05 Mac 2023

PENGUBAHAN KATEGORI KEGUNAAN TANAH ( TUKAR SYARAT )

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 

Mengikut seksyen 52 Kanun Tanah Negara ( KTN ) 1965, semua tanah yang diberi milik terbahagi kepada 3 kategori kegunaan tanah iaitu :

i.)                  Pertanian

ii.)                 Bangunan ( Kediaman atau Perniagaan )

iii.)               Industri 


Semua pemilik tanah sepatutnya menggunakan tanah berkenaan mengikut kategori kegunaan tanah dan syarat nyata dalam hakmilik. Kegagalan berbuat demikian adalah melanggar syarat yang ditetapkan dan pihak berkuasa negeri boleh merampas balik tanah berkenaan. Tuan tanah yang ingin menggunakan tanahnya untuk kategori selain daripada yang tercatat dalam hakmilik perlulah mengambil tindakan untuk mengubah kategori kegunaan tersebut.

Seksyen 124 dan 124A KTN serta Kaedah-Kaedah Tanah Negeri membolehkan tuan tanah berbuat demikan. Pihak berkuasa negeri akan mengenakan bayaran premium tambahan ke atas setiap permohonan tukar syarat yang diluluskan.

Mengikut KTN bagi tanah jenis pertanian syarat keluasan minima untuk mendapatkan geran tanah secara berasingan bagi mana-mana bahagian yang berkongsi hakmilik adalah tidak boleh kurang daripada 0.25 ekar.

  Sebagai contoh untuk pemahaman pembaca. Ada 1 lot tanah jenis pertanian berkeluasan 2 ekar yang dimiliki secara berkongsi hakmilik oleh 6 penama. Pemilik ‘A’ mempunyai ½ bahagian bersamaan luas 1 ekar. Manakala baki 1 ekar lagi dimiliki oleh 5 pemilik dari satu keluarga ‘B’ dengan masing-masing memiliki 1/10 bahagian yang bersamaan luas 0.2 ekar.

Jika pemilik ‘A’ mahu membuat pecahan bahagian bagi mendapatkan geran tanah berasingan dia boleh buat sebab tidak mempunyai masalah dari segi syarat luas minima sebab tanah bahagiannya adalah 1 ekar. Tetapi jika 5 pemilik dari keluarga ‘B’ mahu membuat pecahan bahagian untuk tujuan yang sama bagi mendapatkan geran tanah secara berasingan, mereka tidak dapat buat kerana luas tanah bahagian mereka tidak memenuhi syarat luas minima iaitu tidak boleh kurang dari 0.25 ekar.

Bagi membolehkan kesemua 6 pemilik tanah ini mendapatkan geran tanah berasingan maka disinilah perlunya dibuat permohonan ‘tukar syarat’ kegunaan tanah terlebih dahulu. Mereka perlulah menukar kategori kegunaan tanah dari pertanian kepada kediaman atau bangunan. Permohonan untuk menukar syarat kegunaan tanah boleh dibuat secara berasingan dan boleh juga dibuat secara serentak dengan permohonan pecahan bahagian bagi mendapatkan geran tanah berasingan. Selagi tidak ditukar syarat kegunaan tanah maka tidaklah boleh mereka membuat permohonan bagi mendapatkan geran tanah berasingan.

Apa yang perlu dilakukan oleh mereka adalah melantik pihak ‘Perancang Bandar Bertauliah’ mengemukakan satu permohonan bagi merancang pemajuan tanah tersebut bagi pihak mereka. Selain daripada keperluan menyediakan cadangan pemajuan tanah dalam bentuk laporan dan pelan perancangan mereka juga perlulah membayar premium berjumlah 15% dari nilai pasaran tanah mereka dalam kategori kegunaan yang baru pada masa permohonan dibuat sejurus selepas mendapat kelulusan. Nilai premium inilah yang menjadi halangan besar kepada ramai pemilik tanah yang berkongsi geran daripada mendapatkan geran tanah secara berasingan.

Sila rujuk rajah di bawah, senarai dokumen dan lampiran keperluan bagi permohonan mendapatkan kelulusan tukar syarat kegunaan tanah daripada pihak berkuasa negeri.



( klik foto untuk zoom pembesaran )


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )



SEKIAN TERIMA KASIH

04 Mac 2023

HAK LALULALANG TANAH SEKSYEN 390 KANUN TANAH NEGARA 1965

بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


( Panduan Permohonan Hak Lalulalang Tanah )

Sejak kebelakangan ini apabila harga rumah semakin meningkat di pasaran, tanah-tanah yang dahulunya adalah tanah pertanian untuk kebun getah atau kelapa sawit yang sudah tidak produktif lagi semakin menjadi pilihan dijadikan tapak bagi rumah kediaman.

Bagi tanah pertanian yang telah pun ditukar status menjadi tanah kediaman atau bangunan mungkin tidak timbul masalah kerana menjadi syarat wajib disediakan satu rezab jalan lebar 40 kaki untuk dijadikan laluan keluar masuk bagi setiap pemilik tanah Tetapi yang sering menjadi isu bagi pemilik tanah yang hanya berkongsi hakmilik dalam tanah yang masih berstatus pertanian adalah laluan untuk keluar masuk. Apalagi kalau tanah bahagiannya berada di sebelah belakang lot tanah tersebut. Untuk membina sebuah rumah mungkin tidak ada masalah tetapi untuk laluan keluar masuk ke rumahnya dari jalan besar ini yang bermasalah. Oleh sebab tidak pernah dibuat satu pelan pecahan bahagian tanah yang siap sedia satu rezab jalan bagi kegunaan semua pemilik seringkali pemilik tanah yang berada di bahagian hadapan akan membina rumah dengan menutup habis tanah bahagiannya. Dia tidak mahu kerugian akibat daripada perlu memberikan sebahagian tanahnya untuk dijadikan sebagai jalan masuk bagi pemilik di belakang. Oleh sebab dia tak perlukan jalan masuk untuk ke rumahnya jadi inilah yang menjadi punca atau isu sebab apa dia kena bagi tanah untuk buat jalan sedangkan dia tak perlu guna pun jalan tersebut. Pemilik tanah dibelakang perlu lalu atas tanah bahagiannya tetapi dia tidak pula perlu lalu atas tanah sesiapa untuk keluar masuk dari rumahnya. Jadi dia berasa tidak adil jika dia perlu korbankan tanah bahagiannya untuk dijadikan sebagai jalan masuk. Dengan harga pasaran tanah dan rumah pada waktu sekarang dinilai dalam keluasan kaki persegi, dia akan kerugian berpuluh ribu ringgit jika dia perlu berikan sebahagian tanahnya untuk dijadikan jalan masuk yang dia sendiri tak guna walaupun hanya selebar 10 kaki.

Isu jalan masuk inilah yang seringkali menjadi punca perbalahan dan pergaduhan sesama pemilik tanah yang berkongsi hakmilik.

Mungkin kebanyakan pembaca atau pemilik tanah tidak tahu yang sebenarnya dalam akta Kanun Tanah Negara di bawah seksyen 390, pemilik tanah boleh membuat permohonan rasmi kepada pihak pentadbir tanah untuk mewujudkan satu laluan bagi kegunaan pemilik tanah.

Permohonan ini perlulah dibuat sendiri oleh pemilik tanah dengan lampiran :

Borang 28A atau 28C ( 3 salinan )

Sijil Carian Rasmi ( 1 salinan yang asal )

Geran Tanah ( 1 salinan )

Cukai semasa ( 1 salinan )

Dan pelan lakaran kedudukan jalan ( 5 salinan )

Sila rujuk foto gambarajah dibawah untuk carta aliran tindakan yang akan dibuat oleh pihak pentadbir tanah / pejabat tanah.


( carta aliran permohonan hak lalulalang )

______________________________________________________________


Seperti biasa jika anda ada keperluan untuk membuat apa-apa urusan ukur tanah ke atas tanah anda bolehlah hubungi kami melalui saluran yang telah diberikan disini. Untuk lebih mudah kirim sahaja pertanyaan tersebut melalui telefon dengan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp ke nombor :

( klik nombor di bawah )


012-3949064 ( JT Klang )


SEKIAN, TERIMA KASIH




27 September 2022

UNIT UKURAN JARAK DAN LUAS TANAH ( BAHAGIAN 2 )



UNIT UKURAN LAMA YANG PERNAH DIGUNAKAN DI MALAYSIA

Seperti kebanyakan negara bangsa dunia yang lain contohnya England, Ireland, Scotland, Deutschland, Holland atau Thailand nama negara ditulis dan dipanggil dengan nama bangsa penduduk asal atau kelompok masyarakat terbesar yang ada disitu. Sebelum merdeka dan sebelum menjadi Malaysia, nama negara kita lebih dikenali sebagai Tanah Melayu. Dan persamaan dengan negara-negara bangsa tersebut, negara kita juga mempunyai tamadun dan kebudayaan sendiri yang merangkumi hampir setiap aspek kehidupan termasuklah dari segi ukuran-ukuran bagi menentukan jarak dan luas tanah.

Bagi membuat ukuran jarak dan seterusnya dari jarak diukur pula keluasan ada unit-unit tertentu yang digunakan di Tanah Melayu secara mengikut negeri atau kawasan tertentu. Hanya selepas mencapai kemerdekaan barulah negara kita mempraktikkan hanya satu unit sahaja bagi seluruh negara iaitu unit METRIK.


UNIT JARAK LAMA YANG PERNAH DIGUNAKAN

> Jengkal

> Hasta

> Depa

> Jempa

> Relung

> Ling

> Rantai

> Ela

> Kaki

> Pole

> Rood

> Batu



TUKARAN UNIT JARAK LAMA KE METRIK

1 Jengkal = 0.5 Hasta = 0.25 Ela = 0.75 kaki = 0.2286 meter

1 Hasta = 0.5 Ela = 1.50 kaki = 0.4572 meter

1 Depa = 4 Hasta = 2 Ela = 6 kaki = 1.8288 meter

1 Jempa = 8 kaki = 2.4384 meter

1 Relung = 176 kaki = 53.642 meter

1 Ling = 0.66 kaki = 0.201168 meter

1 Rantai = 100 ling = 66 kaki = 20.1168 meter

1 Ela = 3 kaki = 0.9144 meter

1 kaki = 0.3048 meter

1 pole = 16.5 kaki = 5.0292 meter

1 Rood = 40 pole = 660 kaki = 201.168 meter

1 Batu = 1.609 kilometer = 5278.87 kaki = 1609 meter


TUKARAN UNIT LUAS LAMA KE METRIK

1 Depa = 36 kaki persegi ( kp ) = 3.3445 meter persegi ( mp )

1 Jempa = 64 kp = 5.946 mp = 0.001469 Ekar

1 Relung = 484 jempa = 30976.6 kp = 2877.7 mp

1 Relung = 0.7111 Ekar = 0.2878 Hektar

1 Rantai = 4356 kp = 0.1 Ekar = 0.04047 Hektar = 404.686 mp

1 Ekar = 10 Rantai = 1.406 Relung = 1210 Depa = 0.4047 Hektar

1 Ekar = 4 Rood = 160 pole = 43560 kp = 4046.86 mp

1 Pole = 0.025 Rood = 272.25 kp = 25.293 mp

1 Rood = 40 pole = 0.25 Ekar = 10890 kp = 1011.71 mp

1 Hektar = 2.471 Ekar = 107,640 kp = 10,000 mp


CONTOH PENGIRAAN TUKARAN UNIT LUAS

UNIT EKAR & DEPA

Jika di dalam geran tanah atau pelan tanah yang lama ditulis dalam unit ‘Ekar’ dan ‘Depa’, Luas tanah akan ditulis seperti contoh dibawah :

2ᴬ 167ᴰ

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 2 ekar ) + ( 167 depa persegi )

Untuk mengira luas tanah ini dalam unit yang digunakan pada waktu ini, kita perlulah menukar kepada unit baru dengan formula tukaran yang betul.


FORMULA ASAS PENGIRAAN


1 Depa = 36 kp = 3.3445 mp

1 Ekar = 1,210 Depa

1 Ekar = 43560 kp = 4046.86 mp

1 mp = 10.764 kp


Luas tanah dalam unit EKAR :

( 2 ekar ) + ( 167 depa )

= ( 2 ekar ) + ( 167 / 1210 )

= ( 2 ekar ) + ( 0.1380 ekar )

= 2.1380 ekar


Dalam unit KAKI PERSEGI ( kp ) :

( 2 ekar ) + ( 167 depa )

= ( 2 x 43,560 kp ) + ( 167 depa x 36 kp )

= ( 87,120 kp ) + ( 6,012 kp )

= 93,132 kp


Dalam unit METER PERSEGI ( mp ) :

( 2 ekar ) + ( 167 depa )

= ( 2 x 4046.86 mp ) + ( 167 depa x 3.3445 mp )

= ( 8093.7 mp ) + ( 558.5 mp )

= 8652.2 mp


UNIT RELUNG & JEMPA

Jika di dalam geran tanah atau pelan tanah yang lama ditulis dalam unit ‘Relung’ dan ‘Jempa’, Luas tanah akan ditulis seperti contoh dibawah :

2r 423j

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 2 Relung ) + ( 423 Jempa )


FORMULA ASAS PENGIRAAN

1 Relung = 484 Jempa = 0.7111 Ekar

1 Relung = 30976 kp = 2877.7 mp

1 Jempa = 64 kp = 5.946 mp = 0.001469 Ekar


Dalam unit EKAR :

( 2 Relung ) + ( 423 Jempa )

= ( 2 x 0.7111 ekar ) + ( 423 x 0.001469 ekar )

= ( 1.4222 ekar ) + ( 0.6214 ekar )

= 2.0436 ekar


Dalam unit METER PERSEGI ( mp ) :

( 2 Relung ) + ( 423 Jempa )

= ( 2 x 2877.7 mp ) + ( 423 x 5.946 mp )

= ( 5755.40 mp ) + ( 2515.16 mp )

= 8,270.56 meter persegi


Dalam unit KAKI PERSEGI ( kp ) :

( 2 Relung ) + ( 423 Jempa )

= ( 2 X 30976 kp ) + ( 423 X 64 kp )

= ( 61952 kp ) + ( 27072 kp )

= 89,024 kaki persegi


UNIT EKAR, ROOD & POLE

Dan di dalam kebanyakan geran tanah di kebanyakan negeri unit luas yang lebih mudah dijumpai adalah dalam unit ‘Ekar, Rood & Pole’. Luas tanah akan ditulis seperti dibawah :

2a. 2r. 05p

Ini bermaksud luas tanah ini adalah :

( 2 ekar ) + ( 2 rood ) + ( 5 pole )


FORMULA ASAS PENGIRAAN


1 Ekar = 4 Rood = 160 Pole

1 Ekar = 43,560 kp = 4046.86 mp

1 Rood = 0.25 ekar = 10,890 kp = 1,011.715 mp

1 Pole = 0.00625 ekar = 272.25 kp = 25.292 mp


Dalam unit KAKI PERSEGI ( kp ) :

( 2 ekar ) + ( 2 rood ) + ( 5 pole )

= ( 2 x 43,560 kp ) + ( 2 x 10,890 kp ) + ( 5 x 272.25 kp )

= ( 87,120 kp ) + ( 21,780 kp ) + ( 1,361.25 kp )

= 110,261.25 kp


Dalam unit METER PERSEGI ( mp ) :

( 2 ekar ) + ( 2 rood ) + ( 5 pole )

= ( 2 x 4046.86 mp ) + ( 2 x 1011.715 mp ) + ( 5 x 25.292 mp )

= ( 8093.72 mp ) + ( 2023.43 mp ) + ( 126.46 mp )

= 10,243.6 mp


Dan dalam unit EKAR :

( 2 ekar ) + ( 2 rood ) + ( 5 pole )

= ( 2 ekar ) + ( 2 x 0.25 ekar ) + ( 5 x 0.00625 ekar )

= ( 2 ekar ) + ( 0.5 ekar ) + ( 0.03125 ekar )

= 2.531 ekar


CONTOH PENGIRAAN TUKARAN UNIT JARAK

Kebanyakan jarak garisan sempadan lot yang ditulis dalam pelan tanah lama hampir kesemuanya ditulis dalam unit LING.

Formula asas bagi jarak dalam unit LING :

1 Ling = 0.66 kaki = 0.201168 meter

1 Rantai = 100 Ling = 66 kaki = 20.1168 meter


Apa yang perlu dibuat hanyalah darabkan jumlah jarak dalam unit LING dengan nilai persamaan unit LING dalam KAKI atau METER sahaja. Tidak susah pun.

Contoh Jarak : 600 Ling

Dalam KAKI
600 ling X 0.66 kaki = 396 kaki

Dalam METER
600 ling X 0.201168 meter = 120.70 meter

Apa yang ditunjuk di atas hanyalah sekadar contoh pengiraan bagi jarak dan luas tanah dalam unit lama yang masih lagi ada dalam geran tanah lama bagi sesetengah negeri seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Di dalam geran tanah yang baru sudah pun menggunakan jarak dalam unit METER dengan keluasan tanah dalam unit HEKTAR atau METER PERSEGI.


-----------------------------------------------------------

Bagi pembaca yang hendak membuat kerja ukuran atau hendak menyediakan pelan pembahagian tanah atau pelan pra-hitungan bagi tanah yang dimiliki, anda boleh hubungi kami melalui WhatsApp dengan klik nombor di bawah.

( klik bawah )



SEKIAN TERIMA KASIH

-----------------------------------------------------------
Jurukur Tanah Klang @ 2024