PEMBAHAGIAN TANAH SECARA
HIBAH DAN FARAID
Sebagai Jurukur tanah yang berpengalaman dalam
urusan pembahagian tanah jika ditanya dan diminta pendapat oleh pemilik tanah
yang berhasrat nak berikan tanah tersebut kepada anak-anaknya.
Adalah lebih baik diberi dan dibuat pembahagian
tanah tersebut ketika dia masih hidup. Jika diurus dengan bijaksana, tanah ini
boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarganya. Jika tidak diuruskan dengan
bijaksana, tanah inilah juga yang bakal menjadi punca perpecahan dan
persengketaan sesama ahli keluarganya setelah dia meninggal dunia kelak.
Dahulu kala ketika tanah masih diusahakan dengan
pertanian, jika jiran tanah lot sebelah korek parit lebar 2-3 kaki disepanjang
garisan sempadan tak jadi masalah pun walau parit tersebut tidak lurus bengkang
bengkuk keluar masuk ke dalam tanah kedua-dua pemilik yang berlainan lot
tersebut. Tak apalah, nanti dua-dua tanah pun boleh guna parit tersebut untuk
saliran.
Tapi pada waktu sekarang apabila tanah-tanah
pertanian ini sudah dipecah pecahkan daripada satu kebun ditukar dengan rumah kediaman,
apabila ada salah seorang pemilik membuat parit, pagar atau jalan yang cuma 1-2
inci saja tak lurus keluar masuk ke tanah sebelah, ini pun dah boleh menjadi
isu hingga ada yang sampai dibawa ke mahkamah. Lebih menyedihkan jiran tersebut
bukanlah orang lain tetapi saudara mara sendiri yang mendapat manafaat sebagai pewaris
kepada sebahagian tanah yang satu lot berkongsi satu geran tanah yang sama.
Berpunca daripada garisan sempadan pembahagian
tanah yang tak jelas, yang tak disediakan satu pelan pembahagian tanah yang
digunapakai oleh semua pemilik tanah, 2 keluarga yang berjiran sudah bertahun
tahun putus hubungan tidak bertegur sapa walaupun rumah masing-masing hanya
bersebelahan bumbung dan berkongsi geran tanah yang sama.
Inilah yang pemilik tanah perlu uruskan dengan bijaksana
ketika dia masih hidup.
Dari segi pengurusan hartanah terdapat sedikit
kelainan bagi pemilik yang beragama Islam dengan bukan Islam. Bagi yang bukan
Islam mereka tidak terikat kepada hukum Syariah dan mereka lebih bebas untuk
mewariskan atau memberikan harta mereka itu kepada sesiapa saja yang mereka suka.
Tetapi bagi yang beragama Islam, ada syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi
secara perlaksanaan hukum Syariah.
Artikel ini ditulis dan ditujukan kepada pemilik
tanah yang beragama Islam berkenaan apa yang boleh dibuat dengan tanah mereka
yang mematuhi hukum agama. Tetapi artikel ini bukanlah bagi menghuraikan
hukum-hukum tersebut satu persatu. Tujuan artikel cuma sekadar satu cadangan
bagaimana seorang pemilik tanah boleh memberikan tanahnya kepada sesiapa sahaja
yang dia pilih yang patuh hukum dan lebih bijaksana perlaksanaannya yang
mungkin juga boleh mengelakkan persengketaan dan pergaduhan sesama penerima
manafaat tanah yang diberikan olehnya.
Untuk lebih faham penulis akan berikan penerangan terlebih
dahulu definasi dan perbezaan antara Faraid dengan Hibah.
PEMBAHAGIAN TANAH SECARA FARAID
Secara definasi ‘Hukum Faraid’ adalah peraturan
dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka ‘selepas
kematian seseorang pemilik harta’.
Hukum Faraid adalah satu aspek penting dalam hukum
keluarga Islam dan ia merupakan suatu perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi
oleh semua umat Islam. Pembahagian
harta pusaka dalam hukum Faraid merupakan satu tindakan penting yang akan
memastikan harta pusaka disalurkan dengan adil dan saksama kepada ahli waris
yang berhak menerimanya. Selain itu, ia juga membantu mencegah konflik dalam
keluarga serta menyelamatkan harta pusaka dari keadaan tidak dapat diuruskan.
Pembahagian harta secara
faraid hanya dibuat jika pemilik harta meninggal dunia tanpa meninggalkan
sebarang wasiat atau Hibah semasa dia masih hidup.
PEWARIS YANG BERHAK MENGIKUT
HUKUM FARAID
Terdapat 3 kategori pewaris
yang berhak mendapat harta peninggalan si mati. 3 kategori tersebut adalah :
1.)
Waris
Utama (*)
2.)
Waris
Gantian
3.) Waris Sisian
(*) Hak
mereka ini hanya akan gugur sekiranya mereka ini murtad atau disahkan sebagai
pembunuh si mati atau menjadi punca kematiannya. Hak mereka akan jatuh kepada
waris gantian.
Dari segi jumlah sebenar pewaris yang berhak di
atas, kesemua sekali berjumlah 25 orang dengan pewaris lelaki 15 orang dan pewaris
perempuan 10 orang. Tetapi penulis tak dapatlah nak berikan butiran penuh siapakah
kalangan ahli keluarga yang lelaki dan perempuan tersebut. Apa yang penulis
boleh senaraikan adalah kalangan waris utama sahaja yang berjumlah 6 orang.
SIAPAKAH PEWARIS UTAMA YANG BERHAK
1.)
Ibu
2.)
Bapa
3.)
Suami
4.)
Isteri
5.)
Anak
Lelaki
6.)
Anak
Perempuan
JUMLAH BAHAGIAN PEWARIS UTAMA YANG BERHAK
Ibu dan bapa si mati berhak mendapat ( 1/6 ) bahagian
masing-masing.
Suami si mati pula jika mereka tidak mempunyai
anak, dia berhak mendapat ( 1/2 ) bahagian dan jika mempunyai anak dia berhak
mendapat ( 1/4 ) harta peninggalan si mati ( isterinya ).
Isteri si mati pula jika mereka tidak mempunyai
anak, dia berhak mendapat ( 1/4 ) bahagian dan jika mempunyai anak dia berhak
mendapat ( 1/8 ) harta peninggalan si mati ( suaminya ).
Manakala baki kepada harta peninggalan si mati akan
dibahagikan kepada anak-anak dengan nisbah 1 : 2
1 bahagian untuk setiap 1 anak perempuan dan 2
bahagian untuk setiap 1 anak lelaki.
PEMBAHAGIAN TANAH SECARA HIBAH
Secara definasi Hibah
menurut Islam adalah hadiah atau pemberian yang diberikan oleh pemilik harta
kepada penerima secara percuma tanpa mengharapkan sebarang balasan ‘semasa
pemilik harta masih hidup’.
Pemberian Hibah boleh
diberikan kepada penerima tertentu yang dikehendaki samada ahli keluarga atau
bukan dan dibuat atas dasar rasa kasih sayang tanpa sebarang had atau jumlah.
Pemberian hibah mestilah
dilengkapi dengan rukun-rukunnya iaitu Pemberi Hibah, Penerima Hibah, Akad
(Ijab dan Kabul), berserta Harta Hibah. Hibah mestilah dilaksanakan semasa
hayat pemberi Hibah. Apabila pemberi Hibah meninggal dunia harta yang telah dihibahkan
bukan lagi harta pusaka beliau dan ia tidak tertakluk kepada pembahagian secara
Faraid.
Dari segi hukum pembahagian harta secara Faraid adalah
merupakan cara yang adil dan saksama walaupun dari segi jumlah pembahagian
tidak sama antara setiap pewaris. Harta si mati juga tidak boleh diberikan
kepada anak angkat atau orang lain yang bukan dari kalangan waris yang berhak.
Maka disinilah keperluannya menyediakan satu Hibah
semasa dia masih hidup. Lebih-lebih lagi jika si mati tidak mempunyai anak, si
mati ada anak perempuan sahaja, si mati ada anak angkat, si mati belum
berkahwin, si mati membeli harta secara bersama, si mati adalah seorang muallaf
yang mempunyai ahli keluarga yang belum memeluk agama Islam atau si mati ingin
memberikan hartanya kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bukan ahli keluarga,
jantina, bangsa, agama atau warganegara. Selain itu dengan secara Hibah pembahagian
harta tidak terikat dengan jumlah bahagian seperti mana yang perlu dibahagikan
secara Faraid. Setiap anak lelaki atau anak perempuan boleh mewarisi harta
secara samarata tidak ada beza atau nisbah.
Bagi kebanyakan ibubapa, adalah lebih adil harta
mereka diwariskan kepada setiap anak-anak secara samarata tanpa mengira anak
lelaki atau perempuan seperti mana juga kasih sayang seorang ibubapa kepada
anak-anak yang tak ada bezanya.
CARA MEMBUAT HIBAH
Hibah boleh dibuat secara lisan atau bertulis
tetapi adalah digalakkan sesuatu hibah itu didokumentasikan secara bertulis
bagi mengelak salah faham dan pertelingkahan berkenaan harta hibah pada masa
hadapan.
PEMBATALAN HIBAH
Hanya hibah dari seorang bapa, ibu, datuk atau
nenek kepada anak atau cucunya sahaja boleh ditarik balik dan dibatalkan.
Hibah Mutlak adalah pemberian Hibah yang dilaksanakan
secara serta merta dimana pindah milik harta hibah daripada pemberi hibah
kepada penerima hibah telah berlaku secara langsung. Semasa hayat pemberi hibah
pemilikan harta tersebut telah bertukar dan didaftarkan kepada penerima. Harta
tersebut bukan lagi milik Pemberi Hibah sebaliknya ia telah menjadi milik
mutlak penerima hibah.
Melalui pemberian Hibah ini,
pemberi hibah tersebut telah hilang kuasa terhadap harta tersebut, Penerima
Hibah bebas menggunakan harta Hibah termasuk menjual harta tersebut tanpa perlu
meminta keizinan pemberi. Apabila penerima Hibah meninggal dunia ia merupakan
harta pusaka beliau dan perlu diagihkan kepada waris-waris beliau bukan kepada
waris-waris pemberi Hibah yang asal.
Manakala bagi Hibah yang
dibuat secara Amanah atau Deklarasi Hibah, pemilik harta boleh mengisytiharkan hasrat beliau
untuk memberi harta melalui hibah kepada penerima tertentu. Pemberi Hibah akan
bertindak sebagai Pemegang Amanah bagi hibah tersebut selagimana beliau masih
hidup serta berupaya dan mampu menguruskan harta hibah. Selepas pemberi hibah
meninggal dunia barulah harta Hibah akan dipindah milik kepada penerima hibah
dengan segera dan lancar tanpa bertangguh. Malah ia tidak terbeku serta tidak
perlu melalui proses pentadbiran harta pusaka yang rumit seperti Faraid.
Hibah seakan sama seperti Wasiat tetapi
perlaksanaanya berbeza. Pemberian Hibah boleh terus dibuat selepas di ijab
kabul semasa pemberi hibah masih lagi hidup atau selepas kematiannya. Tetapi
pemberian Wasiat hanya boleh dibuat selepas pemilik harta tersebut meninggal
dunia sahaja.
Setelah kita faham apa perbezaan di antara Hibah dengan
Faraid dan kenapa penulis sarankan kepada pemilik tanah yang berhasrat. Cara
pemberian sahaja tidak menjamin tidak akan berlaku pertelingkahan garisan
sempadan tanah bahagian masing-masing. Di bawah adalah satu senarai tindakan
yang penulis selalu sarankan perlu dibuat oleh pemilik tanah bagi mengelakkan
terjadinya pertelingkahan dan perpecahan akibat tanah tersebut.
APA YANG PERLU PEMILIK TANAH BUAT
1.)
Sediakan
dokumen pambahagian tanah secara Hibah samada secara Hibah Mutlak atau Amanah
semasa dia masih hidup
2.)
Sediakan
satu Pelan Pembahagian tanah atau Pelan Pecahan Bahagian yang mengikut keluasan
sepertimana Hibah dibuat
3.)
Di
dalam pelan tersebut perlu juga disediakan satu akses rezab jalan keluar masuk bagi
kegunaan kesemua pemilik tanah
4.)
Ukur
tandakan sempadan tanah setiap bahagian di atas tanah sepertimana pelan yang
telah disediakan oleh Jurukur Tanah.
5.)
Tetapkan
tanah bahagian masing-masing siapa depan, siapa belakang, siapa kiri, siapa
kanan sedari awal untuk elak terjadi perebutan.
6.)
Kalau
tak ada halangan dan berkemampuan, buka dan buatkan jalan masuk sepertimana
yang telah dilukis dalam pelan pembahagian tanah.
7.)
Bagi
kepada setiap penerima manafaat tanah satu salinan dokumen Hibah dan satu pelan
pembahagian tanah yang sama yang boleh dirujuk dan digunapakai sampai bila-bila
pun.
8.)
Kekalkan
nama setiap penerima manafaat tanah di dalam satu geran tanah yang berkongsi
hakmilik bagi mengwujudkan harmoni kekeluargaan tanah hakmilik keluarga.
Hanya dengan cara ini sahaja barulah persengketaan
akibat garisan sempadan tanah yang tak jelas, jalan masuk yang tidak ceroboh
tanah sesiapa dan masing-masing sudah boleh merangka projek yang boleh dibuat
atas tanah milik masing-masing bakal mengeratkan dan mengelakkan pertelingkahan
dan perpecahan sesama ahli keluarga.
KEPADA PEMILIK TANAH YANG BERMINAT NAK BUAT PENGUKURAN PEMBAHAGIAN TANAH SECARA TEPAT
Bagi pemilik tanah yang berminat nak buat pembahagian & pengukuran tanah bagi tujuan memberi sebahagian tanah kepada anak-anak atau kepada siapa saja secara Hibah. Dan juga kepada pewaris tanah yang mendapat manafaat tanah pusaka secara Faraid, jika berminat nak disediakan satu pelan pembahagian tanah yang tepat mengikut formula pembahagian samada secara Hibah atau Faraid, anda bolehlah hubungi kami untuk pertanyaan perkhidmatan.
Hubungi kami melalui telefon atau WhatsApp :-
( klik nombor di bawah )
Dan untuk lebih faham cara kami berurusan dengan pelanggan baca juga senarai soalan & jawapan pertanyaan lazim pelanggan ukur tanah.
“FAQ's : SOALAN LAZIM PELANGGAN UKUR TANAH”
SEKIAN, TERIMA KASIH