Selasa, 28 Julai 2015

KENAIKAN KADAR UPAH MINIMA KHIDMAT UKUR TANAH



Cukai Barangan dan Perkhidmatan kerajaan atau GST yang telah mula dilaksanakan sejak 1 April 2015 dan juga kesan daripada kenaikan harga minyak sejak 2 bulan yang lepas telah menyebabkan harga barangan modal yang bersangkutan dengan kerja ukur tanah tidak terlepas daripada menjadi semakin mahal.

Selama 4 bulan sejak perlaksanaan GST pihak kami cuba mempertahankan kadar harga minima upah ukur tanah kami yang sebanyak RM 500 seperti yang telah kami tetapkan sejak dari awal tahun 2013 lagi. Tetapi kini kami tidak mampu lagi bertahan dengan bebanan kos tambahan perbelanjaan akibat daripada kenaikan harga barangan modal yang telah kami cuba serapkan selama ini dengan tanpa menaikkan kadar upah kami.

Jadi dengan ini berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini kadar harga upah minima kami akan dinaikkan sebanyak RM 100 menjadi 
RM 600 bagi menampung segala kenaikan kos modal yang telah pun ditanggung oleh pihak kami selama perlaksanaan cukai GST bermula dari bulan April yang lepas lagi.


KADAR UPAH MINIMA KAMI SEKARANG = RM 500

TETAPI MULAI 1 OGOS 2015

KADAR UPAH MINIMA KAMI = RM 600

Kadar harga bagi setiap perkhidmatan kami kekal sama seperti dahulu iaitu kadar yang telah kami tetapkan harganya yang mengikut keluasan per/ekar, per/bahagian dan juga per/hari bekerja. Yang terbabit dengan kadar harga baru hanyalah KADAR ASAS UPAH MINIMA kami sahaja iaitu daripada RM500 menjadi RM600. ( KLIK SINI UNTUK INFO LANJUT )

Kepada bakal pelanggan di negeri Selangor dan sekitar Lembah Klang yang memerlukan khidmat kami, ( KLIK SINI UNTUK HUBUNGI KAMI ) setelah perbincangan mengenai kerja ukur yang diperlukan maka pihak kami akan memberikan surat sebutharga rasmi terlebih dahulu untuk perhatian dan juga persetujuan dari pihak pelanggan.

Setelah pihak pelanggan dan pihak kami sama-sama bersetuju dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan dan  kadar upahnya barulah pihak kami akan memberikan tarikh waktu bilakah kerja-kerja tersebut dapat dijadualkan mula dibuat dan juga tarikh kerja-kerja tersebut dijangka siap.

SEKIAN TERIMA KASIH

Khamis, 2 Julai 2015

KAYU HULU KAPAK



Assalamualaikum... Salam Sejahtera dan tak lupa juga selamat berpuasa untuk pembaca 'BaganBeachBoy' yang beragama Islam.

 Di dalam kerja seharian seorang Jurukur Tanah, kapak ada juga digunakan tetapi tidaklah digunakan sangat jika dibandingkan dengan parang. Rata-rata jurukur tanah perlu ada sekurang-kurangnya sebilah parang kalau tak pun serba satu bilah parang bagi kesemua yang bekerja dalam pasukan ukur tanah.

Keperluan parang ini amatlah penting bagi membantu kerja ukur tanah. Daripada jenis yang pendek yang digunakan untuk memotong kayu untuk membuat kayu peg atau piket seterusnya perlu juga kepada parang panjang yang kegunaanya untuk menebas dan mencerahkan semak atau hutan yang dalam bahasa yang sering digunakan jurukur tanah dalam kerja ukur tanah adalah untuk kerja-kerja 'merintis'. 

Tetapi apa yang penulis nak tuliskan kali ini bukanlah cerita mengenai tujuan parang atau kapak dalam kerja ukur tanah. Tetapi adalah maksud sebenar bidalan bahasa "Kayu Hulu Kapak" tersebut yang mungkin ramai tak tahu termasuklah penulis sendiri yang baru saja tahu dan faham apa ertinya diciptakan oleh orang-orang tua dahulu bidalan kata 'kayu hulu kapak' tersebut.

Semenjak masuknya tahun 2015 ini yang dah pun berlalu separuh tahun dan yang masih berbaki separuh tahun saja lagi. Banyaklah cerita-cerita yang berkaitan sosio ekonomi, budaya masyarakat, kod etika berpakaian pelanggan, semangat harmoni perkauman yang semakin berkurangan serta isu-isu kepercayaan beragama setiap warga dan juga yang nombor satu paling hangat diperbicarakan dalam media sosial sekarang adalah kisah-kisah skandal, korupsi dan perkembangan politik semasa samada di pihak parti pemerintah dan juga parti pembangkang yang ada di bumi tercinta Malaysia ini.

Satu demi satu cerita gossip, skandal, korupsi dan bukti yang disertakan dengan 'fakta yang bukan auta' yang telah pun diperhidangkan buat tatapan bacaan rakyat demi untuk lebih diketahui dan lebih difahami oleh kalangan rakyat biasa seperti penulis dan juga para pembaca sekalian.

Ramai dikalangan rakyat Malaysia sekarang berada dalam situasi lebih mudah mendapatkan berita umpama kata 'segala maklumat hanya dihujung jari sahaja'. Di dalam kajian oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ), rakyat Malaysia menduduki ranking nombor 1 dari segi peratus penembusan penggunaan internet tanpa komputer mengalahkan kesemua rakyat dari negara-negara pengeluar teknologi maklumat dan komonukasi itu sendiri seperti USA, German, Jepun, Korea, Finland, UK dan lain-lain yang lebih maju ke hadapan lagi berbanding Malaysia. 

Contoh maklumat hujung jari tersebut termasuklah perkhidmatan yang ditawarkan oleh penulis yang hanya penulis iklankan disini di dalam dunia internet sahaja. Penulis tidak pernah pun membuat iklan di media seperti suratkhabar atau majalah, papan iklan billboard di tepi jalan, tv atau radio dan juga secara flyer atau dokumen iklan yang dilekatkan di tempat-tempat strategik seperti yang sering dibuat oleh 'Along dan ceti' bagi khidmat pinjaman wang peribadi tanpa perlu berurusan dengan bank dan syarikat kewangan. Rakyat Malaysia sekarang dengan mudahnya mendapat akses kepada segala maklumat yang diperlukan tidak seperti sebelum zaman milineum ( 2000 ) yang segalanya hanyalah daripada apa yang dihidangkan oleh media arus perdana milik pemerintah atau swasta sahaja yang kita semua sedia maklum segala maklumat itu ditapis dan dipilih pilih dahulu sebelum disiarkan kepada rakyat.

Jadi berbalik kepada kata bidalan "Kayu Hulu Kapak" ini, apa yang penulis nak tuliskan dan perjelaskan adalah maksud sebenarnya. Yang bermaksud, kayu yang digunakan untuk membuat pemegang kapak itu adalah kayu yang berasal daripada pokok yang telah ditebang dan kemudiannya dipergunakan pula untuk menebang pokok-pokok yang lain. Jadi maksudnya 'kayu' hulu kapak ini adalah merupakan 'kayu' yang tidak setia pada spesis dan bangsa, tidak sedar asal usul diri umpama 'kacang lupakan kulit', tidak boleh diharapkan umpama 'harapkan pagar, pagar makan padi', menjadi penderhaka kepada nasib spesis dan bangsa serta tidak punyai 'jatidiri' apabila dengan mudah diperbodohkan dan 'diperkudakan' oleh 'tangan-tangan besar' yang mempunyai kuasa, zalim, tamak dan yang mempunyai matlamat peribadi melebihi daripada matlamat yang sepatutnya iaitu menolong membantu sesama kita, sesama spesis, sesama bangsa dan sesama rakyat di bumi Malaysia tercinta.

Penulis tidak mahu bercerita panjang tetapi cukuplah hanya sekadar memberikan penjelasan maksud kata bidalan tersebut saja. Moga para pembaca telah faham akan maksudnya dan berfikirlah sendiri secara logik akal yang telah dikurniakan kepada kita oleh 'pencipta' yang merupakan satu anugerah pemberian kepada manusia yang paling bernilai yang dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Mungkin haiwan juga mempunyai otak dikepala mereka tetapi haiwan ini tiada akal fikiran yang terbit dari hasil pemikiran otak kiri dan otak kanan, otak yang dikepala bukan dilutut. 

Sebagai manusia yang diberi keistimewaan dengan anugerah 'akal fikiran' lakukanlah yang perlu dan yang sepatutnya. Sebelum membuat sesuatu keputusan samada kecil atau besar, samada penting atau tidak, fikirkan dulu dengan akal fikiran yang logik dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai matlamat peribadi yang mahu mempergunakan kita sebagai 'kuda tunggangan' dan juga sebagai 'kayu hulu kapak'.

Sekian, Terima Kasih

SHARING IS CARING




Isnin, 27 April 2015

MENJADI SEORANG JURUKUR TANAH


( Updated 2024 )


1. Kami TIDAK BEKERJA dalam pejabat dan kami pun agak tak berapa suka buat kerja dalam pejabat. Pejabat kami adalah di bawah pokok, di tepi jalan, di kedai kopi, mana mana tempat yang redup dan kebiasaanya kereta kami adalah pejabat bergerak kami.

2. Kami TIDAK BEKERJA 9am - 5.30am atau 8am - 5am. Menjadi amalan turun menurun yang diperturunkan oleh senior-senior kami kepada kami ketika masih junior, memulakan kerja seawal matahari terbit dan berhenti kerja pada waktu matahari dah panas terik kerana panas matahari akan memberi kesan tidak baik kepada peralatan dan hasil kerja kami.

3. Kami TIDAK BEKERJA dengan tangan memegang pen, mouse dan keyboard komputer di dalam ruang yang berhawa dingin.

4. Kami BEKERJA di dalam semak, di dalam hutan, di atas bukit-bukit, di tepi di tengah dan kadang kadang di bawah jalan, di atas dan di bawah jambatan, di luar di dalam dan di atas bangunan, tepi parit tepi kolam tepi sungai dan tepi laut. Di mana saja kerana kamilah orang pertama yang akan memulakan kerja dalam semua projek pembinaan dan projek pembangunan.

5. Kami BEKERJA seawal 7 pagi dan berhenti tatkala matahari dah panas terik pada jam 2 - 3 petang. Tapi itu cuma kerja luar. Berhenti kerja di luar kami balik dan berehat kemudian buat kerja pejabat pulak. Memproses data komputer dan melukis pelan dah menjadi bidang tugas-tugas pejabat kami selain daripada mencari informasi pelan lot tanah yang akan di ukur dan pergi membeli pelan tanah terkini di pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ( JUPEM ) cawangan negeri atau secara online.

6. Kami BEKERJA dengan alat canggih yang perlu digunakan dengan kedua 2 tangan kami. Selain itu kami perlu juga membawa kalkulator untuk mengira, walkie talkie untuk bercakap, buku untuk catatan rekod, tali tape untuk mengukur dan pelan untuk rujukan. Seluar yang banyak poket menjadi pilihan kami kerana boleh membawa macam macam barang kecil di samping beg galas untuk barang yang lebih besar.

7. Kenderaan yang lalu lalang tak putus putus, bunyi bunyi bising dari mesin atau kenderaan, tanah yang tidak rata berbukit atau lembik bertakung air serta persekitaran tempat kerja yang serba kotor dan tak selamat adalah cabaran kerja kami selain dari semak atau hutan yang terpaksa ditebas, dirintis dan dilapangkan dengan hanya menggunakan parang. 

8. Di maki hamun, di halau dengan parang dan dilaporkan kepada pihak polis telah menjadi sebahagian daripada pengalaman yang perlu kami terima daripada mereka-mereka yang tidak suka dengan apa yang dikerjakan oleh kami. Terutamanya apabila kami menandakan lokasi batu sempadan lot tanah orang yang mengupah kami tapi tidak disukai atau tidak dipersetujui oleh tuan tanah jiran sebelah.

9. Kami mohon maaf kerana menjadi kebiasaan kami tak dapat menjawap panggilan telefon semasa sedang membuat kerja. Bunyi yang bising sampai tak sedar ada panggilan masuk, tangan yang dah penuh memegang bermacam macam peralatan ataupun tangan yang berlumur dengan kekotoran dan kerapkali lokasi tempat kerja kami adalah kawasan yang kurang mendapat liputan telefon dan kadang kadang tak ada liputan langsung seperti ketika membuat kerja di projek bangunan tinggi. Itu semua adalah alasan kami kenapa panggilan telefon anda tidak dijawap ketika kami sedang membuat kerja.

10. Sistem satelit GPS, GPRS dan GIS sangat sangat membantu kami agar tidak tersesat atau tersalah mengukur tanah orang lain. Kalau dulu dulu, berbahasa dengan sopan menjadi kaedah terbaik untuk kami bertanya dengan orang yang lalu di tepi jalan, di dalam kedai makan atau bertanya pada orang orang tempatan, bertanya dimanakah lokasi kami berada sekarang atau bertanya jalan mana yang mesti kami pilih untuk ke lokasi tempat kerja kami. Kerapkali juga kami bertanya dimanakah adanya batu sempadan lot tanah yang masih elok di kawasan situ atau kadang kadang tu bertanya dimanakah adanya tandas kerana kami sangat sangat perlu pergi ke tandas pada waktu itu... hehe.

11. Kepada tuan-tuan tanah yang tak suka dengan lokasi penandaan sempadan lot tanah oleh kami atau kerana kami mengukur apa-apa saja benda kekal yang ada di atas tanah anda, janganlah anda marahkan kami kerana kami juga seperti anda perlu membuat kerja demi mencari rezeki. Kalau anda marah kerana tak setuju pun marahlah pada mereka yang mengupah kami membuat kerja ukur di situ. Marahlah pada kontraktor atau syarikat yang masih lagi tak bayar duit anda atau marahlah pada mereka-mereka yang telah berjanji tapi tak ditepati dengan anda berkenaan hal tanah anda.

12. Sebagai jurukur tanah persendirian kami menawarkan perkhidmatan ukur tanah yang lebih murah dan lebih cepat disiapkan.

13. Kadar HARGA MINIMA kami yang bermula dari RM 600 / per hari ** ( bagi kerja ukur tanah tertentu dan di lokasi tanah tertentu ) sudah pun termasuk 20 % fee LJT dan 8 % cukai kerajaan**. Jadi tiada lagi cukai tambahan yang perlu dibayar oleh pelanggan kami. ( ** update tahun 2024 )

14. Kami menawarkan khidmat nasihat dan perundingan profesional secara percuma kepada tuan-tuan tanah yang bertanya kerana kebanyakan dari kami berpengalaman luas dengan pernah bekerja sebagai jurukur di syarikat Jurukur Tanah Berlesen dan di syarikat pembinaan yang sudah tentu mampu bekerja sendiri dan mampu menyelesaikan masalah dengan tanpa tunjuk ajar atau bimbingan dari orang lain. ( troubleshooting & independent )

15. Kami boleh bertolak ansur, boleh berlebih kurang atau boleh memberikan harga diskaun kepada anda jika anda betul-betul berada dalam situasi yang tak begitu baik. Demi khidmat mesra dan menghormati pelanggan kami sanggup terima sedikit pengurangan bayaran tapi janganlah pula sampai kami mendapat kerugian.

16. Alat alat yang kami gunakan untuk membuat kerja bukanlah barang barang yang berharga murah. Kalau dicampur kesemuanya, jumlahnya boleh membeli sebiji kereta. Bukan harga kereta terpakai tetapi harga kereta yang baru keluar dari kilang. Kami tak dapatnya percuma tapi kami perlu membelinya sebagai modal kerja.

17. Jikalau 'mak andam' dan 'jurufoto' majlis perkahwinan anda meminta upah beribu hanya berbekalkan alatan yang kecil-kecil dan ringkas serta mereka bekerja tanpa mengeluarkan peluh; anda dengan mudahnya bersetuju dan terus membuat bayaran upah atau deposit sebelum mereka mulakan kerja lagi. Janganlah pula anda katakan kami meletakkan harga yang mahal andaikata kami berikan sebutharga upah kami bernilai 4 angka yang melebihi RM 1000 kepada anda.

18. Kami mungkin 'bos' tapi kami juga perlu bekerja sendiri ibarat ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jikalau kami tidak keluar membuat kerja maka tiadalah rezeki untuk dibawa balik buat menyara keluarga. 

19. Hasil kerja kami adalah sama tepat dan boleh dipercayai walaupun kami hanyalah berstatus 'Jurukur Tanah biasa' sahaja dan bukannya 'Jurukur Tanah Berlesen' kerana setiap jurukur tanah itu adalah terikat dengan syarat dan peraturan ketat yang telah digariskan oleh pihak kerajaan, JUPEM, LJT dan juga undang-undang Kanun Tanah Negara.

20. Akhir kata kami sangat-sangat menyukai dan 'JATUH CINTA' dengan pekerjaan kami. Kami sangat berbangga menjadi seorang JURUKUR TANAH @ LAND SURVEYOR yang merupakan orang pertama yang akan memulakan kerja dalam setiap projek pembangunan ( site survey ) dan kami juga akan menjadi orang yang terakhir membuat kerja selepas siap setiap projek ( as-built survey ). 

" Tanpa 'Jurukur Tanah' tak akan bermula, tak akan siap dan tak akan tepatlah apa saja projek pembinaan & pembangunan " - Nick Bagan @ 27/4/2015

TERIMA KASIH KEPADA PELANGGAN YANG TELAH MENDAPATKAN KHIDMAT KAMI UNTUK MENGUKUR TANAH ANDA....