Kalau
dahulu penulis banyak terima pertanyaan dan permintaan berkenaan jarak dan luas
tanah dari satu unit ukuran ditukar nilainya ke unit yang lain. Biasanya dari
satu unit lama yang ditulis dalam dokumen geran tanah sesetengah negeri dalam relung,
depa, jempa & hektar ditukar kepada unit yang lebih mudah difahami seperti
ekar, meter atau kaki. Tapi setelah penulis perjelaskan dalam 2-3 artikel,
sudah tidak banyak lagi pertanyaan yang penulis terima berkenaan unit-unit
ukuran tersebut. Samada pembaca mulai faham cara pengiraan yang betul atau pun
akibat daripada penulis tidak lagi melayan permintaan sebegitu, tak tahulah
tapi hasilnya amat jarang sekali penulis terima pertanyaan pada waktu kini
dibanding dengan waktu dahulu.
Bagi
pembaca yang masih lagi belum faham cara pengiraan yang betul, sila rujuk dan
baca perlahan lahan hingga faham contoh-contoh pengiraan yang terdapat dalam
artikel yang telah penulis terbitkan berkenaan ‘Unit Ukuran Bagi Jarak &
Luas Tanah’ dengan klik link di bawah.
"UNIT
UKURAN BAGI JARAK & LUAS TANAH"
Pada
waktu sekarang pertanyaan yang banyak penulis terima yang tidak bersangkutan
dengan kerja ukur tanah lebih merupakan peraturan-peraturan dan garis panduan
bagi permohonan yang dalam bidang kuasa pihak pejabat tanah daerah atau
pentadbir tanah negeri.
Perlu anda tahu, urusan tanah adalah urusan pihak kerajaan negeri bukan urusan kerajaan pusat dan diuruskan secara berasingan bagi setiap daerah. Anda tidak boleh melakukan urusan tanah yang berada dalam daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling atau Hulu Selangor di pejabat tanah daerah Klang.
Walaupun berada
dalam satu pentadbiran kerajaan negeri yang sama iaitu Selangor tetapi urusan
tanah dalam mana-mana daerah perlu dan hanya boleh dibuat di pejabat tanah
daerah itu sahaja tidak boleh dibuat di pejabat tanah daerah lain. Walaupun
menggunakan undang-undang Kanun Tanah Negara yang sama tapi perlaksanaan atau
peraturan ada sedikit perbezaan bagi setiap daerah. Dalam kebanyakan urusan
tanah, pihak jurukur tanah hanya terbabit jika permohonan tersebut memerlukan
lampiran pelan yang diukur dan disediakan oleh jurukur tanah sahaja.
Ada banyak kekeliruan berkenaan tugas dan bidang yang membabitkan jurukur tanah. Contohnya jika ada mana-mana pemilik tanah yang mahu membina rumah, jurukur tanah hanya terbabit dalam urusan penandaan dan pengesahan sempadan lot sahaja. Permohonan kelulusan untuk merancang pembinaan perlulah dibuat oleh pihak arkitek.
Begitu juga jika ada mana-mana pemilik tanah yang mahu menukar syarat
kegunaan tanah, permohonan tersebut perlulah dibuat oleh pemilik tanah dengan
lampiran pelan serta laporan perancangan yang disediakan oleh pihak perancang
bandar bertauliah bukan jurukur tanah. Jurukur tanah hanya menyediakan data
dalam bentuk pelan ukuran demarkasi penandaan sempadan lot, ukuran topografi dan
butiran bentuk sebenar mukabumi serta segala benda kekal yang terdapat dalam
lot berkenaan sahaja. Daripada data yang diukur tersebut barulah pihak arkitek
dan perancang bandar membuat perancangan dan menyediakan satu laporan dan pelan
yang akan dimasukkan dalam permohonan bagi mendapatkan kelulusan dan kebenaran
daripada pihak berkuasa.
Demikian
juga dalam urusan menilai harga tanah. Seringkali disalahtafsir bahawa jurukur
tanahlah yang membuat penilaian ini. Yang sebenarnya kerja menilai harga tanah
adalah urusan pihak ‘Jurunilai Hartanah’ atau ‘valuever’ sepertimana urusan
menilai harga rumah jika mahu memohon gadaian atau pinjaman atau jika mahu
menuntut gantirugi insuran bagi kerosakan kenderaan yang terbabit dalam
kemalangan. Pihak jurunilai inilah yang akan menyediakan laporan daripada
pemeriksaannya dan seterusnya menentukan nilai pasaran untuk rumah atau tanah
tersebut.
Diharap dengan penerangan ini pembaca akan lebih faham bahawa tidak semua urusan tanah itu membabitkan jurukur tanah. Penyediaan laporan perancangan dan penilaian bukan bidang kerja jurukur tanah tetapi jika memerlukan satu kerja ukuran dibuat itu barulah menjadi bidang tugas jurukur tanah.
________________________________________________
( klik nombor di bawah )
SEKIAN,
TERIMA KASIH