Khamis, 21 September 2023

PINDAH MILIK TANAH SECARA JUAL BELI & KASIH SAYANG

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

( klik foto untuk zoom pembesaran )

Urusan pindah milik tanah memasukkan nama pemilik baru bagi keseluruhan atau hanya sebahagian syer pegangan hakmilik tanah dalam mana-mana lot tanah yang berhakmilik ( ada geran tanah ) perlulah dibuat apabila terjadinya urusan jual beli, pemberian di antara suami isteri atau pemberian secara kasih sayang dari ibu bapa atau datuk nenek kepada anak atau cucu. Bagi urusan pindah milik di atas, perlulah dibuat dengan mengisi borang 14A dengan perakuan dan tandatangan pemilik asal dan pemilik baru dibuat dihadapan seorang saksi yang layak dari kalangan Pentadbir Tanah, peguam atau notari awam / Pesuruhjaya Sumpah.

Selain daripada keperluan mengisi borang 14A ada banyak lagi dokumen sampingan atau sokongan yang perlu dilampirkan sekali dengan permohonan tersebut. Senarai semak dokumen lampiran boleh didapati di kaunter atau laman web pejabat tanah daerah. Sebelum membuat permohonan pastikan kesemua dokumen lampiran dan sokongan ini ada dilampirkan bersama.


SENARAI SEMAK PENDAFTARAN PINDAH MILIK TANAH


( klik foto untuk zoom pembesaran )

SYARAT LUAS MINIMA PINDAH MILIK

Untuk membolehkan nama pembeli sebahagian syer pegangan tanah dimasukkan ke dalam geran tanah bergantung kepada luas minima kategori kegunaan tanah tersebut. Jika keluasan tanah yang dibeli tidak mencukupi syarat asas dari segi luas minima, nama pembeli tersebut tidak boleh didaftarkan sebagai pemilik tanah.

Pembeli hanya boleh didaftarkan sebagai pihak yang memiliki pegangan amanah bagi luas atau syer yang terbabit sahaja. Sama juga dengan pindahan milik secara kasih sayang. Jika luas tanah yang diberikan tidak memenuhi syarat luas minima, tidak semua penerima manafaat tanah itu boleh dimasukkan namanya sebagai pemilik tanah yang baru. Kalangan penerima manafaat secara kasih sayang ini perlulah melantik seorang pemegang amanah dengan memberikan persetujuan di dalam satu surat ikatan amanah. Proses penamaan nama pembeli dan penerima manafaat kasih sayang yang tidak cukup syarat luas minima hanya akan dimasukkan sebagai pemilik tanah yang sah ke dalam geran tanah hanya setelah pemilik asal tanah tersebut selaku pihak penjual atau pemberi manafaat meninggal dunia sahaja.

Sebagai contoh untuk pemahaman, seorang bapa kepada 4 orang anak memiliki tanah pertanian luas 2 ekar. Dia berhasrat memberikan separuh atau 1 ekar dari tanah tersebut kepada 4 orang anaknya secara samarata. Tetapi mengikut peraturan bagi tanah pertanian, luas 1 ekar hanya boleh dimasukkan 1 nama sahaja. Jadi disinilah keperluan 4 anak tersebut melantik salah seorang dari mereka sebagai wakil pemegang amanah untuk dimasukkan nama sebagai pemilik tanah yang mempunyai ( 1/2 ) bahagian sebagai pemegang amanah bagi pihak kesemua 4 orang anak yang mempunyai kepentingan ( 1/8 ) bahagian tanah setiap seorang. Setelah bapa mereka meninggal dunia nanti barulah kesemua nama mereka akan dimasukkan sebagai pemilik tanah di dalam geran tanah.  

Dahulu banyak agen pihak penjual tanah lot lidi mengambil kesempatan dengan menjual tanah lot lidi secara menggunakan surat ikatan amanah begini. Tetapi apabila semakin banyak berlakunya kes penipuan penjualan tanah maka kerajaan negeri Selangor telah pun mengambil ketetapan tidak lagi meluluskan sebarang surat ikatan amanah yang dibuat dari urusan jual beli tanah. Hanya surat ikatan amanah daripada urusan pemberian tanah secara kasih sayang sahaja yang boleh diterima dan dimasukkan ke dalam geran tanah.


NOTA KAKI

Artikel ini ditulis hanya bagi menjawap pertanyaan yang penulis terima dari kalangan pembaca sahaja. Peraturan dan undang-undang adalah ditentukan oleh pihak pentadbir tanah mewakili pihak kerajaan negeri. 

Penulis tidak bertanggungjawap jika ada kesalahan fakta sebab peraturan dan undang-undang boleh berubah mengikut keadaan dan dari masa ke semasa serta tidak sama antara setiap negeri. Untuk lebih jelas dan muktamad, jika ada pertanyaan perlulah merujuk kepada pihak yang bertanggungjawap dan berkuasa iaitu pihak petadbir tanah yang ada di Pejabat Tanah Daerah.    

            

 SEKIAN 

TERIMA KASIH

--------------------------------------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

Rabu, 22 Mac 2023

PECAH GERAN TANAH : ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP ( BAHAGIAN 2 )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


Nota : Artikel ini adalah lanjutan daripada artikel asal dengan tajuk yang sama diterbitkan beberapa tahun lepas. Penulisan kali ini adalah sebagai pembetulan fakta serta penjelasan lanjut bagi salah anggapan banyak pembaca dari kalangan pemilik tanah melalui pertanyaan yang banyak penulis terima selepas artikel asal diterbitkan dahulu.

Untuk membaca artikel asal yang telah diterbitkan beberapa tahun lepas sila klik link di bawah.


______________________________________

Kebanyakan pemilik tanah tidak berminat mengambil tahu prosedur yang terlibat serta keperluan syarat kelulusan bagi setiap permohonan. Apa yang mereka lebih pentingkan adalah ‘Berapa harga dan bila boleh siap..?’
Itulah sebabnya penulis tuliskan satu artikel berkenaan ‘anggaran harga serta tempoh siap’ bagi permohonan pecah geran tanah di facebook kemudian diterbitkan juga disini. Setiap pertanyaan dan permintaan yang penulis terima penulis akan berikan link artikel tersebut untuk mereka baca sendiri tanpa perlu penulis berulang kali berikan penerangan yang sama pada setiap pemilik tanah dan pembaca yang bertanya. 

Apa yang ditulis hanyalah satu jumlah harga anggaran kasar sahaja sebagai contoh untuk memudahkan pembaca faham dan membuat persediaan dari segi kewangan. Penulis tidak letak pun sebarang harga atau yuran bagi setiap urusan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak lain. Namun begitu banyak yang telah salah anggap bahawa harga dan tempoh masa tersebut adalah standard bagi permohonan pecah geran tanah. Daripada salah anggapan inilah penulis merasa perlu dibuat satu pembetulan fakta serta diberikan satu penerangan yang lebih jelas bagi memperbetulkan salah anggapan tersebut.

Adalah penting untuk pembaca lebih faham prosedur yang terlibat serta syarat lulus yang utama apabila satu permohonan pecah geran tanah dikemukakan kepada pihak pentadbir tanah melalui Pejabat Tanah Daerah. Ini adalah kerana prosedur serta syarat lulus inilah yang akan memberikan kesan pada jumlah harga sebenar serta tempoh masa yang perlu bagi mendapatkan kelulusan.

Untuk itu adalah lebih baik kita mulai dengan penerangan definasi yang sebenar bagi 'Pecah Sempadan' serta 'Pecah Bahagian'.


PERBEZAAN ANTARA PECAH SEMPADAN DENGAN PECAH BAHAGIAN


Apabila pemilik tanah membuat permohonan samada ‘Pecah Bahagian’ atau ‘Pecah Sempadan’ yang membabitkan pengeluaran geran tanah / hakmilik secara berasingan bagi setiap plot ( bahagian ), secara asasnya terdapat pelbagai syarat peraturan, pelbagai jenis kelulusan berperingkat dan juga pelbagai jenis bayaran yang perlu dibuat kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Kita fahami terlebih dahulu apakah persamaan dan perbezaan antara 2 jenis pecahan tersebut.

PECAH SEMPADAN

Pecahan sempadan adalah bertujuan untuk memecah sempadan tanah kepada plot-plot ( bahagian ) yang lebih kecil tanpa mengubah apa-apa dari segi pemilikannya. Syarat asas dari segi keluasan adalah tidak boleh kurang daripada 1 ekar bagi tanah pertanian, tiada tunggakan cukai tanah dan mempunyai jalan keluar masuk yang sah ( rezab jalan 20 kaki ) bagi setiap plot ( bahagian ) yang hendak dipecahkan. Jika luas tidak cukup maka permohonan pertukaran syarat kegunaan tanah perlulah dibuat terlebih dahulu. Tukar syarat ini boleh juga dibuat secara serentak dengan permohonan untuk pecah sempadan lot.

PECAH BAHAGIAN

Pecahan bahagian pula adalah bertujuan memecahkan satu lot tanah yang dimiliki oleh 2 orang atau lebih tuan tanah yang biasa disebut sebagai ‘lot atau geran kongsi’. Pecahan bahagian dibuat bagi membolehkan setiap pemilik tanah yang berkongsi ini mendapatkan satu geran tanah / hakmilik mengikut hak masing-masing secara berasingan. Syarat asas dari segi keluasan adalah tidak boleh lebih kurang daripada 0.25 ekar setiap bahagian bagi tanah pertanian dengan keperluan jalan keluar masuk bagi setiap bahagian ( rezab jalan 20 kaki ). Proses permohonan untuk pecah bahagian mempunyai syarat kelulusan yang lebih rumit kerana membabitkan persetujuan daripada banyak pemilik yang berkongsi hakmilik dibanding dengan proses pecah sempadan. Sama seperti pecah sempadan, jika luas minima 0.25 ekar tidak mencukupi maka perlulah dibuat tukar syarat kegunaan tanah terlebih dahulu. Jika jenis guna tanah dipinda daripada pertanian kepada kediaman atau bangunan rezab jalan keluar masuk juga perlu dipinda daripada 20 kaki kepada 40 kaki. Dan jika ada antara pemilik tanah telah meninggal dunia, dinasihatkan agar proses pewarisan atau pusaka diselesaikan terlebih dahulu bagi memudahkan urusan permohonan ini mendapat kelulusan.

Sebagai contoh untuk pemahaman, ada satu bidang tanah dengan bernombor Lot 1234 berkeluasan 2 ekar dengan mempunyai 2 nama ‘Pemilik A’ dan ‘Pemilik B’ sebagai tuan tanah dengan masing-masing mempunyai ½ bahagian. Kemudian mereka bersetuju untuk membuat pecahan lot kepada 2 lot kecil yang masing-masing berkeluasan 1 ekar.

Jika pemilik tanah membuat permohonan ‘Pecah Sempadan’ maka akan terbitlah 2 lot baru bagi menggantikan lot asal dengan setiap lot baru itu akan mempunyai pegangan hakmilik yang sama seperti dalam lot asal. Dalam kedua dua lot pecahan yang baru itu nama kedua pemilik akan kekal sama dengan masing-masing ada pegangan hakmilik, ½ bahagian dalam setiap lot. Mereka masih kekal berkongsi ½ bahagian dalam setiap lot baru sama seperti dalam lot asal.

Tetapi jika pemilik tanah memilih untuk membuat permohonan ‘Pecah Bahagian’ maka akan terbitlah 2 lot baru bagi menggantikan lot asal dengan setiap pemilik akan memiliki pegangan 100% atau 1/1 bahagian dalam salah satu lot tersebut. Pemilik A akan dapat 1 lot dan pemilik B juga akan dapat 1 lot. Mereka tidak lagi berkongsi hakmilik seperti dalam lot yang asal.

Sudah faham dengan perbezaan bagi kedua dua jenis permohonan Pecah Sempadan dan Pecah Bahagian, sekarang barulah kita lihat pula persamaan yang melibatkan urusan permohonan dengan senarai pihak-pihak yang terlibat serta jenis-jenis pembayaran yang perlu dibuat kepada mereka. Penulis tak dapat nak letakkan harga bagi setiap urusan yang terlibat sebab lain pihak lain harganya. Begitu juga setiap permohonan akan berbeza dengan permohonan yang lain disebabkan oleh beberapa faktor. Dengan jumlah plot pecahan yang berbeza, keluasan tanah yang berbeza, jenis kegunaan tanah berbeza, lokasi tanah berbeza, serta situasi pemilikan tanah juga berbeza maka sudah tentulah kadar harga bagi setiap permohonan juga akan berbeza harganya. Kos bagi setiap permohonan tidak boleh dihitung secara perkadaran standard yang mengikut kepada contoh harga anggaran kasar yang telah penulis cadangkan dalam artikel sebelum ini.





PERINGKAT-PERINGKAT PERMOHONAN

Setiap permohonan akan ada 3 peringkat bagi perlaksanaannya. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut :

PERTAMA : PENYEDIAAN PELAN

Peringkat penyediaan pelan cadangan Pra-Hitungan yang memenuhi syarat serta mendapat persetujuan setiap pemilik tanah atau pemegang syer yang ada kepentingan. Jika ada keperluan satu kerja pengukuran perlu dibuat terlebih dahulu di lokasi tanah berkenaan bagi proses penyediaan pelan Pra-Hitungan. Hanya selepas satu pelan cadangan dapat disediakan dengan memenuhi segala syarat asas permohonan dan pelan tersebut mendapat persetujuan secara perakuan bertulis melalui tandatangan persetujuan kesemua pemilik tanah di atas pelan tersebut barulah kerja bagi permohonan tersebut dapat diteruskan.

KEDUA : PENYEDIAAN DOKUMEN SERTA BORANG

Selepas pelan cadangan disiapkan, dengan merujuk kepada keperluan berdasarkan kepada pelan tersebut maka setiap dokumen lampiran yang perlu dilampirkan serta borang-borang yang perlu di isi perlulah disediakan oleh pemilik tanah. Berdasarkan kepada pelan cadangan jika perlu dibuat tukar syarat jenis kegunaan tanah satu proses permohonan Kebenaran Merancang kepada pihak Majlis Perbandaran perlulah dibuat terlebih dahulu oleh pihak Perancang Bandar Bertauliah yang dilantik oleh pemilik tanah. Kelulusan daripada pihak Majlis adalah satu keperluan yang perlu dilampirkan dalam permohonan yang akan dibuat kepada pihak Pejabat Tanah Daerah ( Pentadbir Tanah )




KETIGA : PERMOHONAN KE PEJABAT TANAH DAERAH

Selepas segala dokumen lampiran mencukupi, borang-borang yang perlu di isi sepenuhnya dengan nama dan tandatangan setiap pemilik tanah, salinan sah bagi setiap dokumen disediakan, barulah permohonan dibuat di kaunter pejabat tanah samada oleh pemilik tanah sendiri atau wakil pemilik tanah atau pun pihak jurukur tanah yang telah dilantik oleh pemilik tanah.



PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT DALAM SETIAP URUSAN PERMOHONAN PECAH SEMPADAN ATAU PECAH BAHAGIAN BAGI MENDAPATKAN GERAN TANAH BERASINGAN ADALAH SEPERTI BERIKUT :


1.) JURUKUR TANAH BERLESEN ( LS )

Antara perkhidmatan dan bayaran yang terlibat ialah :

> Pendaftaran fail
> Kos penyediaan pelan Pra-Hitungan dan lain-lain pelan
> Kos bayaran untuk kerja ukuran bagi penyediaan pelan berkenaan


Biasanya keperluan membuat kerja ukuran di atas tanah terlebih dahulu adalah disebabkan oleh terdapatnya pagar, rumah atau bangunan, jalan keluar masuk sedia ada, parit saliran atau pun talian penghantaran elektrik TNB sedia ada di atas tanah terlibat. Daripada ukuran offset, ukuran butiran atau topografi yang dibuat barulah satu pelan pra-hitungan bagi permohonan pecah bahagian atau pecah sempadan dapat disediakan yang memenuhi syarat kelulusan serta mendapat persetujuan setiap pemilik tanah yang terlibat.



2.) LEMBAGA JURUKUR TANAH SEMENANJUNG MALAYSIA ( LJT )

Bayaran yang terlibat ialah :

> Bayaran asas
> Bayaran bagi petak-petak pecahan
> Bayaran bagi pelan Pra-Hitungan
> Garisan Azimuth, sambungan dan kawalan
> 20% Yuran Proses Data Digital
> 6% cukai kerajaan

Transformasi teknologi dalam bidang geospatial / ukur tanah sekarang sedang berubah kepada format digital sepenuhnya. Kos bagi penyediaan dan pembangunan prasarana data digital ini dikelola oleh pihak LJT melalui fee yang dijana daripada yuran yang dibayar oleh pihak Jurukur Tanah Berlesen. Maka itu dalam setiap bayaran yang perlu dibayar oleh pelanggan kepada Jurukur Tanah Berlesen maka pelanggan perlu juga membuat bayaran kepada pihak LJT. Penggunaan data geospatial dalam format digital ini seperti jurukur tanah menggunakan lebuhraya yang disediakan oleh LJT untuk mudah dan cepat sampai ke destinasi. Jadi pada setiap penggunaan perlulah dibayar kadar tol penggunaanya seperti yang telah ditetapkan.


3.) PERANCANG BANDAR BERTAULIAH ( PERANCANG BANDAR )

Ada permohonan tertentu contohnya jika satu lot jenis pertanian yang tidak cukup syarat luas minima 1 ekar bagi Pecah Sempadan atau 0.25 ekar bagi Pecah Bahagian perlulah disertakan bersama Pelan Kebenaran Merancang (LCP) yang telah mendapat kelulusan daripada pihak Majlis sekali dengan permohonan. Laporan cadangan pembangunan tanah dan pelan ini perlulah disediakan oleh pihak Perancang Bandar Bertauliah yang dilantik oleh pemilik tanah. Kos bagi laporan dan pelan ini perlulah dibayar kepada pihak perancang bandar tersebut bukan kepada pejabat tanah atau jurukur tanah. Mengikut pekeliling Lembaga Perancang Bandar Malaysia ( LBPM ) yuran minima untuk Kebenaran Merancang adalah 15 ribu bagi tanah pertanian luas 3 hektar yang pertama.  


4.) MAJLIS DAERAH / PERBANDARAN / BANDARAYA ( MAJLIS )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Pelan Surih
> Cabutan
> Bayaran proses Kebenaran Merancang
> Fee Pemajuan


5.) PEJABAT TANAH DAERAH ( PTD )

Prosedur dan bayaran yang terlibat :

> Pendaftaran Fail
> Memperenggan
> Cabutan
> Borang 9A atau 9B
> Pelan Surih
> Pendaftaran QT / Hakmilik Sementara
> Wang Pos
> Deposit Tukar Syarat / ( Premium Nilai tanah semasa )
> Akuan Sumpah
> Notis

Demikianlah 5 pihak yang terbabit dengan senarai yuran atau fee yang perlu dibuat kepada mereka. Jumlah yuran tidaklah boleh sama bagi setiap permohonan bagi setiap pemilik tanah. Kos harga sangat bergantung kepada keperluan prosedur yang terbabit dalam setiap permohonan. Apa yang dapat penulis berikan hanya senarai fee atau yuran yang terlibat tetapi bukan harga bagi setiap fee atau yuran yang perlu dibayar. Setiap pihak ada harga masing-masing jadi penulis tak dapat nak letakkan harga bagi perkhidmatan yang disediakan oleh pihak lain.

RINGKASAN PENJELASAN

Penulisan ini hanya sekadar memberikan kefahaman dan penjelasan ringkas kepada prosedur untuk kerja pecah geran tanah sahaja. Tidak ada kadar harga tetap mahu pun anggaran yang boleh diberikan selagi segala syarat dan dokumen lampiran yang perlu disertakan tidak memenuhi syarat, tidak mendapat kelulusan serta tidak mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat. Sebab itulah pada peringkat awal hanya harga bagi kerja-kerja yang perlu dibuat oleh jurukur tanah sahaja yang boleh diberikan kepada pemilik tanah. Selepas pelan cadangan disiapkan, barulah peringkat seterusnya iaitu penyediaan dokumen yang diperlukan seperti sijil carian rasmi, salinan geran tanah yang sah, salinan kad pengenalan pemilik, surat kebenaran daripada setiap pihak yang ada kepentingan termasuklah jika perlu dibuat tukar syarat jenis kegunaan tanah atau diselesaikan urusan penamaan, pewarisan atau pusaka terlebih dahulu jika ada antara pemilik yang telah meninggal dunia. Kos bagi urusan tersebut perlulah dibuat bayaran oleh pemohon dan tidak boleh dimasukkan dalam senarai sebutharga bagi urusan yang membabitkan jurukur tanah.

Semua proses ini perlu dibuat secara satu persatu dan berperingkat. Dari satu permohonan kepada satu pihak, selepas mendapat kelulusan barulah boleh dimajukan kepada pihak yang lain pula.

Perlu anda tahu jika ada mana-mana pihak berkuasa yang memberikan komen atau meminta pindaan dibuat, maka pelan pra-hitungan yang disediakan oleh jurukur tanah pada peringkat awal perlulah dilukis semula dengan dimasukkan pindaan seperti yang diminta oleh pihak berkuasa tersebut. Proses permohonan perlu diulang sekali lagi sehingga mendapat kelulusan. Ini akan menyebabkan pertambahan kos serta pertambahan tempoh masa kelulusan.

Jika dahulu penulis berikan satu kadar harga anggaran kasar iaitu RM 10 ribu bagi satu permohonan untuk mendapatkan satu geran tanah berasingan. Tapi ini hanya sekadar harga anggaran untuk permohonan yang tak perlu Kebenaran Merancang dan tak perlu buat tukar syarat kegunaan tanah sahaja.
Kalau ada keperluan untuk dapatkan kelulusan Majlis untuk Kebenaran Merancang bagi tukar syarat jenis guna tanah kos akan menjadi lebih lagi sebab perlu dibuat bayaran kepada pihak Perancang Bandar dan perlu juga dibuat bayaran premium 15% nilai tanah semasa kepada kerajaan. 

Kos harga walau pun sekadar harga anggaran untuk membuat pecahan lot bagi mendapatkan satu geran tanah berasingan adalah bergantung kepada banyak faktor terutamanya, jumlah plot pecahan, keluasan plot pecahan, jenis guna tanah lot tersebut, kadar cukai tanah semasa, kadar premium nilai tanah semasa dan fee serta yuran pembayaran kepada setiap perkhidmatan daripada setiap pihak yang terlibat.

Akhir kata jika ada pemilik tanah yang berminat nak buat samada pecahan sempadan atau pecahan bahagian, pergilah ke pejabat tanah daerah bawa bersama geran tanah yang dimiliki. Buatlah pertanyaan dan dapatkan senarai semak keperluan serta syarat lulus yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan kelulusan. Dengan mengetahui situasi serta status tanah anda terlebih dahulu, anda pasti akan lebih arif dengan segala syarat lulus serta prosedur yang perlu dibuat bagi mendapatkan kelulusan. 

_____________________________________________

Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( Klik nombor di bawah )

 

012-3949064 ( JT Klang )


SEKIAN TERIMA KASIH

-------------------------------------------------------------

Jurukur Tanah Klang @ 2023

#jurukurtanah
#jurukurtanahbagan
#jurukurtanahklang
#jurukurtanahdiklang
#jurukurtanahdiselangor
#baganbeachboy


Isnin, 20 Mac 2023

UNIT UKURAN JARAK DAN LUAS TANAH




UNIT UKURAN JARAK DAN LUAS TANAH
( BAHAGIAN 1 )

Artikel ini adalah satu senarai unit pertukaran atau "conversion" untuk mengira nilai persamaan bagi jarak dan luas tanah dari satu unit ke unit yang lain. Contohnya untuk menukar jarak dari METER kepada KAKI atau menukar luas dari EKAR kepada KAKI PERSEGI.

Unit-unit pertukaran yang ditunjukkan disini adalah unit-unit ukuran yang biasa digunakan di dalam pelan ukuran tanah terutama sekali di dalam 'Pelan Diperakui' ( PA ) atau 'Certified Plan' ( CP ) keluaran Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia ( JUPEM ).

Apa yang perlu dibuat adalah baca dan ketahui nilai persamaan antara 2 unit yang mahu ditukar nilai kemudian buat kiraan mengikut contoh yang telah disediakan di bahagian bawah artikel ini.

Bagi ukuran jarak panjang dan lebar untuk tanah, unit yang biasa diguna pakai dalam pelan tanah lama adalah dalam unit LING ( Link ) dan RANTAI ( Chain ). Manakala bagi ukuran luas tanah pula unit yang biasa diguna pakai dalam pelan tanah lama adalah bergantung pada lokasi serta negeri. Di lokasi tanah pertanian dan negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang unit luas yang digunakan adalah RELUNG dan JEMPA. Di negeri Kelantan pula unit EKAR dan DEPA. Bagi kebanyakan negeri lain di Semenanjung Malaysia, unit luas tanah yang biasa digunakan adalah HEKTAR dan EKAR.

Unit Ling, Meter, Hektar dan Ekar juga digunakan di negeri Sabah & Sarawak walaupun ada perbezaan format butiran hakmilik geran tanah serta undang-undang yang diguna pakai Kanun Tanah Negeri masing-masing bukan Kanun Tanah Negara ( KTN ) yang diguna pakai oleh negeri di Semenanjung.

( updated 2024 )
------------------------------------------------------------------------------------

Pembaca yang memiliki tanah yang perlukan khidmat jurukur tanah bagi menyelesaikan isu & masalah tanah yang sedia ada atau bagi mengelakkan terjadinya sebarang masalah tanah pada masa hadapan, anda boleh buat semakan perkhidmatan ukur tanah yang disediakan oleh kami terlebih dahulu sebelum anda menghubungi kami dengan
( klik pautan di bawah 👇 )

 
------------------------------------------------------------------------------------


( KLIK FOTO UNTUK BESARKAN ATAU MUAT TURUN )


UNIT UKURAN UNTUK JARAK TANAH

Unit jarak utama yang biasa digunakan :

1 kaki ( bersamaan ) 0.3048 meter

1 meter = 3.28084 kaki

1 Ling = 0.201168 meter

1 Ling = 0.66 kaki

1 rantai = 100 Ling

1 rantai = 20.1168 meter

1 rantai = 66 kaki


Unit jarak yang lain :

1 kaki = 12 inci
1 meter = 1.094 ela = 3 kaki 3 inci
1 ela = 0.9144 meter
1 ela = 3 kaki
1 kilometer = 3281 kaki = 1000 meter
1 kilometer = 0.6214 batu
1 batu = 1.609 kilometer
1 batu nautika = 1.1508 batu = 1.852 kilometer
1 relung = 176 kaki = 53.642 meter
1 pole = 5.0292 meter
1 rantai = 4 pole
1 furlong = 10 rantai
1 jengkal = 0.5 hasta
1 hasta = 0.5 ela
1 depa = 4 hasta = 2 ela
1 depa = 6 kaki = 1.8288 meter
1 jempa = 8 kaki
1 jumba = 2 depa = 12 kaki
1 orlong = 20 jumba

------------------------------------------------------------------------------------


( KLIK FOTO UNTUK BESARKAN ATAU MUAT TURUN )


UNIT UKURAN UNTUK LUAS TANAH

Unit luas utama yang biasa digunakan :

1 meter persegi ( mp ) = 10.764 kaki persegi ( kp )

1 kp = 0.0929 mp

1 ekar = 4,046.86 mp

1 ekar = 43,560 kp

1 ekar = 1,210 depa

1 hektar = 2.471 ekar

1 hektar = 10,000 mp

1 hektar = 107,640 kp

1 relung = 0.7111 ekar

1 relung = 484 jempa


Unit luas yang lain :

1 relung = 2,877.72 mp
1 relung = 30,976.6 kp
1 relung = 0.288 hektar = 0.7111 ekar
1 relung = 484 jempa
1 jempa = 64 kp = 5.946 mp
1 ekar = 1.406 relung = 0.404686 hektar
1 ekar = 4,046.86 mp
1 ekar = 43,560 kp
1 ekar = 10 rantai
1 ekar = 1,210 depa
1 ekar = 4 Rood = 160 pole / rod / perch
1 hektar = 10,000 mp
1 hektar = 3.475 relung = 2.471 ekar
1 hektar = 107,640 kp
1 kilometer persegi = 1,000,000 mp
1 kilometer persegi = 100 hektar = 247.105 ekar
1 rantai persegi = 404.686 mp
1 rantai persegi = 4,356 kaki persegi = 0.1 ekar
1 Rood = 0.25 ekar = 1/4 ekar
1 Rood = 1,011.71 mp = 10,890 kp
1 Rood = 40 pole / rod / perch
1 pole = 1 rod = 1 perch
1 pole = 0.025 Rood = 0.00625 ekar
1 pole = 1/40 Rood
1 pole = 25.293 mp = 272.25 kp
1 depa persegi = 36 kp
1 depa persegi = 3.3445 mp

------------------------------------------------------------------------------------

Sekarang anda boleh cuba kira sendiri jarak atau luas tanah yang anda ingin tukarkan nilainya dengan gunakan nilai persamaan di atas. Guna kalkulator untuk buat kiraan. Kalau masih tak faham teruskan membaca lagi sebab di bawah ada contoh cara pengiraan yang betul.

------------------------------------------------------------------------------------

Bagi pemilik tanah yang berminat mendapatkan sebutharga kerja ukur tanah, segala butiran dan maklumat yang perlu disediakan boleh dibuat semakan dengan
< klik pautan di bawah 👇 >

SEBUTHARGA kami adalah PERCUMA
Kalau setuju dengan harga sahaja baru ada bayaran deposit

------------------------------------------------------------------------------------


CARA PENGIRAAN JARAK TANAH 

CONTOH 1

1 Ling = 0.201168 meter

1 Ling = 0.66 kaki

Jika jarak garisan di dalam pelan tanah ditulis begini :

1.) Garisan pertama : 600 ling

2.) Garisan kedua : 1050 ling

Apa yang perlu dibuat hanyalah darabkan jarak Ling tersebut dengan nilai persamaannya di dalam unit meter atau kaki

1.) 600 ling ( darab ) 0.201168 ( bersamaan ) 120.700 dalam meter
600 ling ( X ) 0.66 = 396 dalam kaki

2.) 1050 ling ( X ) 0.201168 = 211.226 meter
1050 ling ( X ) 0.66 = 693 kaki 

------------------------------------------------------------------------------------

CONTOH 2

1 meter = 3.28084 kaki

1 kaki = 0.3048 meter

Jika jarak garisan di dalam pelan di tulis begini :

1.) Garisan di tulis dalam unit meter : 24.575 meter

2.) Garisan di tulis dalam unit kaki : 75 kaki

Darabkan jarak tersebut dengan nilai persamaan seperti di atas

1.) 24.575 meter ( darab ) 3.28084 ( bersamaan ) 80.63 kaki

2.) 75 kaki ( X ) 0.3048 = 22.860 meter 

------------------------------------------------------------------------------------

CARA TUKAR UNIT LUAS TANAH 

Dalam geran tanah yang lama, keluasan tanah akan ditulis dalam unit Ekar, Rood dan Pole. Unit Ekar akan ditulis dengan simbol 'a', unit Rood akan ditulis dengan 'r' manakala unit Pole pula akan ditulis dengan 'p'.

FORMULA ASAS : 

1 ekar = 4 rood = 160 pole

1 ekar = 4046.86 mp = 43,560 kp

1 rood = 1,011.71 mp = 10,890 kp

1 pole = 25.293 mp = 272.25 kp


CONTOH PENGIRAAN

( EKAR, ROOD & POLE )

Jika keluasan tanah ditulis dalam EKAR begini :

2a. 1r. 07p.

Ini bermakna luas tanah tersebut adalah :

( 2 ekar ) + ( 1 Rood ) + ( 7 pole )


TUKAR KE METER PERSEGI ( mp )

( 2 ekar ) + ( 1 Rood ) + ( 7 pole )

( 2 X 4046.86 mp ) + ( 1 X 1011.71 mp ) + ( 7 X 25.293 mp )

= ( 8093.72 mp ) + ( 1011.71 mp ) + ( 177.051 mp )

= ( 8093.72 + 1011.71 + 177.051 )

= 9,282.48 mp


TUKAR KE KAKI PERSEGI ( kp )

( 2 ekar ) + ( 1 Rood ) + ( 7 pole )

( 2 X 43,560 kp ) + ( 1 X 10,890 kp ) + ( 7 X 272.25 kp )

= ( 87,120 kp ) + ( 10,890 kp ) + ( 1,905.75 kp )

= ( 87,120 + 10,890 + 1,905.75 )

99,915.755 kp

------------------------------------------------------------------------------------

UNIT LUAS LAMA YANG LAIN

( RELUNG, JEMPA & DEPA )

Di negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang luas tanah ditulis dengan menggunakan unit 'Relung' dan 'Jempa'. Unit 'Relung' akan ditulis dengan simbol 'r' manakala unit 'Jempa' pula akan ditulis dengan 'j'.

Keluasan tanah akan ditulis dalam unit RELUNG dan JEMPA begini :

2r. 383j.

Ini bermakna luas tanah tersebut adalah :

( 2 Relung ) + ( 383 Jempa )

------------------------------------------------------------------------------------

Manakala di negeri Kelantan dan sebahagian tanah pertanian di Pantai Timur luas tanah akan ditulis dengan menggunakan unit 'Ekar' dan 'Depa'. Unit 'Ekar' akan ditulis dengan simbol 'A' manakala unit 'Depa' pula akan ditulis dengan 'D'.

Keluasan tanah akan ditulis dalam unit EKAR dan DEPA begini :

2A. 167D.

Ini bermakna luas tanah tersebut adalah :

( 2 Ekar ) + ( 167 Depa )


------------------------------------------------------------------------------------

Berminat untuk mengetahui unit-unit lama lain yang pernah digunakan sila klik pautan dibawah yang merupakan sambungan bahagian 2 artikel ini.
< klik pautan di bawah 👇 >



------------------------------------------------------------------------------------

SEKIAN 
TERIMA KASIH


------------------------------------------------------------------------------------

Bagi yang berminat membaca menambah ilmu pengetahuan ada banyak contoh serta fakta yang boleh didapati dan pelajari daripada ratusan soalan jawapan yang terdapat di ruang ulasan bawah.

TERUSKAN SKROL KE BAWAH

---------------- Jurukur Tanah Klang @ 2024 -----------------