAD. Selepas siap kerja ukuran pelanggan perlulah menjelaskan baki bayaran secara TUNAI atau 'cash transfer' pada hari itu juga. Satu resit bagi bayaran penuh yang kami terima akan kami berikan kepada pelanggan.

Manakala bagi kerja ukur yang perlu dibuat ukuran dahulu kemudian baru boleh disediakan satu pelan contohnya kerja ukuran topografi, ukuran butiran / detail survey atau pelan pre-comp dan pelan rasmi yang perlukan endorsement Jurukur Tanah Berlesen. Pelan tersebut hanya boleh diserahkan kepada pelanggan dalam tempoh 7 - 14 hari selepas kerja ukuran dibuat. Hanya selepas pelan tersebut disiapkan barulah pelanggan perlu jelaskan baki bayaran sebelum pelan tersebut dapat diserahkan kepada pelanggan. Sama juga seperti pelan yang disediakan sebelum kerja ukuran dibuat, sebanyak 4 salinan pelan kertas cetakan ( hardcopy ), 1 salinan pelan softcopy dan satu resit bagi bayaran penuh yang kami terima dari pelanggan.

______________________________

DENGAN PENJELASAN DI ATAS DIHARAP ANDA FAHAM DENGAN CARA URUSAN DIBUAT DAN KEPERLUAN INFO MAKLUMAT SERTA DOKUMEN YANG PERLU DIKIRIM KEPADA KAMI BAGI TUJUAN BUKA FILE PELANGGAN DAN CARIAN INFO LOKASI TANAH BAGI MENYEDIAKAN SEBUTHARGA KEPADA ANDA.

JIKA BERMINAT NAK DAPATKAN SEBUTHARGA UNTUK KERJA UKUR TANAH SILA HUBUNGI KAMI MELALUI KIRIMAN MESEJ APLIKASI WHATSAPP DENGAN KLIK PAUTAN DI BAWAH

( klik nombor bawah  )

012-394 9064





_______________________________

SEKIAN TERIMA KASIH


Jumaat, 8 Julai 2022

LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA ( LPS @ TOL )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA ( LPS @ TOL )

Tahukah anda, mengusahakan apa-apa aktiviti di atas tanah kerajaan yang terbiar atau di dalam kawasan simpanan rentis TNB dengan tanpa kebenaran adalah merupakan satu kesalahan. Ini boleh dianggap sebagai menceroboh atau menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

Penceroboh boleh didenda dan disabitkan kesalahan di mahkamah oleh Pihak Pentadbir Tanah Daerah di bawah Akta Kanun Tanah Negara.

Seperti foto lampiran yang ditunjukkan disini, yang sebenarnya terdapat aktiviti yang dibenarkan dan boleh diberikan kebenaran contohnya tanaman sayur sayuran, tebu atau pisang serta lain-lain tanaman bersifat tidak kekal yang lain yang boleh dibenarkan di dalam kawasan rentis TNB. Manakala bagi tanah kerajaan yang bukan simpanan rentis TNB pula terdapat lebih banyak lagi kegiatan serta tujuan yang boleh diberikan kebenaran. Untuk tahu jenis aktiviti yang mendapat kebenaran pada sesuatu lokasi anda perlulah pergi bertanya dan dapatkan kebenaran yang sah di Pejabat Tanah Daerah.

Anda boleh membuat permohonan rasmi kepada pihak Pentadbir Tanah Daerah di pejabat tanah daerah lokasi tanah tersebut berada dengan mengemukakan butiran lokasi kedudukan dan keluasan tanah dalam bentuk pelan ‘Pra-Hitungan’ yang disediakan oleh pihak jurukur tanah.

Kebenaran yang sah inilah yang disebut sebagai ‘LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA’ ( LPS ) atau lebih sering disebut sebagai geran T.O.L

Dibawah adalah ringkasan daripada portal rasmi Pejabat Tanah & Galian Negeri Selangor berkenaan cara membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran ‘LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA’.

--------------------------------------------------------------------------------------------- 


PERMOHONAN LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA (TOL)

Di bawah Seksyen 65 KanunTanah Negara
Suatu kebenaran dalam bentuk lesen yang bersifat sementara diberikan oleh Pihak Berkuasa Negeri atau mana-mana pihak yang diberikan kuasa untuk suatu tujuan yang telah dikhaskan di mana tanpanya seseorang itu akan dianggap sebagai penceroboh dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.


SIAPA YANG LAYAK MEMOHON

1.  Warganegara Malaysia selain remaja

2.  Perbadanan-perbadanan yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan masing-masing memegang tanah

3.  Raja-raja memerintah, kerajaan, organisasi dan lain-lain orang yang diberi kuasa memegang tanah di bawah Ordinan Keistimewaan Diplomatik dan Konsular, 1957

4.  Badan-badan yang diberikuasa secara nyata untuk memegang tanah di bawah undang-undang bertulis masing-masing
 

BAGAIMANA MEMOHON

1.  Dibuat melalui Pentadbir Tanah

2.  Dibuat oleh Pemilik Tanah Sendiri

3.  Permohonan hendaklah disertakan dengan segala dokumen yang berkaitan.

CARA MEMOHON

1.  Permohonan dibuat oleh pemohon melalui Pejabat Tanah Daerah, pemohon perlu membeli pelan untuk kawasan yang dipohon

2.  Pemohon perlu mengisi borang LPS di Pejabat Tanah Daerah

3.  Borang yang telah lengkap diisi perlu dikemukan semula ke Pejabat Tanah Daerah beserta dokumen berikut:

  • salinan kad pengenalan pemohon
  • 2 salinan Pelan Lokasi / kedudukan tanah
  • 1 salinan Lesen Pendudukan Sementara ( jika ada )

FI PERMOHONAN

  • Kadar bayaran permohonan akan dikenakan di Pejabat Tanah Daerah

KADAR PREMIUM YANG DIKENAKAN

  • Mengikut Kaedah Tanah Selangor

KUASA MELULUSKAN

  • Pihak Berkuasa Negeri


---------------------------------------------------------------------------------------------


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064( JT Klang )



SEKIAN, TERIMA KASIH